Rabu, 28 Oktober 2009

TUHAN TIDAK PERNAH ' TINGGALKAN ' KITA...

MOTOVASI

Azamin Amin


"...pasti kamu sangka Allah membenci dirimu kerana menurunkan bermacam ujian."

Kadang-kadang ujian silih berganti, pasang-surut tanpa henti membuatkan saya pernah bertanya apakah sebab dilahirkan ke dunia ini. Adakah untuk merasai kesakitan dan 1000 kepayahan mendatang?

Kata-kata itu terpacul tatkala, saya masih cukup naif agama dan kosong jiwa. Lantas, bertanya kepada seorang tua, di sebuah warung, berhampiran rumah bujang saya kira-kira 15 tahun lalu.

"Azamin...pasti kamu sangka Allah membenci dirimu kerana menurunkan bermacam-macam ujian. Jangan bersangka buruk kepada tuhan," kata lelaki beruban, lewat usia 50an itu, membuatkan saya tertunduk.

"Muhammad, kekasih Allah itu dibaling batu, dilempar najis dan kakinya terpijak duri-duri yang sengaja di letakkan di tepi jalan. Giginya patah dan pipinya berdarah sewaktu perang.

"Pernah disihir dan usaha untuk membunuhnya tidak pernah surut. Lawannya sentiasa mengejek dan menghinanya.

"Lalu adakah ujian-ujian itu tanda Muhammad itu dibenci dan dipinggirkan Tuhan?" soalnya lagi dan kali ini air mata saya mula bergelinangan.

Dan dialog itu, terus menerkam sanubari, bilamana saya dihurung musibah. Kadang-kadang saya merasa penat dan adakalanya hampir putus asa. Sebabnya, tak jemu-jemu ujian dan masalah hinggap dalam kehidupan.

Bila saya mengaji dan terbaca terjemahan surah Al-Baqarah, ayat 155, barulah hati saya reda dan tenang semula.

"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa (kematian) serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:"

Saya bertanya lagi kepada pakcik itu, kenapa orang lain bahagia, kaya, berjaya dan hidup aman makmur berbanding saya.

"Sebenarnya kamu lihat dengan mata kepala bukan dengan mata hati...lantas apa yang dilihat hanya zahir semata-mata. Kejayaan, kekayaan dan kebahagiaan mereka dinilai dengan apa yang ada di depan mata kamu.

"Kamu tidak tahu di sebalik semua itu. Hutang keliling pinggang, penipuan, kesakitan, kepayahan dan ujian-ujian yang dihadapi mereka. Dan tidakkah Azamin tahu, ujian paling bahaya adalah ujian kesenangan!

"Jika kita sakit serta susah, kita mengadu dan menyebut Allah tetapi bila sihat dan senang, adakanya kita lupa dan alpa..." katanya membuatkan saya terdiam seketika.

Ya benar, kita sentiasa lupa pada-Nya tetapi Allah tidak pernah lupa dan tinggalkan kita, apatah lagi di kala berlaku kesulitan dan kepayahan.

Kira-kira enam tahun lalu, saya menerima panggilan bahawa bapa saudara saya meninggal dunia di utara. Berat sungguh ujian ketika itu. Sudahlah sayu dan pilu, saya yang 'kurang' harta ini pula bercampur-baur antara mahu pergi ataupun tidak menziarahi jenazahnya yang juga merupakan adik kepada bonda tercinta.

Saya di Kuala Lumpur, ibu di Negeri Sembilan dan jenazah arwah di Kedah sana. Kocek, cukup-cukup tampung perjalanan pergi sahaja. Kereta juga uzur. Saya bertawakal dan berserah diri bulat kepada Allah. Niat saya untuk membawa ibu, dan mengadap arwah buat kali penghabisan.

Dalam perjalanan, hati cukup resah tanpa disedari ibu, isteri yang sedang menyusukan anak sulung. Apakah sampai di sana nanti, saya akan mengemis atau meminta-minta belas ihsan mendapatkan wang untuk 'tambang' pulang.

Ya Allah, saya berdoa, jauhilah diri saya melakukan sebarang aib dan malu dimuka keluarga.

Selesai pemakaman jenazah, saya ditepuk seorang hamba Allah (pun sudah meninggal dunia empat tahun lalu) sambil bersalam dengan saya.

"Nah, wang belanja sedikit untuk Azamin. Pakcik dah pasang niat bila nampak Azamin tiba subuh tadi. Pakcik tahu Azamin pun susah payah datang sini..." katanya menyebabkan saya menangis termanggu-manggu.

Sangka orang, saya sayu menghadapi pemergian bapa saudara tetapi, saya cukup pilu kerana di sebalik kepayahan dan kerisauan, Allah 'menjawab' keresahan dan kerisauan saya dengan bantuan yang tidak diduga.

Peristiwa kedua cukup menyeramkan saya, ketika dalam perjalanan pulang daripada menziarahi pengebumian jenazah seorang bapa saudara (adik ayahanda saya pula) di Setiawan, Perak pada tahun yang sama. Waktu itu kira-kira 12 tengah malam.

Entah macamana, saya tersesat mencari jalan susur keluar menuju ke Kuala Lumpur. Kalau tidak silap, saya berpusing di tempat yang sama, sekitar kawasan Cenderung Balai, Teluk Intan.

Malam cukup pekat. Tidak ada 'sebiji' kereta pun pada masa itu yang lalu lalang, apatah lagi orang pejalan kaki untuk saya bertanya haluan. Kiri kanan ladang kelapa sawit dan tiada lampu di sepanjang jalan raya.

Lebih menakutkan, tiada papan tanda atau 'sign board' penunjukk jalan kelihatan dan makin mengerikan bilamana minyak kereta sudah hampir habis. Aduhai.

Saya cuba untuk bertenang, supaya isteri yang duduk di kerusi belakang kereta sambil membelai anak berusia setahun tidak berkongsi kepayahan yang dilalui hati nurani ini. Apatah lagi, minyak kereta juga sudah kekeringan yang amat sangat. Lampu minyak, menyala tanpa henti menandakan bahaya bakal menimpa jika tidak diisi.

"Abang...rasa macam lama je...tak jumpa jalan ke?," soal isteri mengesyaki sesuatu.

"Taklah, abang tengah cari stesen minyak ni..." kata saya berselindung. Memang benar kata isteri, sudah lebih sejam saya memandu di kawasan yang sama, sama gelap dan likat tanpa jumpa jalan keluar.

Tiba-tiba saya nampak sebuah warung dipenuhi orang di sebelah bertentangan kanan jalan. Asalnya mahu gembira, tetapi terbit rasa aneh dan ganjil, bila sebuah warung, di sepanjang jalan gelap dipenuhi orang, jam 12 tengah malam. Sedangkan saya sudah melalui jalan tersebut berkali-kali, tetapi baru kini bertemu warung aneh di malam hari.

Sesat selama sejam

Lantas, dengan kocakan dada yang cukup berdebar, saya memberhentikan kereta di kiri jalan. Pada hemat saya, akal, minda dan perasaan saya sudah cukup letih dan berselirat sehingga melihat perkara-perkara aneh pula.

"Abang...kenapa berhenti?

"Rehat sekejap...rasa mengantuk sikit," kata saya menyembunyikan perasaan takut tadi. Sah..isteri saya tidak nampak, apa yang saya lihat.

Lalu, dengan kekuatan yang saya ada, saya baca surah-surah pendek seperti al-Ikhlas, al-Kafirun dan an-Nas. Lebih kurang 10 minit juga, saya cebiskan beberapa doa yang diajar bonda antaranya:

"Dengan Nama Allah yang dengan nama-Nya tidak akan memberi mudharat apa pun yang ada di bumi dan di langit dan Dialah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (Riwayat Tirmidzi & Abu Daud)

"Ya, Allah selamatkan aku, isteri dan anakku daripada sebarang malapetaka. Kasihanilah anakku yang tidak berdosa," doa saya kepada Tuhan sambil merenung sikecil yang tidur lena sejak dari tadi.

Saya tarik nafas panjang, dan berserah pada Allah. Kelibat warung sudah tidak kelihatan dan kemudian saya memandu dan terus memandu tanpa hala tuju.

Tiba-tiba, kurang lima minit saya terlihat sebuah papan tanda tertulis 'Kuala Lumpur' dan lima minit kemudian, sebuah stesen minyak kelihatan di sebuah simpang empat.

Alhamdullilah, Allah menyelamatkan saya ketika saya berharap benar pertolongan-Nya.

Suatu hari, sekitar tahun 2002, rumah saya kehabisan, barang keperluan. Ketika itu, dalam hati saya berdoa, janganlah ada tetamu yang datang kerana tidak ada sebarang 'habuk' pun untuk dijamu. Buruk sungguh kelaku saya sehingga berdoa begitu. Bukan apa tetapi saya malu dan khuatir tidak dapat meraikan tetamu dengan juadah yang boleh dijamu.

Ya, kita fikir perancangan dan doa kita betul padahal Allah itu lebih menyayangi kita. Sebenarnya, sudah diajar jika ada tetamu, jamu dan layan sedaya mampu kerana kehadiran mereka, 'membawa' rahmat dan 'membersihkan' dosa.

Bonda saya ada berpesan, jika ada tetamu, apa yang ada di dapur jangan disimpan. Jamulah semuanya kerana utamakan tetamu adalah ajaran Nabi dan agama.

Lantas, selesai sahaja berdoa, tiba-tiba pintu rumah diketuk orang. Doa saya tidak diperkenan, dan tetamu pun datang. Hati saya berbolak-balik. Saya memandang wajah isteri dan memberi isyarat bertenang. Dalam keadaan gelisah, kami mampu jua hidangkan 'teh o bujang' tanpa sekeping biskut pun ada sebagai hidangan.

"Tak pa, Min...kami datang ni nak tengok anak sulung awak, janganlah susah-susah. Lagipun kami ada hal lain lagi," sambil tetamu bersalaman, mengepilkan wang not RM50.00 ke telapak tangan.

Kemudian, air mata basah mula menjadi teman...

Benarlah kata Tuhan, Nabi dan agama. Janganlah kita memandai-mandai berdoa yang tidak baik atau berfikir yang bukan-bukan sedangkan Allah tidak pernah tinggalkan kita.

Apa-apa yang kita rasa dan lalui, adakalanya kita rasakan tidak baik bagi kita sedangkan ianya elok untuk kita dan hanyalah Allah sahaja yang mengetahui.

Ujian yang bertindih, bertali-arus adakala membuatkan saya kerdil dan 'menyumpah' diri dengan kata-kata tidak baik seolah-olah dimurkai tuhan sedangkan ujian itu cukup baik dan manis bagi saya selepas itu.

"...boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. (Surah Al- Baqarah, ayat 216)

Teringat ketika, putus cinta lantaran kekasih meninggalkan diri saya yang sudah menjalinkan hubungan yang agak lama. Remuk hati dan berkecai perasaan.

Kasih yang dibaja, kononnya untuk membina mahligai, hancur di tengah jalan. Tahun itu, sekitar 1994.

Saya sujud dan bermunajat duka bahawa selepas ini, hanya Allahlah yang menentukan dan memilih buat saya tanpa perlu saya tercari-cari lagi, getus hati kecewa.

Saya adukan keperitan yang ditanggung kepada majikan, yang menjadi kawan rapat saya juga di kala susah. Saya ketika itu berusia 20an manakala majikan yang dikenali Encik Rakha itu, berusia lewat 40an.

"Beginilah min...kau rasa kereta proton Satria itu segak bergaya dan cukup cantik bagi kau sedangkan Allah nak 'mengurniakan' sebuah 'Mercedez Benz' bagi kau di kemudian hari...tetapi kau tak tahu lagi.

"Jika suatu hari nanti, kau dah dapat yang jauh lebih baik dari sekarang...jangan lupa beritahu aku," kata bos lelaki itu yang suka membahasa diri sebagai 'aku'.

Ya, setahun selepas saya berdoa duka lara itu, Allah sekali lagi 'menjawab' keresahan hati saya dan kini saya sekali tersenyum dengan simpulan kata-kata bos lelaki itu tatkala memandang tiga cahaya mata hasil perkongsian kasih nan bahagia bersama jodoh, isteri yang tercinta.

Ya. Setiap yang berlaku ada hikmah. Dan tidak berlaku sia-sia. Sungguhpun perit dilalui ketika berlaku, di kemudiannya, Allah persiapkan kebahagiaan dan kejayaan setelah lama bersabar.

Dan selepas itu, ujian demi ujian terus datang dari Allah yang cukup sayang pada hambanya dan tidak pernah menghampakan, jika diperlukan.

"Sesungguhnya Allah tidak menganiaya seseorang walaupun sebesar zarrah, dan jika ada kebajikan sebesar zarrah, nescaya Allah akan melipat gandakannya dan memberikan dari sisi-Nya pahala yang besar" (An Nisaa ayat 40)

Isnin, 26 Oktober 2009

ADAB SOLAT: TIDAK MENYINGSING LENGAN DAN MEMAKAI SINGLET SAHAJA.

TAZKIRAH ( IBADAH )



Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- bersabda:

أُمِرْتُ أَنْ أَسْجُدَ عَلَى سَبْعَةِ أَعْظُمٍ وَلَا أَكُفَّ ثَوْبًا وَلاَ شَعْرًا

"Saya diperintahkan sujud di atas tujuh anggota badan, tidak menahan rambut dan tidak pula menahan pakaian". (HR. Al-Bukhoriy (783), Muslim dalam Kitab Ash-Sholah (490), Abu Dawud (889 & 890), An-Nasa’iy dalam Kitab Ash-Sholah (1113), Ibnu Majah (1040), dan Ibnu Khuzaimah (782))

Keterangan:

Imam Nawawi-rahimahullah- berkata, "Para ulama telah sepakat tentang terlarangnya melakukan shalat sedang pakaian atau lengannya disingsingkan".(Lihat Al-Minhaj Syarh Shohih Muslim (4/209))

Setelah An-Nawawi membicarakan tentang hal ini pada pembicaraan sebelumnya, dia berkata, "Larangan menyingsingkan pakaian adalah larangan makruh tanzih. Kalau dia shalat dalam keadaan seperti itu, bererti dia telah memperburuk shalatnya, meskipun shalatnya tetap sah. Dalam perkara itu, Abu Ja’far Muhammad bin Jarir Ath-Thobariy berhujjah dengan ijma’ (kesepakatan) ulama. Sedangkan Ibnul Mundzir telah menyebutkan tentang pendapat wajibnya mengulangi shalat dari Al-Hasan Al-Basriy". (Lihat Syarh Shohih Muslim (4/209))

Kemudian An-Nawawi-rahimahullah- berkata lagi, "Lalu madzhab jumhur (menjelaskan) bahawa larangan itu bersifat mutlak bagi orang yang shalat dalam keadaan seperti itu, baik dia sengaja melakukannya untuk shalat atau kerana ada maksud lain. Ad-Dawudiy berkata, "Larangan itu dikhususkan bagi orang yang melakukan untuk shalat. Sedangkan pendapat yang shahih adalah pendapat yang pertama. Itulah lahiriah pendapat yang ternukil dari sahabat atau yang lainnya". (Lihat Syarh Shohih Muslim (4/209))

Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- bersabda:

لَا يُصَلِّيْ أَحَدُكُمْ فِيْ الثَّوْبِ الْوَاحِدِ لَيْسَ عَلَى عَاتِقَيْهِ مِنْهُ شَيْءٌ

"Janganlah salah seorang di antara kalian shalat dengan satu pakaian, sehingga tidak ada sedikitpun pakaian yang menutupi kedua bahunya". (HR. Al-Bukhoriy dalam Shohih-nya (359), dan Muslim dalam Shohih-nya (516))
Keterangan:

Ibnu QudamahAl-Maqdisiy -rahimahullah- berkata, "Orang yang shalat, wajib meletakkan suatu pakaian di atas bahunya, jika dia mampu menutupinya. Ini adalah pendapat Ibnul Mundzir. Disebutkan dari Abu Ja’far (dia berkata), "Sesungguhnya shalat itu tidak memenuhi bagi siapa yang tidak menutupi kedua bahunya. Kebanyakan fuqaha berkata,"Yang demikian itu tidak wajib dan bukan menjadi syarat sahnya shalat. Ini pendapat Malik, as-Syafi’iy dan yang lainnya, sebab keduanya bukan aurat. Maka anggota badan yang lain diserupakan dengannya". (Lihat Al-Mughni (1/618))

Larangan yang ada pada hadits yang lalu mengharuskan pengharaman hal itu, dan diutamakan di atas qiyas. Sedangkan madzhab jumhur mengatakan, "Tidak membatalkan shalatnya". Tetapi mereka berkata, "Larangan ini adalah untuk menyatakan makruh, bukan larangan haram. Maka kalau seseorang shalat dengan satu pakaian yang telah menutupi auratnya, meskipun tidak ada satu pun pakaian yang menutupi bahunya, shalatnya tetap sah dan perbuatan itu dibenci (makruh), baik dia mampu menjadikan sesuatu sebagai penutup bahunya ataupun tidak". (Lihat Syarh Shohih Muslim (4/232))


Al-Qodhi-rahimahullah- telah berkata, "Sungguh telah ternukil riwayat dari Ahmad yang menunjukkan bahawa perkara tersebut tidak termasuk syarat shalat dan dia telah mengambil pendapat itu dari riwayat Mutsanna dari Ahmad tentang orang yang shalat memakai sirwal (seluar lebar) dan pakaiannya menutupi salah satu dari kedua bahunya, dan yang lainnya terbuka, "Dimakruhkan". Lalu ditanyakan kepada beliau, "Dia disuruh mengulangi (sholatnya)?" Maka beliau tidak berpendapat wajibnya mengulangi shalat.

Jawapan ini mengandung kemungkinan, bahawa dia tidak berpendapat wajibnya mengulangi shalat, kerana orang itu telah menutupi sebahagian dari kedua bahunya. Maka dicukupkan menutupi salah satu dari kedua bahunya, kerana dia telah menjalankan lafazh hadits tersebut."

Sisi persyaratan dari pendapat ini: sesungguhnya dia dilarang shalat dalam keadaan kedua bahunya terbuka. Larangan itu mengandung adanya kerosakan pada sesuatu yang dilarang, kerana menutupinya adalah perkara yang wajib dalam shalat. Maka membiarkannya terbuka akan merosak shalatnya. Sebagaimana hukum menutupi aurat". (Lihat Al-Mughni 1/619)

Akan tetapi, tentunya tidak wajib menutupi kedua bahu seluruhnya; sebaliknya cukup menutupi sebahagiannya. Demikian juga cukup menutupi kedua bahu dengan pakaian tipis, yang menampakkan warna kulit, kerana kewajipan menutupi keduanya berdasarkan hadits tersebut boleh terjadi dalam keadaan ini serta keadaan sebelumnya, maksudnya: baik dia menutupkan pakaian pada kedua bahunya atau tidak. (Lihat Al-Mughni (1/619))

Dalam hal ini para fuqaha berkata, "Jika seseorang melekatkan tali atau yang sejenisnya pada bahunya, apakah telah mencukupi?"

Lahiriah pendapat Al-Khiroqiy-rahimahullah- yang berbunyi, "Jika di atas bahunya ada sedikit pakaian," tidak mencukupinya. Kerana perkataannya: "…sedikit pakaian", sedang tali seperti ini tidak dinamakan pakaian.

Inilah pendapat Al-Qadhi Abu Ya’laa. Sedang Ibnu Qudamah membenarkannya seraya berkata, "Yang benar, yang demikian itu tidak mencukupinya, kerana nabi -Shollallahu ‘alaihi wasallam- bersabda:

إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ فِيْ ثَوْبٍ فَلْيُخَالِفْ بِطَرَفَيْهِ عَلَى عَاتِقَيْهِ

"Apabila salah seorang dari kalian shalat dengan satu pakaian, maka hendaklah dia menyilangkan di antara kedua tepinya di atas kedua bahunya." (HR. Abu Dawud (627))

Kerana perintah meletakkan kain pada kedua bahu untuk menutupinya. Maka tidak cukup hanya dengan menempelkan tali dan itu tidak dinamakan sebagai penutup". (Lihat Al-Mughni (1/620))

Dari sini, diketahuilah kesalahan sebahagian orang yang shalat, khususnya shalat pada musim panas, dengan memakai pakaian singlet yang bertali kecil, diletakkan pada bahunya.

Shalat mereka dalam keadaan seperti ini adalah batal menurut mazhab Hambali dan sebahagian ulama salaf. Sedangkan menurut pendapat jumhur (kebanyakan ulama’) hukumnya makruh (dibenci). Keadaan mereka seperti ini, jika tidak terjatuh dalam kesalahan tersebut, maka mereka terjatuh dalam kesalahan shalat dengan memakai pakaian ketat yang membentuk aurat, atau dengan pakaian transfaran yang menampakkan warna kulit badan .

diringkaskan dan di edit daripada: http://www.darussalaf.org/stories.php?id=1215

Khamis, 22 Oktober 2009

TANGGUNGJAWAB IBUBAPA TERHADAP ANAK

TAZKIRAH


Anak ialah amanah atau pertaruhan yang Allah amanahkan kepada kita supaya kita menjaga dan memelihara mereka baik mengikut landasan Islam. Ibubapa mesti bertanggungjawab bukan saja di dunia bahkan di akhirat sewaktu berhadapan dengan Allah kelak. Dalam rangka memelihara amanah Allah itu, ibubapa adalah diwajibkan berusaha dengan bersungguh-sungguh melaksanakan didikan agama. Tegasnya mendidik anak beragama itu adalah wajib hukumnya (bukan setakat pendidikan untuk UPSR, PMR atau SPM), Sebaaliknya ibubapa yang melalalikan tugas amanah ini adalah berdosa.

Rasulullah saw bersabda: "Hendaklah kamu pastikan anak-anakmu belajar agama dan hendaklah kamu baguskan akhlaknya." Setiap anak yang dilahirkan itu bersih fitrahnya. Adalah menjadi tugas ibubapa untuk mencorakkan kehidupan anak-anak seterusnya sama ada untuk menjadikannya baik atau sebaliknya. Sabda Nabi saw:

"Semua anak yang dilahirkan ke dunia ini dalam
keadaan yang suci bersih. Maka kesalahan
ibubapalah menjadikan mereka yahudi, nasrani atau
majusi."

Hadith tersebut menunjukkan kepada kita betapa beratnya tanggungjawab ibubapa terhadap anak-anaknya. Kesalahan kita mendidiklah maka anak-anak sekarang menjadi tak keruan hidupnya dengan pelbagai masalah sosial seperti bohsia, bohjan dan aktiviti lepak yang semakin menjadi. Sungguh malang seribu kali malang, sudahlah ibubapa tidak memberi didikan agama kepada mereka, ibu bapa sendiri tidak berpengetahuan agama dan paling dahsyat lagi, mereka asyik mengumpul dan terpengaruh dengan pujukan dunia. Menjadi korporat adalah satu lagi keparat (maaf - bukan semua). Oleh kerana hendakkan kemewahan yang berlipat ganda terabai tugas sebagai bapa dan suami. Anak maharajalela dan isteri pula main kayu tiga.

Berapa banyak hari ini anak-anak yang tidak tahu membaca Al-Quran. Tidak tahu sembahyang bahkan Fatihah pun tak boleh baca, jauh sekali dari menghafalnya. Masya'Allah ada yang tak tahu menyebut syahadah walaupun dah baligh. Inikah wawasan kita membangunkan kemanusiaan anak-anak.

Akibatnya kebanyakan anak-anak hari ini terdiri daripada mereka yang hanya pandai berpoya-poya, pandai menyakitkan hati dan meracuni jiwa serta menderhakai kepada orang-orang tuanya. Akhirnya bila sampai tahap, mereka akan menjadi anak yang liar. Ibu bapa seolah-olah memelihara anak-anak haiwan sama seperti anak rimau, kucing atau ayam. Betapa tidak haiwan tak sembahyang samalah seperti anak-anak itu. Bahkan haiwan lebih baik sebab tidak diberikan akal. Ketika ini baru ibubapa mengeluh bukan menyalahkan dirinya tetapi salahkan anak-anak dan paling teruk menyalahkan orang lain. Sebenarnya semua ini berpunca daripada ibubapa yang tidak mengambil berat tentang didikan agama terhadap anak-anak.

Ibubapa mesti mengambil berat tentang soal pemakanan anak-anak. Bukan diperhatikan tentang khasiat vitamin makanan itu saja tetapi pastikan kehalalannya. Adakah ia dari sumber yang halal atau haram. Ini penting kerana mengikut Nabi 'daging yang tumbuh dari sumber yang haram, maka neraka lebih utama untuknya'. Sekarang ini perkara seperti ini jarang diberikan penekanan tambahan pula amalan ekonomi yang berasaskan perbankan non-Islamik. Bagaimana diharapkan amalan soleh jika pemakanan tidak lagi soleh. Makanan yang baik membuahkan amalan baik (soleh), manakalan makanan yang tidak baik menghasilkan amalan yang tidak baik juga (tholeh).

Satu kisah pada zaman Nabi, seorang sahabat yang berjemaah bersama nabi kerap keluar dari jemaah awal sebelum sempat berdoa. Nabi bertanyakan kenapa balik tergesa sebelum berdoa. Sahabat itu menerangkan dia mempunyai anak kecil yang ibunya baru meninggal dunia. Dia takut anaknya mengambil dan memakan buah tamar jiran yang gugur di halaman rumahnya dan ditakuti akan menjadi darah dagingnya. Sahabat itu menjelaskan daging yang disuburkan dari benda yang haram itu tidak layak masuk syurga. Mendengarkan penjelasan itu, Nabi terdiam dan tidak berkata apa-apa, hanya memperhatikannya sahaja dia pulang ke rumah.

Begitulah orang dahulu mengambil berat soal pemakanan anaknya. Sebaliknya kita bagaimana? Adakah kita bertanya dari mana buah jambu itu diambil?

Didikan seterusnya yang mesti dilakukan oleh ibu bapa ialah sembahyang. Nabi saw pernah bersabda:

"Perintahkan anak-anakmu mengerjakan sembahyang bila
dia berumur 7 tahun dan pukullah dia bilamana tidak mahu
mengerjakan sembahyang semasa berusia 10 tahun dan
pisahkan dari tempat tidur."

Hadith ini adalah merupakan seruan wajib sembahyang. Kanak-kanak itu belum lagi wajib bersembahyang tetapi yang wajib ialah bapa menyuruhnya bersembahyang. Anak itu belum wajib kerana dia belum cukup umur (baligh). Jika bapa tak beratkan dia bersembahyang ketika ini, agak sukar kanak-kanak itu bersembahyang apabila baligh. Budaya solat mesti dimulakan sejak 7 tahun lagi.

Soal baligh ini pada pedapat sekarang berbeza. Ada berpendapat selepas bersara baru nak solat. Maksudnya bila pencen (55 tahun) baru masuk umur baligh. Paling sedih ada yang tidak baligh sampai ke mati sebab tak solat.

Nabi Muhammad saw menyuruh (mewajibkan) kita pukul anak berumur 10 tahun yang tidak mahu sembahyang. Tetapi adakah kita pukul? Kita mungkin pukul kalau tak buat kerja sekolah atau tak lulus periksa. Jarang kedengaran pukul kerana tak mendirikan sembahyang. Manakan nak pukul anak tak bersembahyang sedangkan ibubapa sendiri tak bersembahyang. Takkan ketam nak ajar anaknya berjalan betul. Ibuabapa dewasa ini tidak bimbang anak-anak walaupun perempuan tak balik hingga larut malam tetapi yang dibimbangkan agaknya kalau anak-anak ayamnya belum pulang waktu senja.

Pendidikan juga bukan bermula apabila lahir anak. Bahkan semasa dalam kandungan ibu sudah mula proses tarbiyah. Sebab itu ibu-ibu mengandung perlu pastikan apa yang dia makan, apa yang dia buat dan apa yang dia baca. Sifat ibu akan diwarisi oleh anak. Kalau suka menyanyi atau menonton TV, anak yang lahir kelak akan menurut apa acuan yang dibentuk. Ramaikah ibu-ibu membaca Al-Quran semasa mengandungkan anaknya? Sedih melihat wanita masa ini asyik keluar masuk kilang saja hatta hingga larut malam masih lagi di kilang. Haiwan pun tidur waktu malam, kita manusia masih bertungkul lumus di kilang. Ajaran siapa ini? Allah peruntukkan masa siang untuk cari rezeki, masa malam untuk rehat. Kita siang malam sama saja mencari rezeki. Orang alim dulu siang bekerja malam beribadat. Kita siang kerja malam kerja. Bila ibadat? ... Sorry, no time ...Bukan lelaki saja bahkan perempuan lebih ramai kerja shift malam. Manakan suami tak jadi liar? Habis semua disapu kadang-kadang anak sendiri jadi mangsa bila lihat isterinya tak ada. Nak salahkan siapa? Apabila terlalu pentingkan kebendaan duniawi beginilah akibatnya. Kemanisan beribadat tidak akan tercapai bagi mereka yang mengejar keduniaan. Kalau 90% usaha dicurahkan untuk dunia berapa peratus agaknya untuk akhirat. Kalau 10% ada juga tapi bila dah teruk kerja badan dah letih sudah tentu 0% untuk ibadat. Al-Quran ada menjelaskan 'Kaum lelaki adalah penjaga kaum wanita." Sekarang nak jaga apa? Asyik kerja siang malam. Anak isteri masing-masing punya pasal. Kau nak buat apa terpulang.. asalkan mewah hidup.

Perasaan kasih sayang sudah luput dari ibubapa. Ibubapa dewasa ini kebanyakannya sudah tidak menyayangi anak-anak lagi. Buktinya mereka tidak ambil pusing hal-hal keagamaan mereka. Ada yang sanggup membiarkan anak-anak terjun ke dalam api neraka. Anak kera pun kesihan melihat anaknya ditembak pemburu.

Pernah seorang sahabat Nabi hairan tercengang melihat Nabi mencium pipi cucunya lantas bertanya kenapa Nabi kenapa begitu. Dia bertanya kerana dia sendiri tidak pernah melayan anak atau cucu dengan mesra begitu. Nabi lantas menasihatkannya supaya mencurahkan kasihsayang kepada kanak-kanak.

Dalam satu hadith lain, Nabi Muhammad bersabda "Memandang muka anak-anak dengan rasa syukur akan rahmat Allah itu sama seperti melihat muka nabinya." Begitu besar pahala ibubapa memuliakan anak-anak. Oleh itu kita hendaklah memelihara mereka dengan baik kerana menurut Nabi mengajar satu adab yang baik kepada mereka adalah lebih baik daripada memberi sedekah satu cupak makanan setiap hari.

InsyaAllah ganjaran pahala yang banyak akan diberikan kepada ibubapa yang baik terhadap keluarganya. Oleh itu hendaklah kita sedar benar-benar bahawa kita akan menemui Allah (mati). Apatah lagi umur kita kian sehari kian bertambah. Apabila bertambah umur kita bererti bertambah hampir pula kita dengan alam barzakh (kubur) atau bertambah hampir kita akan menemui Allah. Kita semua akan kembali kepada Allah yang menjadikan kita. Allah akan bertanyakan apa amalan kita semasa di dunia ini. Apa yang kita bawa untuk dipersembahkan kepada Allah? Adakah harta benda yang kita cari selama ini, pagi petang, siang malam, bertungkus lumus macam lipas kudung, tak pernah renggang dengan telefon bimbit, melonggokkan harta, menambahkan saham hingga lupa pada saham akhirat dan lupa kepada Allah yang memberikan kita harta itu. Dapatkah harta yang banyak itu menebus dosa-dosa yang kita buat di dunia ini?

Atau adakah pangkat dan bintang yang berjela-jela dibawa untuk dipersembahkan kepada Allah? Dengan pangkat, kedudukan dan darjat terasa seolah-olah kita sudah jadi orang besar dan terasa bongkak dengan Allah. Dengan orang miskin dipandang hina. Dengan ulama dipandang leceh. Adakah pangkat dan darjat dapat menebus dosa yang dilakukan di dunia ini. Dapatkan ia menyelamatkan dari api neraka? Semua ini tidak laku di akhirat.

Memelihara anak dengan baik adalah ibadat tetapi bagaimana pula jika disebabkan terlalu sayangkan anak hingga tak sempat sembahyang Maghrib adakah ibadat juga? Adakah anak itu akan menolong semasa berhadapan dengan Allah kelak? Tidak.

Yang menyelamatkan kita pada hari yang tidak bermanfaat harta dan anak pinak ialah jiwa yang suci lagi tenteram. Hati yang suci hanya kepunyaan orang beriman. Orang kafir, fasik dan munafik tidak tenteram hatinya. Orang beriman itu apa tandanya? Mereka yang beribadat ikhlas kerana Allah. Ikhlas mainkan peranan penting kerana menurut hadith "Semua manusia rugi kecuali orang berilmu. Semua orang berilmu rugi kecuali beramal. Semua orang beramal rugi kecuali yang ikhlas."

Oleh itu perlu mencari keikhlasan dalam ibadat. Caranya dengan menghadiri majlis ilmu di masjid-masjid di samping kita berdoa kepada Allah supaya kita dilimpah dengan kurnia, taufiq dan hidayah Allah. Bukan mudah mendapat anugerah Allah. Untuk mendapatkan anugerah dan kurnia sultan pun terpaksa lobi-melobi betapa untuk kurniaan Allah.

Sebelum kita dimatikan oleh Allah, maka janganlah kita sia-siakan hidup dan umur kita ini dengan perkara-perkara yang melalai dan merugikan. Ingatlah 1000 tahun di dunia hanya dikira 1 hari di akhirat. Allah mencabar dan mengingatkan kita dalam firmanNya:

"Adakah kamu anggap, bahawa Kami jadikan kamu dengan percuma (sia-sia) sedangkan kamu akan kembali kepada Aku?" -
(Al-Mukminun:115)

Ayat di atas adalah sebagai ingatan Allah kepada kita yang suka membuang masa dengan sia-sia. Allah menegaskan lagi dalam Al-Quran dengan firmanNya: "Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah dan beribadat kepadaKu."

Adakah kita kira kita tidak mati atau lambat lagi akan mati? Ingat Firman Allah "Di mana sahaja kamu berada, kematian akan mengejar kamu, meskipun kamu di dalam benteng yang kukuh lagi tinggi." - (An-Nisa':78)

Ingatlah kehidupan dunia ini tidak lain hanya kesenangan yang menipu daya. Dulu muda sekarang tua. Dulu cantik sekarang kedut. Dulu sihat sekarang sakit. Dulu ada gigi sekarang rongak. Dulu berambut hitam sekarang beruban. Dulu tampan sekarang bongkok. Dulu ramai kawan sekarang sendirian. Dulu ada pangkat sekarang pencen. Dulu mewah sekarang muflis.

Ingatlah segala harta benda dan anak pinak tidak akan mengiring kita masuk ke dalam kubur. Mereka hanya iringi hingga ke liang kubur saja. Selepas itu mereka semua balik ke rumah dan enjoy semula. Kita di dalam kubur bersendirian, disemadikan seorang diri di pusara yang senyap sunyi, tinggal di kubur dan tidak akan kembali lagi ke rumah besar kita.

Hanya satu saja yang paling setia mengikut kita dan menemani kita di sana. Itulah pekerjaan dan amalan kita yang ikhlas. Mereka menjadi kawan baik kita. Selepas itu apa lagi yang bersama-sama kita di kubur. Sabda Nabi:

"Apabila mati anak Adam, maka putuslah segala
amalannya kecuali 3 perkara: sedekah jariah (sedekah
berkekalan), ilmu yang dimanfaatkan dan anaknya yang
soleh yang mendoakan."

Yang dikatakan sedekah jariah ialah amalan sedekah yang pahalanya sampai menemuinya walaupun sudah meninggal 500 tahun umpamanya seperti membina masjid, surau, membina rumah anak yatim dsb. Mengikut setakat mana keikhlasan kita. Ada juga amalan jariah yang tidak dibalas dengan pahala tetapi dosa, contohnya mendirikan dewan tarian, mendirikan panggungwayang dan pentas hiburan semua dosa orang yang mengunjungi tempat itu akan dihantar kepada simati walaupun telah 600 tahun misalnya.

Termasuk dalam kategori ilmu yang dimanfaatkan ialah seperti menulis kitab yang memberikan kesedaran kepada orang dan buku itu digunakan zaman berzaman. Selagi kitab itu digunakan dan faedahnya tersebar luas, pahala akan terus mengalir kepadanya. Begitu juga siri ceramah dan tazkirah seperti homepage. Doakanlah saya mudahan homepage tazkirah ini termasuk dalam ilmu yang dimanfaatkan. Jika sepeninggalan saya nanti, homepage ini terus dibaca orang, insyallah akan diperolehi pahalanya. Ini bergantung kepada keikhlasan tanpa niat ria'. Sama-samalah berdoa semoga kita ikhlas.

Anak soleh yang mendoakan. Sekarang ini anak bernama Saleh tapi amalan tak soleh. Ada juga orang kafir dipanggil Mad Saleh, kenapa agaknya dipanggil Saleh? seolah menghina istilah 'soleh'. Anak yang beribadat, bersembahyang dan mendoakan kita, pahalanya juga akan sampai kepada kita lantaran didikan dan asuhan kita dulu. Ibarat pokok yang kering apabila disiram air akan segar semula. Begitulah kita di alam kubur nanti, apabila menerima pahala anak-anak kita kembali segar. Begitulah mustajabnya anak yang soleh mendoakan kedua ibubapanya.

Menurut hadith orang yang mati seolah-olah dalam keadaan lemas. Sahabat Nabi bertanya bagaimana untuk menolong mereka dari lemas. Nabi menerangkan hadiahkan Fatihah kepada simati supaya ia tidak lemas dan mampu untuk timbul.

Ramai beranggapan anak yang soleh ialah anak-anak bergaji besar, berkereta besar, berumah besar, bercakap besar dan berpangkat besar. Semua ini tidak menjamin kesolehannya selagi tidak mempunyai iman kepada Allah dan berbakti kepada ibu dan bapanya.

Akhir sekali didiklah anak-anak kita dari sekarang sebelum terlambat supaya menjadi anak yang soleh. Sebelum peringkat itu, mula-mula kenalah jadikan kita dulu anak yang soleh, anak yang suka mendoakan kedua ibu bapanya.

Ahad, 18 Oktober 2009

63 PETUA MENCAPAI KELUARGA BAHAGIA

KEKELUARGAAN

Oleh : Dr Fadzilah Kamsah


Tanpa sebuah persefahaman, tidak mungkin istana yang dibina menemui kebahagiaan sebagaimana diharapkan.

Biar berjuta halangan merentangi namun jika tersurat kasih dan sayang dua insan berkenaan, pasti ia menemukan ketulusan yang abadi.

Dalam melayari rumah tangga berdua, pasti banyak onak terpaksa dilalui. Hanya mereka yang kuat, tabah dan mampu mendepani segalanya bakal menjulang kebahagiaan.

Perunding motivasi dan keluarga, Datuk Dr Fadzilah Kamsah memberi 63 petua yang boleh dijadikan amalan pasangan suami isteri yang melayari rumah tangga.

1. Doa yang berterusan.

2. Patuh ajaran agama.

3. Murah dengan pujian.

4. Murah dengan khidmat.

5. Murah dengan belaian kasih sayang.

6. Murah dengan sentuhan.

7. Mencari kebaikan pasangan.

8. Cari masa berkomunikasi, berbual atau bergurau senda.

9. Cari kebaikan dan pembaikan diri daripada setiap pertengkaran.

10. Menghormati had, sempadan atau hal peribadi pasangan.

11. Menilai diri daripada perspektif pasangan.

12. Berfikiran terbuka - boleh tegur menegur.

13. Berani mengambil risiko emosi - tegur/perubahan/ berpisah sementara.

14. Menilai dan memberi keutamaan dalam kehidupan.

15. Tolak-ansur.

16. Menghormati dan mengambil kira ‘gerak batin’ (intuition) perempuan.

17. Tidak mengejar kebendaan semata-mata.

18. Sedar bahawa perselisihan kadangkala tidak boleh dielakkan.

19. Mengubah diri untuk merangsang perubahan pada pasangan.

20. Sanggup berkorban buat pasangan.

21. Menghormati pasangan.

22. Berasa amat beruntung (dan nyatakan) mendapat pasangan yang ada.

23. Perhubungan seksual yang sihat dan diredai.

24. Menghormati perbezaan dalam diri pasangan.

25. Sentiasa bermaafan sebelum tidur.

26. Sentiasa bersangka baik terhadap masa depan.

27. Meletakkan hak kepada pasangan.

28. Tidak menjadi hamba kepada pasangan.

29. Berubah secara kecil-kecilan untuk meningkatkan kebahagiaan.

30. Mengawal marah. Buat perjanjian.

31. Mencari penyelesaian dalam situasi ‘menang-menang’.

32. Muhasabah hubungan untuk mencari punca masalah.

33. Menghormati sifat semula jadi pasangan.

34. Memahami peranan ‘pasangan’.

35. Hubungan perasaan sesama pasangan.

36. Jangan simpan ketidakpuasan, sedih, marah atau benci dalam hati.

37. Bentuk kod kasih sayang dan anda berdua saja yang tahu.

38. Sengaja merancang untuk membaiki hubungan suami isteri.

39. Tujuh kali puji dan satu teguran.

40. Sebut ‘I love you’ sepanjang masa.

41. Banyakkan bergurau dan bermesra.

42. Sentiasa berterus terang.

43. Beri masa untuk perubahan berlaku - sabar.

44. Elakkan berdebat untuk mencari kebenaran.

45. Elakkan salah pasangan.

46. Cari titik pertemuan.

47. Selesaikan masalah hari ini pada hari ini juga.

48. Lebih banyak memberi daripada menerima.

49. Minta nasihat, pandangan atau maklum balas daripada pasangan.

50. Sentiasa bersemangat - bangun tidur, pergi kerja, balik kerja dan sebagainya.

51. Seimbangkan hubungan dari segi:

(a) Mental, pendidikan dan ilmu

(b) Emosi

(c) Fizikal dan ekonomi

(d) Sosial

(e) Spiritual

52. Jangan berjauhan terlalu lama (kecuali terpaksa).

53. Tidak terlalu mengongkong.

54. Tidak bertindak bersendirian.

55. Memberi peluang untuk berbeza:

(a) Pendapat atau pandangan

(b) Hobi

(c) Kegemaran

(d) Makanan

(e) Cita rasa

(f) Warna pilihan dan pelbagai

56. Humor atau lawak dari semasa ke semasa.

57. Minta bantuan untuk memecahkan kitaran negatif.

58. Berwawasan dan pandang ke depan (tidak terjebak dengan masalah semasa).

59. Tidak meminta yang bukan-bukan.

60. Bentuk undang-undang atau peraturan dalam rumah tangga.

61. Mencari kelainan dan perubahan positif.

62. Elakkan mendera pasangan dengan apa cara sekalipun.

63. Reda, syukur dan tawakal kepada Allah s.w.t.

Isnin, 12 Oktober 2009

NAMPAK KUAT AGAMA TAPI MASUK NERAKA

TAZKIRAH

Oleh DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN


UNTUK membuat penilaian yang seimbang atau kesimpulan yang adil bukanlah mudah. Dalam kehidupan ini ramai orang selalu membuat kesimpulan daripada penampilan atau faktor luaran yang mereka lihat semata. Penilaian yang seimbang atau kesimpulan yang adil berbeza dengan sangkaan baik.

Umpamanya, apabila kita melihat mereka yang kuat bersolat, atau berpuasa maka sudah pasti kita wajar bersangka baik terhadapnya. Namun dalam masa yang sama kita tidak akan membuat kesimpulan bahawa dia adalah pasti ahli syurga, atau pasti orang yang kuat berpegang dengan agama, atau seorang yang soleh.

Ini kerana solat dan puasa memanglah amalan yang baik dalam Islam, tetapi Islam bukan sahaja berkaitan soal solat dan puasa, sebaliknya Islam merangkumi pelbagai sudut kehidupan. Jika dia kuat solat dan puasa, tetapi dalam masa yang sama kuat memaki dan mencerca orang, atau menderhakai ibubapanya, atau tidak amanah, atau menzalimi orang lain dan seumpamanya, maka dia bukannya orang yang soleh dalam ertikata sebenar dalam Islam.

Tidakkah kita selalu membaca hadis: “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Jawab mereka: “Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta”. Sabda baginda: “Orang yang muflis dalam umatku ialah sesiapa yang datang pada Hari Kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat, juga dia pernah memaki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpah darah seseorang dan memukul seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa-dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke dalam neraka” (Riwayat Muslim).

Pendusta Agama

Dalam hadis lain Nabi s.a.w menceritakan tentang akhir zaman ada para pembaca al-Quran kerana hendak dapat untung. Ini dapat kita lihat dalam negara kita mereka yang memakai ‘pakaian agama’ dan mengutip wang daripada orangramai kononnya kerana hendak membuat penghantaran pahala kepada si mati.

Mereka membuat untung yang besar saban tahun atas nama al-Quran dan orang menganggap mereka melakukan kebaikan sedangkan Nabi s.a.w menyindir perbuatan ini dengan sabdanya: “Bacalah al-Quran dan mintalah daripada Allah (pahala), kerana selepas kamu akan ada kaum yang membaca al-Quran dan meminta (upah) daripada manusia” (Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Dalam sejarah ramai mereka yang menampil watak ‘agama’ tetapi sebenarnya penjenayah agama. Antara yang terkenal ialah Abu ‘Ismah Nuh bin Abi Maryam yang mencipta hadis-hadis dusta kononnya kerana ingin mendapat pahala dengan diadakan hadis-hadis fadilat itu dan ini khususnya tentang surah-surah al-Quran. Dia digelar Nuh al-Jami’ bermaksud Nuh yang menghimpunkan. Ini kerana dia menghimpunkan ilmu daripada berbagai tokoh-tokoh besar. Namun al-Hafiz Ibn Hibban menyatakan: “dia menghimpunkan segalanya, kecuali cakap benar”. (lihat: al-Sayuti, Tadrib al-Rawi, 185, Beirut: Dar al-Fikr).

Pada zahirnya, dia tokoh agamawan namun pada hakikatnya dia sebenarnya pendusta agama. Bukan sedikit orang yang sepertinya dalam sejarah pengumpulan hadis. Kata seorang tokoh pengkaji hadis, Dr. Hammam Sa`id: “Telah zahir golongan ahli ibadat, zuhud dan nussak (penumpu penuh ibadah). Kejahilan dan kebodohan mereka telah membawa mereka mencipta hadis-hadis palsu dalam fadhilat-fadhilat amal, fadhilat surah-surah al-Quran dan solat-solat sunat, untuk menggalakkan orang ramai beramal.

Seperti juga mereka mencipta hadis-hadis palsu dalam menakut orang ramai terhadap maksiat. Mereka menyangka mereka telah membela Islam. Golongan yang jahil ini tidak tahu bahawa pendustaan ke atas Rasulullah s.a.w boleh menurunkan mereka ke dalam tingkatan-tingkatan yang paling bawah dalam neraka jahannam” (Hammam `Abd al-Rahim Sa`id, Al-Tamhid fi `Ulum al-Hadith, m.s. 140, Jordan: Dar al-Furqan). Ini kerana tindakan mereka telah menipu atas nama Nabi s.a.w dan merubah wajah asal agama.

Jika dilihat atau dinilai pada zahir ibadah dan pakaian mereka, tentu kita menyangka mereka golongan yang soleh, tetapi di sisi agama mereka adalah para pendusta yang termasuk dalam sabda Nabi s.a.w: Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Khawarij

Dalam sejarah pertelingkahan umat Islam kelompok yang paling kuat dan awal menggunakan isu agama untuk mengkafirkan orang Islam yang lain ialah Puak Khawarij. Kelompok ini Nabi s.a.w sifatkan seperti berikut: “..Seseorang kamu akan merasa lekeh solatnya dibandingkan solat mereka, merasa lekeh puasanya dibandingkan puasa mereka. Mereka membaca al-Quran, namun al-Quran itu tidak melebih halkum mereka. Mereka tersasar keluar dari agama seperti anak panah tersasar dari sasarannya..” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Inilah Khawarij yang kelihatan hebat dalam ibadah dan pidato agama mereka dengan menggunakan nas-nas al-Quran. Mereka mengkafirkan orang Islam yang melakukan maksiat, juga mengkafirkan orang Islam yang tidak mengikut kumpulan mereka. Puak Khawarij ini mengangkat slogan: "Tidak ada hukum melainkan hukum Allah". Slogan yang kelihatannya berteraskan al-Quran, tetapi dengan tujuan yang buruk. Kata Saidina Saidina 'Ali bin Abi Talib kepada mereka: "Satu slogan yang benar, tetapi dengan tujuan yang batil". (Al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, 304/10, Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah).

Dengan slogan al-Quran “Sesiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah maka mereka itu orang-orang yang kafir” (Surah al-Maidah, ayat 44), maka mereka melancarkan kempen mengkafirkan dan memerangi orang Islam. Atas andaian yang tipis maka dengan mudah seseorang dijatuhkan hukuman murtad dan kafir.

Hasilnya, pertumpahan yang dahsyat berlaku pada zaman pemerintahan Saidiyyida ‘Ali bin ‘Abi Talib. Selepas zaman ‘Ali pun, pemikiran Khawarij meresap ke dalam berbagai kumpulan dan organisasi. Hasilnya, kita mendengar isu kafir mengkafir muncul di pelbagai zaman dan tempat di seluruh pelusuk dunia Islam.

Pada zahirnya puak ini berwajah agama, namun pada hakikatnya Nabi s.a.w menyebut tentang mereka: “Mereka itu berucap dengan ucapan sebaik-baik makhluk. Mereka tersasar keluar dari Islam seperti anak panah tersasar dari sasarannya. Iman mereka tidak melebihi halkum mereka. Di mana sahaja kamu temui mereka maka bunuhlah mereka kerana sesungguhnya membunuh mereka itu ada pahala pada Hari Kiamat” (Riwayat al-Bukhari).

Demikian getirnya kelompok ini. Sekalipun dengan ungkapan dan nas agama di mulut mereka, namun Nabi s.a.w memerintahkan agar pemerintah Islam membunuh mereka kerana mereka mengkafirkan bahkan sesetengah kelompok mereka seperti al-Azraqiyah membunuh orang Islam, anak kecil dan wanita yang tidak mengikut kumpulan atau jamaah mereka.

Dengan ini menyedarkan kita semua, di samping kita bersangka baik kepada golongan yang menzahirkan ciri-ciri agama, kita sayangkan mereka dan menghormati mereka, namun kita juga mestilah berhati-hati dengan tindakan setiap individu dan kumpulan.

Janganlah penampilan zahir menyebabkan kita membuta mata atau memandulkan akal dari membuat penilaian yang matang dan seimbang. Apa yang baik kita kata baik, apa yang salah tetap dinilai salah tanpa mengira dari mana dan siapa kesalahan itu datang. Namun jika golongan tertentu menzahirkan ciri-ciri agama dan memegang prinsip agama dalam seluruh perjalanan mereka, maka merekalah golongan yang kita cinta dan kita bela dengan sepenuhnya.