Sabtu, 15 Februari 2014

RIWAYAT HIDUP IMAM ABU HANIFAH ( 80 H - 150 H ) - BAHAGIAN (2)


Dipetik dari : http://alhammasiyy.wordpress.com




Kitab-kitab hasil karangan Imam Abu Hanifah :

Tidaklah kami mengetahui apa-apa kitab feqh yang dikarang sendiri oleh Imam Abu Hanifah,sebenarnya,beliau tidak mengarang apa-apa kitab pun didalam bidang feqh,kerana jika beliau ada mengarang apa-apa kitab feqh maka kita akan dapati adanya suatu bentuk buku pengumpulan,dan pasti akan disebarkanya oleh murid-murid beliau yang berguru dengan beliau,dan setiap kata-kata beliau yang disampaikan dari orang itu ialah sebenarnya berupa kata-kata dari risalah-risalah kecil beliau didalam Ilmu Kalam,dan pendapat-pendapat beliau pada feqh pula berasal dari jalan periwayatan anak-anak murid beliau,kerana merekalah yang memelihara pendapat-pendapat beliau itu dengan menulisnya dan meriwayatkanya kepada kami pada setiap bab dari bab-bab feqh.

Anak-anak murid Imam Abu Hanifah:

Sesungguhnya Imam Abu Hanifah mempunyai anak-anak murid yang menyebarkan dan memelihara mazhab beliau agar kekal meniti zaman,dan tidaklah terhapusnya mazhab beliau sepertimana terhapusnya mazhab-mazhab para fuqaha’ lain yang bertaraf mujtahid yang sezaman dengan beliau atau yang sebelum beliau lagi,jika bukan kerana pengikut-pengikut dan sahabat-sahabat beliau yang meriwayatkan pendapat-pendapat beliau dan mengumpulkanya kedalam sebuah kitab serta mewariskanya dari generasi ke generasi seterusnya pastilah akan terhapusnya juga mazhab beliau ini.

Diantara anak-anak murid beliau yang masyhur ialah : As-Syeikh AbuYusuf,As-Syeikh Muhammad Bin Al-Hasan As-Syibaaniy,As-Syeikh Zufar Bin Al-Huzail,As-Syeikh Al-Hasan Bin Ziyaad.

(1) Abu Yusuf :

Beliau ialah Abu Yusuf Ya’qub Bin Ibrahim Al-Ansori,dilahirkan di Kufah pada tahun 112 hijrah dan wafat pada tahun 182 hijrah di Kufah,beliau mempelajari Ilmu Hadith serta menghafalnya,kemudianya beliau mempelajari Ilmu Feqh pertamanya dengan Ibnu Abi Laila,kemudian menyambung pengajianya itu dengan Imam Abu Hanifah,melaziminya dan berguru denganya serta mempelajari Ilmu Feqh,beliau merupakan anak murid utama Imam Abu Hanifah serta yang paling dekat denganya,dan apabila melihatkan ibu-bapa beliau yang miskin,Imam Abu Hanifah telah menolong beliau dengan memberikanya harta untuk membantu beliau dalam menuntut ilmu (alaa,macam biasiswa juga) Abu Yusuf merupakan anak murid beliau yang paling faaqih serta yang paling banyak meriwayatkan hadith,beliau tidaklah hanya mengetahui mazhab imamnya itu sahaja,sesungguhnya beliau telah mengembara di Madinah untuk bertemu dengan Imam Malik dan berguru denganya Ilmu Feqh dan Hadith,dan beliau juga ada menarik balik beberapa pendapat beliau dan berhukum dengan pendapat Imam Malik dan pendapat para fuqaha’ di Hijaz. ( 8 )

Beliau dianggap sebagai seorang mujtahid,kerana terdapatnya beberapa pendapat beliau yang bercanggah dengan pendapat gurunya pada sesetengah masalah,dan ijtihad beliau itu pula beriringan dengan usul Imam Abu Hanifah,dan beliau dikira sebagai mujtahid pada mazhab,tetapi beliau tidak ada mazhab yang khas.

Sesungguhnya beliau ada memegang jawatan dizaman pemerintahan Abbasiyyiin dibawah tiga orang khalifah iaitu Al-Mehdi,Al-Hadi dan Harun Ar-Rasyid yang mana Harun Ar-Rasyid memuliakan beliau dan menaikkan beliau sehingga ke tahap yang tertinggi yang tidak dapat dicapai oleh sesiapa pun selain beliau,

Harun Ar-Rasyid telah mengurniakan beliau pangkat Ketua Qadhi,dan beliau merupakan orang pertama yang memegang jawatan ini dari golongan fuqaha’,dan pangkat ini pula telah membuka peluang kepada beliau untuk berkhidmat kepada mazhab imamnya dengan menyebarkanya kepada seluruh manusia,dan beliaulah yang bertanggungjawab melantik qadhi di seluruh wilayah milik Daulat Abbasiyyah,beliau tidak akan melantik qadhi melainkan qadhi yang bermazhab hanafi,lalu perkara ini telah menggalakkan ramai orang ingin mempelajari mazhab hanafi serta menyebarkanya kepada orang ramai sehingga ramailah yang mengikut mazhab tersebut serta telah menjamin pengekalan mazhab hanafi,beliau telah meletakkan suatu usul feqh bagi mazhab hanafi,dan juga telah diriwayatkan kata-kata dari beliau pada masalah-masalah feqh yang pelbagai,dan beliau telah menyandarkan pendapat mazhab ini dengan hadith-hadith nabi yang dihafalnya serta yang difahaminya,dan beliau telah bercanggah dengan imamnya ini disebabkan oleh pengetahuan beliau pada sesetengah hadith yang tidak dikaji oleh Imam Abu Hanifah,dan beliau telah menambah didalam mazhab ini beberapa pendapat yang beliau telah mendalaminya serta dari apa yang telah beliau dapati dari feqh golongan Hijaz.

Diantara kitab-kitab yang dikarang oleh Abu Yusuf dan masih lagi ada pada kami ialah : Kitab Al-Kharaj yang dikarang oleh beliau disebabkan oleh keinginan Khalifah Harun Ar-Rasyid yang menginginkan suatu asas untuk berhukum dengan hukum-hakam yang berkaitan dengan harta untuk Daulah Abbasiyyah,dan juga Kitab Ar-Radd ‘Ala Siyarul ‘Auzaiey,dan telah diriwayatkan beberapa pendapat beliau didalam Kitab Al-Umm oleh Imam Syafiey.
Diantara kata-kata beliau yang menunjukkan kewarakkan serta ketaqwaan beliau kepada Allah ialah kata-kata beliau ketika beliau hampir-hampir menemui ajal :
“Setiap apa yang telah aku fatwakan sesungguhnya aku telah menariknya kembali kecuali pada apa yang bertepatan dengan Al-Kitab dan As-Sunnah” dan pada lafaz yang lain : …”kecuali pada apa yang selari dengan Al-Quran serta pada apa yang dipersetujui oleh sekalian muslim” dan perkara ini tidaklah asing bagi Abu Yusuf kerana beliau merupakan Ahli Ra’yi yang paling banyak meriwayatkan hadith .
(2) Muhammad Bin Al-Hasan As-Syibaaniy :

Beliau ialah Muhammad Bin Al-Hasan Bin Al-Farqad As-Syibaaniy,dilahirkan pada 132 hijrah,iaitu ketika ayah beliau bermusafir bersama tentera-tentera Syam yang sedang menuju ke Iraq,beliau berasal dari sebuah kampung di Dimasyq (Damsyik) dan beliau wafat pada tahun 189 hijrah ketika beliau dalam perjalanan ke Khurasan bersama Khalifah Harun Ar-Rasyid.

Beliau tinggal di Kufah dan berguru dengan Imam Abu Hanifah,tetapi beliau tidak tinggal disana lama dan beliau berguru dengan imamnya itu sekejap sahaja,apabila wafatnya Imam Abu Hanifah beliau ketika itu baru sahaja berumur 18 tahun,kemudianya beliau berguru pula dengan Abu Yusuf dan mempelajari mazhab hanafi,tetapi beliau tidaklah hanya mempelajari mazhab hanafi sahaja,tetapi beliau telah pergi ke hijaz dan telah mendalami hadith dari golongan Hijaz di sana dan beliau telah berguru dengan Imam Malik di Madinah Al-Munawwarah dan telah tinggal bersamanya selama 3 tahun lamanya,dan mempelajari Ilmu feqh,Ilmu Hadith dan beliau telah meriwayatkan Al-Muwattho’ daripada Imam Malik,dan beliau juga mempelajari Ilmu Feqh dengan At-Tsauri dan Al-‘Auzaiey,disebabkan itulah ianya telah memberikan kesan terhadap pendapat-pendapat beliau didalam bidang feqh,beliau telah menggabungkan bersama Madrasah Ar-Ra’yi dan Madrasah Ahli Hadith,dan menggunakan pendapat kedua-dua madrasah tersebut didalam pendapat-pendapat beliau,dan beliau telah berusaha untuk melakukan pendekatan terhadap kedua-duanya.
Sesungguhnya beliau merupakan seorang yang faaqih dan sangat cerdas,serta berpengetahuan,Imam Syafiey telah berguru dengan beliau ketikamana Imam Syafiey mengembara ke Iraq,dan Imam Syafiey telah berkata tentang beliau :”Sesungguhnya Muhammad Bin Al-Hasan dipenuhi hatinya dan matanya (dengan ilmu)” dan berkata juga : “Tidak pernah aku melihat sesiapa pun yang lebih a’lim tentang kitabullah selain Muhammad,seakan-akan diturunkan Al-Quran kepadanya” beliau berkata lagi : “Sesungguhnya aku telah menulis dari apa yang aku dapati dari Muhammad sebanyak bebanan unta,jika bukan kerana dia,tidaklah dibukakan kepadaku ilmu”
Sesungguhnya Muhammad Bin Al-Hasan seorang imam yang pintar,cerdik dan cerdas sehinggakan beliau telah menjadi tempat rujukkan ahli ra’yi ketika Abu Yusuf masih hidup,beliau pernah menjawat jawatan Ketua Pengurusan Hamba untuk pihak Khalifah Harun Ar-Rasyid,dan beliau mengurusnya dengan adil,Harun Ar-Rasyid telah memberhentikan perkhidmatan beliau pada tahun 187 hijrah,selepas beliau diberhentikan beliau telah pergi ke Baghdad,kemudian Harun Ar-Rasyid telah cuba memujuk beliau dan mengajak beliau kembali kepadanya semula,dan Harun Ar-Rasyid telah menjejaki perjalanan beliau yang sedang dalam perjalanan ke Khurasan,tetapi beliau telah meninggal dunia ketika didalam perjalanan tersebut,Khalifah Harun Ar-Rasyid lalu berkata : “Aku telah mengebumikan Ilmu Bahasa Arab dan Ilmu Feqh di Ray pada hari ini” Khalifah Harun Ar-Rasyid bermaksud ingin memuji seorang syeikh yang mahir didalam bidang Ilmu Bahasa Arab dan merupakan Syeikhul Qiraat dan Ilmu Nahu iaitu As-Syeikh Abu Hasan Ali Bin Hamzah Al-Kisaiey dan syeikh yang alim dalam bidang Feqh dan Hadith iaitu Muhammad Bin Al-Hasan As-Syibaaniy yang mana kedua-dua syeikh ini meninggal dunia di hari yang sama.

Beliau merupakan imam yang melakukan usaha pengumpulan untuk mazhab hanafi,iaitu dengan mengarang banyak kitab-kitab untuk mazhab hanafi,yang paling utamanya ialah enam buah kitab yang mana para ulamak mazhab hanafi mengatakan kitab-kitab ini merupakan Zahirul Riwayat (9) kerana ianya telah diriwayatkan oleh para perawi yang terpercaya iaitu :

(1) Kitabul Asl yang juga dikenali dengan Al-Mabsuth,
(2) Kitab Al-Jaamik As-Saghir,
(3) Kitab Al-Jaamik Al-Kabir,
(4)Az-Ziyaadaat,
(5) As-Siyarus Saghir,
(6) As-Siyarul Kabir .

Dan kitab dua yang terakhir ini menerangkan tentang hubungan Negara Islam dengan negara-negara lain ketika didalam dua keadaan iaitu ketika aman dan ketika perang.

( bersambung..... )

Isnin, 3 Februari 2014

RIWAYAT HIDUP IMAM ABU HANIFAH ( 80 H - 150 H ) - BAHAGIAN (1)


Dipetik dari : http://alhammasiyy.wordpress.com



Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani..
Alhamdulilah,segala puji hanyalah bagi Allah…



Riwayat hidup dan pengajian :

Beliau ialah seorang imam yang agung iaitu Abu Hanifah An-Nu’man Bin Tsabit Bin Zuutha At-Taimiy Al-Kufiy,beliau dilahirkan di Kota Kufah,beliau berketurunan Parsi,bapanya dahulu merupakan milikkan kepada seorang lelaki dari Bani Taimullah Ibnu Tsa’labah,kemudianya dia telah dimerdekakan,kerana itulah nama beliau dinisbahkan kepada At-Taimiy iaitu nama kepada Bani Taim,mengikut riwayat yang masyhur,beliau telah dilahirkan pada 80 hijrah,dan beliau telah meninggal dunia pada 150 hijrah.

Kembara pengajian beliau bermula di Kota Kufah,disana beliau telah memulai belajar Ilmu Kalam sehingga beliau mahir didalam ilmu tersebut,lalu beliau pun mengarang sebuah kitab yang berkaitan dengan Ilmu Kalam yang bertajuk Fiqh Al-Akbar,kemudianya beliau pun beralih kepada pengajian Ilmu Feqh,dan beliau telah berguru dengan As-Syeikh Himaad Bin Abi Sulaiman,yang mana dia pula mempelajari Ilmu Feqh dari As-Syeikh Ibrahim An-Nakhaie’.

Pengetahuan Imam Abu Hanifah didalam bidang feqh telah sampai ke peringkat yang tidak termampu dicapai oleh para fuqaha’ lain yang sezaman dengan beliau pada ketika itu,yang mana Imam Syafiey telah berkata tentang beliau : (Para fuqaha’ dalam bidang feqh bergantung kepada Imam Abu Hanifah) dan beliau merupakan insan yang wara’ orangnya serta orang yang berada,kerana beliau dahulunya merupakan seorang peniaga kain di Kota Kufah,sebelum beliau menceburkan diri beliau didalam lapangan ilmu ini.

Dan dari hasil kegiatan perniagaan beliau serta pengetahuan beliau tentang ilmu perniagaan dan juga dengan pengajian beliau didalam Ilmu Tauhid telah memberikan banyak faedah kepada beliau,cukuplah dengan harta perniagaan yang beliau ada daripada menjawat sebarang jawatan penting didalam kerajaan,sesungguhnya beliau enggan menerima sebarang jawatan kerana beliau menginginkan agar beliau bebas dalam memberikan pendapat beliau tanpa dikongkong dari pihak pemerintah,dan juga tidaklah beliau akan ditakutkan dengan dilucutkan dari jawatanya nanti,menampakkan bahawa beliau tidak takut kepada celaan dari orang-orang yang mencela dalam melontarkan pandangan beliau.

Sepanjang penceburan beliau didalam aktiviti perniagaan,beliau telah mendapat banyak pengetahuan tentang muamalat didalam perniagaan secara praktikal,ini kerana terjadinya saling jualbeli antara beliau dengan manusia lainya dipasar,tanpa syak lagi,disebabkan interaksi secara realistik dan praktikal tersebut,telah memberikan beliau kebolehan yang luas dalam berhukum secara ra’yi dan manthiq,dan juga berkebolehan mempraktikkan secara amali didalam hukum-hakam syariah islamiah pada berbagai jenis kejadian yang dihadapi oleh manusia didalam kehidupan mereka,kerana itulah beliau dianggap antara ahli feqh yang membuka luas pintu penggunaan ra’yi dan juga beliau merupakan Imam di Madrasah Ar-Ra’yi (2) dizamanya.

Beliau merupakan taabi’ taabieen mengikut riwayat yang masyhur,kerana pada zaman beliau terdapatnya empat orang sahabat yang masih hidup lagi ketika itu seperti : Anas Bin Malik radiallahu anhu di Basrah,Abdullah Bin Ubai di Kufah,Sahl Bin Saad As-Saaiediy yang berada di Madinah dan Abu Tufail Aamir Bin Waatsilah yang berada di Mekah,tetapi,tidaklah Imam Abu Hanifah sempat bertemu dengan mereka.

Dan dikatakan bahawasanya beliau merupakan seorang At-Tabieen,kerana beliau pernah berjumpa dengan beberapa orang sahabat dan sempat berguru dengan mereka,tetapi riwayat tersebut terdapatnya syak padanya.

Syeikh-syeikh beliau :

Imam Abu Hanifah lahir dari Madrasah Ar-Ra’yi seperti mana yang telah diterangkan tadi,dan Madrasah Ar-Ra’yi itu terdapatnya murid-murid mereka yang tersendiri dan pendekatan mereka terhadap ilmu yang tersendiri,yang mana madrasah ini telah diasaskan oleh Amirul Mukminin iaitu Umar Bin Khattab radiallahu anhu dan telah dipindahkan ke Kufah oleh seorang lagi sahabat yang mulia iaitu Abdullah Bin Masu’d radiallahu anhu,dan betapa ramai yang telah berguru dengan beliau,antaranya Ibrahim Alqamah Bin Qis,Masruq Ibnu Al-Ajda’ dan Syuraih Al-Qaadhi,kemudianya beberapa orang fuqaha’ yang terkenal pula telah berguru dengan mereka antaranya Ibrahim An-Nakhaiey,Aamir Bin Syarahiil As-Sya’biy,kemudianya Himad Bin Abi Sulaiman pula telah berguru dengan mereka,dan daripada jalan Himad Bin Abi Sulaiman lah Imam Abu Hanifah mengambil ilmu-ilmu para ulama’ tersebut,dan beliau telah melazimi syeikh beliau itu selama 18 tahun lamanya,dan beliau menamatkan pengajian beliau dengan mazhab feqh yang dinisbahkan kepada beliau iaitu Mazhab Hanafi.

Sesungguhnya Imam Abu Hanifah merupakan seorang imam yang tidak dapat dipersoalkan lagi kealimanya,seorang yang faaqih dan amanah dan juga merupakan seorang perawi hadith nabi yang tsiqah (terpercaya) dan beliau mempunyai harta perniagaan yang banyak yang mana beliau menyalurkanya kepada syeikh-syeikh beliau dan juga anak murid beliau dan membantu mereka.

Keengganan Imam Abu Hanifah daripada menjawat jawatan :

Imam Abu Hanifah merupakan seorang imam yang berada dan warak,dan cukuplah dengan harta yang beliau perolehi dari hasil perniagaan beliau itu daripada menjawat sebarang jawatan,kewarakkanya serta ketaqwaanya terhadap Allah telah menghalang beliau daripada menjawat apa-apa jawatan dizaman pemerintahan Al-Umawi begitu juga di zaman pemerintahan Al-Abbasi,dan sesungguhnya Yazid Bin Umar telah meminta seorang dari pegawainya di Iraq di zaman pemerintahan Al-Umawi iaitu Marwan Bin Muhammad supaya menyatakan kepada Imam Abu Hanifah untuk menjadi pentadbir di Kufah tetapi beliau telah menolaknya,lalu beliau telah diseksa disebabkan penolakkan beliau terhadap jawatan tersebut,beliau telah disebat dengan menggunakan cambuk sebanyak 110 kali sebatan,setiap hari sebanyak sepuluh kali sebatan dan pada zaman pemerintahan Al-Abbasi pula Abu Ja’far Bin Mansur telah berkenan untuk menjadikan beliau pentadbir di Baghdad tetapi beliau telah menolaknya juga,lalu sebagai hukuman beliau telah ditahan dan diseksa lagi sekali dengan dipukul dengan cambuk sebanyak 10 kali sebatan setiap hari sehingga beliau hampir-hampir menemui ajal beliau.

Sebab sebenar beliau diseksa mengikut kata Al-Marhum As-Syeikh Al-Khadri ialah :
Sesungguhnya Yazid Bin Umar berbicara dengan beliau tentang tawaran jawatan tersebut adalah bertujuan untuk menguji kesetiaan beliau terhadap pemerintahan Al-Umawiah,jika beliau menerima jawatan tersebut ianya dapat menjadi bukti kesetiaan beliau terhadap pemerintah dan juga kesudian beliau menolong dan menyokong pemerintah ketika itu,dan penolakkan beliau terhadap jawatan yang ditawarkan pemerintah ketika itu pula akan menjadi bukti bahawa beliau tidak menyokong golongan pemerintah,dan disebabkan itulah beliau telah diseksa,kerana mereka telah menganggap yang beliau tidak menyokong kerajaan pemerintah ketika itu,dan mereka menyangka bahwa beliau merupakan penyokong kepada golongan Al-Alawiyyun iaitu golongan pembangkang pemerintahan Al-Umawiyah.

Disebabkan itulah kita dapat lihat yang Abu Ja’far Al-Mansur ketika mana mahu menawarkan jawatan kepada Imam Abu Hanifah,dan apabila mendengarkan penolakkan dari beliau,dia telah berkata :Apakah kamu tidak menyukai pemerintahan kami??,dan yang jelasnya,penahanan beliau tersebut merupakan sebab yang berkaitan dengan unsur politik,dan juga terdapatnya beberapa ulamak lain selain Imam Abu Hanifah yang enggan menjawat jawatan yang ditawarkan kepada mereka oleh golongan pemerintah tetapi tidak pula mereka diapa-apakan,antaranya ialah Al-Laits Bin Saad,yang mana ketika Abu Mansur meminta beliau menjadi qadhi tetapi beliau telah menolaknya dan beliau tidak diapa-apakan lansung.

Usul Mazhab Imam Abu Hanifah :

(1) Al-Quran Al-Karim : yang mana secara lazimnya ianya menjadi sumber hukum yang pertama dikalangan para fuqaha’.

(2) As-Sunnah Nabawiyah : iaitu sumber hukum di martabat yang kedua selepas Al-Quran,dan sesungguhnya beliau tidak begitu senang untuk mengambil sesuatu hadith itu sebagai sumber hukum,kerana di Iraq ketika itu ialah sarang memalsukan hadith,iaitu hadith yang sengaja dibohongkan atas nama rasulullah sallallahu alahi wassalam,disebabkan itulah beliau tidak akan mengambil sesuatu hadith sebagai sumber hukum melainkan jika hadith tersebut diriwayatkan oleh perawi yang ramai daripada perawi yang juga ramai yang mana keadaan para perawi tersebut tidak bersepakat sesama mereka untuk berbohong,yang dinamakan hadith mutawatir,atau pun hadith yang diriwayatkan oleh seorang perawi daripada rasulullah sallallahu alaihi wassalam kemudianya diriwayatkan pula dari perawi tersebut beberapa perawi yang ramai dari golongan tabieen,iaitu hadith yang dinamakan sebagai masyhur,manakala hadith ahad iaitu hadith yang diriwayatkan oleh seorang perawi atau dua orang atau lebih yang mana lebih sedikit daripada bilangan perawi hadith mutawatir,dan Imam Abu Hanifah tidak akan menerima hadith ahad ini melainkan jika ianya memenuhi syarat-syarat yang telah disyaratkan untuk diterima sebagai hujjah dan beramal denganya,dan diantara syarat yang paling penting bagi hadith ini ialah,perawi hadith tersebut mestilah seorang yang adil (3),terpercaya,tsabit dan mestilah berasa yakin untuk mengambil hadith yang diriwayatkanya itu dan juga hendaklah dia itu seorang yang mempunyai pengetahuan agama.

(3) Ijmak : jika beliau tidak menemui apa-apa nas bersumberkan dari Al-Quran juga As-Sunnah,beliau akan melihat pula hasil persepakatan para ulamak iaitu ijmak jika ianya ada,samada ijmak secara Soreh (4) atau Sukutiy (5),dan tanpa syak lagi ijmak para sahabat akan mendepani ijmak yang lain,kerana para sahabat berada bersama-sama rasulullah sallallahu alaihi wassalam ketika mana hukum-hakam tersebut diturunkan kepada rasulullah sallallahu alaihi wassalam,dan mereka juga mengetahui kejadian-kejadian yang telah diturunkan hukum-hakam keatasnya,dan disebabkan itu beliau beramal dengan ijmak para sahabat dan mendepankanya dari Qiyas pada perkara yang tidak boleh dihukum dengan menggunakan ra’yi,kerana urusan agama itu tidak diambil dari ra’yi (pendapat berdasarkan aqal semata-mata) dan beliau menganggap perkataan para sahabat itu ialah atsar dari rasulullah sallallahu alahi wassalam pada apa yang dinisbahkan kepada para sahabat.

Dan beliau tidak akan menerima perkataan para tabi’en melainkan jika perkataan tersebut bertepatan dengan ijtihad beliau,dan kadangkala beliau menggunakan pendapat yang tidak pernah diperkatakan langsung oleh golongan tabi’en,yang mana sebaliknya beliau tidak akan menggunakan pendapat yang bercanggahan juga menyimpang dari kata-kata para sahabat,dan beliau akan membawa pula pendapat yang baru jika tiadanya pendapat dari para sahabat.

(4) Al-Qiyas : Sesunguhnya Imam Abu Hanifah mengunakan qiyas secara meluas,disebabkan ketelitian beliau dalam menerima hadith dan terlalu memilih hadith makanya beliau beramal dengan qiyas secara meluas dan menjadikanya diantara asas yang utama daripada asas-asas syariah lain yang menjadi sumber hukum mazhab beliau.

(5) Al-Istihsan : iaitu suatu perkara yang terkeluar daripada lingkungan qiyas zahir dan masuk kepada hukum lain yang bercangah dengan qiyas zahir kerana wujudnya dalil yang membinanya dari nas,ijmak atau ‘Urf (adat) (6)

Imam Abu Hanifah mengatasi para fuqaha’ lain didalam penggunaan Al-Istihsan,dan istilah Al-Istihsan itu hanyalah digunakan oleh mazhab-mazhab lain selain Mazhab Hanafi,kerana didalam Mazhab Hanafi dipanggil sebagai Al-Istislah.

(6) Al-‘Urf : Imam Abu Hanifah menggunakan Al-‘Urf yang sahih iaitu Al-‘Urf yang terbina diatas hukum dan menjadikanya sebagai suatu qaedah untuk mengeluarkan hukum pada perkara feqh yang bersifat furu’ (cabang) dan beliau terkenal dengan kemahiran beliau didalam feqh hadith,yang mana beliau akan mencari kesahihan sesebuah hadith pertamanya,kemudianya jika beliau mendapati hadith tersebut sahih,maka beliau akan mengeluarkan hukum daripada hadith tersebut pada hukum-hakam feqh dengan kemahiran beliau yang tinggi,serta ketelitian yang menakjubkan.

Imam Abu Hanifah tidak hanya berlegar di lapangan Feqh yang berkisar pada kejadian semasa sahaja,begitu juga tidak hanya pada masalah-masalah yang dihadapi oleh manusia sahaja,bahkan beliau dapat menyelesaikan masalah yang belum pun berlaku dizaman itu,yang mana beliau tidak akan menunggu sesuatu hukum itu sehingga ianya berlaku,menjadikan beliau ketua para fuqaha’ pada lapangan Feqh Al-Iftiradhi (7),yang mana ianya memberikan kelebihan yang besar kepada feqh islami untuk terus berkembang dan tersebar dan dapat meliputi segenap penjuru kehidupan.
Diriwayatkan daripada Sufyaan At-Tsauri,dia berkata : Sesungguhnya aku telah mendengar bahawa Abu Hanifah telah berkata suatu kata-kata yang adil lagi berhujjah : “Sesungguhnya aku mengambil ( mencari hukum) dari kitabullah itu jika aku mendapatinya,dan jika aku tidak mendapatinya,aku akan mengambil pula dari sunnah nabiNya,dan juga dari atsar-atsar yang sahih yang mana berlegar di kalangan para perawi yang terpercaya,dan jika aku tidak mendapatinya didalam kitabullah dan sunnah nabiNya itu,aku akan mengambilnya pula dari kata-kata para sahabat,aku akan mengambil kata-kata dari mereka yang aku mahu dan aku akan tinggalkan pula kata-kata yang aku mahu,tetapi aku tidak akan keluar dari kata-kata mereka dan mencari kata-kata selain mereka,jika aku sudah melihat kata-kata dari Ibrahim,As-Sya’biy,Al-Hasan dan Ibnu Sirin begitu juga Saed Al-Musayyab serta beberapa perawi lagi yang telah berijtihad,maka aku akan berijtihad sepertimana mereka telah berijtihad”.

( Bersambung.......)