Ahad, 26 Januari 2014

LATAR BELAKANG DAN RIWAYAT HIDUP IMAM SYAFIE

 

Dipetik dari : My Cherita


Nama sebenar Imam Syafie ialah Muhammad Bin Idris Bin Abbas Bin Uthman bin Syafie Bin Saib Bin Abdu Yazid Bin Hasyim Bin Abdul Mutalib Bin Abdul Manaf.

Imam Syafie adalah berasal dari keturunan arab Quraisy. Nasabnya berkait dengan Nabi Muhammad saw.

Beliau dilahirkan di Kota Gaza Palestin pada bulan Rejab 150 Hijrah. Ada yang mengatakan pada malam beliau dilahirkan itu Imam Abu Hanifah (Imam Hanafi) meninggal dunia akibat diracun oleh Khalifah Abu Jaafar al-Mansur dari Bani Abbasiyah sewaktu Imam Hanafi berada dalam penjara. Beliau dipenjara , diseksa dan dirotan kerana tidak mahu memberikan kerjasama kepada Khalifah Bani Abbasiyah yang zalim itu dengan menolak tawaran untuk menjadi Hakim kerajaannya.

Imam Syafie menghafal Al-Quran sewaktu berumur 9 tahun.Beliau menghafal Kitab al-Muwatta’ yang ditulis oleh Imam Malik (Mazhab Maliki) selama 10 tahun. Beliau mempunyai kecerdikan dan daya ingatan yang sangat luar biasa.Dibenarkan memberikan fatwa sendiri oleh gurunya sewaktu berusia 15 tahun sewaktu mengajar di Masjidil Haram.

Sebelum melahirkan beliau, ibunya bermimpi melihat sebutir bintang keluar dari perutnya lalu naik ke langit.Lalu bintang itu pecah lalu jatuh bertaburan jatuh ke bumi.Cahaya dari bintang pecah yang jatuh itu menerangi seluruh muka bumi.Ibunya terkejut bila mengetahui suaminya juga mengalami mimpi yang sama iaitu dia melihat ada sebutir bintang yang keluar dari perut isterinya.

Imam Syafie penentang amalan bidaah. Kata beliau, semua perkara yang diadakan menyalahi Quran dan sunnah atau ijmak ulama adalah bidaah yang keji dan sesat! Manakala mana-mana perkara atau kebaikan yang tidak menyalahi sedikit pun dari kesemua itu adalah bidaah yang terpuji. Imam Syafie berpegang kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti juga 3 orang Imam Mazhab lain yang terkenal seperti Imam Hanafi,Imam Maliki dan Iman Ahmad Bin Hambal (mazhab Hambali). Fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah ini dicetuskan oleh ulamak sebelu mereka iaitu Syeikh Abu Hasan Asyaari dan Syeikh Abu Mansur al-Maturidi.

Imam Syafie juga melarang Taklid, baik taklid kepada dirinya sendiri ataupun kepada sesiapa saja. Beliau selalu berpesan: “Janganlah mereka-reka dalam perkara agama mengguna-pakai taklid sahaja kepada perkataan ataupun tindakan yang tidak disertai dengan keterangan ataupun alasan dari Quran dan hadis”. Beliau juga berpesan : “Tiap-tiap perkara yang saya katakan padahal kata Rasulullah bertentangan dengan perkataan saya, Rasulullah itulah lebih utama perlu dituruti”

NOTE: ( Ramai yang tidak mencatatkan nama mursyid tarbiah ruhani bagi Imam As-Syafie kerana nak menafikan pendapat-pendapat yang memisahkan ilmu fiqah dgn tasauf, guru beliau dalam bidang ini ialah Syuhbban Ar-Raie & Abu Hamzah As-Sufi. Untuk ma'aluman, ketiga-tiga Imam Mujtahid punyai mursyid dlm ilmu tarbiah ruhani.

Imam Abu Hanifah gurunya Imam Jaafar Shodiq. Imam Malik pula gurunya Imam Musa Kadzim & Maaruf Al-Khurki manakala bagi Imam Ahmad pula gurunya ialah Abu Hamzah As-Sufi & Bisyru Al-Hafi. Semua Imam-imam agung dari ke empat mazhab ada guru khusus mereka dalam tasawuf...hanya orang orang yg bodoh sahaja menganggap Tasawuf & Tarbiah Ruhani berasal dari Hindu-Buddha. ALLAHU ALIM! )

Antara pujian atau pandangan ulamak-ulamak lain kepada Imam Syafie ialah:

Imam Malik bekas gurunya pernah berkata: 

“Tidak ada lagi keturunan Quraisy yang lebih pandai daripada Imam Syafie”

Imam Ahmad Bin Hambal berkata: 

“Wahai anakku, Imam Syafie itu seperti matahari bagi dunia dan seperti kesihatan bagi tubuh.”

Beliau juga berkata: 

“Saya belum faham mengenai ilmu hadis kecuali selepas belajar dengan Imam Syafie”.

Kata Imam Ahmad lagi: 

“setiap ahli hadis yang memegang tinta adalah terhutang budi kepada Imam Syafie”

Imam Muhammad al-Hakam berkata: 

“Saya belum berjumpa seorang yang lebih mengetahui, cerdik akalnya,lebih cerdas fikirannya, lebih cermat amalannya,lebih fasih lidahnya daripada Imam Syafie”. 

Beliau berkata lagi: 

“Saya belum berjumpa seorang yang lebih mengetahui berkenaan usul Fiqah selain dari Imam Syafie”

Menyelusuri perjalanan hidup dan proses pembelajaran Imam Syafie amat menarik sekali.Ayah beliau meninggal sewaktu Imam Syafie masih kecil, ada riwayat yang mengatakan sewaktu beliau masih dalam kandungan ibunya lagi. Gurunya yang pertama secara tidak formal ialah ibunya sendiri. Ibunya mengajar beliau mengenal huruf dan mengaji al-Quran. Setelah berumur 9 tahun beliau sudah dapat menghafal Al-Quran.

Bila ibunya membawa Imam Syafie untuk berguru dengan Imam Ismail Kustantani, seorang guru ilmu Al-Quran yang terkenal waktu itu, Imam Ismail pada mulanya menolak kerana Imam Syafie baru berusia 9 tahun sedangkan dia hanya menerima orang menjadi muridnya setelah berumur 12 tahun.Namun setelah dia menguji hafalan dan ingatan Imam Syafie tentang Al-Quraan, beliau amat tertarik dengan daya ingatan dan suara Imam Syafie yang merdu lalu terus mengambil Imam Syafie menjadi muridnya.Apabila Imam Ismail ada urusan lain, Imam Syafie pula disuruh menggantikan tempatnya mengajar disitu!

Imam Syafie juga amat meminati syair dan puisi, beliau pernah berguru dengan Mas’ab bin Zubair seorang penyair terkenal.Dalam masa 3 bulan saja, Imam syafie mampu menghafal 10,000 rangkap syair kaum Bani Huzail. Pernah suatu kali Imam Syafie memasuki pertandingan syair atas desakan kawan-kawannya, lalu mengalahkan gurunya Mas'ab pula.

Imam Syafie berguru pula dengan Imam Sufian Ainiah dalam ilmu hadis sehingga menjadi pakar dalam bidang hadis dan diberi kepercayaan oleh gurunya untuk mengajar menggantikannya sewaktu ketiadaannya. 

Selepas itu Imam Syafie berguru pula dengan Imam Muslim al-Zanji dalam bidang Feqah pula.Akhirnya dia diakui oleh gurunya dan dibenarkan mengajar serta memberikan fatwa pula.Namun Imam Syafie masih merasakan kurang ilmunya lalu dalam diam beliau mula membaca dan menghafal Kitab Muwatta’ yang dikarang oleh Imam Malik bin Anas pula.

Imam Syafie juga pernah belajar ilmu peperangan dan bermain senjata dengan gurunya iaitu Amiruddin, seorang bekas tentera.Selepas itu Imam Syafie terkenal sebagai seorang pemanah yang handal.

Imam Syafie pernah mengembara ke Madinah yang mengambil masa selama 8 hari dengan menaiki unta sambil sempat mengkhatamkan Al-Quran sebanyak 16 kali untuk menemui dan berguru dengan Imam Malik yang ketika itu menjawat jawatan Mufti Kota Madinah.Imam Syafie belajar dari Imam Malik selama 8 bulan.

Selepas itu Imam Syafie merantau pula ke Iraq untuk belajar dengan anak murid Imam Hanafi iaitu Imam Muhamad al-Hassan dan Imam Abu Yusof.Beliau telah menghafal Kitab al-Awsat karangan Imam Hanafi dalam masa 3 hari saja telah mengejutkan kedua orang gurunya itu kerana biasanya murid-murid mereka yang lain mengambil masa paling kurang 1 tahun untuk menghafalnya.

Imam Syafie juga belajar ilmu firasat dengan Maulana Arif di Yaman. Di Yaman beliau berkahwin dengan wanita bernama Hamidah dari keturunan Khalifah Uthman Bin Affan. Mereka dikurniakan 3 orang anak.

Semasa di Najran, Imam Syafie difitnah oleh Gabenor as-Saud iaitu Gabenor Najran kononnya Imam Syafie sedang menghasut rakyat untuk memusuhi dan menjatuhi kerajaan Bani Abbasiyah yang diperintah oleh Khalifah Harun ar-Rashid. Akibat dari fitnah tersebut Imam Syafie dan anak muridnya telah ditangkap, tangan dan kaki mereka dirantai .Mereka juga dipaksa berjalan kaki dari Najran ke Kota Kufah.

Walau bagaimanapun dengan izin Allah swt Imam Syafie terlepas dari hukuman oleh Khalifah dan orang yang memfitnah mendapat hukuman yang setimpal. Diantara ayat Al-Quran yang dibacakan oleh Imam Syafie, yang membuatkan hati dan jiwa raga Khalifah Harun ar-Rashid terpesona ialah Firman ALLAH swt dari Surah al-Hujurat, ayat 6 yang bermaksud : 

“Hai orang yang beriman, sekiranya datang kepadamu orang fasiq yang membawa suatu berita,periksalah dengan teliti supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu”

Itulah diantara liku-liku perjalanan yang ditempuh oleh Imam Syafie dalam menuntut ilmu. Banyak lagi guru dan tempat beliau belajar yang tidak dinyatakan disini. Beliau sangat menyintai ilmu. Pernah suatu masa Imam Malik memuji beliau dengan berkata : 

“Sekiranya ada orang yang bahagia kerana ilmunya, inilah orangnya!” 

sambil merujuk kepada Imam Syafie. Berkaitan dengan kegunaan ilmu pula Imam Syafie pernah berkata: 

“Sesiapa yang mempelajari Quran, besar harga dirinya.Siapa yang mempelajari hadis, tinggi martabatnya.Siapa yang mempelajari bahasa,lembut hatinya.Siapa yang mempelajari ilmu hisab, tajam pandangannya dan siapa yang tidak memelihara dirinya, tidak bererti ilmunya”. 

Oleh kerana kecintaan beliau yang begitu mendalam terhadap ilmu, jadi tidak hairanlah jika Imam Syafie telah menulis 142 buah kitab semasa hayatnya.

Imam Syafie meninggal dunia selepas waktu isyak, malam jumaat 28 Rejab tahun 204 Hijrah (tahun 820 M) di rumah Abdullah bin Hakam sewaktu berumur 54 tahun di bumi Mesir. Jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Bani Zaharah. 

Semasa Abu Ali al-Hasan menjadi perdana menteri Iraq, beliau telah mengarahkan ketua tentera Mesir Badr bin Abdullah menggali dan memindahkan kubur Imam Syafie ke Baghdad. Setelah digali mereka menemui batu bata yang tersusun membentengi liang lahad Imam Syafie. Selepas mereka memecahkan batu-bata itu, mereka amat terkejut kerana tercium bau yang sangat harum dari dalam liang lahad itu malah ada beberapa orang dari mereka yang pengsan. Bila perkara ini diketahui oleh perdana menteri Iraq itu, maka beliau pun membatalkan terus usaha memindahkan kubur itu. Pada tahun 608 Hijrah, sebuah Kubah telah dibina .Tidak lama kemudian sebuah masjid didirikan disitu dengan nama Masjid Imam Syafie. Makam Ulama hebat ini terus dikunjungi orang ramai hingga kini.

Khamis, 23 Januari 2014

Sejarah : Jabal Abu Qubais

 Dipetik :http://halaqah.net



Jabal Abu Qubais atau Jabal Qubais adalah sebuah tanah tinggi atau bukit di sebelah timur Mekah yang letaknya berdekatan dengan Masjidil Haram. Bukit ini berhadapan dengan Jabal Quayqian.

Jabal Abi Qubais disebut dalam as-Sirah an-Nabawiyah (buku pertama tentang sejarah Nabi Muhammad s.a.w) sebagai tempat yang biasa diziarahi orang-orang pada masa Jahiliah. Pada masa Islam, Jabal Qubais ini hanya disebut dalam hubungannya dengan penduduk Mekah, termasuk Abu Quhafah (ayah Abu Bakar As-Siddiq), yang naik ke bukit ini dan tempat-tempat tinggi lainnya untuk melihat dan menyaksikan pasukan Islam yang memasuki Mekah pada hari penaklukan Mekah. Dalam al-Munjid (Penolong) karangan Louis Ma’luf disebutkan bahawa Jabal Abu Qubais pernah dijadikan tempat pelontaran manjaniq (alat pelontar batu dalam peperangan) oleh Hasin bin Numayr untuk dihalakan kepada pasukan Abdullah bin Zubair yang bertahan di Kaabah. Tembakan dengan manjaniq ini menyebabkan terbakarnya tirai atau kiswah Kaa’bah.

Cerita-cerita yang disebutkan dalam as-Sirah an-Nabawiyah dan Hayat Muhammad (Kehidupan Nabi s.a.w) oleh Dr. Heikal mengenai Jabal Abu Qubais pada umumnya dihubungkan dengan riwayat Muhammad s.a.w sebelum diangkat menjadi Rasul. Disebutkan pula, bahawa nama bukit itu diambil daripada nama seorang penduduk daripada Bani Jurhum, iaitu Qubais bin Syalikh, yang tewas di atas jabal (gunung) itu.

Dalam hubungannya dengan Nabi s.a.w, disebutkan bahawa ia pernah dibawa oleh datuknya Abdul Mutalib ke puncak Jabal Qubais untuk berdoa memohon hujan. Nabi s.a.w pada waktu itu masih kecil dan Mekah dilanda kemarau panjang. Seorang wanita, Raqiqah binti Abi Saifi bin Hasyim, dalam tidurnya bermimpi mendengar suara yang mengatakan bahawa dari kalangan kaum Quraisy akan muncul seorang Nabi. Suara dalam mimpi itu juga memberinya petunjuk bagaimana cara meminta hujan agar dikabulkan Tuhan, iaitu penduduk harus meminta pemimpin mereka (Abdul Mutalib) agar membawa cucunya dan beberapa orang penduduk untuk berdoa bersama-sama. Terlebih dahulu mereka harus bersuci, mencium Hajar Aswad (batu hitam pada Kaabah) dan bertawaf sebanyak tujuh kali.

Peristiwa lain yang dihubungkan dengan Jabal Qubais adalah peristiwa Hilf al-Fudul. Seorang pemuda daripada Bani Zubaid dizalimi oleh Asif bin Wail, bangsawan Mekah, yang tidak mahu membayar harga barang dagangan yang dibawa pemuda itu. Orang ini mendatangi beberapa pemuda Quraisy untuk meminta pertolongan tetapi tidak ada seorang pun yang bersedia menolongnya. Kerana kecewa, keesokan paginya ia naik ke puncak Jabal Abu Qubais dan meneriakkan keluhannya bahawa dia dizalimi dan berharap ada orang yang dapat menolongnya menghadapi orang yang menzaliminya. Seruan orang itu disambut oleh Zubair bin Abdul Mutalib, bapa saudara Nabi s.a.w. Ia lalu memanggil tokoh-tokoh Bani Hasyim dan mengadakan perjumpaan di rumah Ibnu Jud’an yang membuahkan perjanjian Hilf al-Fudul yang bertujuan untuk mengambil tindakan terhadap Asif bin Wail, sehingga ia membayar harga barang yang dibelinya daripada orang yang mengadu itu.  

Jabal Abu Qubais juga muncul dalam mimpi Atiqah binti Abdul Mutalib di Mekah, tiga hari sebelum meletusnya Perang Badar. Dia bermimpi melihat seorang penunggang unta datang ke Mekah, kemudian masuk ke Masjidil Haram dengan diikuti orang ramai dan naik ke bumbung Kaabah serta berteriak memperingatkan penduduk akan datangnya bencana tiga hari kemudian. Dari situ, dia turun dan naik ke Jabal Abu Qubais. Di puncak bukit itu, dia kembali memperingatkan orang ramai akan datangnya musibah. Setelah itu, dia mengambil batu besar dan melemparkannya. Setelah sampai ke bawah Jabal Abu Qubais, batu itu terpecah-pecah menjadi pecahan kecil yang bergerak memasuki semua rumah di Mekah.

Sewaktu Nabi Muhammad s.a.w. melaksanakan umrah setahun setelah perjanjian Hudaibiah, banyak penduduk Mekah yang naik ke puncak Jabal Abu Qubais dan tempat-tempat tinggi yang lainnya untuk menyaksikan Nabi s.a.w dan sekitar dua ribu orang pengikut baginda melaksanakan umrah.



Di timur Baitullah, jika kita membelakangkan hajarul aswad yang mulia, akan terpandanglah kita sebuah istana megah berdiri atas sebuah bukit yang telah ditarah habis. Bukit yang telah diperkosa sedemikian rupa, itulah Jabal Abi Qubais yang mempunyai sejarah berkait rapat dengan sejarah Baitullah dan Kota Makkah al-Mukarramah. Jabal Abi Qubais atau lebih masyhur di lidah orang kita sebagai Jabal Qubais atau orang kampung aku panggil "Jabal Kobes", dahulunya mencapai ketinggian 420 meter. Ada riwayat yang menyatakan bahawa Jabal Abi Qubais inilah seawal-awal gunung / bukit yang dicipta Allah atas muka bumi ini. Imam as-Sayuthi rhm. meriwayatkan dalam "al-Wasaa-il fi Musaamiratil Awaa-il" halaman 6 menulis:-

   " Dan seawal-awal jabal yang diletakkan Allah atas bumi adalah Abu Qubais, kemudian terpencar (tersebar) darinya segala jabal. Ibnu 'Asaakir menyatakan bahawa dalam sanad hadits ini ada rawi yang majhul dan bahawasanya ianya dihafaz / diterima daripada perkataan 'Atho`".

Banyak peristiwa bersejarah berkait dengan Jabal Abi Qubais. Jabal Abi Qubais dikenali juga sebagai Jabal al-Amin (bukit kepercayaan / bukit penyimpan amanah), kerana Allah telah mengamanahkan hajarul aswad dalam simpanannya pada waktu taufan dan bah zaman Nabi Nuh a.s. Tatkala Nabi Ibrahim membina semula Baitullah, maka Jabal Abi Qubais mengeluarkan kembali hajarul aswad lalu dibawa oleh Sayyidina Jibril a.s. dan serahkan kepada Nabi Ibrahim a.s.

Dalam sebahagian kitab-kitab tafsir seperti "Tafsir al-Jalalain" dan "Tafsir al-Qurthubi", dalam memberikan tafsiran bagi firman Allah s.w.t. yang kira-kira bererti:-
"Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan)mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus, yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh", (al-Hajj: 25 -)

Tafsir Pimpinan ar-Rahman  menyatakan bahawa seruannya Nabi Ibrahim ini dilakukan baginda dari puncak Jabal Abi Qubais. Imam al-Qurthubi meriwayatkan dalam tafsirnya tersebut daripada Sayyidina Ibnu 'Abbas r.a. dan Sayyidina Ibnu Jubair r.a. yang menceritakan bahawa setelah Nabi Ibrahim menyelesaikan pembinaan Baitullah, maka Allah berfirman kepada baginda:

"Serukanlah segala manusia untuk mengerjakan haji."

Maka Nabi Ibrahim bertanya: "Wahai Tuhan, adakah seruanku akan sampai kepada mereka"? Allah menjawab: "Serulah dan atas Akulah menyampaikannya." Lalu naiklah Nabi Ibrahim Khalilullah akan Jabal Abi Qubais dan berteriaklah baginda dengan katanya: "Wahai manusia ! Bahawasanya Allah telah memerintahkan kamu untuk menunaikan haji ke Baitullah ini, untuk diganjari kamu dengan haji tersebut akan syurga dan diselamatkan kamu daripada azab neraka, maka berhajilah kamu." Seruan Nabi Ibrahim ini telah dijawab oleh segala roh manusia yang berada di tulang-tulang sulbi lelaki dan rahim-rahim perempuan dengan ucapan talbiyyah "LaibaikAllahumma labbaik", sesiapa yang menjawabnya pada hari tersebut maka dia akan berhaji sebanyak mana jawapannya, jika menjawab sekali akan berhaji sekali dan jika dua kali akan berhaji dua kali, dan dari sinilah bermulanya ucapan talbiyyah yang menjadi semboyan atau syiar para hujjaj. Selain daripada itu, diriwayatkan juga bahawa batu-batu yang digunakan untuk membina Baitullah yang mulia diambil dari Jabal Abi Qubais.

Terdapat juga riwayat yang menyatakan bahawa mukjizat Junjungan s.a.w. membelah bulan berlaku di Jabal Abi Qubais, di mana setelah diminta oleh kaum musyrikin Makkah agar Junjungan Nabi s.a.w. memperlihatkan satu mukjizat, maka baginda dengan tunjukan jari baginda yang mulia telah membelah bulan menjadi dua belahan, sehingga disaksikan oleh kaum musyrikin Makkah bahawa bulan benar-benar terbelah dua, satu belahan di atas Jabal Qubais, manakala belahan keduanya pergi ke Jabal Qu`ayqa`aan (Jabal Qiiqa`aan atau Jabal Hindi).

Selain peristiwa tersebut, sebahagian mufassir juga menceritakan bahawa tatkala turun firman Allah s.w.t yang kira-kira bererti:- "Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat." (asy-Syu`araa`: 214 - Tafsir Pimpinan ar-Rahman), yang memerintahkan dakwah secara terang-terangan kepada kaum kerabat baginda, maka Junjungan Nabi s.a.w. membuat seruan tersebut dari Jabal Abi Qubais Ini adalah mengikut riwayat sebahagian mufassir, manakala sebahagian lain menyatakan baginda melakukan seruan dakwah tersebut dari Bukit Shofa. Kedua-dua riwayat ini tidaklah bercanggah kerana Jabal Shofa tempat memulakan ibadah sa`ie, terletak di hujung Jabal Abi Qubais dan merupakan sebahagian daripada jajaran Jabal Abi Qubais, manakala Jabal Marwah berada di permulaan jajaran Jabal Qiiqa`aan / Jabal Qu`ayqa`aan / Jabal Hindi.

Berbalik kepada peristiwa Nabi Ibrahim a.s. membuat seruannya agar umat manusia menunaikan haji dari atas Jabal Abi Qubais, maka dahulu ramai orang naik ke atasnya untuk berbuat sedemikian kerana mengambil sempena. Dahulu di atas puncak bukit tersebut ada sebuah masjid kecil yang dinamakan Masjid Bilal. Menurut cerita sesetengah orang, masjid tersebut dibina atas tapak di mana Nabi Ibrahim membuat seruan baginda tersebut. Oleh itu, maka sebagai menelusuri jejak sejarah dan mengambil sempena, manusia datang menziarahi masjid tersebut untuk "melambai", yakni berdoa agar ahli keluarga dan rakan taulan yang belum berkesempatan datang ke Baitullah diberi peluang untuk ke sana. Alhamdulillah, musim haji tahun 1974, aku sempat menaiki Jabal Abi Qubais dan menziarahi masjid tersebut dan memang Baitullah nampak dengan jelas dari sana. Sekarang, semua ini sudah tidak ada lagi, kerana kini tiada lagi rumah, tiada lagi rubath, tiada lagi masjid atas Jabal Abi Qubais, yang ada hanyalah istana mewah keluarga Sa`ud....Allahu .... Allah.

Pemusnahan dan penjarahan tempat-tempat bersejarah di Tanah Suci hingga kini berterusan atas nama pembangunan dan pemodenan. Tidak mustahil satu hari di masa hadapan, masjid agung Makkah ini akan dikelilingi bangunan - bangunan moden pencakar langit kerana sekarang pun telah ada pencakar langit berupa hotel mewah bersebelahan Masjidil Haram yang mulia. Harap-harap janganlah berlaku di masa hadapan di mana jika bukan kerana Masjidil Haram, Baitullah, dan suasana ibadah, manusia merasakan dirinya berada di Kota New York yang penuh pencakar langit (kata orang le...sebab aku belum pernah lagi ke New York). Mudah-mudahan segala tempat bersejarah ini tetap dikenang dan dikenali umat.



Khamis, 16 Januari 2014

Sejarah dan asal usul sambutan Maulidur Rasul



Siapakah orang yang pertama menyambut maulid Nabi?
 
Sambutan peringatan Maulid Nabi pertama kali dilakukan oleh Raja Irbil (wilayah Iraq sekarang), bernama Muzhaffaruddin al-Kaukabri.

Sejak bilakah sambutan maulidur rasul ini diadakan?
 
Ia dimulakan oleh Sultan Muzhaffaruddin pada awal abad ke 7 hijriyah.
Ibn Katsir dalam kitab Tarikh berkata:

“Sultan Muzhaffar mengadakan peringatan maulid Nabi pada bulan Rabi’ul Awwal. Beliau merayakannya secara besar-besaran. Beliau adalah seorang yang berani, pahlawan,` alim dan seorang yang adil -semoga Allah merahmatinya-”.

Dijelaskan oleh Sibth (cucu) Ibn al-Jauzi bahawa, dalam peringatan tersebut, Sultan al-Muzhaffar mengundang seluruh rakyatnya dan seluruh para ulama’ dari berbagai disiplin ilmu, baik ulama’ dalam bidang ilmu fiqh, ulama’ hadits, ulama’ dalam bidang ilmu kalam, ulama’ usul, para ahli tasawwuf dan lainnya untuk meraikannya.

Selama tiga hari, sebelum hari pelaksanaan mawlid Nabi, beliau telah melakukan berbagai persiapan. Ribuan kambing dan unta disembelih untuk hidangan para hadirin yang akan hadir dalam perayaan Maulid Nabi tersebut.

Segenap para ulama’ saat itu membenarkan dan menyetujui apa yang dilakukan oleh Sultan al-Muzhaffar tersebut. Mereka semua menganggap baik perayaan maulid Nabi yang dibuat untuk pertama kalinya itu.

Ibn Khallikan dalam kitab Wafayat al-A`yan menceritakan bahawa al-Imam al-Hafizh Ibn Dihyah datang dari Moroco menuju Syam dan seterusnya ke menuju Iraq, ketika melintasi daerah Irbil pada tahun 604 Hijrah, beliau mendapati Sultan al-Muzhaffar, raja Irbil tersebut sangat besar perhatiannya terhadap perayaan Maulid Nabi. Oleh kerana itu, al-Hafzih Ibn Dihyah kemudian menulis sebuah buku tentang Maulid Nabi yang diberi judul “al-Tanwir Fi Maulid al-Basyir an-Nadzir”. Karya ini kemudian beliau hadiahkan kepada Sultan al-Muzhaffar.

Para ulama’, semenjak zaman Sultan al-Muzhaffar dan zaman selepasnya hingga sampai sekarang ini menganggap bahawa perayaan maulid Nabi adalah sesuatu yang baik.

Para ulama terkemuka dan Huffazh al-Hadits telah menyatakan demikian. Di antara mereka seperti ;
  • al-Hafizh Ibn Dihyah (abad 7 H)
  • al-Hafizh al-’Iraqi (W. 806 H)
  • Al-Hafizh Ibn Hajar al-`Asqalani (W. 852 H)
  • al-Hafizh as-Suyuthi (W. 911 H)
  • al-Hafizh aL-Sakhawi (W. 902 H)
  • SyeIkh Ibn Hajar al-Haitami (W. 974 H)
  • al-Imam al-Nawawi (W. 676 H)
  • al-Imam al-`Izz ibn `Abd al-Salam (W. 660 H)
  • mantan mufti Mesir iaitu Syeikh Muhammad Bakhit al-Muthi’i (W. 1354 H)
  • Mantan Mufti Beirut Lubnan iaitu Syeikh Mushthafa Naja (W. 1351 H)
dan terdapat banyak lagi para ulama’ besar yang lainnya.

Bahkan al-Imam al-Suyuthi menulis karya khusus tentang maulid yang berjudul “Husn al-Maqsid Fi ‘Amal al-Maulid”. Karena itu perayaan maulid Nabi, yang biasa dirayakan di bulan Rabi’ul Awwal menjadi tradisi ummat Islam di seluruh dunia, dari masa ke masa dan dalam setiap generasi ke generasi.

Apakah hukum menyambut Maulid Nabi?
 
Peringatan Maulid Nabi Muhammad sallallahu`alaihi wasallam yang dirayakan dengan membaca sebagian ayat-ayat al-Qur’an dan menyebutkan sebagian sifat-sifat nabi SAW yang mulia, ini adalah perkara yang penuh dengan berkah dan kebaikan kebaikan yang agung. Tentunya perayaan tersebut terhindar dari bid`ah-bid`ah sayyi-ah yang dicela oleh syara’.

Sebagaimana dijelaskan di atas, perayaan Maulid Nabi mulai dilakukan pada permulaan abad ke 7 Hijrah. Ini bererti perbuatan ini tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam, para sahabat dan generasi Salaf.

Namun demikian, ini tidak bererti hukum perayaan Maulid Nabi dilarang atau sesuatu yang haram. Kerana segala sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam atau tidak pernah dilakukan oleh para sahabatnya belum tentu bertentangan dengan ajaran Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam sendiri.

Para ulama’ menyatakan bahawa perayaan Maulid Nabi adalah sebahagian daripada bid`ah hasanah (yang baik). Ertinya bahawa perayaan Maulid Nabi ini merupakan perkara baru tetapi ia selari dengan al-Qur’an dan hadith-hadith Nabi dan sama sekali tidak bertentangan dengan keduanya.
Sumber rujukan : Pondok Habib
 
Maka, bersempena sambutan Maulidur Rasul ini, PakarHowTo menyeru kepada anda semua untuk kita menyambutnya dengan hati yang benar-benar insaf dan ikhlas.

Mari kita berazam sungguh-sungguh untuk mengamalkan sunnah-sunnah baginda SAW sedaya yang mungkin.

Marilah kita memperbanyakkan selawat ke atas baginda SAW, bukan hanya pada hari maulid saja, tetapi juga setiap masa dan ketika insyaAllah.

Ahad, 5 Januari 2014

KONSEP BUGHAH DALAM ISLAM

DIPETIK DARI :.islam.gov.my



Pengertian bughah

Bughah mengikut istilah syara` adalah “ segolongan umat Islam yang melawan dan menderhaka terhadap Ulil Amri (imam) iaitu pemerintah atau kerajaan yang adil yang menjalankan hukum-hukum syariat Islam.’ (Kifayah al-Akhyar, jild 2 hal 122) 

 Bughah mengikut istilah ilmu tata negara adalah “perbuatan sekumpulan dan segolongan umat Islam yang memberontak untuk menentang dan menderhaka kepada ulil amri yang dinamakan jarimah siyasah( iaitu suatu kesalahan dalam politik)”.( Qanun Jinayah Syariyyah, hal 129) 

Bughah Menurut al-Quran dan Sunnah

Bughah dalam pandangan Islam ada disentuh pada ayat 9 surah al-Hujurat yang bermaksud; “Dan sekiranya dua kumpulan orang beriman saling berperang maka damaikanlah antara kedua-duanya, jika salah satu kumpulan telah menceroboh ke atas kumpulan yang lain maka perangilah kumpulan yang menceroboh itu sehingga ia kembali kepada Allah (dengan meninggalkan perbuatan menceroboh).  Jika ia telah kembali, maka damaikanlah kedua-duanya dengan adil dan berlaku saksamalah, sesungguhnya Allah suka orang yang melakukan kesaksamaan” 

Sementara al-Sunnah terdapat beberapa penjelasan terhadap perbuatan Bughah. Antaranya adalah seperti berikut; 

 1. Daripada Abdullah bin Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud; Sesiapa yang telah menghulurkan tangan dan hatinya (memberi bai`ah atau kesetiaan) kepada seseorang pemimpin, maka hendaklah dia mentaatinya selagi termampu. Sekiranya datang seorang lain yang cuba menentangnya (memerangi pemimpin yang dibai`ah itu) maka pancunglah kepala penentangnya itu”. Riwayat Muslim 

 2. Daripada Ibn Abbas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya; Sesiapa yang melihat sesuatu perkara yang ia tidak sukai daripada ketuanya maka hendaklah dia bersabar. Sesungguhnya sesiapa yang berpisah daripada jamaah walaupun sejengkal lalu dia mati maka matinya adalah mati jahiliah”.  Riwayat al-Bukhari dan Muslim  

3. Daripada `Awf bin Malik al-Asja`i, beliau berkata yang bermaksud: “Aku dengar Rasulullah s.a.w. bersabda; Sebaik-baik pemimpin kamu ialah yang kamu kasihi mereka dan mereka kasihi kamu, kamu memdoakan mereka dan mereka mendoakan kamu. Seburuk-buruk pemimpin ialah pemimpin yang kamu benci dan mereka bencikan kamu, kamu melaknat mereka dan mereka melaknat kamu. Kami berkata; Wahai Rasulullah s.a.w., bolehkah kami memerangi mereka? Baginda menjawab; Jangan selagi mereka bersembahyang bersama kamu kecuali orang yang diperintah oleh seorang pemimpin yang melakukan maksiat maka hendaklah dia membenci maksiat yang dilakukannya itu dan janganlah sekali-kali kamu mencabut ketaatan”. (Riwayat Muslim dan Ahmad)  

4. Daripada Huzayfah bin al-Yaman r.a. berkata yang bermaksud bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda; Akan ada selepasku para pemimpin yang tidak mengikut petunjukku dan tidak melakukan sunnahku. Akan ada di kalangan kamu pemimpin yang hatinya seperti hati syaitan dalam jasad manusia. Aku (Huzaifah) bertanya; Bagaimana harus aku lakukan jika aku sempat hidup dalam suasana itu ya Rasulullah. Jawab baginda; Kamu dengar dan taat walaupun dia menyebat kamu dan mengambil harta kamu, hendaklah kamu dengar dan taat. (Riwayat Muslim, al-Baihaqi dan lain-lain) 

 5. Daripada Ubadah bin al-Somit beliau berkata yang bermaksud; Kami telah membaiah Rasulullah s.a.w. untuk dengar dan taat dalam keadaan kami suka atau benci, kami senang atau susah, mengutamakan pemimpin daripada diri kami dan untuk tidak menentang pemimpin melainkan terdapat kekufuran yang jelas hukumnya dalam agama Allah. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

6. Daripada Abu Zar bahawa Rasulullah s.a.w. berkata yang bermaksud; Wahai Abu Zar, bagaimanakah kamu sekiranya nanti kamu berada di bawah pemimpin yang tamak dan tidak membahagikan harta harta al-fai` ini?. Jawab Abu Zar; Demi Allah yang mengutuskan tuan dengan kebenaran, aku akan pikulkan pedang atas bahuku dan memeranginya sehingga aku bertemu tuan. Baginda pun bersabda; Mahukah jika aku tunjukkan kepadamu yang lebih baik daripada itu? Iaitu engkau bersabar sehingga engkau menemuiku. (Riwayat Imam Ahmad, dalam sanadnya terdapat perawi bernama Khalid bin Wahaban , Ibnu Hibban menthiqahkannya manakala Abu Hatim pula mengatakannya majhul) 

Bughah Menurut Pandangan Ulamak  

1. Imam Ghazali r.h. dalam kitabnya al-Iqtisad fi al-I`tiqad mengatakan”….persoalan-persoalan ini membangkitkan pertentangan dan sesiapa yang dapat menghindarkan diri daripadanya lebih selamat daripada orang yang mencampuri atau terlibat dalamnya, meskipun pendirian yang diambilnya benar, apatah lagi jika memilih jalan yang salah…” 

2. Ibn Abi al-`Iz pula berkata,…”adapun wali al-Amri berkemungkinan ia menyuruh supaya tidak taat kepada Allah S.W.T., ia tidak boleh ditaati melainkan dalam lingkungan taat kepada Allah S.W.T. dan rasul-Nya. Adapun kemestian taat kepada mereka (dalam perkara yang bukan maksiat kepada Allah S.W.T.) walaupun mereka zalim ialah kerana tidak mentaati mereka akan mengakibatkan kerosakan yang berganda-ganda melebihi yang dihasilkan daripada kezaliman mereka. Bahkan sabar terhadap kezaliman mereka mengkifaratkan dosa-dosa, menambahkan pahala. Allah S.W.T tidak menurunkan orang zalim ke atas kita melainkan kerana kerosakan perbuatan kita. Balasan adalah sesuai dengan amalan. Maka kita hendaklah berusaha bersungguh-sungguh beristighfar, bertaubat dan memperbaiki amalan. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:


“Atau setiap kali musibah menimpa kamu, sesungguhnya Ia telah menimpa kamu musibah yang seumpamanya. Kamu bertanya, dari manakah musibah ini. Katakanlah wahai Muhammad ia datang daripada diri kamu sendiri”. 

Ali Imran ayat 165 Dan Allah S.W.T. berfirman yes'> yang bermaksud;
“Dan demikianlah Kami menempatkan orang zalim sebagai wali kepada orang zalim sepertinya, sebagai hasil kerja-kerja yang mereka lakukan”.

Al-An`am ayat 129 Apabila rakyat mahu membebaskan diri daripada kezaliman pemerintah mereka maka mereka hendaklah meninggalkan kezaliman yang sedang mereka lakukan”.(Syarh al-`Aqidati al-Tohawiyah, juz 2, hal. 542,) 

 3. Syeikh Muhammad bin Abdullah bin Sabil berkata, “…kesabaran ke atas kezaliman imam (pemerintah) selain daripada yang wajib dari segi syarak adalah lebih ringan mudharatnya daripada bangun menentangnya dan menggugurkan ketaatan daripada mereka. Ini kerana natijah terhadap penentangan terhadap mereka membawa kerosakan yang sangat besar. Kemungkinan bangun menentang mereka akan membawa fitnah yang berpanjangan dan merebak kemudharatannya yang membawa pertumpahan darah, mencabuli kehormatan, merampas harta benda dan lain-lain lagi kemudaratan yang banyak dan musibah yang besar ke atas negara dan rakyat”.( al-Adillatu al-Syar`iyyah fi Bayani Haqqi al-Raa`iyyah. Riyadh) 

4. Budaya `isyan bukanlah budaya Islam, menurut ahli sunnah wal jamaah kerana ia adalah daripada sifat-sifat iblis. Jika berlaku kezaliman daripada pemerintah, apa yang mesti dilakukan ialah menjalankan gerakan mengislah rakyat supaya memperbaiki kerosakan yang mereka lakukan kerana kezaliman pemerintah itu adalah diutus oleh Allah S.W.T. sebagai balasan atas kerja-kerja jahat yang mereka lakukan. Apabila rakyat berjalan di atas landasan yang benar dan berada dalam keadaan yang diredhai oleh Allah S.W.T. maka Allah S.W.T. akan menarik balasannya dengan memilih dan melantik orang yang adil menjadi pemerintah mereka. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud;
“Sesungguhnya akan berlaku selepas zaman kamu kekecohan dan perkara-perkara yang tidak menyenangkan kamu. Sahabat-sahabat bertanya, apakah yang patut kami lakukan? Baginda bersabda, “kamu hendaklah menunaikan hak-hak yang wajib ke atas kamu melaksanakannya dan memohon kepada Allah hak-hak yang diperuntukkan kepada kamu.”
Riwayat al-Bukhari dan Muslim 

Al-Nawawi berkata, “hadith ini menggesa supaya mendengar dan taat walaupun orang yang memerintah itu zalim. Maka berilah hak ketaatan kepadanya dan jangan menentangnya dan jangan melucutkan jawatannya, bahkan hendaklah berdoa kepada Allah S.W.T. supaya menarik balik siksaan-Nya, berusaha menolak kejahatan dan menjalankan usaha islah”. (Syarh al-Nawawi li Sahih al-Muslim, juz 12, hlm. 232)  

5. Sahl bin Abdullah al-Tastari berkata, “ … manusia sentiasa berada dalam kebaikan selama mana mereka membesarkan pemerintah dan ulama`. Jika mereka membesarkan kedua-dua institusi ini, Allah akan memperbaiki dunia dan akhirat mereka dan jika mereka merendahkan kedua-dua institusi ini, binasalah dunia dan akhirat mereka”. (al-Jami` li Ahkam al-Quran, juz 5 hal. 260)Pemberontakan atau bughah merupakan suatu perbuatan yang sangat bercanggah dengan ajaran yang disarankan oleh Islam. Berdasarkan hadis serta pandangan para ulama, umat Islam digesa supaya mengelakkan diri daripada perbuatan bughah sebaliknya berusaha mewujud dan melindungi maslahat umum daripada perbuatan yang merosakan keharmonian hidup mereka. Perbuatan bughah dari sudut Islam adalah sama nilainya dengan kesalahan jenayah lain malah ia lebih merbahaya kerana ia akan mengheret masyarakat kepada kerosakan hidup secara lebih menyeluruh yang melibatkan orang lain yang tidak bersalah. 

Kesimpulan

Pemberontakan atau bughah merupakan suatu perbuatan yang sangat bercanggah dengan ajaran yang disarankan oleh Islam. Berdasarkan hadis serta pandangan para ulama, umat Islam digesa supaya mengelakkan diri daripada perbuatan bughah sebaliknya berusaha mewujud dan melindungi maslahat umum daripada perbuatan yang merosakan keharmonian hidup mereka. Perbuatan bughah dari sudut Islam adalah sama nilainya dengan kesalahan jenayah lain malah ia lebih merbahaya kerana ia akan mengheret masyarakat kepada kerosakan hidup secara lebih menyeluruh yang melibatkan orang lain yang tidak bersalah.


Disediakan oleh

Bahagian Penyelidikan

JAKIM
  1. Al-Imam Taqiyuddin Abi Bakar bin Muhammad al-Husaini, Kifayah al-Akhyar fi Hilli Ghayah al-Ikhtisar, Dar al-Kutub al-Ilmiyah, Beirut, jld 2
  2. Qanun Jinayah Syar`iyyah, Haji Said Haji Ibrahim, Cetakan Pertama 1996, Darul Ma`rifah, Kuala Lumpur
  3. Ahkam al-Sultaniah wa al-Wilayati al-Diniyyah, Abi Hasan Ali bin Muhammad bin Habib al-Baghdadi al-Mawardi, Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut
  4. Syarh al-`Aqidati al-Tohawiyyah, juz 2, cetakan ke-13 tahun 2000, Muassasah al-Risalah
  5. al-Adillatu al-Syar`iyyah fi Bayani Haqqi al-Ra`iyyah, Syeikh Muhammad bin Abdullah bin Sabil, Dar al-Salaf, Riyadh
  6. Syarh al-Nawawi li Sahih Muslim, juz 12, cetakan ke-7 tahun 2000, Dar Ma`rifah, Beirut
Oleh : Bahagian Penyelidikan
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia