Isnin, 28 Mei 2012

10 TIP MENDIDIK ANAK MENJADI SEORANG BIJAK

PENDIDIKAN

Oleh: Teacher Ayu

Pastinya setiap daripada kita meletakkan doa dan harapan yang tinggi agar anak yang ditatang sejak kecil membesar menjadi anak yang bijak, sihat dan berjaya di dunia dan akhirat. Tetapi kita masih buntu dan tercari-cari bagaimana cara yang terbaik bagi merelisasikan impian kita itu. Mungkin sedikit tips dan perkongsian ini dapat membantu anda sekeluarga. Sesuai dipraktikkan : Semua lapisan umur anak anda (All ages)

 1. Berinteraksi dengan anak anda, bermain dengan mereka dan buatkan mereka rasa disayangi - Ahli-ahli sains merumuskan bayi yang tidak diberi kasih sayang, kebebasan untuk bermain yang secukupnya akan mengakibatkan perkembangan otak mereka terbantut. Mereka juga bersependapat, bayi yang tidak diberikan galakan dan dorongan secukupnya akan merasa terpinggir, rendah diri, lemah berfikir dan adakalanya menyebabkan kematian.

 Sebaliknya, kajian membuktikan bahawa bayi yang mendapat cukup kasih sayang, maksimum interaksi bersama ibubapa dan diberi ruang untuk bermain bersama rakan mempunyai kesan yang hebat dalam pembangunan minda dan intelek mereka. Nilai kasih sayang dan interaksi sosial inilah menjadi asas kepada pertumbuhan minda dan kemahiran bayi anda di masa akan datang.

 2. Berilah mereka ruang bermain - Apabila seseorang anak itu bermain, ia sebenarnya membentuk kemahiran intelek, sosial, fizikal dan emosi anak anda agar lebih stabil. Aktiviti permainan yang sihat ini dapat melatih anak anda berfikir secara kreatif, mencuba idea-idea yang baru, meluahkan rasa mereka dalam seni lukisan yang sukar mereka lafazkan melalui percakapan. Perbezaan ketara akan dilihat dari segi hasil lukisan yang mereka lakukan. Anak-anak yang tertekan atau kurang layanan pasti melukis sesuatu gambaran seperti mereka berada dalam kurungan. Oleh itu, bimbingan dan psikologi sejak kecil ini amatlah penting dalam membesarkan mereka.

3. Bacalah buku bersama anak anda – Mulakan sesi pembacaan bersama mereka seawal usia yang mungkin walaupun mereka tidak tahu membaca. Pendedahan ini penting bagi memberi pendedahan awal pembangunan kemahiran bercakap mereka. Kanak-kanak yang didedahkan budaya membaca sejak awal, minat membaca akan mudah ditanam, cemerlang di sekolah dan berjaya apabila dewasa kelak. Pelbagai ilmu yang mereka perolehi ini akan membentuk anak anda menjadi seorang yang bijak.

 4. Galakkan anak anda bermain – Aktiviti riadah dan permainan bukan hanya membentuk otot mereka menjadi kuat, malah menjadikan mereka seorang yang bijak ! Bermain akan meningkatkan pengaliran darah ke otak dan membantu membina sel otak yang baru. Otak si kecil anda masih di dalam proses awal untuk berkembang. Justeru itu, mereka memerlukan banyak latihan, permainan dan eksperimen secara langsung untuk kecerdasan dan perkembangan minda yang terbaik.

 5. Bercakaplah dengan mereka – Ini akan membantu menguatkan kemahiran komunikasi mereka. Cara ini juga membantu memberi mereka semangat untuk berkomunisi bersama rakan yang lain dan seterusnya melatih sifat keyakinan yang tinggi dalam dirinya. Cara ini juga akan melatih anak anda untuk bagaimana menyusun ayat percakapan yang betul melalui ‘peniruan’ cara anda bercakap !

 6. Jadikan muzik sebahagian hidup anak anda – Kajian membuktikan, mendengar muzik akan meningkatkan daya ingatan, fokus, semangat dan pembelajaran. Muzik juga dapat membantu menghilangkan tekaan dan gangguan minda anak anda. Belajar sambil bermain merupakan antara teknik pendekatan yang terbaik di kalangan bayi sehingga mereka berumur 6 tahun. Selitkan unsur teladan, doa, pengiraan dan pengenalan huruf dalam lagu adalah penyumbang terbesar pertumbuhan intelek anak anda.

 7. Biarkan anak anda lihat anda lakukan perkara yang elok – Kanak-kanak merupakan peniru yang hebat. Jika mereka melihat anda membaca buku, menulis, menari atau melukis pastinya mereka akan perlahan-lahan meniru apa yang anda lakukan. Bagi mereka apa yang mama mereka lakukan adalah betul dan itulah cara terbaik bagi mereka turut merasai apa yang anda rasai.

8. Hadkan waktu menonton TV mereka – Anak anda seharusnya tidak wajar menonton TV sebelum umur 2 tahun. Membiarkan mereka menonton TV terlalu banyak tanpa ada had dan pengawalan akan mempengaruhi daya pemikiran dan persepsi anak anda. Jika tidak dikawal, mereka akan menukar karton-karton di dalam TV seperti Spongebob menjadi model ikutan mereka dan bukan anda lagi. Ini sangat membahayakan!

 9. Berikan anak anda bermain permainan interaktif di komputer – Inilah antara cara yang terbaik untuk menarik minat anak anda untuk belajar tentang abjad, kiraan, muzik, iqra’,gambar dan sebagainya. Mereka akan mudah tertarik dengan pelbagai warna di skrin komputer apatah lagi jika ianya bergerak apabila disentuh. Ini juga antara konsep belajar sambil bermain yang anda boleh lakukan di rumah selain bermain bersama rakan di dalam kelas playgroup misalannya.

10. Berikan mereka makanan yang berkhasiat – Memberi makanan yang bernutrisi akan menjadikan anak anda seorang yang cerdik. Pemberian makanan yang berzat ini patut dititik beratkan bukan hanya ketika dalam kandungan tapi sehingga dewasa kelak. Bagi anak yang 9 tahun ke atas, berikan mereka makanan berprotein yang tinggi (telur,ikan,daging) untuk meningkatkan tahap fokus, kepekaan dan pemikiran mereka. Karbohidrat menyumbang kepada keperluan makanan minda anak anda untuk berfikir dengan cepat dan betul. Jadikan buah-buahan dan sayuran kawan rapat anak anda disamping ambilan vitamin, madu, kurma dan kismis merah/hitam.

 Semoga perkongsian ini manfaat untuk tuan/puan. Salam hormat dari saya.