Rabu, 19 Mei 2010

ETIKA PEMAKAIAN DALAM ISLAM

AKHLAK


Definisi Pakaian - Dalil Pensyatiatan Pakaian ( Bahagian 1 )


Bahagian Pakaian

Tahap pakaian yang dipakai oleh seseorang pada hakikatnya bukan berada pada satu tahap hukum sahaja. Amalan berpakaian itu kadang kala menjadi wajib atau sunat atau wajib, malah kadang kala boleh menjadi haram. Kedudukan hukum itu bergantung kepada elemen-elemen lain yang turut memberikan pengaruh kepada penentuan status hukum.

Seperti yang ditegaskan sebelumnya bahawa menutup aurat dengan pakaian merupakan salah satu cabang pengabdian kepada Allah s.w.t. Justeru, ruang lingkup pengabdian itu memiliki tahap-tahap khusus yang tentunya amalan berpakaian itu dinilai oleh Allah s.w.t menurut tuntutan dan kedudukannya. Untuk memperjelaskan tahap hukum dalam berpakaian, penulis terus memindahkan pandangan cendikiawan Islam Mesir, Sayyid Sabiq yang telah memecahkan tahap hukum berpakaian kepada tiga bahagian. ( h.35-36 )


Pakaian Wajib


Tahap wajib berpakaian ini ialah seseorang yang berpakaian yang menutup bahagian-bahagian badan yang menjadi aurat dan mampu memeliharanya daripada kepanasan atau kesejukan di samping menghindarkan sebarang kemudharatan ke atas dirinya.

Hal ini memperlihatkan selain daripada pakaian itu menutup aurat, pakaian itu juga dalam situasi yang lain perlu bertindak sebagai “siverval”.

Misalnya, seseorang yang dalam kesejukan bersangatan wajiblah bukan sekadar menutup auratnya, malah menebalkan pakaiannya demi memelihara nyawa daripada mati kesejukan.

Begitu juga wajib menutup aurat dan badannya bagi menghindar seseorang pesakit lelaki yang dinasihati oleh pakar kulit supaya menutup lengannya daripada kepanasan wajb menutup lengannya walaupun pada hukum asalnya lengan bukan aurat kepada lelaki. Menutup lengan tersebut bukan kerana bahagian lengan itu aurat, tetapi kerana sesuatu kemudharatan kesihatan pada dirinya.


Pakaian Sunat


Pakaian yang dalam tahap sunat ialah pakaian yang bermaksud untuk kecantikan dan perhiasan.

Pakaian Haram

Pakaian haram bermaksud memakai pakaian yang diharamkan oleh syarak iaitu lelaki memakai sutera dan emas, lelaki memakai pakaian yang dikhususkan kepada perempuan, perempuan memakai pakaian yang dikhususkan kepada lelaki dan memakai pakaian syurah (menunjuk-nunjuk), ikhtiyal (bermegah-megah) dan semua pakaian yang israf (melampau).

Syeikh Muhammad Bukait al-Muti’iy (Lihat. Fatawa al-Syeikh al-Albaniy, h.621 & 622) yang merupakan bekas mufti Mesir pernah ditanya berhubung bergaya dan mencantikan pakaian. Beliau menjelaskan pertanyaan tersebut dengan menarik kerana mengabungkan nas daripada ayat al-Quran, al-sunnah dan al-athar daripada Ibn Abbas.

Allah berfirman; Ayat al-Quran di atas ditafsir oleh hadith di bawah

كلوا واشربوا وتصدقوا فى غير اسراف ولامخيلة

“Makanlah oleh kamu, minumlah oleh kamu dan bersedekahlah oleh kamu tanpa isyraf dan tanpa mukhayyalah”

Hadith di atas pula diperjelaskan lagi oleh Ibn Abbas

كل ما شئت والبس ما شئت ما أخطأتك اثنان سرف أو مخيلة

“makanlah apa yang anda inginkan dan pakailah apa yang anda inginkan selama tidak perlakuan ini tidak menyalahkan anda dalam dua perkara: isyraf atau mukhayyalah.

Tegasnya, deretan nas ini menunjukan bahawa manusia harus memakai apa sahaja yang diingikan dengan syarat tidak berlebih-lebihan yang melampui batasan, tidak takbur dan ‘ujub (menunjuk-nunjuk)

Syarat Pakaian

Secara umumnya prinsip asas pakaian lelaki dan perempuan adalah sama iaitu menutup anggota-anggota badan yang dikategorikan aurat oleh syarak yang berkonsepkan “pengabdian”. Kerana itu, perintah wajib menutup aurat ini merangkumi semua mukallaf daripada lelaki dan perempuan samada dalam solat atau luar solat.

Namun begitu, fitrah kejadian lelaki dan perempuan adalah berbeza, maka dalam sesetengah peraturan syariah turut memberikan perhatian kepada perbezaan jantina tersebut bagi memelihara fitrah kejadiaannya. (Dr. Yusof al-Qardawi, Markaz al-Mar’ah fi al-Hayat al-Islamiyyah, h.16, al-Maktabah al-Islamiy, 1998, Cet.3, Beirut) Justeru, kita tidak seharusnya merasa pelik dan bingung tentang syarat pakaian perempuan lebih ketat dan banyak berbanding lelaki.

Melihat kepada pandangan Atiyyah Saqar (j.5, h.191) berhubung syarat pakaian perempuan, beliau menetapkan syarat pakaian perempuan seperti di bawah;

الشرط في ملابس المرأة التى تسترها وتمنع الفتنة بها ألا تصف وألاتشف ، يعني ألا تكون ضيقة تصف أجزاء الجسم وتبرز المفاتن ، وألا تكون رقيقة شفافة لا تمنع رؤية لون البشرة

“Syarat pakaian perempuan ialah pakaian yang menutup auratnya dan menghindarkannya daripada fitnah dengan maksud tidak ketat dan nipis, yakni jangan pakaian itu ketat sehingga menyifatkan struktur badan dan menonjolkan fitnah serta janganlah terlalu nipis yang tidak menegah kelihatan warna kulit”

Tinta Atiyyah Saqar ini boleh dijadikan asas bagi membentuk skema pakaian. Menurut pandangan beliau sekurang-kurangnya memerlukan empat syarat asas iaitu, menutup aurat, menghindar fitnah, tidak ketat dan tidak nipis.

Jika diteliti dengan lebih jauh, memperlihatkan pandangan Atiyyah Saqar ini telah mengasingkan unsur fitnah dengan unsur nipis dan ketat. Pada hal, jika kita simpul secara umum akan sifat ketat dan nipis itu, kedua-duanya adalah penarik dan penyebab utama kepada fitnah.

Pengasingan ini dibuat oleh beliau kerana mungkin pada peninjauannya bahawa unsur fitnah itu mempunyai kedudukan tersendiri dalam etika pakaian di samping unsur ketat dan nipis itu juga boleh berdiri dengan sendirinya. Dengan erti yang sama, semata-mata ketat atau nipis walaupun pada perkiraan kasar tidak menarik fitnah tetap juga dianggap mendedahkan aurat dan hukumya berdosa.

Manakala Abu Anas ‘Ali bin Husin (h.32-34) menetapkan syarat pakaian wanita lebih ketat kepada lapan syarat, bukan empat syarat seperti penetapan Atiyyah Saqar sebelumnya. Lapan syarat tersebut ialah :

1. Menutup Aurat

2. Tidak Ketat

3. Tidak Tipis

4. Tidak Pakaian Syuhrah.

5. Tidak Menzahirkan Perhiasan

6. Tidak Menyerupai Pakaian Lelaki

7. Tidak Menyerupai Pakaian Orang Kafir

8. Tidak Mempunyai Wangian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan