IBADAH
SEKITAR QURBAN.
Sabda Rasulullah S.A.W, bermaksud:
“Tidak ada satu amalan anak Adam di hari-hari Nahar (Hari-hari
‘Eidul Adha) yang paling Allah sukai selain daripada menumpahkan darah
(sembelih binantang korban), kerana ia (binatang Korban) itu akan datang di
hari kiamat nanti dengan tanduk dan kukunya dan bulu-bulunya (sebagai saksi ke
atas ibadah Korban tuannya), dan sesungguhnya darah (binatang korban itu) akan
tumpah di sisi Allah di suatu tempat sebelum tumpah ke bumi, oleh itu pilihlah
olehmu binatang terbaik (paling menarik) untuk dikorbankan.”
(Hadis riwayat Hakim, Ibnu Majah dan Tirmizi dan dianggap sebagai
Hadis Hasan Gharib).
Para ulama’ telah bersepakat bahawa ibadah Korban merupakan satu ibadah
yang telah disyariatkan oleh Allah S.W.T ke atas hamba-hambaNya. Ianya
merupakan sunnah yang telah ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim AS berdasarkan maksud
firman Allah di dalam surah al-Soffat ayat 107:
“Dan Kami tebus anak itu (Ismail) dengan seekor sembelihan (kibash) yang
besar”.
Selain itu, ibadah korban merupakan ibadah yang paling Allah sukai di
Hari-Hari ‘Eidul Adha, di mana binatang yang dikorbankan akan didatangkan di
Hari kiamat sepertimana keadaan dan sifatnya ketika disembelih dan diletakkan
darahnya yang telah diterima di sisi Allah sebelum darah tersebut tumpah ke
bumi. Ibadah ini mengandungi banyak hikmah antaranya ia merupakan satu tanda
kesyukuran kepada Allah di atas nikmatnya yang tidak terkira, dan sebagai
kaffarah (penutup) dosa-dosa. Selain itu, ibadah ini dapat mengenang dan
mencontohi pengorbanan besar yang tidak ada tolok bandingnya, yang dilakukan
oleh Nabi ibrahim as yang sanggup mengorbankan anaknya Ismail sebagai kemuncak
dalam melaksanakan ketaatannya di atas perintah Allah SWT. Ianya juga dianggap
sebagai simbolik kesediaan hamba untuk mengorbankan apa sahaja demi kerana
Allah, termasuklah sanggup mengorbankan dirinya demi menegakkan agama Allah
yang tercinta. Di samping itu ia dapat melatih diri kita supaya sentiasa ikhlas
dalam beribadah serta melatih diri agar sentiasa bersedia untuk berkorban
bila-bila masa diperlukan demi menegakkan agama Allah.
HUKUM IBADAH KORBAN
Para ulama’ telah sepakat bahawa ibadah korban merupakan ibadah yang
telah disyariatkan. Namun, mereka berselisih pendapat bekaitan hukum ibadah
ini. Ada yang mengatakan ibadah ini wajib dan ada pula yang mengatakan ibadah
ini sunat. Pendapat-pendapat mereka disokong dengan hujah-hujah yang kuat.
Antara ulama’ yang berpendapat bahawa ibadah ini wajib ialah Imam Abu Hanifah
dan beberapa pengikutnya. Beliau berpendapat bahawa ibadah Korban ini wajib
sekali setiap tahun ke atas orang yang bermukim (tetap). Pendapat mereka
bersandarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah:
“Barangsiapa yang diberikan kemudahan, sehingga memampukan dia untuk
berKorban, akan tetapi dia tidak mahu berKorban, maka janganlah dia mendekati
tempat solat kami (masjid)” (Hadis riwayat Ahmad
dan Ibnu Majah).
Namun, Abu Yusuf dan Muhammad dari Mazhab Hanafi mengatakan ibadah
korban tidak wajib tetapi sunat muakkad.[1]
Adapun selain
daripada Mazhab Hanafi, mereka berpendapat bahawa ibadah korban adalah sunat
dengan berpandukan hadis Nabi SAW maksudnya:
“Aku diperintah
untuk melakukan korban dan korban itu adalah sunat bagi kamu.” (Hadis riwayat
at-Tirmizi).
Dalam hadis yang
lain Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Tiga perkara ianya fardhu ke atasku, dan sunat ke atasmu: solat witir,
menyembelih korban dan solat dhuha”.[2] (Hadis riwayat Ahmad
dan al-Hakim).
Berdasarkan hadis di
atas, ibadah atau amalan Korban adalah wajib ke atas diri Rasulullah SAW, akan
tetapi hanya dianggap sunnah ke atas umatnya. Menurut pandangan Imam Syafie dan
Malik, hukum melakukan ibadah korban ini adalah sunat muakkadah iaitu ibadah
sunat yang amat digalakkan atau dituntut ke atas setiap individu Muslim yang
merdeka, berakal, baligh serta berkemampuan melakukannya sama ada sedang
mengerjakan haji ataupun tidak sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Pendapat
mereka dikuatkan lagi dengan sabda Rasululluah SAW:
“Aku telah
diperintahkan supaya berkorban dan ianya adalah sunat bagimu”
(Riwayat Imam
al-Tirmizi).[3]
Oleh itu, boleh
disimpulkan bahawa ulama’-ulama’ mazhab berpendapat ibadah Korban dikira sama
ada sunat muakkad atau wajib. Namun begitu jumhur ulama’ berpendapat bahawa
ibadah korban adalah amalan yang sunat mu’akkad.
[1]. Wahbah
al-Zuhayli, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, (Dimasyq: Dar al-Fikr, Edisi ke-6.
2008), jil. 3, ms. 597
[2]. Ibid, 598
[3]. Ibn Rushd,
Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtasid, (Al-Qahirah: Dar al-Hadis, 2004),
jil. 2, ms 192
ISU ISU BERKENAAN IBADAH KORBAN
. 1. Berkenaan Daging
Korban
Para fuqaha’ bersepakat mengatakan bahawa seekor kambing atau kibasy
tidak termasuk di kalangan binatang yang boleh dibahagikan dagingnya kepada
beberapa bahagian iaitu hanya mencukupi sebagai korban untuk satu bahagian
sahaja. Seekor unta atau lembu pula mencukupi untuk menjadi korban bagi tujuh
orang.([1]) Ini berdasarkan hadith Jabir:
“Kami berkorban
bersama Rasulullah SAW semasa di Hudaybiyah dengan seekor unta atau seekor
lembu untuk tujuh orang.” (diriwayatkan oleh jama’ah).
Dan hujah ini dikuatkan
lagi dengan hadis riwayat Muslim:
“Kami keluar bersama
Rasulullah SAW dan kami berniat Haji. Maka Rasulullah SAW telah memerintahkan
kami supaya berkongsi mengurbankan seekor unta atau seekor lembu. Setiap tujuh
orang berkongsi seekor unta.”
1.2 Hukum memakan daging korban oleh orang yang melakukan ibadat korban:
1.
Jumhur fuqaha’ berpendapat bahawa harus bagi orang yang berkorban untuk
memakan daging korban miliknya.
2.
Adapun mengikut Mazhab Hanafi korban nazar iaitu korban wajib adalah dilarang
untuk dimakan oleh orang yang berkorban sepertimana memakan anak yang lahir
dari binatang sembelihan itu yang lahir sebelum disembelih. ([2])
3.
Mengikut pandangan Mazhab Maliki dan Hanbali adalah harus daging
sembelihan korban nazar dimakan oleh orang yang berkorban seperti daging
sembelihan korban sunat. Namun, yang paling dituntut adalah dagingnya dimakan
sebahagiannya, disedekahkan dan diberi makan kepada fakir miskin. Di sisi
Mazhab Maliki dan Hanafi jika daging itu dimakan semuanya oleh orang yang
berkorban atau disimpan selama 3 hari hukumnya adalah harus tetapi dibenci
(makruh). Manakala Mazhab Hanbali mengharuskan untuk memakan sebahagian besar
dagingnya. ([3])
4.
Mazhab Syafi’e berpandangan bahawa korban wajib atau nazar atau yang
telah dinyatakan tujuannya dengan lafaz seperti ‘ini adalah sembelihan korban’
atau ‘aku menjadikannya sebagai sembelihan korban’ maka tidak harus dimakan
dagingnya oleh orang yang berkorban dan tanggungannya (ahli keluarganya).
Bahkan adalah wajib untuk disedahkan kesemuanya. ([4])
5.
Adapun korban sunat di sisi Mazhab Syafi’e adalah harus bahkan
digalakkan kepada orang yang berkorban untuk memakan daging korbannya.
Diriwayatkan dari Baihaqi: “Bahawa Rasulullah SAW makan daripada hati
sembelihan korbannya”.
1.3 Pembahagian Daging Korban
1.
Dalam masalah pembahagian daging korban, adapun yang paling dituntut
disisi Mazhab Hanafi dan Hanbali ialah dibahagikan daging itu kepada 3
bahagian. 1/3 untuk dimakan oleh orang yang berkorban, 1/3 untuk dihadiahkan
kepada saudara maranya atau sahabat-sahabatnya dan 1/3 lagi untuk disedekahkan
kepada fakir miskin. Ini berdasarkan firman Allah dalam surah al-Hajj ayat 36
bermaksud:
“Makanlah sebahagian
daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak
meminta dan yang meminta.”
Dan Allah berfirman
di dalam surah al-Hajj ayat 28 bermaksud:
“Dengan yang
demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang Korban itu dan berilah
makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.”
Berdasarkan ayat 28
ini Mazhab Hanbali mewajibkan memberi makan kepada orang orang fakir miskin
kerana perkataan ‘berilah makan’ adalah ayat perintah.([5])
2.
Dalil yang digunakan oleh selain daripada Mazhab Maliki tentang kadar
pembahagian daging sebanyak 1/3 bahagian ialah riwayat Ibn Abbas pada
menyifatkan sembelihan Nabi SAW: “Dan baginda memberi makan ahli keluarganya
1/3, dan memberi makan di kalangan jiran-jirannya yang miskin 1/3, dan memberi
sedekah kepada yang memerlukan/yang meminta 1/3”. (riwayat al-Hafiz Abu Musa
al-Asfahani).
3.
Manakala Mazhab Maliki berpandangan bahawa tiada pembahagian daging
dalam ibadah korban bersandarkan kepada hadis-hadis Nabi yang diriwayatkan oleh
Aisyah, Jabir, Abu Said, Buraidah dan selain mereka yang mana pada hadis-hadis
tersebut Nabi ada menyatakan: “Makanlah kamu, dan simpanlah kamu dan
bersedekahlah kamu”, atau pada riwayat lain: “Makanlah kamu, dan berilah
makan, dan simpanlah kamu”.([6])
4.
Daging korban adalah harus untuk diberikan kepada orang-orang kaya
mengikut pandangan Mazhab Syafi’e sebagai hadiah kepada mereka tanpa bertujuan
untuk berjual beli dengannya.
5.
Mengikut pandangan lama Mazhab Syafi’e orang yang berkorban boleh makan
separuh dan separuh yang lain disedekahkan. Namun, pandangan yang baru pula
mengharuskan orang yang berkorban untuk makan 1/3 daripada sembelihan
korbannya. Namun yang paling tepat ialah wajib disedekahkan sebahagian walaupun
sedikit daripada dagingnya. Paling afdal adalah memberi sedekah kesemua daging
korban kecuali sedikit sekadar untuk mengambil berkat dari ibadah korban.([7])
6.
Orang yang berkorban sunat mengikut pendapat Mazhab Syafi’e boleh
menyedekahkan kulit binatang sembelihannya ataupun untuk memanfaatkannya
seperti harusnya memanfaatkan dagingnya. Paling afdal adalah disedekahkan
kesemuanya. Adapun korban wajib maka orang yang berkorban tidak harus untuk
memanfaatkan kulitnya.([8])
1.4.Hukum memanfaatkan bahagian-bahagian badan binatang Korban
1.
Diharamkan jual beli bulu, lemak, daging, bahagian-bahagian badan,
kepalanya, kulit, rambut, dan susu binatang korban yang diperah selepas
disembelih korban. Nabi SAW telah memerintahkan supaya kulit binatang korban
dibahagikan dan melarang jual beli padanya, sabda Nabi SAW:
“sesiapa yang
menjual kulit binatang-binatang korbannya, maka tiada korban baginya”. (riwayat Hakim dan
Baihaqi).([9])
2.
Bahagian-bahagian anggota badan binatang korban juga tidak diharuskan
untuk diberi kepada penyembelih iaitu sebagai upah untuknya. Saidina Ali
telah meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:
“Rasulullah telah
memerintahkanku supaya mengorbankan untanya (iaitu ketika hari Nahar), dan
supaya aku membahagikan kulitnya dan anggota badannya, dan supaya tidak
memberikan kepada penyembelih sesuatu daripadanya”. Dan Ali telah berkata:
“kami memberikan upahya (secara berasingan) daripada kutipan sesama kami”.
(Muttafaqun Alaih).([10])
3.
Namun, jika pemberian kepada penyembelih itu atas dasar kemiskinan atau
sedekah bukan atas dasar upah (upah diberi berasingan) maka hukumnya adalah
harus.
4.
Bagi orang yang berkorban pula diharuskan untuk memanfaatkan kulit
binatang sembelihannya. Namun di sisi Mazhab Hanafi mengangap ia termasuk dalam
bab ‘istihsan’ jika seseorang itu membeli sesuatu menggunakan kulit binatang
sembelihan tersebut dengan syarat barang yang dibeli atau barang tukaran
tersebut hendaklah sesuatu yang kekal dan bukan sesuatu yang musnah seperti
dinar, dirham, makanan atau minuman. Dalil tentang harusnya memanfaatkan kulit
binatang sembelihan adalah perbuatan Aisyah yang menjadikan kulit binatang
sembelihan sebagai bekas air. Namun Mazhab Maliki menghukumkan makruh jika
digunakan sebagai bekas makanan atau minuman orang yahudi dan nasrani.([11])
2. Hukum Memindahkan
Daging Korban/ Melakukan Ibadah Korban ke Tempat Atau Negeri/Negara lain:
1.
Mazhab Hanafi berpendapat bahawa makruh hukumnya memindahkan sembelihan
korban ke negeri lain seperti zakat, kecuali jika diberikan kepada saudara
maranya yang berada di negeri lain atau kepada penduduk negeri lain yang lebih
berhajat kepada daging itu berbanding penduduk di negeri sendiri.([12])
2.
Mazhab Maliki pula berpandangan bahawa tidak diharuskan memindahkannya
ke kawasan atau negeri yang jaraknya tidak jauh dari tempat korban tersebut
dilaksanakan, kecuali penduduk kawasan tersebut lebih berhajat daripada
penduduk di kawasan atau negeri sendiri.
3.
Mazhab Hanbali dan Syafi’e juga berpandangan seperti Mazhab Maliki. ([13]) Hukumnya adalah harus menurut mazhab Shafie berasarkan kaedah qiyas dengan
pengeluaran zakat di luar Negara di mana sepatutnya didahulukan tempat sendiri.([14])
4.
Di Malaysia Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal
Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-66 yang bersidang pada 25 Nov 2004 telah
memutuskan bahawa harus mengagihkan daging Korban ke tempat atau negara lain.([15])
Berkenaan melakukan ibadat Korban di luar negeri/Negara, Sheikh Muhammad
bin Muhammad bin Mukhtar al-Shanqiti berpendapat bahawa ibadah Korban di luar
Negara adalah sah dan pelakunya akan mendapat pahala melakukan ibadat Korban.
Tetapi yang afdalnya dilakukan di kawasan tempat tinggalnya. Lebih afdal lagi
sekiranya dilakukan ibadat Korban di kawasan kediamannya dan juga di luar Negara
yang berdepan dengan kesukaran. [16] Dr. Nazim al-Misbah
juga menyokong pandangan ini. Beliau menolak pandangan yang mendakwa ibadat
Korban di luar Negara adalah sama dengan sedekah biasa[16][17].
Menurutnya lagi pendapat ini tidak ada dalil yang kuat. Bahkan ia bercanggah dengan fakta yang meyatakan bahawa Rasulullah SAW mewakilkan Sayyidina Ali untuk melakukan penyembelihan Korban baginda ketika Haji Wada’.
Menurutnya lagi pendapat ini tidak ada dalil yang kuat. Bahkan ia bercanggah dengan fakta yang meyatakan bahawa Rasulullah SAW mewakilkan Sayyidina Ali untuk melakukan penyembelihan Korban baginda ketika Haji Wada’.
Kesimpulan, yang afdal dan hukum asal bagi ibadah Korban ialah
dilaksanakan di negeri sendiri. Sekiranya dibuat di luar Negara, tidak menjadi
kesalahan. Bagi mereka yang mampu, boleh buat dua dua sekali.
[2]. Ibid., 627
[3]. Wahbah al-Zuhayli,
Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, jil. 3, ms. 627-628
[4]. Ibid., 630
(5]. Skheikh Wahbah
al-Zuhayli, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, jil. 3, ms. 628
6]. Ibid., 628
[7]. Ibid., 630
[8]. Wahbah al-Zuhayli,
Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, jil. 3, ms. 631
[9]. Ibid., 629
[10]. Ibid., 629
[11]. Wahbah al-Zuhayli,
Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, jil. 3, ms. 629
[12. Wahbah al-Zuhayli,
Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, jil. 3, ms. 630
[13]. Ibid., 630
[14] Imam Taqiyuddin al-Husaini, Kifayat al- Akhyar,
ms.534.
16] http://ar.islamway.com/fatwa/5759.
Accessed 11/10/2012.
[17] http://www.alaan.cc/pagedetails.asp?nid=121971&cid=30.
11/10/2012.
Rujukan: http://akademimamsyafie.blogspot.com/2012_10_01_archive.html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan