MOTIVASI
Dari blog : Lakaran Kata
KINI, banyak penyakit ganjil yang menyerang dengan pelbagai nama dan
tanda mula dikesan. Manusia sangat takut dengan penyakit. Maklumlah
penyakit mendatangkan derita, kecacatan, kekurangan malah kematian.
Dalam kesibukan menjaga kesihatan dan
pencegahan manusia terhadap penyakit fizikal, penyakit rohani pula
menyerang. Penyakit fizikal jika terkena tahu tempat berubatnya, boleh
berjumpa doktor tetapi jika terkena penyakit rohani, hendak berjumpa
siapa?
Payah benar hendak jumpa guru yang murabbi! Bila jumpa doktor, biasanya
ada ubat dan penawarnya tetapi penyakit hati apakah ubatnya?
Walaupun ada al-Quran dan hadis yang memberikan cadangan mengenainya,
berapa ramai yang ‘berkenan’? Menelan kepahitan membaca al-Quran,
qiyamullail, berpuasa dan sebagainya.
Sebagai muhasabah pada Jumaat yang mulia ini mengenai penyakit
rohani, elok juga kita meneliti sebuah hadis yang menjadi pesanan
Rasulullah s.a.w kepada menantunya Saidina Ali r.a:
“Wahai Ali, setiap sesuatu pasti ada penyakitnya: Penyakit bicara
adalah bohong, penyakit ilmu adalah lupa, penyakit ibadah adalah riak,
penyakit akhlak mulia adalah kagum kepada diri sendiri, penyakit berani
adalah menyerang, penyakit dermawan adalah mengungkap pemberian,
penyakit tampan adalah sombong, penyakit bangsawan adalah membanggakan
diri, penyakit malu adalah lemah, penyakit mulia adalah menyombongkan
diri, penyakit kaya adalah kikir, penyakit royal adalah hidup mewah dan
penyakit agama adalah nafsu yang diperturutkan…”
Ketika berwasiat kepada Ali bin Abi Thalib r.a, Rasulullah s.a.w
bersabda: “Wahai Ali, orang yang riak itu mempunyai tiga ciri iaitu:
1. Rajin beribadat ketika dilihat orang.
2. Malas ketika sendirian.
3. Ingin mendapat pujian dalam segala perkara.
Wahai Ali, jika engkau dipuji orang, maka berdoalah: “Ya Allah,
jadikanlah diriku lebih baik daripada yang dikatakannya, ampunilah
dosa-dosaku yang tersembunyi darinya dan janganlah kata-katanya
mengakibatkan seksaan bagiku…”
Ketika ditanya bagaimana cara mengubati hati yang sedang resah dan
gundah gulana, Ibnu Mas’ud r.a berkata: “Dengarkanlah bacaan al-Quran
atau datanglah ke majlis zikir atau pergilah ke tempat yang sunyi untuk
berkhalwat dengan Allah s.w.t.
Jika belum terubat juga, maka mintalah
kepada Allah s.w.t hati yang lain kerana sesungguhnya hati yang kamu
pakai bukan lagi hatimu….”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan