Ahad, 23 Oktober 2016

Petua karut ketika berjimak


 
JIKA ada yang berpesan kepada anda supaya jangan melihat kemaluan isteri ketika sedang melakukan hubungan kelamin kerana boleh mengakibatkan buta. Bahkan petua tersebut dikatakan Rasulullah SAW sendiri yang melarangnya. Maka, apa pendapat anda? Apa yang akan anda lakukan?

Bertenang. Usah gusar. Jangan panik. Sebenarnya apa sahaja petua, galakan atau larangan yang disandarkan kepada agama, maka langkah pertama yang perlu kita lakukan ialah memastikan kesahihan sumbernya.

Jadi, disiplinkan diri untuk mengenal pasti terlebih dahulu apakah dalil yang menjadi sandaran kepada sesuatu suruhan atau larangan berkaitan agama. Walaupun orang yang menyebutnya bergelar ustaz, tuan guru, habib, mufti atau sesiapa sahaja. Ini kerana agama ini adalah milik ALLAH SWT yang mempunyai disiplin dan metode tersendiri. Tidak boleh mengaitkan sesuatu dengan agama melainkan ia bersandarkan kepada ALLAH  dan juga Rasulullah SAW.

Jadi, berbalik kepada larangan melihat kemaluan isteri ketika bersetubuh kerana ia boleh mengakibatkan buta. Dari mana larangan sebegini boleh muncul? Sebenarnya ia diambil daripada hadis palsu:

"Apabila salah seorang antara kamu semua sedang berjimak (bersetubuh), maka janganlah dia melihat kepada faraj (kemaluan isteri) kerana perbuatan itu akan mengakibatkan buta, dan janganlah memperbanyakkan bercakap, kerana hal itu akan mengakibatkan bisu."

Ibn Al-Jauzi memasukkan hadis ini dalam senarai hadis palsu dalam bukunya Al-Maudhuat. (Rujuk: Ibn Al-Jauzi, Al-Maughu'at (Madinah: Maktabah Al-Salafiyah, 1966) 2/272)

Hadis ini dihukum sebagai palsu kerana dalam sanadnya terdapat penyampai hadis bernama Muhammad bin Abd al-Rahman Al-Qusyairi. Menurut Imam Al-Zahabi, Muhammad bin Abd al-Rahman Al-Qusyairi ini adalah seorang yang tidak dipercayai. Imam Al-Azdi dan Al-Daruqutni pula mengatakan beliau adalah seorang pendusta yang perlu ditinggalkan hadis yang disampaikan olehnya.

Melihat kepada maksud hadis ini sendiri kita sudah boleh mengagak ia adalah palsu dan tidak mungkin Rasulullah SAW mengucapkannya. Mustahil syariat Islam yang telah menghalalkan hubungan kelamin di antara suami dan isteri, dalam masa yang sama melarang si suami melihat faraj isterinya.

Menurut hadis diriwayatkan oleh Ibn Hibban dalam Sahihnya, daripada Sulaiman Al-Taimi bahawa dia pernah ditanya mengenai apakah hukumnya seseorang itu melihat faraj isterinya? Maka dia pun menjawab: "Aku pernah bertanya soalan ini kepada 'Atha', lalu dia menjawab: "Aku pernah bertanya kepada 'Aisyah, dan 'Aisyah menjawab: "Aku pernah mandi bersama Rasulullah SAW dalam satu bekas, hingga aku mengatakan: Biarkan air itu untukku, biarkan untukku." (Hadis Hasan, no 5577)

Al-Hafiz Ibn Hajar Al-'Asqalani dalam Fath Al-Bari mengatakan: "Hadis ini adalah hujah perihal bolehnya seseorang untuk melihat aurat isterinya, demikian juga sebaliknya". Maka, tidak ada bezanya melihat ketika mandi dan ketika berjimak.

Kalaulah perkara ini dilarang, kemungkinan ia akan menjejaskan kenikmatan ketika hubungan suami dan isteri. Sedangkan syariat mengizinkan pasangan suami isteri untuk masing-masing merasai nikmat tersebut. ALLAH menggambarkan dalam al-Quran bahawa si isteri itu umpama ladang bagi si suami. Jadi, si suami boleh mendatangi isterinya menurut cara yang disukai pada tempat menanam benih. Firman-Nya: "Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai..." (Surah Al-Baqarah: 223)

Kenapa syariat membolehkan perkara ini? Sudah tentu salah satu sebabnya ialah untuk memberikan peluang kepada pasangan suami isteri saling merasai kenikmatan tersebut dengan cara yang halal lagi diredai.

Cumanya, syariat juga menetapkan garis panduan yang memang tidak boleh dilakukan semasa hubungan suami isteri. Antaranya ialah, syariat mengharamkan si suami mendatangi isterinya dari bahagian belakang (dubur) isterinya berdasarkan beberapa hadis yang diterima.

Antaranya ialah hadis berikut: "Apabila golongan Muhajirin datang ke perkampungan kaum Ansar, mereka pun menikahi wanita Ansar. Golongan muhajirin biasa menelungkupkan isterinya ketika bersetubuh, sedangkan kaum Ansar tidak biasa melakukannya. Suatu ketika ada seorang lelaki Muhajirin hendak menyetubuhi isterinya daripada kaum Ansar dengan cara seperti itu (melalui dubur), tetapi si isteri menolak sebelum ada kejelasan hukumnya daripada Rasulullah SAW. Lalu dia pun berjumpa Rasulullah SAW. Tetapi dia berasa malu untuk bertanya terus kepada Rasulullah SAW. Maka dia bertanya kepada Ummu Salamah (isteri Nabi SAW) supaya ditanya kepada Baginda SAW. Lalu, turunlah ayat 223 daripada Surah Al-Baqarah.

Rasulullah SAW lalu menjawab: "Tidak boleh (melalui dubur) melainkan pada satu jalan sahaja (faraj)." (Riwayat Ahmad, Al-Tirmizi dan beliau menyatakan ia sahih)

Berkenaan larangan memperbanyakkan bercakap ketika bersetubuh suami isteri seperti yang disebutkan dalam hadis palsu ini, memang ia suatu tindakan yang tidak sesuai. Banyak bercakap dan berbincang perkara-perkara lain ketika melakukan hubungan intim memang tidak munasabah, sedangkan perkara tersebut boleh dibualkan pada masa lain. Tetapi, jika si suami atau isteri mengungkapkan sesuatu yang manis dan indah yang boleh meningkatkan perasaan kasih sayang ketika itu, maka ia tidak menjadi kesalahan.

Justeru, kepada pasangan suami isteri, syariat telah mengikat hubungan anda dengan cara yang halal dan sah. Isteri adalah hadiah buat suami. Suami adalah anugerah buat isteri. Raikannya dengan kegembiraan dan kesyukuran. Nikmati ia dengan cara yang halal. Pelihara, pagari, sirami dan bajai ladang masing-masing agar ia terus subur dan mekar. Percayalah, kenikmatan dan keseronokan yang dirasai oleh suami isteri sedikit pun tidak akan disia-siakan di sisi Tuhan kerana pada hubungan intim juga adalah ladang menuai pahala.

*  ABD RAZAK MUTHALIB, Penulis ialah Jurulatih Kanan & Motivator di Akademi magnet Sukses. Graduan Ijazah Sarjana Kuliyah Ilmu Wahyu, UIAM

Rabu, 19 Oktober 2016

Karbala: Benarkah Husain dibunuh Yazid?


Oleh Dr Mohd Asri Zainul Abidin 


Sesuatu riwayat atau kisah atau matan yang hendak dianggap benar untuk dikaitkan dengan Islam mesti dinilai secara kritis sejauh manakah kesahihan maklumat tersebut.Ini mesti dilihat kepada sumber maklumat; sama ada ia berasal daripada al-Quran dan al-Sunnah atau tidak?

Sementara jika riwayat itu bersumberkan hadis atau athar; hendaklah dipastikan ia riwayat yang diterima di sisi ilmu periwayatan.

Setelah proses ini dilepasi, dinilai pula sejauh manakah kemunasabahan sesuatu teks atau riwayat itu.

Adakah ia bertentangan dengan al-Quran, atau realiti yang nyata, atau fakta sejarah yang tidak mungkin dipertikaikan, atau akal yang disepakati?

Jika ini berlaku dan tiada jalan keluar untuk menyerasikannya, maka riwayat itu ditolak.

Contohnya cerita bahawa Bahtera Nabi Nuh AS tawaf kaabah dan bersolat di makam Ibrahim dua rakaat. Ini semua adalah dusta. Tidak masuk akal.

Nabi Nuh AS wujud sebelum Ibrahim AS, sementara kaabah dibina oleh Nabi Ibrahim dan makam Ibrahim mengambil sempena nama Nabi Ibrahim AS.

Di mana Kaabah dan makamnya ketika itu untuk bahtera Nuh bertawaf?

Dengan itu para ulama hadis hadis menolak cerita ini. Ini termasuk tampil menempelak riwayat tersebut al-Imam al-Syafi’i RH (al-Jurjani, al-Kamil fi Du’afa al-Rijal, 4/270, Beirut: Dar al-Fikr).

Malang sekali, masih ada penceramah agama yang mendendangkan kisah karut ini.

Pembunuhan Husain

Beberapa e-mel yang saya terima mengadu mengenai sebuah tulisan dalam akhbar yang menyatakan tentang sunat membuat bubur pada sepuluh Muharram kerana mengenangkan peristiwa pembunuhan Saidina Husain bin ‘Ali RA.

Ada yang bimbang masuknya unsur Syiah ke dalam masyarakat yang tidak diajar menilai sesuatu dengan kritis.

Saya kata; kita tidak bimbang asal-usul sesuatu unsur pemikiran atau kefahaman dari mana datangnya.
Selagi ia benar atau bertepatan dengan fakta, datanglah dari mana sahaja, sekalipun dari Yahudi. Kebenaran tidak memilih bulu.

Apa yang dibimbangi adalah unsur tersebut terpinggir jauh dari kebenaran. Soal kelebihan amalan atau fadhilat adalah ditentukan oleh Allah dan Rasul-Nya.

Dalam riwayat sahih yang manakah yang menyebut kelebihan membuat bubur hitam atau merah atau apa warna sahaja pada Hari Ashura?

Apa yang pasti ia tidak pernah ada riwayat sahih yang menyuruh hal itu.

Apatah lagi peristiwa pembunuhan Husain bin ‘Ali berlaku pada tahun 61H, di zaman pemerintahan Yazid bin Mu’awiyah. (lihat: Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, 6/258, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).