Selasa, 23 Oktober 2012

TIP MENGHAFAZ QURAN

IBADAH 

Nota:
Sila baca juga blog ini untuk menambah pengetahuan.

MUQADDIMAH:
  • Mestilah dimulakan niat untuk menghafaz ayat-ayat al Quran itu kerana Allah.
  • Menggunakan naskhah al Quran yang sama setiap kali membaca, menghafaz, dan membuat rujukan (semakan bacaan). ini bertujuan mengelakkan kekeliruan tempat (kedudukan) ayat yang dihafaz. tempat ayat atau posisi memainkan peranan penting dan amat berpengaruh dalam memberi kesan kepada hafazan anda.
  • Gunakan naskhah al Quran mushaf Uthmani kerana kedudukan, sruktur, dan susunan ayat nya di atur dalam bentuk yang mudah untuk dihafaz, dirujuk, dan di ingati.
  • Ayat atau surah yang hendak di hafal hendaklah di lancarkan bacaanya terlebih dahulu. pastikan tajwidnya dengan betul. sebagai contoh hendak hafal surah ali-imran. mulakan dari muka surat yang pertama surah tersebut. lancarkan muka surat yang pertama itu dahulu.
  • Bacaan hendaklah diulang-ulang sehingga betul-betul lancar. pastikan tidak mula menghafaz ayat sebelum bacaan betul-betul lancar kerana ini akan menjadikan anda mudah lupa semula ayat tersebut dan mungkin juga mengakibatkan hafalan anada bercelaru.
  • Mulakan hafalan dari ayat ke ayat. pastikan hafazan mengikut langkah. hafaz dahulu ayat yang pertama sehingga hafaz (baca ayat pertama berulang-ulang kali sebagai satu cara menghafaz yang baik), barulah berpindah ke ayat yang kedua. kemudian hafaz ayat ke kedua , ulang balik dari ayat yang pertama. kemudian baru masuk ayat yang seterusnya.
  • Pastikan ada kawan atau ustaz yang dipercayai ilmu tajwidnya dan baik bacaannya untuk anda tasmi’ (memperdengarkan atau semak) bacaan dan hafazan anda.
  • Amalkan membaca ayat-ayat yang telah anda hafaz dalam solat-solat yang anda lakukan. banyakkan solat sunat sebagai satu cara yang baik bagi melatih bacaan ayat-ayat yang telah dihafaz. ini bertujuan membiasakan ayat-ayat yang telah di hafaz ke dalam amalan harian anda.
  • Amalkan membaca ayat-ayat Quran yang telah anda hafaz di mana-mana sahaja sebagai zikir atau nyanyian hati atau mulut. contohnya, ketika menunggang motorsikal, ketika termenung, ketika hendak tidur, dan lain-lain yang di fikirkan baik. hal ini akan menambahkan lagi keupayaan anda untuk anda mengingati ayat-ayat hafazan tersebut.
  • Amalkan memakan manisan seperti kurma atau madu bagi tujuan menguatkan daya ingatan.
  • Jauhi amalan maksiat. jaga bicara lidah, jaga kewajipan dan adab sebagai muslim.
  • Tanamkan semangat yang kuat untuk menghafaz bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam. cuba hafaz sebanyak mungkin. InsyaALLAH sehingga hafiz. walaupun memakan masa yang lama.
  • Banyakkan memohon doa kepada ALLAH supaya di permudahkan hati dan minda untuk menerima al Quran.
  • Pilih waktu yang sesuai untuk menghafaz. sebagai contoh, waktu selepas solat fardhu. utamakn SEBELUM WAKTU SUBUH atau SELEPAS SUBUH kerana waktu ini tenang dan damai. pastikan waktu yang anda gunakan untuk menghafaz adalah istiqamah.
  • Tidak perlu menghafaz secara terburu-buru. biar sedikit-sedikit, asalkan istiqamah dan berkesan.

KAEDAH LAIN YANG PERLU ANDA BACA:
SEBELUM MENGHAFAL

1. Mempunyai azam dan minat untuk menghafal
2. Memilih waktu yang sesuai untuk menghafal
3. Memilih tempat yang sesuai untuk menghafal
4. Berada dalam keadaan tenang
5. Tenangkan pikiran sebelum menghafal
6. Pilih sebuah jenis mushaf dan jangan ubah dengan jenis mushaf lain
7. Beristighfar, membaca selawat dan doa sebelum mulai menghafal

TEKNIK-TEKNIK MENGHAFAL

A. Teknik “Chunking” (potongan-potongan)

* Mengelompokan ayat yang panjang dalam beberapa bagian yang memang sesuai mengikuti arahan guru atawa ustadz, jika belajar bersama mereka
* Mengelompokan awal surat pada beberapa bagian (2 atau 3 bagian) yang sesuai
* Mengelompokan surat dalam beberapa bagian, contohnya mengikut pertukaran cerita
* Mengelompokan juz kepada beberapa bagian mengikut surah, hizib, rubu’, cerita dan sebagainya
* Mengelompokan kelompok surah, setiap 10 juz dan sebagainya

B. Teknik Mengulang

* Membaca sepotong atau sebagian ayat sekurang-kurangnya lima kali sebelum mulai menghafalnya
* Membaca ayat yang telah dihafal berulang-ulang kali (10 atau lebih)
* sebelum berpindah ke ayat seterusnya
* Selepas menghafal setiap setengah halaman, harus diulang beberapa kali sebelum diteruskan bagian yang setengah halaman lagi
* Sebelum menghafal bagian Al-Qur’an seterusnya, harus diulang bagian yang sebelumnya.

C. Teknik Menghafal Dengan Teman

* Pilih seorang teman yang sama-sama berminat
* Orang pertama membaca dan disimak oleh orang kedua
* Orang kedua membaca dan disimak oleh orang pertarna
* Saling menyebut ayat antara satu sama lain

E. Teknik Mendengar Kaset/CD

* Pilih seorang qari yang baik bagi seluruh Alquran atau beberapa qari bagi surah-surah tertentu
* Sebelum mulai menghafal, dengar bacaan ayat-ayat yang ingin dihafal beberapa kali
* Amati cara, lagu dan tempat berhenti bacaan qari tersebut sehingga terpahat di pikiran
* Mulai menghafal ayat-ayat tersebut dengan cara dan gaya qari tersebut
* Sentiasa mendengar kaset/CD bacaan Alquran dan kurangi atau tinggalkan mendengerkan lagu-lagu kerana akan mengganggu penghafalan

F. Teknik Merekam

* Rekam bacaan kita di dalam kaset dan dengarkan lagi untuk memastikan bacaan dan hafalan yang betul
* Bagi kanak-kanak, rekam bacaan ibu-bapa atau guru kemudian diikuti oleh bacaan kanak-kanak tersebut
* Minta kanak-kanak tersebut mendengar kembali rekaman tersebut beberapa kali hingga menghafalnya

G. Teknik Menulis

* Tulis kembali surat yang telah dihafal. Kemudian cek lagi dengan mushaf.
* Menulis setiap ayat pertama awal surat, atau setiap rubu’, atau setiap juz, atau setiap surah dalam sehelai kertas.

MEMELIHARA HAFALAN

1. Jauhi maksiat mata, maksiat telinga dan maksiat hati
2. Banyak berdoa, terutama waktu mustajab doa seperti ketika berbuka puasa, ketika dalam perjalanan, selepas azan dan lain-lain lagi
3. Menetapkan kadar bacaan setiap hari, contohnya, selembar, setengah juz, 1 juz dan sebagainya
4. Membaca pada waktu pagi dan mengulangnya pada waktu malam
5. Jangan membaca ketika sedang bosan, marah atau ngantuk
6. Menulis setiap ayat yang mutasyabih

Ahad, 21 Oktober 2012

HUKUM IBADAH QURBAN

IBADAH



SEKITAR QURBAN.

Sabda Rasulullah S.A.W, bermaksud: 
 
“Tidak ada satu amalan anak Adam di hari-hari Nahar (Hari-hari ‘Eidul Adha) yang paling Allah sukai selain daripada menumpahkan darah (sembelih binantang korban), kerana ia (binatang Korban) itu akan datang di hari kiamat nanti dengan tanduk dan kukunya dan bulu-bulunya (sebagai saksi ke atas ibadah Korban tuannya), dan sesungguhnya darah (binatang korban itu) akan tumpah di sisi Allah di suatu tempat sebelum tumpah ke bumi, oleh itu pilihlah olehmu binatang terbaik (paling menarik) untuk dikorbankan.”
(Hadis riwayat Hakim, Ibnu Majah dan Tirmizi dan dianggap sebagai Hadis Hasan Gharib). 
 
Para ulama’ telah bersepakat bahawa ibadah Korban merupakan satu ibadah yang telah disyariatkan oleh Allah S.W.T ke atas hamba-hambaNya. Ianya merupakan sunnah yang telah ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim AS berdasarkan maksud firman Allah di dalam surah al-Soffat ayat 107: 
“Dan Kami tebus anak itu (Ismail) dengan seekor sembelihan (kibash) yang besar”. 
Selain itu, ibadah korban merupakan ibadah yang paling Allah sukai di Hari-Hari ‘Eidul Adha, di mana binatang yang dikorbankan akan didatangkan di Hari kiamat sepertimana keadaan dan sifatnya ketika disembelih dan diletakkan darahnya yang telah diterima di sisi Allah sebelum darah tersebut tumpah ke bumi. Ibadah ini mengandungi banyak hikmah antaranya ia merupakan  satu tanda kesyukuran kepada Allah di atas nikmatnya yang tidak terkira, dan sebagai kaffarah (penutup) dosa-dosa. Selain itu, ibadah ini dapat mengenang dan mencontohi pengorbanan besar yang tidak ada tolok bandingnya, yang dilakukan oleh Nabi ibrahim as yang sanggup mengorbankan anaknya Ismail sebagai kemuncak dalam melaksanakan ketaatannya di atas perintah Allah SWT. Ianya juga dianggap sebagai simbolik kesediaan hamba untuk mengorbankan apa sahaja demi kerana Allah, termasuklah sanggup mengorbankan dirinya demi menegakkan agama Allah yang tercinta. Di samping itu ia dapat melatih diri kita supaya sentiasa ikhlas dalam beribadah serta melatih diri agar sentiasa bersedia untuk berkorban bila-bila masa diperlukan demi menegakkan agama Allah. 
HUKUM IBADAH KORBAN
Para ulama’ telah sepakat bahawa ibadah korban merupakan ibadah yang telah disyariatkan. Namun, mereka berselisih pendapat bekaitan hukum ibadah ini. Ada yang mengatakan ibadah ini wajib dan ada pula yang mengatakan ibadah ini sunat. Pendapat-pendapat mereka disokong dengan hujah-hujah yang kuat. Antara ulama’ yang berpendapat bahawa ibadah ini wajib ialah Imam Abu Hanifah dan beberapa pengikutnya. Beliau berpendapat bahawa ibadah Korban ini wajib sekali setiap tahun ke atas orang yang bermukim (tetap). Pendapat mereka bersandarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah: 
“Barangsiapa yang diberikan kemudahan, sehingga memampukan dia untuk berKorban, akan tetapi dia tidak mahu berKorban, maka janganlah dia mendekati tempat solat kami (masjid)” (Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah).  
Namun, Abu Yusuf dan Muhammad dari Mazhab Hanafi mengatakan ibadah korban tidak wajib tetapi sunat muakkad.[1] 
Adapun selain daripada Mazhab Hanafi, mereka berpendapat bahawa ibadah korban adalah sunat dengan berpandukan hadis Nabi SAW maksudnya:
“Aku diperintah untuk melakukan korban dan korban itu adalah sunat bagi kamu.” (Hadis riwayat at-Tirmizi). 
Dalam hadis yang lain Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Tiga perkara ianya fardhu ke atasku, dan sunat ke atasmu: solat witir, menyembelih korban dan solat dhuha”.[2] (Hadis riwayat Ahmad dan al-Hakim). 
Berdasarkan hadis di atas, ibadah atau amalan Korban adalah wajib ke atas diri Rasulullah SAW, akan tetapi hanya dianggap sunnah ke atas umatnya. Menurut pandangan Imam Syafie dan Malik, hukum melakukan ibadah korban ini adalah sunat muakkadah iaitu ibadah sunat yang amat digalakkan atau dituntut ke atas setiap individu Muslim yang merdeka, berakal, baligh serta berkemampuan melakukannya sama ada sedang mengerjakan haji ataupun tidak sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Pendapat mereka dikuatkan lagi dengan sabda Rasululluah SAW: 
“Aku telah diperintahkan supaya berkorban dan ianya adalah sunat bagimu”
(Riwayat Imam al-Tirmizi).[3]
Oleh itu, boleh disimpulkan bahawa ulama’-ulama’ mazhab berpendapat ibadah Korban dikira sama ada sunat muakkad atau wajib. Namun begitu jumhur ulama’ berpendapat bahawa ibadah korban adalah amalan yang sunat mu’akkad. 

[1]. Wahbah al-Zuhayli, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, (Dimasyq: Dar al-Fikr, Edisi ke-6. 2008),  jil. 3, ms. 597
[2]. Ibid, 598
[3]. Ibn Rushd, Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtasid, (Al-Qahirah: Dar al-Hadis, 2004), jil. 2, ms 192
 ISU ISU BERKENAAN IBADAH KORBAN

.        1. Berkenaan Daging Korban
Para fuqaha’ bersepakat mengatakan bahawa seekor kambing atau kibasy tidak termasuk di kalangan binatang yang boleh dibahagikan dagingnya kepada beberapa bahagian iaitu hanya mencukupi sebagai korban untuk satu bahagian sahaja. Seekor unta atau lembu pula mencukupi untuk menjadi korban bagi tujuh orang.([1]) Ini berdasarkan hadith Jabir:
“Kami berkorban bersama Rasulullah SAW semasa di Hudaybiyah dengan seekor unta atau seekor lembu untuk tujuh orang.” (diriwayatkan oleh jama’ah).
Dan hujah ini dikuatkan lagi dengan hadis riwayat Muslim:
“Kami keluar bersama Rasulullah SAW dan kami berniat Haji. Maka Rasulullah SAW telah memerintahkan kami supaya berkongsi mengurbankan seekor unta atau seekor lembu. Setiap tujuh orang berkongsi seekor unta.”
1.2  Hukum memakan daging korban oleh orang yang melakukan ibadat korban:
1.     Jumhur fuqaha’ berpendapat bahawa harus bagi orang yang berkorban untuk memakan daging korban miliknya.
2.     Adapun mengikut Mazhab Hanafi korban nazar iaitu korban wajib adalah dilarang untuk dimakan oleh orang yang berkorban sepertimana memakan anak yang lahir dari binatang sembelihan itu yang lahir sebelum disembelih. ([2])
3.     Mengikut pandangan Mazhab Maliki dan Hanbali adalah harus daging sembelihan korban nazar dimakan oleh orang yang berkorban seperti daging sembelihan korban sunat. Namun, yang paling dituntut adalah dagingnya dimakan sebahagiannya, disedekahkan dan diberi makan kepada fakir miskin. Di sisi Mazhab Maliki dan Hanafi jika daging itu dimakan semuanya oleh orang yang berkorban atau disimpan selama 3 hari hukumnya adalah harus tetapi dibenci (makruh). Manakala Mazhab Hanbali mengharuskan untuk memakan sebahagian besar dagingnya. ([3])
4.     Mazhab Syafi’e berpandangan bahawa korban wajib atau nazar atau yang telah dinyatakan tujuannya dengan lafaz seperti ‘ini adalah sembelihan korban’ atau ‘aku menjadikannya sebagai sembelihan korban’ maka tidak harus dimakan dagingnya oleh orang yang berkorban dan tanggungannya (ahli keluarganya). Bahkan adalah wajib untuk disedahkan kesemuanya. ([4])
5.     Adapun korban sunat di sisi Mazhab Syafi’e adalah harus bahkan digalakkan kepada orang yang berkorban untuk memakan daging korbannya. Diriwayatkan dari Baihaqi: “Bahawa Rasulullah SAW makan daripada hati sembelihan korbannya”.
 
1.3 Pembahagian Daging Korban 
1.     Dalam masalah pembahagian daging korban, adapun yang paling dituntut disisi Mazhab Hanafi dan Hanbali ialah dibahagikan daging itu kepada 3 bahagian. 1/3 untuk dimakan oleh orang yang berkorban, 1/3 untuk dihadiahkan kepada saudara maranya atau sahabat-sahabatnya dan 1/3 lagi untuk disedekahkan kepada fakir miskin. Ini berdasarkan firman Allah dalam surah al-Hajj ayat 36 bermaksud: 
“Makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta.” 
Dan Allah berfirman di dalam surah al-Hajj ayat 28 bermaksud: 
“Dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang Korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.”
 
Berdasarkan ayat 28 ini Mazhab Hanbali mewajibkan memberi makan kepada orang orang fakir miskin kerana perkataan ‘berilah makan’ adalah ayat perintah.([5])
2.     Dalil yang digunakan oleh selain daripada Mazhab Maliki tentang kadar pembahagian daging sebanyak 1/3 bahagian ialah riwayat Ibn Abbas pada menyifatkan sembelihan Nabi SAW: “Dan baginda memberi makan ahli keluarganya 1/3, dan memberi makan di kalangan jiran-jirannya yang miskin 1/3, dan memberi sedekah kepada yang memerlukan/yang meminta 1/3”. (riwayat al-Hafiz Abu Musa al-Asfahani).
3.     Manakala Mazhab Maliki berpandangan bahawa tiada pembahagian daging dalam ibadah korban bersandarkan kepada hadis-hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Aisyah, Jabir, Abu Said, Buraidah dan selain mereka yang mana pada hadis-hadis tersebut Nabi ada menyatakan: “Makanlah kamu, dan simpanlah kamu dan bersedekahlah kamu”, atau pada riwayat lain: “Makanlah kamu, dan berilah makan, dan simpanlah kamu”.([6])
4.     Daging korban adalah harus untuk diberikan kepada orang-orang kaya mengikut pandangan Mazhab Syafi’e sebagai hadiah kepada mereka tanpa bertujuan untuk berjual beli dengannya.
5.     Mengikut pandangan lama Mazhab Syafi’e orang yang berkorban boleh makan separuh dan separuh yang lain disedekahkan. Namun, pandangan yang baru pula mengharuskan orang yang berkorban untuk makan 1/3 daripada sembelihan korbannya. Namun yang paling tepat ialah wajib disedekahkan sebahagian walaupun sedikit daripada dagingnya. Paling afdal adalah memberi sedekah kesemua daging korban kecuali sedikit sekadar untuk mengambil berkat dari ibadah korban.([7])
6.     Orang yang berkorban sunat mengikut pendapat Mazhab Syafi’e boleh menyedekahkan kulit binatang sembelihannya ataupun untuk memanfaatkannya seperti harusnya memanfaatkan dagingnya. Paling afdal adalah disedekahkan kesemuanya. Adapun korban wajib maka orang yang berkorban tidak harus untuk memanfaatkan kulitnya.([8])
1.4.Hukum memanfaatkan bahagian-bahagian badan binatang Korban
1.     Diharamkan jual beli bulu, lemak, daging, bahagian-bahagian badan, kepalanya, kulit, rambut, dan susu binatang korban yang diperah selepas disembelih korban. Nabi SAW telah memerintahkan supaya kulit binatang korban dibahagikan dan melarang jual beli padanya, sabda Nabi SAW: 
“sesiapa yang menjual kulit binatang-binatang korbannya, maka tiada korban baginya”. (riwayat Hakim dan Baihaqi).([9])
2.     Bahagian-bahagian anggota badan binatang korban juga tidak diharuskan untuk diberi kepada penyembelih iaitu sebagai upah untuknya. Saidina Ali telah meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: 
“Rasulullah telah memerintahkanku supaya mengorbankan untanya (iaitu ketika hari Nahar), dan supaya aku membahagikan kulitnya dan anggota badannya, dan supaya tidak memberikan kepada penyembelih sesuatu daripadanya”. Dan Ali telah berkata: “kami memberikan upahya (secara berasingan) daripada kutipan sesama kami”. (Muttafaqun Alaih).([10])
3.     Namun, jika pemberian kepada penyembelih itu atas dasar kemiskinan atau sedekah bukan atas dasar upah (upah diberi berasingan) maka hukumnya adalah harus.
4.     Bagi orang yang berkorban pula diharuskan untuk memanfaatkan kulit binatang sembelihannya. Namun di sisi Mazhab Hanafi mengangap ia termasuk dalam bab ‘istihsan’ jika seseorang itu membeli sesuatu menggunakan kulit binatang sembelihan tersebut dengan syarat barang yang dibeli atau barang tukaran tersebut hendaklah sesuatu yang kekal dan bukan sesuatu yang musnah seperti dinar, dirham, makanan atau minuman. Dalil tentang harusnya memanfaatkan kulit binatang sembelihan adalah perbuatan Aisyah yang menjadikan kulit binatang sembelihan sebagai bekas air. Namun Mazhab Maliki menghukumkan makruh jika digunakan sebagai bekas makanan atau minuman orang yahudi dan nasrani.([11])
2.      Hukum Memindahkan Daging Korban/ Melakukan Ibadah Korban ke Tempat Atau Negeri/Negara lain:
1.     Mazhab Hanafi berpendapat bahawa makruh hukumnya memindahkan sembelihan korban ke negeri lain seperti zakat, kecuali jika diberikan kepada saudara maranya yang berada di negeri lain atau kepada penduduk negeri lain yang lebih berhajat kepada daging itu berbanding penduduk di negeri sendiri.([12])
2.     Mazhab Maliki pula berpandangan bahawa tidak diharuskan memindahkannya ke kawasan atau negeri yang jaraknya tidak jauh dari tempat korban tersebut dilaksanakan, kecuali penduduk kawasan tersebut lebih berhajat daripada penduduk di kawasan atau negeri sendiri. 
3.     Mazhab Hanbali dan Syafi’e juga berpandangan seperti Mazhab Maliki. ([13]) Hukumnya adalah harus menurut mazhab Shafie berasarkan kaedah qiyas dengan pengeluaran zakat di luar Negara di mana sepatutnya didahulukan tempat sendiri.([14])
4.     Di Malaysia Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-66 yang bersidang pada 25 Nov 2004 telah memutuskan bahawa harus mengagihkan daging Korban ke tempat atau negara lain.([15])
Berkenaan melakukan ibadat Korban di luar negeri/Negara, Sheikh Muhammad bin Muhammad bin Mukhtar al-Shanqiti berpendapat bahawa ibadah Korban di luar Negara adalah sah dan pelakunya akan mendapat pahala melakukan ibadat Korban. Tetapi yang afdalnya dilakukan di kawasan tempat tinggalnya. Lebih afdal lagi sekiranya dilakukan ibadat Korban di kawasan kediamannya dan juga di luar Negara yang berdepan dengan kesukaran. [16] Dr. Nazim al-Misbah juga menyokong pandangan ini. Beliau menolak pandangan yang mendakwa ibadat Korban di luar Negara adalah sama dengan sedekah biasa[16][17]

Menurutnya lagi pendapat ini tidak ada dalil yang kuat. Bahkan ia bercanggah dengan fakta yang meyatakan bahawa Rasulullah SAW mewakilkan Sayyidina Ali untuk melakukan penyembelihan Korban baginda ketika Haji Wada’. 
Kesimpulan, yang afdal dan hukum asal bagi ibadah Korban ialah dilaksanakan di negeri sendiri. Sekiranya dibuat di luar Negara, tidak menjadi kesalahan. Bagi mereka yang mampu, boleh buat dua dua sekali.

 [1]. Wahbah al-Zuhayli, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, jil. 3, ms. 615
 [2]. Ibid., 627
 [3]. Wahbah al-Zuhayli, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, jil. 3, ms. 627-628
 [4]. Ibid., 630
 (5]. Skheikh Wahbah al-Zuhayli, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, jil. 3, ms. 628
 6]. Ibid., 628
 [7]. Ibid., 630
 [8]. Wahbah al-Zuhayli, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, jil. 3, ms. 631
 [9]. Ibid., 629
 [10]. Ibid., 629
 [11]. Wahbah al-Zuhayli, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, jil. 3, ms. 629
 [12. Wahbah al-Zuhayli, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, jil. 3, ms. 630
 [13]. Ibid., 630
 [14] Imam Taqiyuddin al-Husaini, Kifayat al- Akhyar, ms.534.
 16] http://ar.islamway.com/fatwa/5759. Accessed 11/10/2012.
 [17] http://www.alaan.cc/pagedetails.asp?nid=121971&cid=30. 11/10/2012.
Rujukan:  http://akademimamsyafie.blogspot.com/2012_10_01_archive.html

Jumaat, 19 Oktober 2012

ZULHIJJAH DAN IDILADHA.....

IBADAH

Zulhijjah & IdilAdha : Beberapa Isu &  Hukum

Oleh

Bulan Zulhijjah, khususnya sepuluh hari awalnya adalah merupakan peluang kedua selepas Ramadhan untuk umat Islam mendapatkan gandaan keredhaan, keampunan dan pahala amalan. 

Disebutkan oleh Nabi SAW :
"Sebaik-baik hari di dunia adalah sepuluh hari itu" (Riwayat al-Bazzar ; Albani : Sohih). 

Allah SWT pula berfirman :
"Demi Fajar dan hari-hari yang sepuluh" ( Al-Fajr : 1). 

Majoriti ulama menyatakan hari sepuluh itu merujuk kepada hari pertama hingga sepuluh Zulhijjah dan bukannya sepuluh terakhir Ramadhan. (Zad Al-Ma'ad, Ibn Qayyim). 

Ia juga disebut oleh Nabi SAW dalam hadith lain :
"Tiada hari-hari yang lebih disukai oleh Allah SWT untuk hambanya memperbanyakkan amalan dari sepuluh hari ini" (Riwayat Al-Bukhari).

AMALAN-AMALAN UTAMA

Manakala amalan-amalan yang digalakkan sepanjang sepuluh awal Zulhijjah yang amat besar pahalanya ini antaranya :- 

a) Zikir : Iaitu dengan memperbanyakkan zikir Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha Illa Allah dan Allahu Akbar.
Ia bersumber dari hadith riwayat At-Tabrani yang diakui sohih oleh Imam Al-Munziri. Allah SWT juga menyebut ertinya : "Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu.." (Al-Hajj : 28).
Ibn Abbas r.a mentafsirkan erti ‘hari-hari tertentu' adalah sepuluh hari Zulhijjah ini dan inilah pendapat majoriti ulama jua. 

b) Berpuasa : Amat digalakkan berpuasa pada satu hingga sembilan Zulhijjah bagi orang yang tidak menunaikan Haji. Hari Arafah (9 Zulhijjah ) pula adalah hari yang terbaik untuk berpuasa.
Nabi SAW bersabda tentang kelebihan hari Arafah :
"Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih dari hari Arafah" (Riwayat Muslim).
Nabi SAW juga bila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah ini menjawab, ia menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya. 

c) Melakukan lain-lain amalan seperti bersedeqah, membaca Al-Quran, solat sunat dan lain-lain. Ia semuanya termasuk di dalam umum hadith yang menunjukkan ianya amat disukai oleh Allah SWT. 

d) Menjauhi maksiat dan masa terbaik untuk memulakan tawbat bagi sesiapa yang masih berfikir-fikir dan menangguhnya. Amat biadap jika umat Islam bersukaria dengan melampaui batas haram di hari yang amat agung di sisi Allah SWT ini.
Bertawbatlah dengan sebenar-benar tawbat dan sedarilah bahawa hidup ini sementara dan seluruh keseronokannya adalah tipu daya semata-mata. 

e) Bertakbir : Ibn Abi Shaibah menyebut bahawa `Ali KW menunjukkan bahawa permulaan takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu ‘Asar hari ketiga Tashriq. 

f)  Berkorban : Allah SWT berfirman : ertinya : "dan berdoalah dan berkorban". Allah SWT juga menyebut :

Ertinya : "Sesiapa yang membesarkan syiar Allah (berkorban) malah ia adalah dari tanda ketaqwaan hati" (Al-Hajj : 32)
Sebuah hadis menyebut  :

Ertinya : "Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai oleh Allah SWT pada hari kurban kecuali berkorban ( dengan menyembelih binatang)" ( Riwayat At-Tirmidzi, Abu Daud ; Gharib, namun terdapat rawi yang dipertikaikan )

POTONG KUKU, RAMBUT & HUKUM QURBAN

Hukum berkorban adalah sunat muakkad (yang dituntut) bagi orang yang mempunyai lebihan dan kemudahan harta. Demikian pendapat majoriti ulama termasuklah sahabat besar seperti Abu Bakar as-Siddiq r.a, Umar al-Khattab r.a,  Ibn Mas'ud r.a dan lain-lain, kecuali Imam Abu Hanifah berpendapat ianya WAJIB bagi mereka yang berkemampuan.[1]
Bagi menggandakan pahala korban, seseorang yang sudah berniat awal untuk melakukannya digalakkan menahan diri dari memotong rambut dan kuku. Ia berdasarkan hadith riwayat Muslim yang sohih, iaitu :-
Ertinya : Barangsiapa yang ingin menyembelih ( berkurban ), dan telah masuk sepuluh awal Zulhijjah), maka janganlah dia memotong apa-apa rambut atau kukunya  SEHINGGALAH sampai korban dilaksanakan" ( Muslim, 3/39 ) 

Justeru, majoriti ulama dari mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian Hanbali menyatakan makruh hukumnya bagi melanggarnya. 

Bagaimanapun ia tiadalah termasuk dalam kategori haram kerana Aisyah r.a pernah meriwayatkan bahawa beliau pernah menempah (menandakan dan membeli binatang) dan diniatkan untuk dilakukan Qurban, dan Aisyah r.a menyebutkan, tiadalah Nabi SAW mengharamkan apa-apa (semasa menunggu masa untuk menyembelih) sehinggalah sampai waktu sembelihan. Hadis tersebut adalah sohih riwayat al-Bukhari dan Muslim. 

Oleh itu, adalah dibenarkan untuk memotong kuku jika ia boleh mengganggu kesempurnaan wudhu dan lain-lain kewajiban. 

TIDAK DIBENARKAN juga berkorban hanya dengan membayar harganya atau membeli daging lembu yang telah disembelih dari pasar lalu disedeqahkan atas niat Qurban. Tatkala itu, ia dianggap sedeqah biasa sahaja dan bukannya Qurban yang disyariatkan di hari raya Aidiladha. 

Pahala Qurban adalah jauh lebih hebat dari bersedeqah harganya sahaja. Ia adalah fatwa oleh majoriti ahli ilmu seperti Imam Abu Hanifah, Malik, Syafie, Ahmad dan lain-lain.  [2]

Adalah diingatkan jua agar meniatkan Qurban itu adalah kerana Allah SWT semata-mata, menuruti sunnah Nabi SAW dan Nabi Ibrahim a.s dan bukannya untuk menyedeqahkan daging atau lain-lain niat.
Firman Allah : 

Ertinya : Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keridaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah kabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik. (Al-Hajj : 37) 

KONGSI LEMBU 

Harus hukumnya menurut majoriti ulama untuk berkongsi seekor lembu dengan dibahagikan kepada 7 bahagian atau seekor kambing berdasarkan hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Jabir r.a. [3]

Adalah digalakkan juga untuk menyembelih sendiri (jika berkemampuan) atau menghadiri majlis sembelihan. 

Sebuah riwayat hadith pernah mencatatkan nasihat Nabi SAW kepada Fatimah yang ingin berqurban :
Ertinya : "Hadirkanlah dirimu di waktu sembelihan, diampunkan bagimu dari titisan darah sembelihanmu yang pertama" 

BINATANG TERBAIK UNTUK KURBAN

Yang terbaik adalah unta, diikuti oleh lembu, kerbau, kemudian biri-biri, kambing dan jika tidak mampu bolehlah 1/7 dari unta, lembu, kerbau. 

Yang terbaik sudah tentulah yang paling banyak dagingnya maka lebih ramai mendapat merasai dan manfaatnya. 

PEMBAHAGIAN DAGING

Daging qurban yang telah siap dilapah bolehlah dibahagikan SEPERTI BERIKUT :
1/3 (sepertiga) kepada tuan rumah yang berqurban,
1/3 (sepertiga) kepada faqir miskin termasuklah jirannya dan saudara mara dan
1/3 (sepertiga) lagi bagi sesiapa yang memintanya.
Ia berdasarkan firman Allah SWT :
Ertinya : "Dan makanlah ia, dan berikanlah ia kepada orang yang susah dan faqir." (Al-Haj : 28) dan juga firman Allah :
Ertinya "Dan makanlah ia, dan berikanlah kepada orang yang memintanya dan yang tidak memintanya" (Al-Haj : 36)
Inilah yang dilakukan oleh Nabi SAW sebagaimana riwayat Ibn Abbas r.a dan Ibn Umar r.a. Namun demikian HARUS (DIBENARKAN) untuk tidak mengikut cara pembahagian ini SAMADA UNTUK MAKAN KESELURUHANNYA ATAU KEBANYAKKANNYA. [4]

Bagaimanapun DILARANG untuk memberikan tukang-tukang lapah dan penyembelih upah atas usahanya (iaitu dengan ditetapkan dari awal), bagaimanapun ia harus jika dia termasuk dari kalangan faqir miskin atau diberikan secara sukarela orang ramai sebagai hadiah. 

TIDAK DIBENARKAN juga sepakat ulama untuk menjual dagingnya. 

Namun tidak sepakat berkenaan penjualan kulit, bulunya dan tulang hasil Korban. Majoriti mazhab termasuk Syafie tidak membenarkan. [5]

DIBENARKAN untuk menyimpan daging-daging kurban walaupun melebihi 3 (tiga) hari berdasarkan hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Muslim. 

MEMBERI DAGING KORBAN KEPADA ORANG KAFIR

Ulama berbeza pendapat dalam hal ini, sebahagian mazhab mengatakannya HARAM, ada yang mengatakannya MAKRUH dan Mazhab Hanbali, Hanafi mengatakannya sebagai HARUS kerana ia bukannya sedeqah wajib. [6]

Namun tiada khilaf, mendahulukan umat Islam adalah lebih utama dalam hal ini. 

BERKORBAN ATAU MEMBAYAR HUTANG

Bolehkah seorang yang dibebani hutang bank dan rakan berkorban sekali setahun demi tawaran pahalanya?. 

Saya telah banyak mengulas berkenaan hutang dan pendirian Islam berkenaannya. Sila rujuk di sini. Justeru, untuk menentukan keutamaan samada menjelaskan hutang atau melakukan ibadah kurban kita perlu melihat kepada jenis hutang, tempoh janji bayaran semula dan kemampuan orang yang berhutang.
Jika ia adalah dari jenis hutang yang telah terancang pembayarannya seperti hutang bank dan selepas ditolak semuanya masih ada baki wang, tatkala itu individu tersebut sewajarnya melihat dan memikirkan berkenaan hutang tidak rasmi dari individu lain atau rakan-rakan serta tempoh yang dijanjikan. 

Jika tempoh langsaian hutang masih jauh dan diyakini pendapatan akan datangnya boleh menampung semunya tanggungjawab wajib itu. Di ketika itu  barulah ibadah kurban menjadi utama untuk dilaksanakan. 

Ia amat jelas kerana ibadah kurban hanya sunat muakkad sahaja menurut majoriti mazhab mankala langsai hutang dalam tempohnya adalah wajib. 

Jika disebabkan oleh ingin berkorban sehingga menyebabkan rakan pemberi hutang pula ‘TERKORBAN', hubungan persaudaraan ‘terkorban', atau hingga menyebabkan pihak bank mengenakan penalti kerana lewat bayar, tidak wajar sama sekali untuk berkorban juga. Keutamaan tetap bagi pelangsaian hutang berbanding berkorban. Demikian pandangan ringkas saya. 

KORBAN OLEH ORGANISASI & SYARIKAT?

Ramai yang bertanya dan ramai juga yang melakukan amalan ini. Adakah sebuah syarikat boleh mengeluarkan budjet tertentu untuk membeli dua puluh ekor lembu dan berkorban atas nama syarikat?
Jawab ringkas saya:
"tidak boleh !" 

Ibadah korban adalah ibadah yang dilakukan oleh individu tertentu atau untuk individu tertentu. Ia bukan untuk organisasi yang bukan manusia. Justeru, ia sebuah organisasi ingin melaksanakannya, ia MESTI menghadiahkannya kepada mana-mana Pengarah atau kakitangannya. 

Ketika itu korban barulah sah dan ia menjadi korban oleh individu yang ditentukan namanya sahaja dan bukan atas nama syarikat. Pihak syarikat terbabit boleh bergilir-gilir menghadiahkan lembu tertentu dan bahagiannya DIHADIAHKAN kepada kakitangan secara khusus UNTUK DILAKSANAKAN sembelihan atau korban, pahala korban akan hanya diperolehi oleh individu dan pihak organisasi pula (iaitu pemilik organisasi iaitu manusia) hanya mendapat pahala kerana ‘menghadiahkan' lembu atau bahagiannya kepada kakitangan sahaja. 

Jika pihak syarikat tidak mahu berbuat demikian, bermakna ia mestilah meletakkan secara specific 20 ekor lembu itu, untuk para lembaga pengarahnya secara khusus juga. Ia bukan atas nama syarikat tetapi individu. 

APAKAH HAJI AKBAR ?

Nabi SAW menamakan hari sembelihan iaitu 10 Zulhijjah  sebagai Haji Akbar. (Riwayat Abu Daud dengan sanad sohih : Ibn Qayyim dan Albani). 

Sayyidina Ali Abi Talib juga pernah ditanya tentang apakah itu Haji Akbar, beliau menjawab:
"Ia adalah hari sembelihan (iaitu haji raya pertama). (Riwayat at-Tirmidzi)
Menurut Ulama itulah yang dimaskudkan di dalam ayat surat At-Taubah. 

Bagaimanapun sesetengah ulama membawakan hujah mereka mengatakan Haji Akbar itu adalah Hari Arafah [7]. Setengah ulama pula bersama sahabat seperti Ibn Abbas r.a dan Ibn Umar r.a yang menyatakan bahawa Haji Akbar itu adalah hari arafah yang jatuhnya pada hari Jumaat dan pahalanya disebut sehebat 70 kali pahala Haji biasa, Ia juga disebut oleh Imam al-Ghazzali, ini bermakna pada Haji Akbar, semua orang yang berada di Arafah akan diampunkan. Ia berdasarkan satu hadith yang diriwayat oleh Razin dalam Tajrid as-Sihhah, bagaimanapun al-Munawi menolak hadith itu dengan katanya "tiada asalnya". 

Kesimpulannya

 Terdapat para sahabat mengatakan Haji Akbar itu adalah hari Arafah yang jatuh pada hari jumaat, mankala Ali k.w pula mengatakan ia adalah hari Qurban pada 10 zulhijjah dan setengah yang lain pula menyebut ia adalah semua hari-hari wuquf di Mina ( hari Tasriq). 

Akhirnya, adalah amat perlu dipastikan bahawa tarikh hari raya ‘Idil adha ini menurut ijtihad pemerintah kerajaan Saudi bagi menyatukan umat Islam di seluruh dunia ( kecuali jika benar-benar sesebuah Negara itu mengikut rukyah), tanpa rukyah maka kiraan yang terbaik adalah dengan menuruti Saudi. Dengan itu, kekeliruan yang sering berlaku sebagaimana mencari Lailatul Qadar dan hariraya idilfitri akan berterusan. Wallahu 'alam. 



[1] Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/ 197
[2] Al-Majmu, 8/425 ; Al-Mughni, 9/436
[3] Al-Majmu, An-Nawawi, 8/313
[4] Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/200
[5] Bidayatul Mujtahid, Ibn Rusd Al-Hafid, 1/321 ( cet Maktabah al-Riyadh al-Hadithiyah) ; Rawdah At-Tolibin, An-Nawawi, 3/225
[6] Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/201
[7] Ahkam al-Quran, Al-Jassas

Selasa, 9 Oktober 2012

BAHAYA HUTANG MENGIKUT ISLAM


EKONOMI


Fenomena Hutang Dan Keburukannya

Oleh :
Zaharuddin Hj Abd Rahman


Keadaan umat Islam menjadi memilukan apabila, aktiviti berhutang menjadi asas kehidupan masyarakat hari ini, ia mungkin tidak pelik bagi mereka yang tidak berkemampuan, tetapi ia telah menjadi kaedah dan teknik yang terbaik (sebagaimana didakwa) bagi mencapai keuntungan dan mengekalkan kekayaan sesebuah syarikat atau individu. Sila rujuk www.zaharuddin.com. 

Maka lahirlah ramai individu yang berkemampuan untuk membuat pembayaran secara tunai, tetapi masih lagi suka berhutang dalam membeli kereta dan rumah. Hujah mereka mudah sahaja dalam hal ini, iaitu jika bayar tunai maka kita akan RUGI, RUGI dan RUGI. Inilah satu fenomena kurang sihat yang telah di anggap sihat oleh masyarakat hari ini.  Ia berpunca daripada kurangnya maklumat berkenaan bahaya hutang dalam keadaan berkemampuan. 

Dalam konteks semasa, kita dapat melihat bagaimana ramainya peminjam-peminjam yang enggan membayar hutang pengajian, rumah, kereta, syarikat mereka, ada juga yang lebih rela di gelar muflis asalakan tidak perlu membyara jumlah hutangnya yang menimbun. Ia kelihatan enak untuk tidak membayar hutang di dunia, tetapi ia pasti akan menjadi malapetaka di akhirat. 

Minggu ini, sama-sama kita mempelajari pandangan Islam dalam hal hutang ini. Nabi SAW bersabda :-
يغفر للشهيد كل شيء إلا الدين
Ertinya : " Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban Syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia)" ( Riwayat Muslim, 6/38) 

Lebih buruk lagi apabila terdapat sesetengah individu yang meminjam dengan niat untuk tidak memulangkan kembali. Sebagaimana Sabda Nabi SAW : 

من أدّان أموال الناس يريد أداءها أدى الله عنه , ومن أخذها يريد اتلافها أتلفه الله
Ertinya : Barangsiapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barangsiapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya" ( Riwayat Al-Bukhari, 2/83 ) 

Rasulullah SAW juga kerap mengajar umat islam agar berdoa dilepaskan dari hutang : 

اللهم إني أعوذبك من المأثم والمغرم ( الدين ) , فقيل له : إنك تستعذ من المغرم كثيراً يا رسول الله ؟ فقال : " إن الرجل إذا غرم حدث فكذب , ووعد فأخلف"
Ertinya : Ya Allah, aku berlindung kepadaMU dari dosa dan hutang, lalu Baginda ditanya : Mengapa engkau sering meminta perlindungan dari hutang, whaai Rasulullah ? ; Baginda menjawab : " Jika seseorang berhutuang, bila berbicara ia dusta, bila berjanji ia mengingkari" ( Riwayat Al-Bukhar, 1/214 )
 
Terdapat juga dalam sebuah hadith lain :
Ertinya : Ya Allah, aku berlindung dari kekufuran dan hutang, Mendengar itu seseorang bertanya, " Apakah engkau menyamakan kekeufuran dengan hutang wahai Rasulullah ? ; " Benar " Jawab Rasulullah" ( Riwayat An-Nasaie, 2/316 ; Ahmad , 3/38 ; Al-Hakim berkata Sohih dan disepakati oleh Az-Zahabi; Menurut Albani : Dhoif ) 

Berlandaskan dalil-dalil di atas jelaslah kepada kita bahawa aktiviti berhutang ini adalah kurang sihat menurut pandangan Islam. Justeru, kita sewajarnya menjauhinya semampu boleh. Beberapa cadangan di bawah perlu difikirkan demi memastikan tanggungan dan beban hutang kita dikecilkan, ia seperti berikut :-
  • a) KAD KREDIT : -Jauhkan diri dari menggunakan kad kredit. Selain isu-isu riba yang begitu hampir dengan kad kredit, ia juga amat menggalakan hutang secara berlebihan. Malah jika seseorang ingin menggunakannya, adalah amat di nasihatkan agar digunakan untuk memudahkan urusan di saat-saat yang benar-benar terdesak. Selain itu, adalah lebih baik juga menggunakan "Charge Card" atau "Debit Card" sahaja. Jauhkan diri dari ketagihan penggunaan kad kredit.
  • b) PINJAMAN PERIBADI : Ini satu lagi jenis produk yang boleh mengakibatkan penyakit ketagihan duit di kalangan masyarakat. Pelru di sedari bahawa seluruh jenis pinjaman peribadi secara konvensional adalah di haramkan oleh Islam dengan sepakat seluruh ulama. Cuma, hari ini, terdapat beberapa Bank Islam dan perbankan Islam yang menawarkan Pinjaman (pembiayaan) peribadi secara Islam. Sebagai makluman, tidak semua bank Islam menawarkannya kerana produk ini berlandaskan konsep "bai inah" ( jual dan beli semula antara dua pihak yang sama). Konsep ini amat konterversi dan di tolak oleh kebanyakan ulama timur tengah, bagaimanapun ianya di terima oleh ulama Malaysia dan Brunei. Apapun, pada kebiasaannya, kadar yang di kenakan adalah tinggi. Oleh itu, penggunaannya tanpa keperluan yang amat mendesak juga perlu dikurangkan atau dihapuskan terus demi mengurangkan beban hutang yang ditanggung.
  • c) PERUMAHAN DAN KERETA : dua item ini mungkin keperluan yang asas bagi kebanyakkan individu. Bagi saya, seeloknya, hutang peribadi kita eloknya di hadkan kepada dua jenis ini sahaja. Itupun , mestilah menilai kemampuan kewangan dengan sebaiknya agar tidak mendedahkan diri kepada bahaya ketidakmampuan membayar hutang. Sebarang pinjaman kereta dan rumah secara konvensional adalah disepakati haramnya oleh seluruh ulama dunia.
  • d) UMRAH DAN HAJI SUNAT (KALI KEDUA): Haji sememangnya wajib bagi umat Islam yang berkemampuan fizikal dan kewangan. Bagaimanapun, yang wajib hanyalah sekali sahaja. Justeru, umat Islam perlu memahami ‘priority' atau "awlawiyyat" di dalam pengendalian wang peribadi. Menurut Islam, menggunakan wang yang diperuntukan untuk ke umrah dan Haji kali kedua adalah lebih baik dan besar pahalanya untuk disalurkan bagi melupuskan pembayaran hutang peribadi yang bertimbun-timbun itu. Malangnya, ketidak fahaman kebanyakan umat islam hari ini menyebabkan mereka kerap mendahulukan sesuatu yang kurang penting berbanding yang lebih penting.