Khamis, 17 Mac 2011

KERJAYA GURU: SUATU TUGAS MULIA

KERJAYA

Dipetik : Buletin Hira'



Setiap tahun, pada tanggal 16 hb. Mei, Hari Guru akan disambut di seluruh negara. Pelbagai perayaan atau aktiviti akan dilakukan bagi mengenang jasa guru.

Guru merupakan satu gelaran yang paling sukar untuk diluputkan. Kalau seseorang itu pernah menjadi seorang guru, sampai akhir hayatnya gelaran itu tetap diperkatakan, walaupun dia bekerja sebagai pegawai atau wakil rakyat dan sebagainya.

Islam memartabatkan kerjaya guru sebagai profesion yang sangat mulia. Tugas guru adalah umpama tugas ulama yang menjadi pewaris para anbiya.

Guru juga boleh diumpamakan seperti lilin yang membakar diri sendiri untuk menerangi orang lain. Sabda nabi s.a.w yang bermaksud, “ Apabila seorang anak Adam meninggal dunia, maka terputuslah amalannya melainkan tiga perkara ; iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan, dan anak soleh yang mendoakan untuknya.”

Ketika Rasulullah s.a.w menghantar Muaz ke Yaman untuk menyampaikan risalah Islam, baginda berpesan kepadanya dengan bersabda, maksudnya, “ Andaikata Allah s.w.t memberikan hidayat kepada seorang hasil daripada usahamu, adalah lebih baik bagimu dari dunia dan seisinya.”

Di sekolah, guru memainkan peranan sebagai ibu bapa walaupun tidak secara keseluruhannya.

Di zaman moden ini tugas guru semakin mencabar dan pelbagai. Di samping menyampaikan ilmu, guru bertindak sebagai pendidik, membentuk pelajar-pelajar supaya mempunyai nilai-nilai murni, berdisiplin dan berbudi bahasa.

Adakalanya guru terpaksa menjadi hakim untuk membicarakan sebarang kes disiplin pelajar. Malah ada masanya guru terpaksa bertindak sebagai pakar psikitri, kerani dan jurutaip. Jika berlaku kecemasan di kalangan pelajar-pelajar, guru yang mempunyai kereta terpaksa menjadi ambulan.

Guru juga menjadi model utama dalam amalan kebajikan, dicontohi segala jejak langkahnya dan dituruti segala kelakuannya. Sabda nabi s.a.w bermaksud, “ Orang yang menunjuk ke jalan kebaikan sama seperti mengerjakannya.”

Kesimpulannya peranan guru wajar diberi kerjasama oleh ibu bapa dan masyarakat. Hal ini terutamanya yang berkaitan dengan akhlak, adab-adab dan disiplin, permainan video serta penggunaan internet tanpa kawalan oleh pelajar dan remaja.

Firman Allah yang bermaksud, “ Siapakah yang lebih baik ucapannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan berbuat kebajikan.” [ Fusilat : 32 ]

Rabu, 2 Mac 2011

TANGGUNGJAWAB SESAMA JIRAN

AKHLAK


KEMANTAPAN dan keutuhan masyarakat bergantung kepada ketinggian budi pekerti. Dengan adanya adab kesopanan dan budi pekerti tinggi menjadikan seseorang manusia itu dihormati serta disegani masyarakat.

Sudah menjadi lumrah manusia yang hidup di muka bumi ini saling memerlukan antara satu sama lain. Justeru, demi kepentingan hidup yang boleh menjamin ketenteraman dan kebahagiaan, Islam menggariskan beberapa peraturan hidup bermasyarakat.

Salah satu daripadanya, menghormati dan berbuat baik kepada jiran tetangga. Jiran adalah orang yang tinggal dalam satu bangunan (blok), mereka yang tinggal berdekatan dengan rumah kita dan yang tinggal dalam lingkungan jarak 40 buah rumah daripada rumah kita.

Islam menitikberatkan hubungan kejiranan kerana ia adalah cara hidup Islam. Umat Islam berkewajipan mengekalkan hubungan baik dengan jiran demi mewujudkan kehidupan setempat yang aman dan harmoni.

Ia secara tidak langsung memberi kemudahan menyelesaikan masalah yang timbul. Tuntutan supaya berbuat baik dengan jiran dijelaskan dalam firman Allah yang bermaksud:

Hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak yatim dan orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh.” (Surah an-Nisa’, ayat 36)

Perkara itu juga dinyatakan dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Jibril sentiasa mewasiatkan kepadaku mengenai jiran tetangga sehingga aku menyangka bahawa beliau (iaitu jiran) yang akan mewarisinya (pusaka).” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Usaha mewujudkan suasana kerukunan hidup berjiran pada masa kini menghadapi sedikit kesulitan kerana hakikat kehidupan dikelilingi manusia yang mempunyai pelbagai pandangan, gaya, sikap, akhlak, perangai, bahasa, budaya dan politik berbeza.

Walau bagaimanapun, perkara itu dapat diatasi jika masing-masing mengamalkan dan menghayati sikap berlapang dada, bertolak ansur, saling memahami, meningkatkan kesabaran, bertukar pendapat, mencari titik persamaan dan mengeratkan hubungan yang renggang dengan penuh hikmah serta kasih-sayang.

Di samping itu, sikap negatif seperti buruk sangka, iri hati, dengki dan fitnah perlu dikikis dan dijauhkan. Usaha memupuk semangat kejiranan perlu dilakukan dengan gigih dan berterusan.

Betapa pentingnya hubungan kejiranan itu apabila dikaitkan dengan iman. Keimanan seseorang masih belum sempurna jika tidak menghormati dan kasih jirannya.

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Tidak sempurna iman seseorang itu, sebelum dia kasihkan jiran tetangganya, sebagaimana dia kasihkan dirinya sendiri.” (Hadis riwayat al-Bukhari)


Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia bercakap hanya perkara yang baik atau diam dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya. Begitu juga sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia memuliakan para tetamunya.” (Hadis riwayat Muslim)


Keimanan seseorang tidak sempurna jika dia menyakiti jirannya, sama ada melalui celaan, memfitnah dan buruk sangka.

Mencegah daripada menyakiti dan melakukan penganiayaan terhadap jiran adalah antara hak jiran yang perlu dijaga.

Bagi memantapkan hubungan kejiranan dalam masyarakat, perlu melihat kepada kelebihan hidup berjiran.

Antaranya, saling bantu-membantu ketika berlaku kecemasan atau di timpa musibah. Sebagaimana dijelaskan, jiran adalah orang yang tinggal paling hampir dengan rumah kita.

Segala perkara yang berlaku terlebih dulu diketahui jiran. Kerana itu, jiran adalah orang paling dekat untuk memohon pertolongan ketika ditimpa musibah seperti kebakaran, kecurian atau kematian.

Pertolongan seperti inilah yang diperlukan pada masa kecemasan sementara menunggu bantuan pihak berwajib atau sanak saudara.

Hanya hubungan yang kuat antara jiran dapat melahirkan suasana seperti ini. Melindungi jiran daripada kesusahan adalah budi pekerti tinggi pada pandangan Islam.

Selain itu, hidup berjiran dapat mempertingkatkan pengetahuan dan kenalan. Jiran yang tinggal berhampiran mempunyai latar belakang berbeza seperti pekerjaan, pendidikan, agama, bangsa, keturunan, budaya dan adat resam.

Firman Allah yang bermaksud:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah al-Hujurat, ayat 13)


Mempunyai ramai kenalan rapat, terutama dalam konteks hidup berjiran banyak memberi manfaat, antaranya mendapat tunjuk ajar jika berjirankan seorang guru atau pensyarah; mendapat nasihat kesihatan berjirankan doktor; membaiki kerosakan kenderaan jika berjirankan mekanik.

Berikutnya, jiran sepakat dan bersatu padu mampu menjamin keselamatan kawasan setempat daripada ancaman kecurian, pecah rumah dan samseng.

Ia dapat dilakukan melalui pembentukan rukun tetangga, jawatankuasa keselamatan kawasan atau kempen kesedaran. Budaya bantu membantu seperti ini sangat digalakkan Islam.

Firman Allah yang bermaksud:

“Bertolong-tolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan ketakwaan dan janganlah tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan.” (Surah al-Ma’idah, ayat 2)


Jelaslah kepada kita penting dan besarnya peranan jiran dalam menentukan kemakmuran serta kesejahteraan negara.

Impian mempunyai jiran yang baik tidak akan terlaksana jika kita belum menjadi jiran yang baik terlebih dulu. Walau sebesar mana sekalipun arus perubahan melanda masyarakat kita, semangat kejiranan tetap menjadi keutamaan.

Kekuatan hubungan kejiranan yang sempurna dan harmoni mengukuhkan ikatan persaudaraan Islam dan kasih sayang yang kadangkala melebihi daripada keluarga sendiri.

Kehidupan mendapat keberkatan daripada Allah adalah kehidupan yang sentiasa dikelilingi kebaikan dan kesejahteraan serta jauh daripada anasir kerosakan serta kebinasaan.