Dipetik :http://halaqah.net
Jabal Abu Qubais atau Jabal
Qubais adalah sebuah tanah tinggi atau bukit di sebelah timur Mekah yang
letaknya berdekatan dengan Masjidil Haram. Bukit ini berhadapan dengan
Jabal Quayqian.
Jabal Abi Qubais disebut dalam as-Sirah
an-Nabawiyah (buku pertama tentang sejarah Nabi Muhammad s.a.w) sebagai
tempat yang biasa diziarahi orang-orang pada masa Jahiliah. Pada masa
Islam, Jabal Qubais ini hanya disebut dalam hubungannya dengan penduduk
Mekah, termasuk Abu Quhafah (ayah Abu Bakar As-Siddiq), yang naik ke
bukit ini dan tempat-tempat tinggi lainnya untuk melihat dan menyaksikan
pasukan Islam yang memasuki Mekah pada hari penaklukan Mekah. Dalam
al-Munjid (Penolong) karangan Louis Ma’luf disebutkan bahawa Jabal Abu
Qubais pernah dijadikan tempat pelontaran manjaniq (alat pelontar batu
dalam peperangan) oleh Hasin bin Numayr untuk dihalakan kepada pasukan
Abdullah bin Zubair yang bertahan di Kaabah. Tembakan dengan manjaniq
ini menyebabkan terbakarnya tirai atau kiswah Kaa’bah.
Cerita-cerita
yang disebutkan dalam as-Sirah an-Nabawiyah dan Hayat Muhammad
(Kehidupan Nabi s.a.w) oleh Dr. Heikal mengenai Jabal Abu Qubais pada
umumnya dihubungkan dengan riwayat Muhammad s.a.w sebelum diangkat
menjadi Rasul. Disebutkan pula, bahawa nama bukit itu diambil daripada
nama seorang penduduk daripada Bani Jurhum, iaitu Qubais bin Syalikh,
yang tewas di atas jabal (gunung) itu.
Dalam hubungannya dengan
Nabi s.a.w, disebutkan bahawa ia pernah dibawa oleh datuknya Abdul
Mutalib ke puncak Jabal Qubais untuk berdoa memohon hujan. Nabi s.a.w
pada waktu itu masih kecil dan Mekah dilanda kemarau panjang. Seorang
wanita, Raqiqah binti Abi Saifi bin Hasyim, dalam tidurnya bermimpi
mendengar suara yang mengatakan bahawa dari kalangan kaum Quraisy akan
muncul seorang Nabi. Suara dalam mimpi itu juga memberinya petunjuk
bagaimana cara meminta hujan agar dikabulkan Tuhan, iaitu penduduk harus
meminta pemimpin mereka (Abdul Mutalib) agar membawa cucunya dan
beberapa orang penduduk untuk berdoa bersama-sama. Terlebih dahulu
mereka harus bersuci, mencium Hajar Aswad (batu hitam pada Kaabah) dan
bertawaf sebanyak tujuh kali.
Peristiwa lain yang dihubungkan
dengan Jabal Qubais adalah peristiwa Hilf al-Fudul. Seorang pemuda
daripada Bani Zubaid dizalimi oleh Asif bin Wail, bangsawan Mekah, yang
tidak mahu membayar harga barang dagangan yang dibawa pemuda itu. Orang
ini mendatangi beberapa pemuda Quraisy untuk meminta pertolongan tetapi
tidak ada seorang pun yang bersedia menolongnya. Kerana kecewa, keesokan
paginya ia naik ke puncak Jabal Abu Qubais dan meneriakkan keluhannya
bahawa dia dizalimi dan berharap ada orang yang dapat menolongnya
menghadapi orang yang menzaliminya. Seruan orang itu disambut oleh
Zubair bin Abdul Mutalib, bapa saudara Nabi s.a.w. Ia lalu memanggil
tokoh-tokoh Bani Hasyim dan mengadakan perjumpaan di rumah Ibnu Jud’an
yang membuahkan perjanjian Hilf al-Fudul yang bertujuan untuk mengambil
tindakan terhadap Asif bin Wail, sehingga ia membayar harga barang yang
dibelinya daripada orang yang mengadu itu.
Jabal Abu Qubais
juga muncul dalam mimpi Atiqah binti Abdul Mutalib di Mekah, tiga hari
sebelum meletusnya Perang Badar. Dia bermimpi melihat seorang penunggang
unta datang ke Mekah, kemudian masuk ke Masjidil Haram dengan diikuti
orang ramai dan naik ke bumbung Kaabah serta berteriak memperingatkan
penduduk akan datangnya bencana tiga hari kemudian. Dari situ, dia turun
dan naik ke Jabal Abu Qubais. Di puncak bukit itu, dia kembali
memperingatkan orang ramai akan datangnya musibah. Setelah itu, dia
mengambil batu besar dan melemparkannya. Setelah sampai ke bawah Jabal
Abu Qubais, batu itu terpecah-pecah menjadi pecahan kecil yang bergerak
memasuki semua rumah di Mekah.
Sewaktu Nabi Muhammad s.a.w.
melaksanakan umrah setahun setelah perjanjian Hudaibiah, banyak penduduk
Mekah yang naik ke puncak Jabal Abu Qubais dan tempat-tempat tinggi
yang lainnya untuk menyaksikan Nabi s.a.w dan sekitar dua ribu orang
pengikut baginda melaksanakan umrah.
Di timur Baitullah, jika kita membelakangkan
hajarul aswad yang mulia, akan terpandanglah kita sebuah istana megah
berdiri atas sebuah bukit yang telah ditarah habis. Bukit yang telah
diperkosa sedemikian rupa, itulah Jabal Abi Qubais yang mempunyai
sejarah berkait rapat dengan sejarah Baitullah dan Kota Makkah
al-Mukarramah. Jabal Abi Qubais atau lebih masyhur di lidah orang kita
sebagai Jabal Qubais atau orang kampung aku panggil "Jabal Kobes",
dahulunya mencapai ketinggian 420 meter. Ada riwayat yang menyatakan
bahawa Jabal Abi Qubais inilah seawal-awal gunung / bukit yang dicipta
Allah atas muka bumi ini. Imam as-Sayuthi rhm. meriwayatkan dalam
"al-Wasaa-il fi Musaamiratil Awaa-il" halaman 6 menulis:-
" Dan seawal-awal jabal yang diletakkan Allah atas bumi adalah Abu
Qubais, kemudian terpencar (tersebar) darinya segala jabal. Ibnu
'Asaakir menyatakan bahawa dalam sanad hadits ini ada rawi yang majhul
dan bahawasanya ianya dihafaz / diterima daripada perkataan 'Atho`".
Banyak
peristiwa bersejarah berkait dengan Jabal Abi Qubais. Jabal Abi Qubais
dikenali juga sebagai Jabal al-Amin (bukit kepercayaan / bukit penyimpan
amanah), kerana Allah telah mengamanahkan hajarul aswad dalam
simpanannya pada waktu taufan dan bah zaman Nabi Nuh a.s. Tatkala Nabi
Ibrahim membina semula Baitullah, maka Jabal Abi Qubais mengeluarkan
kembali hajarul aswad lalu dibawa oleh Sayyidina Jibril a.s. dan
serahkan kepada Nabi Ibrahim a.s.
Dalam sebahagian kitab-kitab
tafsir seperti "Tafsir al-Jalalain" dan "Tafsir al-Qurthubi", dalam
memberikan tafsiran bagi firman Allah s.w.t. yang kira-kira bererti:-
"Dan
serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka
akan datang ke (rumah Tuhan)mu dengan berjalan kaki, dan dengan
menunggang berjenis-jenis unta yang kurus, yang datangnya dari berbagai
jalan (dan ceruk rantau) yang jauh", (al-Hajj: 25 -)
Tafsir
Pimpinan ar-Rahman menyatakan bahawa seruannya Nabi Ibrahim ini
dilakukan baginda dari puncak Jabal Abi Qubais. Imam al-Qurthubi
meriwayatkan dalam tafsirnya tersebut daripada Sayyidina Ibnu 'Abbas
r.a. dan Sayyidina Ibnu Jubair r.a. yang menceritakan bahawa setelah
Nabi Ibrahim menyelesaikan pembinaan Baitullah, maka Allah berfirman
kepada baginda:
"Serukanlah segala manusia untuk mengerjakan haji."
Maka Nabi Ibrahim bertanya: "Wahai Tuhan, adakah seruanku akan sampai kepada mereka"? Allah menjawab: "Serulah dan atas Akulah menyampaikannya." Lalu naiklah Nabi Ibrahim Khalilullah akan Jabal Abi Qubais dan berteriaklah baginda dengan katanya: "Wahai
manusia ! Bahawasanya Allah telah memerintahkan kamu untuk menunaikan
haji ke Baitullah ini, untuk diganjari kamu dengan haji tersebut akan
syurga dan diselamatkan kamu daripada azab neraka, maka berhajilah
kamu." Seruan Nabi Ibrahim ini telah dijawab oleh segala roh
manusia yang berada di tulang-tulang sulbi lelaki dan rahim-rahim
perempuan dengan ucapan talbiyyah "LaibaikAllahumma labbaik", sesiapa
yang menjawabnya pada hari tersebut maka dia akan berhaji sebanyak mana
jawapannya, jika menjawab sekali akan berhaji sekali dan jika dua kali
akan berhaji dua kali, dan dari sinilah bermulanya ucapan talbiyyah yang
menjadi semboyan atau syiar para hujjaj. Selain daripada itu,
diriwayatkan juga bahawa batu-batu yang digunakan untuk membina
Baitullah yang mulia diambil dari Jabal Abi Qubais.
Terdapat juga
riwayat yang menyatakan bahawa mukjizat Junjungan s.a.w. membelah bulan
berlaku di Jabal Abi Qubais, di mana setelah diminta oleh kaum
musyrikin Makkah agar Junjungan Nabi s.a.w. memperlihatkan satu
mukjizat, maka baginda dengan tunjukan jari baginda yang mulia telah
membelah bulan menjadi dua belahan, sehingga disaksikan oleh kaum
musyrikin Makkah bahawa bulan benar-benar terbelah dua, satu belahan di
atas Jabal Qubais, manakala belahan keduanya pergi ke Jabal Qu`ayqa`aan
(Jabal Qiiqa`aan atau Jabal Hindi).
Selain peristiwa tersebut,
sebahagian mufassir juga menceritakan bahawa tatkala turun firman Allah
s.w.t yang kira-kira bererti:- "Dan berilah peringatan serta amaran
kepada kaum kerabatmu yang dekat." (asy-Syu`araa`: 214 - Tafsir Pimpinan
ar-Rahman), yang memerintahkan dakwah secara terang-terangan kepada
kaum kerabat baginda, maka Junjungan Nabi s.a.w. membuat seruan tersebut
dari Jabal Abi Qubais Ini adalah mengikut riwayat sebahagian mufassir,
manakala sebahagian lain menyatakan baginda melakukan seruan dakwah
tersebut dari Bukit Shofa. Kedua-dua riwayat ini tidaklah bercanggah
kerana Jabal Shofa tempat memulakan ibadah sa`ie, terletak di hujung
Jabal Abi Qubais dan merupakan sebahagian daripada jajaran Jabal Abi
Qubais, manakala Jabal Marwah berada di permulaan jajaran Jabal
Qiiqa`aan / Jabal Qu`ayqa`aan / Jabal Hindi.
Berbalik kepada
peristiwa Nabi Ibrahim a.s. membuat seruannya agar umat manusia
menunaikan haji dari atas Jabal Abi Qubais, maka dahulu ramai orang naik
ke atasnya untuk berbuat sedemikian kerana mengambil sempena. Dahulu di
atas puncak bukit tersebut ada sebuah masjid kecil yang dinamakan
Masjid Bilal. Menurut cerita sesetengah orang, masjid tersebut dibina
atas tapak di mana Nabi Ibrahim membuat seruan baginda tersebut. Oleh
itu, maka sebagai menelusuri jejak sejarah dan mengambil sempena,
manusia datang menziarahi masjid tersebut untuk "melambai", yakni berdoa
agar ahli keluarga dan rakan taulan yang belum berkesempatan datang ke
Baitullah diberi peluang untuk ke sana. ,
musim haji tahun 1974, aku sempat menaiki Jabal Abi Qubais dan
menziarahi masjid tersebut dan memang Baitullah nampak dengan jelas dari
sana. Sekarang, semua ini sudah tidak ada lagi, kerana kini tiada lagi
rumah, tiada lagi rubath, tiada lagi masjid atas Jabal Abi Qubais, yang
ada hanyalah istana mewah keluarga Sa`ud....Allahu .... Allah.
Pemusnahan
dan penjarahan tempat-tempat bersejarah di Tanah Suci hingga kini
berterusan atas nama pembangunan dan pemodenan. Tidak mustahil satu hari
di masa hadapan, masjid agung Makkah ini akan dikelilingi bangunan -
bangunan moden pencakar langit kerana sekarang pun telah ada pencakar
langit berupa hotel mewah bersebelahan Masjidil Haram yang mulia.
Harap-harap janganlah berlaku di masa hadapan di mana jika bukan kerana
Masjidil Haram, Baitullah, dan suasana ibadah, manusia merasakan dirinya
berada di Kota New York yang penuh pencakar langit (kata orang
le...sebab aku belum pernah lagi ke New York). Mudah-mudahan segala
tempat bersejarah ini tetap dikenang dan dikenali umat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan