IBADAH
Ramadan yang mulia akan melabuhkan tirainya, menandakan berakhirnya bulan ini dan disusuli pula dengan kedatangan hari raya Aidilfitri, atau menurut bahasa Arabnya ialah ‘Idul Fitri yang bermaksud kembali kepada fitrah yang suci seperti dilahirkan oleh sang ibu, atau fitrah manusia makan pada waktu siang.
Ini kerana sepanjang sebulan di bulan Ramadan, seseorang itu telah memenuhkan agenda bulan tersebut dengan pelaksanaan amal ibadat yang mampu menjadikannya sebagai hamba Allah yang terbaik seperti membaca dan bertadarus al-Quran, bersolat jemaah sama ada solat-solat fardu dan Tarawih, bersedekah, beriktikaf dalam masjid, memberi atau menyediakan juadah berbuka puasa kepada mereka yang berpuasa dan banyak lagi.
Seolah-olah amalan yang dilakukan itu menjadikannya bersih serta suci bagaikan anakanak kecil yang baru dilahirkan oleh ibu-ibu mereka, inilah yang dikatakan kembali kepada fitrah, selagi mana seseorang tidak memelihara fitrah selepas Ramadan, maka tidak mustahil fitrah dirinya terdedah kepada virus yang menjerumuskannya ke dalam lembah kehinaan.
Walau bagaimanapun kejayaan mentarbiahkan diri sebulan pada bulan Ramadan dan berakhir dengan sambutan Aidilfitri, tidak disia-siakan kerana Allah SWT memuliakan mereka dengan hari raya seperti yang diungkapkan-Nya menerusi ayat 185 surah al-Baqarah yang bermaksud : “Dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa sebulan Ramadan dan supaya kamu membesarkan Allah dengan Takbir dan Tahmid serta Taqdis kerana mendapat petunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur.”
Sesungguhnya umat Islam merayakan hari raya ini dengan penuh kesyukuran dan dengan pelbagai jenis amal bakti yang diredai oleh Allah SWT, di antaranya solat Hari Raya, ziarah menziarahi antara sesama mereka, bersedekah, menziarahi kubur mereka yang telah lebih dahulu meninggal dunia dan lain-lain lagi.
Kemuliaan Hari Aidilfitri diterangkan oleh Allah di dalam al-Quran dan oleh Rasulullah di dalam beberapa hadisnya. Oleh kerana itu kita umat Islam amat digalakkan untuk menghidupkan malam hari raya sama ada Hari Raya Puasa atau Hari Raya Korban.
Kemuliaan hari raya diterangkan di dalam hadis seperti sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Daripada Umamah r.a. bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda barang siapa mengerjakan amal ibadah pada malam hari raya Aidilfitri dengan mengharapkan keredaan Allah semata-mata hatinya tidak akan mati pada hari kiamat sebagai matinya hati orang-orang yang kafir ingkar pada hari kiamat.”
Daripada hadis di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa hari raya satu perkara yang disyariatkan dalam Islam dan pada Hari Kiamat kelak orang-orang yang beriman dan beramal salih hatinya hidup bahagia dan gembira kerana berjaya mendapat balasan yang baik dan keredaan Allah ‘Azzawajal hasil daripada amal-amal kebajikan yang mereka kerjakan di dunia seperti berpuasa di bulan Ramadan.
Sebaliknya orang yang kufur dan ingkar hatinya mati mereka hampa dan kecewa pada hari itu kerana dimurkai oleh Allah dan mereka ditimpa dengan seburuk-buruk balasan.
Terdapat juga hadis-hadis yang lain yang menceritakan tentang menghidupkan malam hari raya seperti hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tabrani r.a. yang bermaksud: “Barang siapa menghayati/menghidupkan malam hari raya Aidilfitri dan malam hari raya Aidiladha dengan amal ibadah sedang dia mengharapkan keredaan Allah semata-mata hatinya tidak akan mati seperti hati orang-orang kafir.”
Umat Islam digalakkan menyambut hari raya Aidilfitri dengan bertahmid (Alhamdulillah) sebagai bersyukur kepada Allah bersempena dengan hari yang mulia itu. Ini diterangkan di dalam al-Quran dan juga di dalam hadis Rasulullah s.a.w. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa sebulan Ramadan dan supaya kamu membesarkan Allah dengan Takbir dan Tahmid kerana kamu telah mendapat petunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur.”
Daripada hadis pula sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. maksudnya: “Hiasilah hari raya kamu dengan Takbir dan Tahmid.” Di dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda daripada Anas r.a. maksudnya: “Hiasilah kedua-dua hari raya kamu iaitu Hari Raya Puasa dan juga Hari Raya Korban dengan Takbir, Tahmid dan Taqdis.”
Ini bermakna, seseorang Muslim itu adalah digalakkan agar menghidupkan malam hari raya dengan amalan-amalan yang boleh mendekatkan dirinya kepada Allah bagi menjamin hatinya tidak akan mati pada hari kiamat.
Adalah lebih baik mengemas rumah, menjahit baju yang masih belum siap, menggosok pakaian raya untuk persiapan solat pagi raya bagi membesarkan Allah, menggantung langsir dengan niat mencantikkan rumah, kerana Allah suka kepada yang indah dan cantik, daripada menghabiskan sepanjang malam raya dengan menonton rancangan televisyen, apatah lagi rancangan hiburan, filem, seloka Aidilfitri, mendengar lagu raya yang mengasyikkan, kerana tindakan itu sedikit sebanyak boleh menjejas pahala yang kita raih sepanjang bulan Ramadan.
Aktiviti pagi raya
1. Pada Aidilfitri digalakkan bersarapan terlebih dahulu.
2. Mengenakan pakaian raya yang baru (tapi ia bukan satu kemestian) serta berwangiwangian bagi orang lelaki.
3. Bersegera pergi ke tempat solat, sama ada masjid, surau, dewan terbuka atau di tanah lapang, iaitu dengan melalui jalan lain dari jalan yang dilalui sebelum menunaikan solat.
4. Antara amalan yang patut dilakukan pada Hari Raya Aidilfitri ialah amalan berziarah. Amalan ini adalah bertepatan dengan suruhan agama Islam itu sendiri.
5. Pada pagi Hari Raya, umat Islam yang telah kehilangan saudara-mara akan mengunjungi pusara mereka dan menghadiahkan Surah Al- Fatihah atau bacaan surah Yasin.
6. Kemudian mereka akan berkunjung ke rumah jiran tetangga, sanak saudara dan rakan taulan. Ini kerana mereka akan bermaaf-maafan dan melupakan kesilapan yang lampau. Pada asasnya, Hari Raya adalah hari untuk bergembira, bermaaf-maafan, dan hari untuk mengeratkan tali persaudaraan di kalangan umat Islam di samping meraikan kejayaan beribadah kepada Allah.
7. Menceriakan suasana hari raya dengan memberi anak-anak sampul duit raya.
Amalan yang dilarang
1. Sentuhan: Berjabat tangan di antara lelaki dan wanita secara meluas ketika berziarah rumah jiran dan rakan. Walaupun terdapat perbezaan pendapat para ulama dalam bab ini. Ia lebih baik dijauhi terutama apabila melibatkan pemuda dan pemudi.
2. Aurat, Ipar serta pembantu rumah: Ipar duai yang tidak menjaga aurat di antara satu sama lain ketika berada di dalam rumah.
Seperti adik ipar perempuan tidak menutup aurat di rumah sedangkan abang iparnya berada di rumah. Termasuk juga, tidur secara terbuka di ruang tamu tanpa menutup aurat, sehingga membolehkan abang ipar atau adik ipar lelaki melihat aurat yang terdedah. Begitu juga dengan aurat pembantu rumah yang terdedah bukan sahaja pada hari raya, malah sepanjang bulan Ramadan berlangsung. Bagi yang takut akan seksaan Allah pada hari kiamat kelak, pasti mereka akan mengelak daripada melakukannya.
3. Wangian Wanita: Kaum wanita memakai wangian dan solekan ala artis di musim perayaan lalu keluar dari rumah mendedahkan diri mereka kepada lelaki bukan mahram.
4. Pakaian Wanita: Pakaian yang mendedahkan susuk tubuh dengan sempit dan nipisnya lalu bertandang ke khalayak ramai.
5. Kubur: Berkumpul beramai-ramai di kubur hingga duduk di atas kubur orang lain dengan alasan untuk membaca Yasin yang agak panjang dan meletihkan jika berdiri. Larangan ini disebut jelas di dalam mazhab Syafie sebagai dihurai oleh Imam Khatib As-Syarbini, malah bersandar kepadanya juga dilarang ( Mughni Al-Muhtaj, 1/354; Minhaj at-Tolibin)
6. Meninggal dan melambatkan solat: Kerana terlalu sibuk beraya di sana sini, maka terdapat individu yang melambatlambat dan meninggalkan solat dengan sengaja, alangkah ruginya maklumat yang diperolehi melalui program tazkirah sepanjang Ramadan yang berakhir dengan tiada kesan dalam sanubari Muslim.
7. Dosa Bertempoh: Kembali melakukan dosa yang ditinggalkan di bulan Ramadan.
Malah memang sebahagiannya diniatkan untuk disambung selepas Ramadan. Sebagai contoh, ada yang menangguhkan pergaduhan di Ramadan, maka Syawal bolehlah bergaduh kembali. Syawal dijadikan tempat lambakan maksiat berdating, bersyahwat melalui telefon dan ‘chat’, berjalan jauh berdua-duaan dengan teman wanita dan lainlain.
Hancurlah seluruh kebaikan yang baru hendak sebati dengan hati, sudah dibuangnya jauh-jauh.
8. Makan terlalu banyak & rumah terbuka: Terdapat individu yang beranggapan bahawa bulan raya adalah bulan untuk bermakan-makan hingga lupa diri, ia dijadikan bulan pesta makan dengan majlis-majlis rumah terbuka hingga kesan sebulan Ramadan berkunjung ke masjid atau surau sudah tidak ada lagi dalam set minda umat Islam, amalan tidak baik sebelas bulan sebelum Ramadan berulang kembali hinggalah bertemu Ramadan akan datang, itu pun jika bertemu semula dengan Ramadan tahun hadapan. Terlalu banyak lagi senarainya, bagaimanapun cukuplah terlebih dahulu apa yang dicatatkan. Semoga ada manfaat.
Persiapan menyambut Aidilfitri Kedatangan Aidilfitri memang dinanti-nantikan umat Islam seluruh dunia. Allah menganugerahkan Aidilfitri untuk menunaikan fitrah manusia yang keinginan kegembiraan apabila menyambut sesuatu kejayaan.
Aidilfitri adalah tanda kejayaan orang Islam yang bermujahadah melaksanakan ibadat puasa selama sebulan. Ia satu ganjaran di dunia, sedangkan akhirat masih menanti balasan pahala yang tidak ternilai.
Biarpun Aidilfitri dijadikan hari untuk bergembira, ia juga satu ibadat. Setiap apa yang ditetapkan oleh agama jika dilakukan dalam rangka mematuhi perintah Allah maka dikira ibadat.
Untuk menjadikan satu ibadat hendaklah dilakukan dengan niat kerana Allah. Apa yang dilakukan hendaklah tidak bertentangan dengan syariat dan matlamatnya untuk kebaikan.
Dalam melakukan persiapan untuk menyambut Aidilfitri, konsep yang ditekankan ialah sederhana, tidak membazir dan tidak membebankan. Ia juga mestilah terhindar daripada perasaan riak dan sombong.
Persiapan Aidilfitri yang terlalu mementingkan kemeriahan tidak mencerminkan tuntutan sebenar Islam. Amalan itu lebih kepada memenuhi tuntutan nafsu yang dididik oleh syaitan agar melakukan sesuatu yang tidak baik.
Di sebalik untuk bergembira, Aidilfitri bertujuan mendisiplinkan diri, mensyukuri rahmat, menghampirkan diri kepada Allah, muhasabah diri, serta melaksanakan perintah yang berkaitan dengan sesuatu tarikh.
Islam memang menganjurkan agar setiap Muslim menyambut kedatangan Aidilfitri dengan perasaan gembira. Bagi memastikan kegembiraan itu tidak terganggu, maka pada 1 Syawal diharamkan berpuasa. Pada hari kegembiraan tidak harus ada sekatan makanan dan minum. Pada pagi Aidilfitri, Rasulullah memakai pakaian yang tercantik dan terbaik yang dimiliki baginda, selain mengenakan wangi-wangian. Imam Ibnu Qayyim menyebut bahawa Rasulullah memiliki pakaian khas untuk dipakai pada Aidilfitri dan Aidiladha. Semestinya berharga mahal dan berjenama terkenal. Maksud cantik amat subjektif. Apa yang penting ia sesuai untuk menyatakan perasaan gembira dan bersyukur dengan nikmat yang dianugerahkan oleh Allah. Pakaian paling cantik dimaksudkan Rasulullah ialah mengikut kemampuan individu menyediakan pakaian yang pada mereka itu adalah yang paling cantik mampu disediakan.
Jangan kita terikut-ikut dengan kemampuan orang lain. Begitu juga, cantik hendaklah tidak mendedahkan aurat.
Memilih pakaian mendedah aurat untuk kelihatan cantik bertentangan dengan kehendak agama dan terhalang daripada dikira ibadah. Pertahankan amalan murni yang dilakukan pada bulan Ramadan yang mana kebanyakan wanita berpakaian menutup aurat.
Termasuk dalam sunnah baginda pada pagi Aidilfitri ialah menjamah sedikit makanan sebelum keluar untuk solat Aidilfitri. Makan sedikit bertujuan membezakan hari tidak berpuasa, sedangkan sebulan Ramadan amalan itu tidak dilakukan.
Aidilfitri bukannya pesta makan. Makanlah ala kadar di setiap rumah yang dikunjungi. Ini memberi peluang kita makan di setiap rumah yang dikunjungi tanpa rasa kekenyangan.
Perkara yang perlu diutamakan ialah ziarah dan bermaaf-maafan. Inilah hari paling baik untuk mengeratkan kembali tali persaudaraan yang mungkin telah lama terputus.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan