Rabu, 23 September 2015

Anak Tak Sah Taraf

DIPETIK DARI : E FATWA


Anak Tak Sah Taraf ialah:- 
(i) Anak yang dilahirkan di luar nikah iaitu sama ada hasil daripada zina atau rogol;

(ii) Anak yang dilahirkan kurang 6 bulan 2 lahzah Qamariah dari waktu akad nikah dan dia bukan hasil daripada persetubuhan Syubhah; dan

(iii) Anak yang dilahirkan lebih dari 6 bulan 2 lahzah Qamariah dari waktu akad nikah dan ada bukti dari segi syarak bahawa anak tersebut ialah anak luar nikah melalui iqrar (pengakuan) mereka yang berkenaan (suami dan isteri tersebut atau salah seorang daripadanya), atau 4 orang saksi yang memenuhi syarat-syarat mengikut hukum syarak.

Keterangan/Hujah: 
• Pensabitan nasab kanak-kanak hendaklah mengikut kaedah-kaedah yang telah ditetapkan oleh hukum syara` sebagaimana sabda Rasulullah sallallahu `alayhi wasallam: اَلْوَلَدُ لِلْفِرَاشِ . Maksudnya: “Anak itu bagi siapa yang menggauli ibunya (dalam nikah yang sah).” (Riwayat Jama`ah melainkan Tirmizi)

• Menurut Imam Nawawi, maksud hadith di atas ialah jika seseorang lelaki itu mempunyai isteri atau hamba, maka dia seolah-olah menjadi hamparan tempat tidurnya ( فراش ). Apabila perempuan tersebut melahirkan anak bagi suatu tempoh yang memungkinkan anak itu wujud, maka anak itu disabitkan menjadi anaknya dan hak bagi lelaki berkenaan.

Dengan itu, berjalanlah antara mereka hukum pewarisan dan hukum-hakam yang lain.

• Terdapat tiga syarat penting yang perlu dipenuhi dalam menasabkan anak yang lahir hasil daripada pernikahan yang sah iaitu:

1. Ada kemungkinan anak tersebut adalah daripada suami berkenaan, maknanya suami adalah orang yang mempunyai faktor-faktor yang boleh menyebabkan kehamilan isterinya seperti tidak lemah syahwat yang menyebabkan dia tidak mampu menyetubuhi isteri atau dia mandul atau sebab-sebab lain yang boleh menafikan anak itu daripada suami berkenaan.

2. Suami tidak menafikan nasab anak itu daripadanya melalui proses li`an.

3. Isteri melahirkan anak berkenaan dalam tempoh mengandung yang minimum.

• Para ulama’ telah bersepakat menetapkan bahawa tempoh minimum seseorang wanita itu hamil dan melahirkan anak ialah enam bulan.

 Penentuan tempoh enam bulan tersebut adalah berdasarkan maksud dua ayat Al-Qur'an yang menerangkan tentang masa hamil (tempoh mengandung) dan penyusuan.

1. Firman Allah subhanahu wata`ala:
{ وَحَمْلُهُ وَفِصَلُهُ ثَلَـثُونَ شَهْرًا } Maksudnya: “Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan.” (Surah Al-Ahqaf 46:15)

2. Firman Allah subhanahu wata`ala yang lain:
{ وَفِصَلُهُ فِى عَامَيْنِ } Maksudnya: “Dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun.” (Surah Luqman 31:14)

Daripada maksud kedua-dua ayat di atas, jika ditolak tempoh masa penyusuan anak iaitu 2 tahun atau 24 bulan daripada tempoh 30 bulan (masa keseluruhan hamil dan menyusukan anak), bererti masa yang bakinya, iaitu tempoh hamil ialah 6 bulan.

• Ash-Shaykh Muhammad `Ali As-Sabuni dalam kitabnya “Rawa’i` Al-Bayan” menyebutkan bahawa telah diriwayatkan, bahawa seorang perempuan berkahwin, kemudian melahirkan anak setelah enam bulan daripada perkahwinannya.

Dia dihadapkan kepada khalifah `Uthman radhiyallahu `anh. Beliau mahu merejam perempuan berkenaan, tetapi Ibnu `Abbas berkata kepada `Uthman: “Perempuan ini, jika dia menentang kamu dengan kitab Allah, kamu akan kalah.”

Allah berfirman:
{ وَحَمْلُهُ وَفِصَلُهُ ثَلَـثُونَ شَهْرًا } Maksudnya: “Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan.” (Surah Al-Ahqaf 46:15)

Firman Allah selanjutnya:
{ وَالْوَلِدَتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَدَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ }
Maksudnya: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu.” (Surah Al-Baqarah 2: 233)

Maka, tempoh hamil ialah 6 bulan dan penyusuan pula 24 bulan. Berdasarkan dalil itu, Sayyidina `Uthman radhiyallahu `anh pun membebaskan wanita berkenaan daripada hukuman.

• Ahmad Mustafa Al-Maraghiy di dalam kitab “Tafsir Al-Maraghiy” turut menyebutkan bahawa tempoh kehamilan dan menghentikan anak daripada menyusu memakan masa selama 30 bulan. Ayat 233 Surah Al-Baqarah itu menunjukkan bahawa tempoh hamil yang paling singkat ialah selama 6 bulan dan tempoh menyusu yang paling lama ialah genap 2 tahun. Masa yang tinggal untuk mengandung hanya 6 bulan. Dengan demikian dapat diketahui masa mengandung yang paling pendek dan masa menyusu yang paling lama.

Orang pertama yang membuat kesimpulan ini berdasarkan ayat tersebut ialah `Ali karamallahu wajhah yang kemudiannya dipersetujui oleh `Uthman radhiyallahu `anh bersama para sahabat Nabi sallallahu `alayhi wasallam.

Muhammad Ishaq iaitu pengarang kitab “As-Sirah” meriwayatkan daripada Ma`mar ibn `Abdullah Al-Juhaniy yang berkata: “Ada seorang lelaki dari kalangan kami yang mengahwini seorang wanita daripada Bani Juhaynah. Wanita itu melahirkan anak setelah perkahwinannya genap selama enam bulan. Maka suaminya menemui `Uthman radhiyallahu `anh untuk menceritakan perkara tersebut.

Selepas itu, `Uthman pun menyuruh wanita itu menemuinya, dan ketika wanita itu mahu memakai pakaiannya, saudara perempuannya pun menangis. Lalu wanita itu berkata kepadanya, “Mengapa kamu menangis? Demi Allah, tidak ada seorang pun antara makhluk Allah subhanahu wata`ala yang telah mencampuri aku sama sekali selain dia. Kemudian Allah subhanahu wata`ala pun memberi keputusan kepadaku menurut kehendakNya.”

Ketika wanita itu ditempatkan di hadapan `Uthman, maka `Uthman pun menyuruh wanita itu direjam. Apabila perkara itu didengar oleh `Ali, beliau pun menemui `Uthman lalu berkata: “Apakah yang kamu lakukan?” `Uthman pun menjawab: “Wanita itu bersalin setelah usia perkahwinannya genap enam bulan dan mustahil perkara ini berlaku.”

`Ali pun berkata kepadanya: “Tidakkah engkau membaca Al-Qur’an?” “Tentu”, jawab `Uthman. `Ali pun berkata lagi: “Tidakkah engkau mendengar Allah subhanahu wata`ala berfirman: “Mengandungnya sehingga memutuskan susu itu selama 30 bulan.” FirmanNya pula: “... selama enam bulan penuh.” Kamu dapati bakinya hanya enam bulan.

Kemudian `Uthman pun berkata: “Demi Allah, aku tidak berfikiran sejauh itu. Bawalah ke mari wanita itu.”

Ternyata wanita itu benar-benar telah dipersiapkan untuk menerima hukuman.” Ma`mar pun berkata: “Demi Allah, tidak ada gagak yang serupa gagak, dan tidak ada telur yang serupa telur sehingga melebihi persamaan anak itu dengan bapanya.” Ketika ayahnya tahu, beliau pun berkata: “Anakku, demi Allah, aku tidak ragu mengenainya.”

Diriwayatkan juga bahawa Ibn `Abbas berpendapat apabila ada wanita yang bersalin setelah mengandung sembilan bulan, maka cukuplah baginya untuk menyusui anaknya selama 21 bulan.

Seterusnya apabila wanita itu bersalin setelah mengandungkan anaknya selama tujuh bulan, hendaklah dia cukupkan baginya untuk menyusui anaknya selama 23 bulan.

Begitu juga apabila dia bersalin setelah mengandung selama enam bulan, hendaklah dia menyusui anaknya selama dua tahun secara genap.

• Oleh yang demikian, para ulama’ telah menetapkan hukum bahawa mana-mana anak yang dilahirkan dalam tempoh enam bulan atau lebih yang dikira daripada masa suami isteri boleh bersatu melalui nikah yang sah, maka nasab anak tersebut disabitkan kepada suami wanita berkenaan pada zahir sahaja dan berjalanlah segala hukum-hakam nasab ke atasnya.

Sebaliknya, jika anak tersebut lahir kurang daripada enam bulan, maka nasabnya tidak bersambung dengan suami kepada ibu atau wanita yang melahirkan anak berkenaan.

Anak tersebut hendaklah dinasabkan kepada ibu yang melahirkannya sahaja dan jika hendak dibin atau dibintikan, boleh dinasabkan kepada ibunya atau kepada nama `Abdullah atau salah satu daripada Asma’ullah Al-Husna.


 

Sabtu, 12 September 2015

Hukum wanita memakai wangi-wangian


Oleh :Ust.Shahidah Sheikh Ahmad
Timbalan Ketua Wanita IKRAM Negeri Johor


Menyukai kecantikan dan wangian adalah fitrah. Kerana Allah juga indah dan menggalakkan hamba-Nya berhias dengan pakaian yang cantik untuk mengerjakan ibadah. Hal ini bersesuaian dengan maksud surah Al-A'raaf, ayat yang ke-31:

"Wahai anak-anak Adam, pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadah (atau mengerjakan solat), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau, sesungguhnya Allah tidak suka akan orang yang melampaui batas."

Galakan untuk berhias ini bukan sahaja untuk kaum lelaki, bahkan juga untuk kaum wanita. Akan tetapi, perhiasan kaum wanita hanya terhad kepada golongan tertentu. Mereka tidak boleh berhias dan mempamerkan perhiasan mereka pada khalayak ramai seperti firman Allah dalam surah An-Nuur, ayat 31 yang bermaksud :

"…….. dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan;."

Terdapat beberapa hukum tentang wanita memakai minyak wangi iaitu harus, sunat, makruh dan haram.

Harus

Secara umumnya hukum memakai minyak wangi adalah harus bagi wanita. Seseorang wanita itu dikatakan harus memakai wangi-wangian ketika suami berada di rumah terutamanya ketika ingin melayan suami mereka. Selain daripada itu, wanita tidak di haruskan memakai wangi-wangian. Nabi s.a.w telah bersabda yang bermaksud,
"Sebaik-baik wanita (isteri) ialah jika kamu memandangnya sentiasa menyenangkan hati kamu..." (Riwayat an-Nasa'i dari Abu Hurairah)

Ini bererti seorang wanita itu haruslah sentiasa kelihatan menarik dari segi akhlak dan penampilannya agar dapat menyenangkan hati suaminya, termasuklah memakai minyak wangi untuk menyenangkan suami.

Sunat

Sunat bagi wanita berwangian ketika berada di rumahnya, ketika ingin menunaikan solat dan beribadah di dalam rumahnya, dan juga ketika menyambut tetamu wanita. Terdapat hadis yang menjelaskan wanita juga digalakkan berwangi-wangian tetapi bukan pada tempat yang telah dilarang. Rasulullah telah bersabda yang bermaksud,
"Wangi-wangian lelaki ialah yang jelas baunya dan tersembunyi warnanya. Sementara wangi-wangian wanita pula ialah yang cemerlang (jelas) warna dan tersembunyi baunya" (Riwayat al-Tarmizi)

Wanita juga disunatkan memakai wangian sebelum melakukan ihram. Aisyah r.a berkata,

"Kami (isteri-isteri Rasulullah s.a.w) pergi menunaikan haji bersama Rasulullah s.a.w. Ketika hendak berihram, kami memakai minyak wangi yang terbaik di kening kami. Ketika salah seorang di antara kami berpeluh, minyak wangi itu akan mengalir hingga ke muka dan Rasulullah s..aw melihat hal itu, tetapi tidak menegur kami (ertinya nabi s.a.w tidak melarang)" (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Makruh

Hukum berwangi-wangian ketika berpuasa adalah makruh. Ini telah umum disepakati oleh ulama dan terdapat penjelasan dalam bab puasa. Keterangan yang dapat dipegang dan dijadikan alasan ialah fatwa Imam Syafie dan Qaliyubi yang menyatakan "makruh memakai wangi-wangian ketika berpuasa". Menurut Qaliyubi pendapat itu ialah pendapat ijmak.

Haram

Haram bagi wanita memakai minyak wangi atau alat-alat solek yang berbau wangi di luar rumah berdasarkan hadis berikut,

"Seorang wanita yang memakai bau-bauan dan melintasi satu kaum (orang banyak) maka dia itu adalah perempuan zina" (Abu Dawud, Tirmidzi)

Nabi s.a.w bersabda "Siapa saja perempuan yang memakai minyak wangi kemudian keluar ke masjid nescaya tidak diterima solatnya sehingga ia mandi dahulu (membersihkan dirinya dari wangi-wangian tersebut)." (Sahih riwayat Ibnu Majah dari jalan Abu Hurairah)

Abu Hurairah menceritakan bahawa dia pernah bertemu dengan seorang wanita sedang pulang daripada masjid dan ia berbau wangiannya, lalu beliau menegur "Wahai hamba Allah, apakah kamu pulang dari masjid. Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa Allah s.w.t tidak akan menerima solat wanita yang memakai bau-bauan ke masjid sehingga dia pulang dan mandi......" (Abu Daud, An-Nasaie, Ibnu Majah dan Al-Baihaqi)

Abu Musa meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda, "Setiap mata itu berzina (apabila memandang dengan nafsu wanita yang asing). Dan seorang wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melalui sesuatu majlis, maka ia adalah demikian, demikian...(penzina)" (Riwayat Tirmidzi)

Daripada hadis-hadis di atas, maka jelaslah bahawa kaum wanita diharamkan memakai wangi-wangian ketika keluar dari rumah dan juga dilarang berhias berlebih-lebihan kecuali di rumah terutamanya di hadapan suaminya.

Saya menyeru kepada semua wanita muslimah agar mentaati perintah dan larangan Allah dalam setiap detik kehidupan kita, dalam setiap langkah kita. Jauhilah larangan Allah taala dalam hal persolekan dan berwangi-wangian dikhalayak ramai. Patuhilah hadis-hadis di atas dan jadikan ia sebagai panduan hidup kita.

Sungguh amat memilukan hati, apabila melihat wanita muslimah keluar rumah bekerja dengan gaya seperti seorang perempuan kafir, bersolek dan berbau wangi samada dengan tujuan menggoda lelaki yang ditemui atau untuk kelihatan cantik atau tanpa apa-apa tujuan sekalipun, ia tetap haram dan berdosa. Sedarlah, bahawa itu mengundang murka Allah SWT, yang mengakibatkan rezeki yang kita peroleh sehari-hari tidak diredhai Allah, bukan itu sahaja bahkan ia bakal menjadi penyebab bagi keruntuhan iman dan akhlak kita. Hilanglah segala hikmah dari pekerjaan kita yang sepatutnya menjadi ibadah kita kepada Allah.

Saya juga ingin mengingatkan wanita muslimah agar berhati-hati memilih alat solek supaya tidak tersalah memilih yang berbau wangi, kerana ada setengah-setengah bedak atau deodorant misalnya berbau wangi.

Semoga wanita muslimah hari ini akan menjadi sebaik sahabiah disisi Nabi s.a.w, yang apabila mendengar sesuatu hukum itu haram mereka terus menjauhi perbuatan tersebut dan apabila mendengar sesuatu hukum itu wajib atau sunat mereka terus melaksanakannya dengan penuh iltizam.