Isnin, 28 Jun 2010

SUNNAH NABI YANG PATUT DILAKUKAN

TAZKIRAH


Sunnah Rasulullah yang perlu diamalkan ialah :

1. Solat Tahajjud

Solat Tahajjud ialah solat apabila terjaga daripada tidur malam. Sebaik-baiknya 1/3 malam yang terakhir iaitu dalam lingkungan jam 3 atau 4 pagi. Jumlah rakaat sekurang-kurangnya 2 rakaat. Di antara fadhilatnya :

1. Mendapat pengawasan Allah dan menampakkan kesan ketaatan di wajahnya.
2. Dikasihi oleh para ahli ibadah dan org mukmin.
3. Percakapannya menjadi hikmah dan bijaksana.
4. Dimudahkan hisab ke atasnya.
5. Mendapat catatan amal dari tangan kanan.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "sembahyang tahajjud" padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat Yang Terpuji. (Al-Isra : 79)Membaca Al-Qur'an Sebelum Terbit Matahari

Membaca Al-Quran merupakan salah satu sunnah Rasulullah terutamanya membaca Al-Quran pada waktu sebelum terbitnya matahari. Besar pahala bagi orang yang mebaca Al-Quran dan mentadabbur isinya. Jadikan Al-Quran sebagai panduan hidup dan jangan dijadikan Al-Quran sebagai bacaan bacaan sahaja. Jadikan Al-Quran sebagai bacaan, panduan dan membudayakan Al-Quran dalam setiap perkara dalam kehidupan kita. Firman Allah yang bermaksud :

“Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan Yang amat betul (ugama Islam), dan memberikan berita Yang mengembirakan orang-orang Yang beriman Yang mengerjakan amal-amal soleh, Bahawa mereka beroleh pahala Yang besar.” (Al-Isra : 9)

2. Jangan Tinggalkan Masjid

Solat yang lebih baik adalah solat berjamaah di masjid, kerana pahala orang yang solat berjamaah di masjid sangat besar dan pahalanya dikira pada setiap langkahnya ke masjid dan ia juga akan memperolehi pahala berjamaah sebanyak 27 pahala. Hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :

"Sungguh, alangkah ingin aku menyuruh (para sahabat) melakukan solat, dan aku suruh seseorang untuk mengimaminya, kemudian aku pergi bersama beberapa orang yang membawa beberapa ikat kayu api menuju (rumah) orang-orang yang tidak ikut solat berjemaah, untuk membakar rumah mereka dengan api."

3. Jaga Solat Dhuha

Solat Sunat Dhuha adalah solat yang yang sangat dianjurkan oleh Rasulullah kepada umatnya, kerana solat sunat Dhuha ini banyak kelebihannya. Di antara kelebihannya ialah pintu rezeki dibuka dan dimurahkan rezeki. Waktu solat sunat Dhuha ialah dari naik matahari sampai se-penggalah dan berakhir di waktu matahari tergelincir. Rasullullah SAW pernah bersabda yang maksudnya :

“Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah (sebagai ganti) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat solat Dhuha .” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

4. Jaga Sedekah

Sedekah ialah seseorang itu mengorbankan sedikit hartanya untuk diberikan kepada orang yang memerlukan dengan hati dan perasaan yang ikhlas kerana Allah. Bagi orang yang rajin bersedekah, Allah akan gandakan setiap sedekahnya dengan rezeki yang melimpah. Firman Allah yang bermaksud :

“Dan jangan sekali-kali orang-orang Yang bakhil Dengan harta benda Yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya - menyangka Bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. bahkan ia adalah buruk bagi mereka. mereka akan dikalongkan (diseksa) Dengan apa Yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak. dan bagi Allah jualah hak milik Segala warisan (isi) langit dan bumi. dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui Dengan mendalam akan Segala Yang kamu kerjakan. (mukjizat) Yang nyata dan Dengan (korban) Yang katakan, maka membunuh mereka, jika kamu orang-orang Yang benar (dalam apa Yang kamu dakwakan itu)?" (Al-Imran : 180)

5. Jaga Wudhuk Terus Menerus

wudhu adalah salah satu cara untuk menyucikan diri dari hadas kecil. Orang yang menjaga wuduknya akan disayangi oleh Allah. Kata khalifah Ali bin Abu Thalib :

"Orang yang selalu berwudhuk senantiasa ia akan merasa selalu solat walau ia sedang tidak solat, dan dijaga oleh malaikat dengan dua doa, ampuni dosa dan sayangi dia ya Allah".

6. Istighfar Setiap Masa

Istighfar ialah memohon keampunan dari Allah atas segala dosa dan kesalahan yang telah dilakukan dan berjanji kepada Allah tidak akan mengulangi kesalahan tersebut. Firman Allah yang bermaksud :

“Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka, sedang Engkau (Wahai Muhammad) ada di antara mereka; dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar (meminta ampun).” (Al-Anfal : 33)

Khamis, 24 Jun 2010

PENGENALAN ILMU QIRAAT - SIRI KEDUA


UMUM


OLEH: USTAZ SHAMSUL HAKIM


A. DALIL TURUN AL QURAN DENGAN 7 HURUF:


عن عمر بن الخطاب يقول : سمعت هشام بن حكيم يقرأ سورة الفرقان في حياة رسول الله صلى الله عليه و سلم فاستمعت لقراءته فإذا هو يقرأ على حروف كثيرة لم يقرئنيها رسول الله صلى الله عليه و سلم فكدت أساوره في الصلاة فتصبرت حتى سلم فلببته بردائه فقلت من أقرأك هذه السورة التي سمعتك تقرأ ؟ قال أقرأنيها رسول الله صلى الله عليه و سلم فقلت كذبت فإن رسول الله صلى الله عليه و سلم قد أقرأنيها على غير ما قرأت فانطلقت به أقوده إلى رسول الله صلى الله عليه و سلم فقلت إني سمعت هذا يقرأ بسورة الفرقان على حروف لم تقرئنيها فقال رسول الله صلى الله عليه و سلم ( أرسله اقرأ يا هشام ) . فقرأ عليه القراءة التي سمعته يقرأ فقال رسول الله صلى الله عليه و سلم ( كذلك أنزلت ) . ثم قال ( اقرأ يا عمر ) . فقرأت القراءة التي أقرأني فقال رسول الله صلى الله عليه و سلم ( كذلك أنزلت إن هذا القرآن أنزل على سبعة أحرف فاقرؤوا ما تيسر منه ) – رواه أصحاب الستة

B. HIKMAH PENURUNAN AL QURAN DENGAN 7 HURUF

Kemudahan dan keringan ke atas ummat Muhammad bagi membaca Al Quran kerana bangsa Arab yang diturunkan Al Quran kepada mereka lidah mereka berbeza-beza di antara satu sama lain , begitu juga cara sebutan mereka terhadap sesuatu huruf.

C. APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN HURUF YANG 7 ?

Berkata Fadilah Al Syeikh Abdul Fattah Al Qadhi ( pengarang kitab Al Wafi ) yang dipetik dari pandangan Al Imam Abil Fadh Al Razi : “ Yang dimaksudkan dengan huruf yang 7 adalah perubahan dan perbezaan dari 7 perkara:

    1. Perbezaan dari sudut kata nama sama ada dalam bentuk ifrad ( 1 ) atau at tathniah ( 2 ) atau al jam’ ( 3 ke atas ).

Contoh: { وأحاطت بِهِ خَطِيئَتُهُ } [ البقرة : 1 8 ]

    1. Perbezaan dari sudut tasrif af’al ( kata perbuatan ) dari fi’il madhi ( yang telah berlalu ) , fi’il mudhari’ ( yang sedang berlaku atau yang akan berlaku ) dan fi’il amr ( perintah ).

Contoh : { وَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَإِنَّ اللَّهَ شَاكِرٌ عَلِيمٌ النساء} (158)

{ قَالَ أَوَلَوْ جِئْتُكُمْ الزخرف} (24)

    1. Perbezaan wujuh al i’rab ( susun atur perkataan dalam jumlah ).

Contoh :

إِنَّ اللَّهَ لا يَظْلِمُ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ وَإِنْ تَكُ حَسَنَةً يُضَاعِفْهَا ) [سورة النساء: 40]

    1. Perbezaan dari segi isbat ( kekalkan ) atau hazaf ( buangkan ).

Contoh :

{وَمَنْ يَتَوَلَّ فَإِنَّ اللَّهَ هُوَ الْغَنِيُّ الْحَمِيدُ - الحديد (24) }

    1. Perbezaan dari segi mendahulukan satu kalimah atau mengakhirkannya.

Contoh :

وَأُوذُوا فِي سَبِيلِي وَقَاتَلُوا وَقُتِلُوا – النساء 195

    1. Perbezaan dari segi ibdal ( menggantikan sesuatu huruf ke tempat sesuatu huruf ).

Contoh :

إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا ) فتثبتوا )

    1. Perbezaan dari segi lahajat ( cara sebutan ).

Contoh : Al fathu , al imalah , al idgham , al izhar , al taqlil.


  1. KESAN ILMU QIRAAT TERHADAP ILMU
    1. Bahasa : Memperlihatkan ketinggian dan kehebatan Bahasa Arab berbanding bahasa yang lain bahawa ia adalah pilihan daripada Allah untuk ummah seluruhnya.

    1. Ilmu feqh.

  1. KESIMPULAN
    1. Pengajian Ilmu Qiraat akan membawa kita melihat akan kebesaran , keagungan serta keluasan ilmu Allah.

    1. Ilmu qiraat juga menzahirkan akan mukjizat Al Quran.

    1. Ilmu qiraat menambahkan lagi keimanan kita bahawa Al Quran benar-benar daripada Allah.



Ahad, 20 Jun 2010

PENGENALAN ILMU QIRAAT - SIRI PERTAMA

UMUM

OLEH: USTAZ SHAMSUL HAKIM


Muqaddimah

Pada permulaan wahyu, Nabi SAW amat menitikberatkan ajaran al-Quran. Para sahabat diberi galakan oleh baginda untuk membaca dan menghafaz ayat al-Quran sehingga melahirkan sejumlah generasi intelektual dan memadamkan buta huruf setelah diselubungi kegelapan jahiliah. Period dakwah di Makkah merupakan marhalah pembentukan aqidah, akhlak dan ruh. Marhalah ini juga dikenali sebagai “Marhalah Al-I’jaz” yang melemahkan bangsa Arab daripada
menolak ajaran al-Quran serta membuktikan kebenaran risalah nubuwwah.

Al-Quran yang diturunkan dengan tujuh huruf ( الأحرف السبعة ) memberi kemudahan kepada umat Islam untuk membaca dan mengamalkan hukumhakam yang terkandung di dalamnya. Penurunan al-Quran dengan tujuh huruf ini bermula pada period dakwah baginda di Madinah setelah dakwah Nabi SAW semakin meluas ke seluruh tanah Arab. Marhalah ini juga dikenali sebagai “Marhalah At-Tashil” yang membantu umat Arab mengenali al-Quran dan menghayatinya mengikut lahjah kabilah masing-masing.

Hasil galakan dan panduan daripada Nabi SAW, generasi sahabat sangat tekun mendalami al-Quran dengan seluruh wajah qiraat yang diturunkan. Setelah kewafatan baginda, para sahabat telah bertebaran di seluruh Semenanjung Tanah Arab sehingga melahirkan beberapa madrasah qiraat seperti Madani, Makki, Syami, Kufi dan Basri. Kemudian datang generasi selepasnya sehingga melahirkan tokoh-tokoh yang masyhur dalam bidang ini antaranya ialah sepuluh imam qurra’.

Setelah zaman berzaman ilmu qiraat semakin berkembang dengan kelahiran tokoh-tokoh dalam bidang ini seperti Imam as-Syatibi (wafat 590H), Imam Ibnu al-Jazari (wafat 833H) dan lain-lain. Para ulama juga telah membahaskan ilmu qiraat dalam pelbagai sudut untuk menambahkan kefahaman terhadap al-Quran seperti sejarah ilmu qiraat, taujih al-Qiraat al-Mutawatirah, taujih al-Qiraat as-Syazzah.

Apa Hikmah Khilaf Bacaan Qiraat ?

Selaku pelajar takhassus al-Quran, al-Qiraat serta ilmu-ilmu yang berkaitan dengannya, persoalan yang sering bermain di minda kita ialah apakah hikmah daripada perbezaan bacaan qiraat sedangkan sumbernya adalah satu iaitu al-Quran? Kenapa qiraat-qiraat ini ditulis dengan hanya satu wajah sahaja di dalam setiap mushaf? Apakah kesan atau peranan bacaan qiraat ini terhadap bahasa Arab samada sudut qawaid dan balaghahnya. Adakah bacaan qiraat ini memberi kesan langsung ke atas syariat seperti feqh dan aqidah?

Sebenarnya para ulama’ baik dahulu dan masa kini telah menulis berkenaan hikmah qiraat mutawatir dan kesannya terhadap rasm, bahasa Arab, fiqh. Cuma ianya ditulis secara umum ketika membahaskan ilmu-ilmu seperti bahasa Arab, tafsir, fiqh dengan membawa nas dari qiraat al-Quran sebagai dalil. Sangat sedikit kajian yang memfokuskan kesan bacaan qiraat terhadap bahasa Arab, fiqh dan sebagainya secara lebih kompleks dan menyeluruh. Apatah lagi jika kita ingin mendapatkan kajian dalam perkara ini yang diolah secara mudah, ringkas dan padat yang sesuai untuk tahap orang awam. Sedangkan kajian ini sangat penting bagi setiap muslim dalam aspek apa yang mesti mereka tahu berkenaan mushaf al-Quran dan bacaan al-Quran harian mereka yang mana mengandungi asas-asas tasyri’ dan hukum-hakam.

Taujih Fiqhi

Asas dalam memahami ilmu qiraat ini hingga dapat merasakan kemanisan al-Quran adalah mengetahui taujih dan kedudukan i’rab. Oleh kerana itu , para ulama’ telah berusaha mengkaji perkara ini dan menerangkan ‘illah dan maknamakna serta kesan yang terdiri dari aspek bahasa, fiqh, aqidah dan lain-lain. Maka lahirlah ulama’ yang membahas dari sudut taujih lughawi, balaghi, fiqhi, aqidi dan sebagainya. Semuanya merupakan sebahagian daripada i’jaz al-
Quran.

Kali ini kita akan fokuskan kepada salah satu taujih qiraat iaitu taujih fiqhi yang merupakan sudut yang sangat penting di samping taujih lughawi dan lainlain. Sebelum itu penulis akan menerangkan latar belakang hubungan antara qiraat dan tasyri’ Islami serta manhaj fuqaha’ ketika berhujah dengan qiraat.

Hubungan Antara Ilmu Qiraat Dan Fiqh Islam

Sesuatu yang diketahui umum bahawa ilmu-ilmu Islam saling berkaitan antara satu sama lain. Di antara ilmu-ilmu ini ialah ilmu qiraat dan fiqh Islam. Di sana terdapat hubungan yang sangat kuat antara ilmu qiraat dan ilmu fiqh. Hubungan antara dua disiplin ilmu ini dapat dilihat jika kita meneliti dan mentelaah sebahagian kitab-kitab tafsir yang lebih menjurus dalam perbahasan fiqh. Sebagai contohnya ialah al-Jami’ Li Ahkam al-Quran oleh Imam al-Qurthubi, Ahkam al-Quran oleh Ibnu al-`Arabi, Ahkam al-Quran oleh al-Jassos al-Hanafi dan Zaad al-Masiir Fi `Ilmi at-Tafsir oleh Imam al-Jauzi.

Kita akan dapati di dalam kitab-kitab ini para imam akan mendatangkan wajahwajah qiraat ke atas ayat-ayat yang ingin diterangkan hukum-hukumnya kemudian akan menyandarkan pendapat fuqaha’ yang bersesuaian dengan khilaf atau wajah qiraat tersebut. Bahkan imam-imam tafsir yang lain juga melakukan perkara yang sama dalam hal ini seperti Imam al-Alusi dalam kitabnya Ruuh al-Ma`ani, Imam al-Baidhawi, Imam al-Fahr ar-Razi dan lain-lain.

Bacaan-bacaan qiraat ini juga disebut di dalam sebahagian kitab-kitab fiqh dan usul fiqh. Antaranya ialah Hasyiah al-Bujairimi `Ala al-Khatib dalam fiqh Syafi`i, Mafatiih al-Usul, Syarh al-Fiqh al-Akbar oleh al-Qari dan lain-lain. Bahkan sebenarnya hubungan antara ahli al-Ada’ (qurra’) dan fuqaha’ dapat diibaratkan sebagai hubungan adik-beradik yang sangat rapat, di mana ahli al-Ada’ atau qurra’ berperanan dalam mendhabitkan bacaan qiraat yang mutawatir serta menerangkan kaedah bacaan. Fuqaha’ pula berperanan dalam mengistinbat hukum-hukum yang bersesuaian dengan bacaan qiraat tadi untuk dijadikan dalil-dalil ke atas hukum syara’ serta mengistibat apa yang terdapat di dalam bacaan qiraat dari sudut fiqhiah.

Oleh itu, khilaf dalam bacaan qiraat memberi impak yang besar terhadap ilmu fiqh. Imam an-Nuwairi dalam kitabnya Syarh Toyyibah an-Nasyr menyatakan bahawa seorang faqih berhajat kepada qari, begitu juga sebaliknya seorang qari berhajat kepada faqih untuk mentaujihkan bacaan qiraatnya dan menerangkan hukum yang terhasil daripada khilaf qiraat tersebut. Ini semua menunjukkan kepada kita tentang hubungan yang saling berkaitan antara ilmu fiqh dan ilmu qiraat serta hubungan antara fuqaha’ dan qurra’.

Manhaj Fuqaha’ Ketika Berhujah Dengan Ilmu Qiraat

Sudah menjadi suatu yang thabit, bahawa semua bacaan qiraat al-Quran diturunkan oleh Allah kepada Nabi SAW dan ianya sampai kepada kita dengan jalan yang mutawatir. Semua ini menunjukkan bahawa al-Quran diturunkan dengan tujuh huruf ( الأحرف السبعة ). Setiap bacaan qiraat yang mutawatir tidak boleh dipertikai kesahihannya dan ia menjadi hujah dalam mengistinbatkan hukum-hukum. Walaupun di sana terdapat ayat yang tidak mempunyai khilaf
qiraat dan ada yang mengandungi khilaf, ianya tidak boleh disangsikan kebenarannya kerana setiap apa yang sahih secara mutawatir dari Nabi SAW maka wajib menerima, beriman dengannya dan mengikuti (ittiba’) setiap apa yang terkandung di dalamnya samada ia bersifat i’tiqad atau pun amalan.

Oleh yang demikian, kita dapat melihat para ulama mengistinbat hukum-hukum daripada setiap qiraat yang terdapat di dalam setiap ayat. Maka jelas kepada kita bahawa qiraat menjadi hujah dan panduan fuqaha’ dalam mengistinbat hukum.

Apabila kita dapati terdapat lebih dari satu hukum yang datang daripada khilaf qiraat, maka kita hendaklah menerima kesemuanya sekali tanpa meninggalkan satu pun hukum yang terhasil daripada mana-mana qiraat. Kita juga tidak boleh menjadikan jumlah imam yang meriwayatkan sesuatu qiraat sebagai sebab untuk kita mentarjih mana-mana qiraat.

Terdapat dua keadaan di mana para fuqaha’ berbeza pendekatan mereka dalam mengistinbatkan hukum;

Pertama: Ayat yang mengandungi dua bacaan qiraat yang berlainan tetapi membawa hukum yang sama. Dalam hal ini, para fuqaha’ mengambil jalan dengan menggabungkan keduadua
bacaan qiraat tadi. Antaranya ialah terdapat qiraat yang berbeza wajah dilalahnya tetapi mengandungi hukum yang sama. Contohnya pada kalimah ( تقاتلوھم ، یقاتلوكم ، قاتلوكم )di dalam ayat 191 Surah al-Baqarah terdapat dua bacaan qiraat yang mana hukumnya adalah sama tetapi
wajah dilalahnya berlainan. Wajah dilalah yang pertama menunjukkan secara jelas akan nas ayat, manakala wajah dilalah yang kedua menunjukkan kepada isyarat atau peringatan ( .( الإشارة
والتنبیھ
1) Bacaan pertama yang diriwayatkan oleh Imam Hamzah, al-Kisa`ie dan Khalaf al-`Asyir; dengan menghazafkan huruf alif pada kalimah ( ، قتلوھم ، یقتلوكم
قتلوكم ) membawa maksud larangan membunuh ( .( القتل
2) Bacaan kedua pula diriwayatkan oleh Imam Nafi’, Ibnu Kathir, Abu `Amr, Ibnu `Amir, `Asim, Abu Ja`far dan Ya`qub al-Hadrami; dengan mengisbatkan huruf alif pada kalimah ( تقاتلوھم ، یقاتلوكم ، قاتلوكم ) membawa maksud isyarat atau peringatan agar menghidari perkara-perkara yang boleh membawa kepada pembunuhan ( القتال ) atas wazan al-mufa`alah
yang mengandungi uslub mubalaghah.

Kedua-dua bacaan qiraat ini tetap membawa kepada hukum haram membunuh tanpa hak melainkan wajah kedua hanya menunjukkan uslub mubalaghah di mana jika unsur-unsur yang boleh membawa kepada membunuh (muqaddimah al-Qatl) hukumnya haram, apatah lagi hukum membunuh itu sendiri.

Kedua: Ayat yang mengandungi dua atau lebih bacaan qiraat yang berlainan dan membawa kepada dua atau lebih hukum yang berlainan antara satu sama lain. Dalam keadaan ini, para ulama atau fuqaha’ mempunyai pendekatan yang berbeza.

Pendapat jumhur fuqaha’:

Jumhur ulama’ menyatakan wajib beramal dengan kedua-dua qiraat tersebut walaupun setiap qiraat membawa hukum yang berlainan. Tidak boleh menolak salah satu bacaan qiraat hanya disebabkan hukum yang berbeza kerana ia beerti menolak sebahagian al-Quran yang jelas thabit mutawatirnya. Bagi mereka, perbezaan dua qiraat di dalam satu ayat membawa maksud dua ayat.

Dengan kata lain, sekiranya satu ayat mengandungi 3 qiraat, ini bermaksud ayat itu sebenarnya mengandungi 3 ayat yang berlainan, maka mereka akan menggabungkan qiraat-qiraat ini.
Imam az-Zarkasyi (wafat 794H) dalam kitabnya al-Burhan Fi Ulum al-Quran menyatakan para ulama’ lebih cenderung bahawa dua qiraat seperti dua ayat.

Contohnya kalimah ( وأرجلكم ) di dalam ayat 6 Surah al-Maidah boleh dibaca
dengan dua keadaan:

1) Bacaan secara al-Jarr ( وأرجلكم ) oleh Imam Ibnu Kathir, Abu `Amr, Syu’bah, Abu Ja`far, Hamzah dan Khalaf al-`Asyir. Bacaan ini membawa hukum memadai dengan menyapu air di atas khuf bagi yang memakainya ketika berwudhu’.

2) Bacaan secara al-Nasb ( وأرجلكم ) oleh Imam Ibnu `Amir, Nafi`, al-Kisa’ei, Hafs dan Ya`qub al-Hadhrami. Bacaan ini menerang hukum wajib membasuh kaki jika tidak memakai khuf ketika berwudhu’ . Ayat di atas berkisar tentang hukum membasuh kaki ketika berwudhu’. Para ulama’ telah menggabungkan dua qiraat tersebut. Hukum wajib tetap sama melainkan kaifiat sahaja yang berbeza samada membasuh atau menyapu.

Imam as-Syaukani (wafat 1250H) di dalam Fath al-Qadiir juga menyokong pandangan bahawa dua qiraat seolah-olah bermaksud dua ayat. Pendapat mazhab Hanafi: Abu al-Hassan al-Kurkhi (wafat 340H) dan muridnya Abu Bakr al-Jassos (wafat 370H) yang merupakan dua tokoh besar mazhab Hanafi mempunyai pandangan yang berbeza daripada pandangan jumhur. Mereka menolak pandangan bahawa dua qiraat bermakna dua ayat.

Abu al-Hasan al-Kurkhi berpandangan sekiranya demikian, maka perlu ditulis setiap wajah qiraat di setiap mushaf dan membacanya dengan semua khilaf yang ada. Sekiranya memilih untuk menulis dan membaca salah satu daripada qiraat-qiraat ini, ia beerti telah mengurangi sebahagian dari al-Quran. Sedangkan al-Quran tidak boleh dikurangi sedikit pun akan hak-haknya. Sedangkan penulisan mushaf al-Quran hanya meletakan satu wajah dalam setiap mushaf. Ini membuktikan dua qiraat tidak bermaksud dua ayat.

Abu Bakar al-Jassos juga mengambil pendekatan yang hampir sama dengan gurunya itu iaitu menolak pandangan jumhur. Beliau menyatakan walaupun perbezaan antara dua qiraat pada satu ayat membawa erti adanya dua ayat di situ, tetapi ayat yang pertama itu adalah muhkamat dan ayat yang kedua pula mutasyabihat. Ayat muhkamat di sisi beliau ialah bacaan qiraat yang hanya mengandungi satu makna. Manakala ayat mutasyabihat pula ialah qiraat yang
mengandungi dua makna. Maka wajib meletakkan atau mendahulukan ayat yang muhkamat ke atas ayat mutasyabihat. Ini dapat dilihat apabila beliau mentatbiqkan manhajnya di dalan kitab tafsirnya Ahkam al-Quran.

Contohnya, terdapat dua bacaan qiraat pada kalimah ( لامستم ) di dalam ayat 43
Surah an-Nisa’:
1) Bacaan secara isbat alif ( لامستم ) oleh Imam Nafi`, Ibnu Kathir, Abu `Amr, Ibnu `Amir, `Asim, Abu Ja`far dan Ya`qub. Bacaan ini hanya membawa makna ( الملامسة ) iaitu kinayah kepada jima’.
2) Bacaan secara hazaf alif ( لمستم ) oleh Imam Hamzah, al-Kisa’ei dan Khalaf al-`Asyir. Bacaan ini pula membawa makna ( اللمس ) iaitu mengandungi dua makna; sentuhan tangan atau jima’.

Beliau berpandangan mesti meletakkan ayat yang hanya mengandungi satu makna ke atas ayat yang mengandungi dua makna. Ayat yang mengandungi satu makna merupakan ayat muhkamat, manakala ayat yang mengandungi dua makna merupakan ayat mutsyabihat. Beliau menguatkan hujah bahawa Allah SWT telah memerintahkan agar meletakkan ayat muhkamat ke atas ayat mutsyabihat seperti dinyatakan oleh Allah SWT di dalam Surah Ali `Imran ayat 7.

Oleh itu, bagi beliau bacaan qiraat ( لامستم ) merupakan ayat muhkamat yang mesti diletakkan ke atas bacaan qiraat ( لمستم ) yang merupakan ayat mutsyabihat.

Pada siri yang akan datang penulis akan membawa beberapa contoh ayat al-Quran untuk meneliti serta melihat peranan yang dimainkan oleh qurra’ dalam membantu fuqaha’ menetapkan sesuatu hukum berdasarkan perbezaan pada bacaan qiraat.
والله تعالى أعلى وأعلم

Sumber rujukan:

1) Al-Quran
2) Muhadharat Fi Taujih al-Qiraat; Dr Abdul Karim Ibrahim Soleh. Pensyarah
Tafsir Kuliah Al-Quran & Al-Qiraat Al-Azhar; Nota Kuliah Tahun Satu.Al-
Quran & Al-Qiraat.
3) Al-Qiraat al-Mutawatirah Wa Astruha Fi ar-Rasm al-Qurani Wa al-Ahkam as-
Syar`iah; Dr. Muhammad al-Habsy; Darul Fikr Beirut.
4) At-Taujih al-Balaghi Li al-Qiraat al-Quraniah; Dr Ahmad Sa`ad Muhammad;
Maktabah al-Adab Kaherah.
5) Al-Ahruf as-Sab`ah Wa al-Qiraat as-Sab`; Ummu Habibah; Maktabah Aulad
as-Syeikh Kaherah

Jumaat, 18 Jun 2010

PANDUAN UNTUK MENGHAFAZ QURAN

UMUM
Oleh : Ustaz Shamsul Hakim


PERSEDIAAN SEBELUM MENGHAFAL :

1. Membersihkan diri dari segala hadas.
2. Memakai wangi-wangian.
3. Bersugi atau memberus gigi.
4. Berwudhuk.
5. Memilih mushaf yang biasa digunakan seharian.
 Pastikan tulisan mudah dibaca.
 Sebaiknya menggunakan mushaf rasm uthmani.
6. Memilih tempat yang sesuai untuk menghafaz Al Quran.
7. Memilih waktu yang sesuai untuk menghafaz Al Quran. Waktu yang
dicadangkan:
 Selepas subuh.
 Selepas maghrib.
8. Pilih guru yang ingin anda perdengarkan bacaan dan hafalan anda.
9. Perbetulkan niat untuk menghafal Al Quran.

CARA MENGHAFAZ :

1. Tentukan had bilangan ayat atau mukasurat yang hendak dihafal.
2. Bacalah ayat yang hendak dihafal. Pastikan bacaan tersebut betul dari segi tajwid dan sebutan.
3. Ulang bacaan dengan disemak bacaan tersebut supaya tidak ada kesilapan setiap kali ianya diulang.
 Bilangan ulangan ayat yang dicadangkan adalah sebanyak 60 / 30 / 10 / dan lain-lain bersandarkan kepada kemampuan ingatan seseorang.
 Semakin banyak ayat diulang semakin mudah ianya dihafal dan kekal lebih lama dalam ingatan.
4. Sebaik sahaja selesai ulangan bacaan tersebut dan anda berpuashati dengan bacaan tersebut, mulakan dengan mengulang ayat yang pertama yang ingin dihafal sehinggalah berjaya menghafal ayat tersebut.
5. Kemudian berpidahlah ke ayat yang kedua. Ulang langkah yang sebelumnya sehingga selesai hafalan ayat yang ketiga.
6. Ulang hafalan ayat satu kemudian diiukuti ayat yang kedua.
7. Selepas anda yakin ayat satu dan dua telah dihafal dengan hafalan yang sempurna mulakan hafalan dengan diulang langkah yang digunakan pada ayat yang pertama dan ayat yang kedua. Kemudian susuli dengan urutan ayat satu dua dan tiga dihafal serentak.
8. Ayat yang berikutnya juga dilakukan langkah seperti ayat satu dua dan tiga sehinggalah sampai ke had yang telah ditetapkan ( cth : 1 ms / 1 ‘ain ).
9. Ulanglah keseluruhan hafalan sehinggalah benar-benar yakin hafalan tersebut sempurna.
10. Perdengarkan bacaan kepada guru atau kawan yang dipilih.
11. Apabila ingin memulakan hafalan yang baru, ulang terlebih dahulu hafalan yang lalu, barulah dimulakan hafalan yang baru dengan cara yang sama pada hafalan yang lalu.
12. Hafallah setiap ayat dan alunkanlah ia dengan penuh tadabbur dan dengan penuh kesungguhan serta niat untuk memahami dan memelihara kalam Allah.

SELEPAS MENGHAFAL :

1. Berdoa agar dikurniakan keberkatan dalam hafalan. Antara doa yang baik untuk dibaca :

اللَّھُمَّ ارْحَمْناَ بِالْقُرْآنِ وَاجْعَلْھُ لَناَ إِماَماً وَنُوراً وَھُدىً وَرَحْمَةً
اللَّھُمَّ ذَكِّرْناَ مِنْھُماَ نُسِّیْناَ وَعَلِّمْناَ مِنْھُمَا جَھِلْنَا وَارْزُقْناَ تِلاَوَتَھُ أَنَاءَ اللَّیْلِ وَأَطْرَافَ النَّھَارِ
وَاجْعَلْھُ لَناَ حُجَّةً یَا رَبَّ الْعَالَمِینَ.

“ Ya Allah Rahmatilah kami dengan Al Quran, jadikanlah ia pemimpin , cahaya dan petunjuk dan rahmat bagi kami. Ya Allah ingatkanlah kami apa yang kami dilupakan , ajarilah kami apa tidak tahu dan berikanlah kami rezeki membacanya di sebelah malam dan di sebelah siang. Jadikanlah ianya hujjah bagi kami wahai Tuhan sekalian alam”.
2. Pastikan Al Quran sentiasa dibaca dan diulang selalu. Pastikan setiap hari ada jadual mengulang dan jadual hafalan yang baru.
3. Berusaha untuk memperbaiki bacaan , memahami makna, hukum dan hikmah yang terkandung di dalam setiap ayat.
4. Berusaha untuk beramal dengan setiap perintah yang didatangkan dan berusaha menjauhi setiap larangan yang terkandung di dalam Al Quran.

TABIAT MEREKA YANG INGIN MENGHAFAZ AL QURAN

1. Sentiasa di dalam keadaan bersih dan suci.
2. Sentiasa berjaga-jaga daripada termakan makanan atau minuman yang haram, begitu juga yang syubhat.
3. Rajin bangun di waktu malam untuk berqiyamullail, membaca Al Quran dan menunaikan solat malam.
4. Mengelakkan daripada melakukan perkara yang sia-sia sama ada dalam bentuk perbuatan atau percakapan serta menjauhi perkara yang dilarang oleh Allah sama ada dalam bertuk percakapan atau perbuatan.
5. Menjaga tingkahlaku dan percakapan seharian.
6. Rajin berpuasa sunat.
7. Memastikan niat menghafal Al Quran sentiasa kerana Allah bukan kerana habuan dunia dan sebagainya.
8. Menjaga hubungan baik dengan Allah dan manusia.

Jumaat, 4 Jun 2010

KISAH ISRA' MI'RAJ DARI RUMAH UMMU HANI'

SEJARAH
Dari blog http://hatinurani86.blogspot.com/


Kisah Isra' Mi'raj' yang berlaku kepada Rasulullah s.a.w. bermula dari rumah Ummu Hani ' adalah begitu popular di kalangan masyarakat dan diutarakan dalam pelbagai bentuk yang menarik terutamanya pada musim ' Isra' Mi'raj'.
Kisah ini diterima bulat - bulat tanpa dipersoalkan dan diperiksa kecacatannya oleh kerana ia telah dimasukkan ke dalam sukatan - sukatan mata pelajaran Agama Islam termasuklah sukatan yang disediakan oleh Universiti al-Azhar- Sila rujuk buku sukatan pelajaran Muthala'ah yang diterbitkan oelh Universiti al-Azhar untuk peringkat menengahnya.
Kita berasa sedih dengan nasib ummah yang malang ini . Setelah merosot dalam segala-galanya dan berada dalam keadaan tenat, umat Islam disuapkan pula dengan ubat-ubat beracun berupa cerita -cerita yang karut marut seperti ini . Apa agaknya yang akan terjadi kepada ummah ini jika keadaan ini dibiarkan terus merebak .
Walaupun al-Quran secara lantang mengatakan , " Maha Suci Tuhan yang telah menperjalankan hambaNya pada waktu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa"- ( Surah al-Isra' ayat 11 ); walaupun Sahih Bukhari, Sahih Muslim dan lain - lain kitab hadis yang muktabar dengan terang - terang menyebutkan riwayat dari Anas bin Malik dan Malik bin Sa'sa'ah bahawa Nabi s.a.w. bersabda, " Ketika saya berada di Baitullah, ketika saya berada dalam hatim ( yakni di Masjidil Haram )", namun sebahagian besar ulama' masih lagi dengan lantang berkhutbah di atas mimbar dengan mengemukakan riwayat mi'raj Nabi s.a.w. bermula dari rumah Ummu Hani '!
Mereka adalah golongan yang membaca al-Quran dan hadis, tetapi masih tidak mahu meninggalkan riwayat tersebut. Sebaliknya mereka cuba mengemukakan bermacam - macam ta'wilan dengan mengatakan umpamanya, rumah Ummu Hani' itu terletak dalam hatim! Padahal telah diketahui umum bahawa tiada rumah sesiapapun dalam hatim itu! Ada juga yang mengatakan bahawa ketika Baginda s.a.w. beristirehat di rumah Ummu Hani', tiba - tiba datang dua orang malaikat, mereka menebuk bumbung rumah Ummu Hani' lalu mengangkat Baginda s.a.w. ke Ka'bah.
Ta'wilan - ta'wilan seumpamanya ini terpaksa dilakukan oleh mereka untuk mengkompromikan keterangan al-Quran dan hadis yang jelas dengan riwayat "Imam al-Maghazi" Muhammad bin Ishaq.
Begitu mendalamnya kesan dan pengaruh Ibnu Ishaq itu dalam fikiran umat Islam dan ia melekat dengan begitu kuat sekali sehingga tidak boleh ditanggalkan lagi !
Sebenarnya, cerita yang mengatakan dua malaikat menebuk bumbung rumah Ummu Hani' untuk membawa keluar Rasulullah s.a.w. ke Baitullah atau ke Masjidil Haram itu lebih cocok dikaitkan dengan inovasi kumpulan penculik dari mengaitkannya dengan sabda Nabi s.a.w.! Akan ada pula nanti orang yang bersangka baik terhadap pengendap-pengendap atau penyamun - penyamun yang mengintai-intai mereka dari atas bumbung rumah.....manalah tahu jangan - jangan mereka juga malaikat seperti yang tersebut dalam riwayat ini !!!.

Kisah ini bukan sahaja telah dikemukakan oleh Ibnu Ishaq, malah ia juga telah dikemukakan oleh al-Kalbi- seorang pendusta besar dan Syi'ah pekat seperti Ibnu Ishaq dan ramai lagi orang - orang yang seperti mereka .
Riwayat yang dikemukakan oleh Ibnu Ishaq adalah sebagaimana berikut: Di antara kisah yang sampai kepada saya dari Ummu Hani' binti Abi Thalib berhubung Isra' Rasulullah s.a.w ialah beliau (Ummu Hani') menceritakan, " Rasulullah s.a.w. tidak diIsra'kan melainkan ketika Baginda s.a.w berada di rumahku. Baginda s.a.w tidur di samping ku pada malam itu di rumah ku. Mula-mula Baginda s.a.w bersembahyang Isya' kemudian tidur. Kami pun turut tidur. Sebelum fajar Rasulullah telahpun mengejutkan kami lalu bersembahyang Subuh. Kami bersembahyang bersamanya ."
Setelah itu Rasulullah bersabda, " Wahai Ummu Hani'! Malam tadi saya telah bersembahyang bersama kamu seperti yang kamu tahu di wadi ini. Selepas itu saya pergi ke Baitul Maqdis dan bersembahyang di sana dan sekarang saya bersembahyang Subuh bersama kamu seperti yang kamu saksikan."
"Setelah itu Rasulullah s.a.w bangkit untuk keluar. Aku memegang hujung selimut Baginda s.a.w, maka tersingkap perut Nabi s.a.w bagaikan kain qibti yang berlipat lalu aku pun berkata kepada Baginda s.a.w, " Wahai Nabiyallah! Janganlah engkau ceritakan perkara ini kepada orang ramai, nanti mereka akan mendustakan engkau dan menyakitimu". Baginda s.a.w berkata, " Demi Allah! Aku tetap akan menceritakan kepada mereka". Ummu Hani'' berkata, "Akupun memerintahkan seorang sahaya perempuanku berketurunan Habsyi," Eh! Ikutlah Rasulullah s.a.w. supaya engkau dapat mendengar apa yang disampaikannya kepada orang ramai dan apa pula reaksi mereka terhadap keterangan Baginda itu ."
Sebelum itu Ibnu Ishaq telah pun mengemukakan peristiwa Isra' Mi'raj yang dinukilnya dari Hasan Basri di mana diceritakan, " Setelah pagi sekembalinya Rasulullah s.a.w dari Isra' Mi'raj, Baginda s.a.w menceritakan kepada orang - oang Quraisy peristiwa perjalanannya. Berkatalah kebanyakan orang, " Demi Allah ! Pelik betul cerita ini . Jarak yang direntasi oleh unta sebulan perjalanan dari Mekah ke Syam dan sebulan pula perjalanan balik dari sana ke Mekah mungkinkah boleh direntasi oleh Muhammad dalam hanya satu malam dan sudah pun ia sampai ke Mekah? " Maka ramailah orang - orang yang telah memeluk Islam menjadi murtad. Orang ramai terus pergi kepada Abu Bakar untuk bertanya beliau.." - ( Ibid jilid 2 m.s. 32,33 & 34 )
Ibnu Ishaq , Ibnu Sa'ad dan al-Kalbi langsung tidak mengemukakan isnad mereka dalam menyampaikan kisah ini. Tetapi Ibnu Jarir, at-Thabari , Baihaqi, Ibnu Abi Hatim, Abu Ya'la dan Ibnu Asakir telah mengemukakan isnad bagi kisah ini. Perawi - perawi yang tersebut dalam isnad mereka ialah Abu Ja'far -ar Razi, Abu Harun al-Abdi dan Khalid bin Yazid atau Abu Malik. Marilah kita berkenalan sebentar dengan perawi - perawi tersebut :-

1) Abu Ja'far ar-Razi
Namanya Isa bin Abi Isa. Lahir di Basrah dan menetap di Ray . Di antara orang yang meriwayatkan daripada beliau ialah anak beliau sendiri Abdullah dan Abu Nu'aim. Meskipun Yahya bin Ma'in dan Abu Hatim mengatakan beliau seorang tsiqah namun Ali Ibnu Madini mengatakan beliau seringkali melakukan kesilapan. Riwayat - riwayatnya bercelaru. Fallas berkata , " Ingatannya sangat teruk." Ibnu Hibban berkata, " Dia seringkali mengemukakan riwayat - riwayat yang mungkar dengan menghubungkan kepada Imam - Imam yang masyhur." Abu Zur'ah berkata, " Selalu dia mengalami kecelaruan fikiran ( waham )." Imam Zahabi pula berkata , " Dia telah mengemukakan peristiwa Mi'raj dalam satu riwayat yang panjang melalui Rabi' bin Anas. Diambilnya dari Abu al-'Aaliah dan Abu al-' Aaliah pula mengambilnya dari Abu Hurairah. Di dalam riwayatnya itu banyak sekali perkara - perkara mungkar ".- ( Mizan al-I'tidal jilid 3 m.s. 320 )
Imam Zahabi telah menghukum mungkar riwayat ini kerana terdapat dalam sanadnya Abu Ja'far ar-Razi, kerana kecacatan pada buruknya ingatannya dan beliau selalu mengaitkan cerita karut dengan Imam-Imam yang masyhur. Bagaimana dengan dua orang lagi perawi dalam isnad tersebut ? Selepas Abu Ja'far ar-Razi mari kita lihat perawi seterusnya .

2) Khalid bin Yazid
Abu Malik ad-Dimasyqi - Dia adalah penduduk Damsyik. Yahya bin Ma'in berkata, " Dia adalah seorang manusia yang lemah". Imam Ahmad berkata, " Dia tiada bernilai langsung." Nasa'i berkata , " Dia tidak tsiqah". Daraquthni berkata berkata, " Dia seorang da'if". Ibnu Abi al-Hawari menceritakan bahawa, " Saya pernah mendengar Yahya bin Ma'in berkata, " Di Iraq ada sebuah kitab yang perlu dikebumikan iaitu tafsir al-Kalbi ( yang kemudiannya terkenal dengan Tafsir Ibnu Abbas ) . Di Syam pula ada sebuah kitab yang juga perlu dikebumikan iaitu kitab ad-Diyat tulisan Khalid bin Yazid. Hati Khalid ini tidak akan senang selagi tidak berbohong tentang ayahnya dan para sahabat ".
Ahmad bin Abi al-Hawari ini juga berkata, " Dulu saya pernah menyalin kitab Khalid ini tetapi kemudiannya saya memberikannya kepada penjual ubat untuk dijadikan kertas pembungkus ubat-ubatnya." Imam Zahabi berkata , " Dia dilahirkan pada tahun 105H dan mati ketika berumur 80 tahun." - ( Lihat Mizan al-I'tidal jilid 1 m.s 654 )
Keterangan di atas membuktikan bahawa Khalid bin Yazid adalah seorang yang tidak boleh diterima menurut sekalian ulama' hadis. Imam Yahya bin Ma'in bahkan mengatakan beliau seorang pendusta besar. Dia banyak berbohong tentang para sahabat .

3) Perawi ketiga ialah Abu Harun al-Abdi
Namanya ialah Umarah bin al-Juwain. Riwayat-riwayatnya terdapat dalam Sunan Tirmidzi dan Sunan Ibnu Majah. Imam Zahabi berkata , " Dha'if." Hammaad bin Zaid berkata , " Pembohong." Imam Ahmad berkata , " Tidak bernilai langsung." Yahya bin Ma'in berkata, " Dia seorang dha'if ( lemah ). Riwayat - riwayatnya tidak boleh dibenarkan." Nasa'i berkata , " Matrukul hadis ( seorang yang ditinggalkan dan tidak dipakai hadisnya )." Ibnu Hibban berkata, " Dia selalu mengaitkan riwayat-riwayat dengan Abu Sa'id al-Khudri iaitu riwayat - riwayat yang tidak pernah dikemukakan oleh Abu Sa'id." Imam Syu'bah berkata , " Kalau aku diberi pilihan di antara 2 perkara, sama ada aku dibunuh atau mengemukakan kepada orang ramai riwayat - riwayat Abu Harun, maka aku akan memilih supaya dibunuh , aku tidak akan mengemukakan riwayatnya. Sebelum ini aku selalu bertanyakan halnya dari setiap qafilah yang datang tetapi kemudian dia datang ke Basrah. Padanya ada sebuah kitab. Saya membaca kitab itu. Saya mendapati dia menuliskan keburukan - keburukan Ali di dalamnya."

Iman Daraquthni berkata , " Dia seorang yang sentiasa berubah-ubah. Kadang - kadang menjadi seorang Rafidhi ( Syi'ah ), kadang - kadang menjadi seorang Khariji (orang Khawarij)."
Ibnu Hibban berkata , " Riwayat - riwayat yang dikaitkannya dengan Abu Sa'id al-Khudri semuanya bohong. Abu Sa'id tidak pernah meriwayatkan begitu. " Jauzajani berkata , " Abu Harun adalah seorang pendusta besar. Dia selalu menuduh para sahabat dengan pelbagai tuduhan." Syu'bah berkata lagi, " Pernah aku pergi kepadanya dan meminta supaya menunjukkan kepadaku riwayat - riwayat yang dikaitkan Abu Sa'id dengannya . Dia meletakkan sebuah kitab di hadapanku. Di antara yang tersebut di dalam kitab itu ialah Abu Sa'id al-Khudri berkata bahawa Utsman bin Affan telah benar - benar kufur terhadap Allah s.w.t. sebelum beliau wafat. Saya mengembalikan kitab itu kepadanya dan terus pulang .
Itulah dia Abu Harun al-Abdi yang menulis tentang keburukan - keburukan Sayyidina Ali dan juga keburukan - keburukan Sayyidina Utsman. Jika orang seperti ini mengemukakan riwayat yang menyebut bahawa , " Setelah Nabi S.A.W menceritakan peristiwa Isra' Mi'raj yang dialaminya, maka murtadlah sekian ramai orang - orang yang telah memeluk Islam; barangkali mengikut Abu Harun al-Abdi ini termasuklah juga Sayyidina Ali dan Sayyidina Utsman , kerana bukanlah ramai sangat orang - orang yang telah memeluk agama Islam hingga ke waktu itu .
Yahya bin Ma'in berkata, " Abu Harun mempunyai satu sahifah yang dipanggilnya Sahifah al-Washi ( penerima wasiat atau Sahifah Ali ) . Saleh bin Muhammad pula berkata bahawa, " Abu Harun lebih bohong daripada Firaun. Dia telah meninggal dunia pada tahun 134H." - ( Lihat Mizanu al-I'tidal jilid 3 m/s 173-174 ).
Itulah sekilas pandang tentang perawi - perawi kisah Isra' Nabi S.A.W dari rumah Ummu Hani'. Mereka terdiri dari orang - orang Syi'ah seperti Ibnu Ishaq juga dan telah dihukum oleh ulama' Rijal dengan pelbagai hukuman seperti yang telah dikemukakan tadi .
Sekarang mari pula kita menilai riwayat tersebut dengan neraca dirayah dan logik untuk menentukan di mana letaknya kepalsuan dan serentak dengan itu dapat kita faham apa maksud sebenar di sebalik cereka itu .
1) Isra' dan Mi'raj Nabi s.a.w. berlaku sebelum Nabi berhijrah ke Madinah. Pada waktu itu Ummu Hani' masih belum memeluk agama Islam. Beliau hanya memeluk agama Islam setelah Mekah ditakluk Nabi pada tahun 8 Hijrah.
2) Sembahyang Isya' dan Subuh baru difardhukan pada malam Mi'raj itu. Bagaimana mungkin seperti yang tersebut di dalam riwayat ini di mana Nabi s.a.w telah bersembahyang Isya' bersama Ummu Hani' yang belum Islam di rumahnya ?
3) Siapakah yang dimaksudkan oleh Ummu Hani' dengan perkataan ' kami' dalam riwayat ini iaitu……" Kami bersembahyang bersama Nabi"? Kalau yang dimaksudkan ' kami' di sini termasuk suami beliau Hubairah, maka suaminya adalah di antara musuh ketat Rasulullah s.a.w pada ketika itu bahkan setelah Mekah dikuasai Nabi s.a.w pun dia tidak memeluk agama Islam sebaliknya cabut lari ke Najran. Kemudian dari sana dia berangkat pula ke Rom lalu menganut agama Kristian dan mati sebagai seorang Kristian .
4) Tersebut juga dalam sirah bahawa Nabi s.a.w telah melamar Ummu Hani' kepada Abu Thalib sebelum Baginda s.a.w berkahwin dengan Khadijah tetapi Abu Thalib menolak mentah-mentah lamaran itu dengan alasan Nabi s.a.w seorang yang papa kedana dan tidak mulia . Setelah itu Abu Thalib mengahwinkan Ummu Hani' dengan Hubairah yang merupakan musuh ketat Rasulullah s.a.w
Dalam keadaan sebegini wajarkah Nabi s.a.w bermalam di rumah Ummu Hani' ? Sememangnya musuh - musuh Islam mereka cerita ini dengan maksud menuduh Nabi S.A.W dengan 2 tuduhan iaitu :-
1) Jika kita andaikan Hubairah pada malam itu berada di rumah maka ia menunjukkan betapa tidak malunya Nabi s.a.w kerana telah bermalam di rumah seorang yang Nabi sendiri telah dianggap sebagai papa kedana dan tidak mulia berbanding orang itu . Lebih penting dari itu, bagaimana Rasulullah s.a.w boleh bermalam di rumah musuhnya ? Tidakkah mungkin Hubairah juga telah mengetahui bahawa Nabis.a.w pernah melamar Ummu Hani' sebelumnya ? Tidakkah mungkin timbul rasa cemburu di dalam hati Hubairah, manalah tahu kalau - kalau Nabi s.a.w masih menaruh hati kepada isterinya ? Apalagi bila diingatkan Muhamamd adalah musuh ketatnya ?
2) Jika diandaikan pada malam itu Hubairah tiada ti rumah pula , maka cerita ini akan membuka peluang seluas - luasnya untuk meragui kesucian peribadi Nabi S.A.W, kerana Nabi S.A.W digambarkan telah tidur bersama seorang perempuan yang pernah dilamarnya dahulu , di rumah perempuan itu pada ketika ketiadaan suaminya. Malah cerita ini menunjukkan betapa intimnya perhubungan Nabi s.a.w dengan Ummu Hani'. Keadaan ini dapat dilihat dengan jelas pada keesokan paginya bila mana Nabi s.a.w bersedia untuk keluar memberitahu orang ramai tentang Isra' Mi'rajnya, bagaimana Ummu Hani memegang hujung selimutnya sehingga terdedah perut Nabi s.a.w yang digambarkan seperti kain qibti yang berlipat .
3) Kisah ini jelas bertentangan dengan al-Quran dan hadis - hadis Nabi s.a.w yang sahih menurut ilmu usul hadis. Salah satu tanda kepalsuan sesuatu hadis itu ialah ia bercanggah dengan al-Quran dan hadis - hadis yang sahih .
4) Tidak masuk akal sama sekali Nabi s.a.w akan meninggalkan rumahnya sepanjang malam untuk bermalam di rumah seorang perempuan asing dalam keadaan di rumah Baginda S.A.W sendiri masih ada dua orang anak perempuan Baginda iaitu Fatimah dan Ummi Kultsum. Dalam kisah ini tidak diterangkan pula kepada siapakah Nabi s.a.w meninggalkan mereka berdua dan untuk apa Nabi s.a.w bermalam di rumah Ummu Hani ' ?
5) Tindakan Ummu Hani' memegang hujung selimut Nabi s.a.w pada keesokan paginya menunjukkan dengan jelas bahawa Hubairah tiada di rumah. Kalau Hubairah tiada di rumah maka siapakah lagi yang tidur di rumah Ummu Hani ' pada malam itu dan bersembahyang secara berjamaah ? Sesungguhnya kisah ini merupakan satu serangan yang amat dahsyat terhadap kesucian peribadi Nabi s.a.w. Ia tidak mungkin dicipta dan direka kecuali oleh musuh - musuh Nabi s.a.w

6) Dalam riwayat Hasan Basri pula tersebut bahawa setelah Nabi s.a.w mengemukakan peristiwa Isra' dan Mi'raj, maka murtadlah ramai orang yang telah memeluk agama Islam. Tetapi tidak pula dalam riwayat ini disebutkan nama orang - orang yang telah murtad itu . Siapakah mereka ? Sedangkan orang - orang yang memeluk agama Islam pada ketika itu tidaklah begitu ramai. Nama - nama mereka pun disebutkan dengan jelas dalam kitab - kitab sirah. Sesungguhnya kisah ini juga merupakan satu serangan ke atas keikhlasan dan keteguhan para iman para sahabat Nabi s.a.w ia hanya rekaan musuh - musuh sahabat semata - mata
7) Sebenarnya orang - orang yang merekacipta kisah ini adalah orang - oang Syi'ah seperti yang terbukti pada latar belakang perawi - perawinya yang telah disebutkan sebelum ini. Sesuatu cerita rekaan Syi'ah pasti akan mempunyai unsur melebih-lebihkan Sayyidina Ali dan mengistimewakannya dari sahabat - sahabat Nabi s.a.w yang lain . Bukankah Ummu Hani' ini kakak kepada Sayyidina Ali, anak kepada Abu Thalib ? Bagaimana Syi'ah akan melepaskan peluang ini ? Mereka tidak menerima sesuatu peristiwa besar yang berlaku kepada Rasulullah s.a.w tanpa adanya peranan Sayyidina Ali atau keluarganya di sebalik peristiwa itu .