SEJARAH
Sambutan maulidur rasul , takrif, hukum dan perlaksanaannya
Apakah itu maulidur rasul?
Maulidur Rasul (dalam
bahasa Arab bermaksud kelahiran Rasul) adalah hari bersejarah keputeraan
Nabi Muhammad. Hari ini jatuh pada hari ke-12 bulan Rabiul Awal
sempena kelahiran Nabi yang jatuh pada pada Selasa 1432 Masihi ( Dari
hadith riwayat Muslim, 8/25 ) 12 Rabiul Awal Tahun Gajah bersamaan
dengan 23 April 571. Baginda merupakan nabi terakhir yang diutus oleh
Allah Subhanahu Wata’ala. Tapak kelahiran baginda pula kini mempunyai
satu bangunan kecil yang dikenali sebagai Maulid Nabi.
Setiap tahun pada hari itu, umat Islam
di seluruh dunia akan mengadakan majlis memperingati Keputeraan Nabi
Muhammad s.a.w dengan mengadakan beberapa acara seperti perarakan,
ceramah dan sebagainya. Banyak kelebihan dan keistimewaan yang akan
dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata’ala kepada mereka yang dapat
mengadakan atau menghadiri majlis Maulidur Rasul.
Kita dapat lihat betapa besarnya
kelebihan orang yang memuliakan majlis keputeraan Nabi Muhammad
Sallallahu Alaihi Wasallam, kerana bila berniat sahaja hendak
mengadakan Maulud Nabi, sudah pun dikira mendapat pahala dan dimuliakan.
Sememangnya bernazar untuk melakukan sesuatu yang baik merupakan doa
dan dikira amal Soleh.
Jelas kepada kita bahawa ganjaran Allah
Subhanahu Wataala terhadap kebaikan begitu cepat sehinggakan terdetik
sahaja di hati hendak berbuat kebaikan, sudah Allah Subhanahu Wataala
akan memberi ganjaran pahala yang tiada ternilai. Seseorang yang
beriman, kuat bersandar kepada Allah, ketika di dalam kesusahan dia
tetap tenang dan hatinya hanya mengadu kepada Allah dan mengharapkan
pertolongan dan kasih sayang Allah Subhanahu Wataala.
Keberkatan mengadakan Majlis Maulud itu
bukan sahaja didapati oleh orang yang mengadakan majlis itu, tetapi
seluruh ahli rumah atau orang yang tinggal di tempat itu turut mendapat
keberkatannya. Begitu banyak ganjarannya.
Seperti kelaziman
tahunan, umat Islam di Malaysia akan menyambut hari
sempena keputraan Rasulullah saw pada 12 Rabiulawal setiap
tahun.Umat Islam di Malaysia akan mengadakan berbagai aktiviti
dalam acara sambutan Maulidur Rasul.
Kerajaan Malaysia mengisyhtiharkan 12 Rabiulawal
setiap tahun adalah cuti umum. Diantara acara-acara
dalam sambutan Maulidur Rasul
ialah Perarakan, Syarahan, Forum, Marhaban, Nasyid
dan Jamuan di peringkat kampung sehinggalah ke peringkat
kebangsaan.
Dalam menentukan
tarikh kelahiran Rasulullah saw, terdapat ahli-ahli sejarah
Islam berbeza pendapat. Pendapat pertama dan masyhur ialah
Rasulullah saw lahir pada malam Isnin 12 Rabiulawal
dalam Tahun Gajah sebelum subuh. Ini adalah
pendapat Ibnu Ishaq yang dipetik oleh Ibnu Hisham
dalam kitabnya yang terkenal, Sirah Ibnu Hisham.
Dan pendapat yang kedua ialah pendapat yang
mengatakan bahawa Rasulullah saw memang lahir pada malam
Isnin, sebelum subuh Rabiulawal tahun Gajah tapi tarikh sebenarnya
ialah pada 9 haribulan.
Diantara tokoh
ulamak-ulamak yang sependapat mengatakan Rasulullah
saw lahir pada 9 Rabiulawal ialah Yunus bin Yazid, Ibnu Hazam,
Muhammad bin Musa Al-Khawarizmi dan Ibnu Taimiyyah. Dan
diantara tokoh-tokoh falak moden yang membuat
kajian semula tentang perbezaan pendapat ini ialah
Mahmud Pasya seorang ahli falak Mesir dan Dr.(H)
Hj. Kassim Bahali, Persatuan Falak Syarie Malaysia.
Mereka menyatakan bahawa Rasulullah saw lahir pada
9 Rabiulawal. Ini adalah berdasarkan kepada Taqwim Qamariah
tulen tanpa Nasi’ dan dikebelakangkan 53 tahun dari tahun
pertama Hijrah.
Didapati bulan kelahiran Rasulullah saw
iaitu bulan Rabiulawal jatuh pada bulan April 571
M. Berdasarkan hitungan, Ijtimak berlaku pada 10
April 571M pada 8;21 UT. Menurut kaedah kebolehnampakan
hilal, 1 Rabiulawal jatuh pada hari Ahad, 12 April 571M dan
hari Isnin yang bertepatan adalah 9 Rabiulawal manakala 12
Rabiulawal jatuh pada hari Rabu.
Dalil seterusnya
yang mengatakan bahawa Rasulullah lahir pada 9
Rabiulawal ialah pada Isnin 9 Rabiulawal (20 April), fasa
bulan adalah 64.4% dan bulan ghurub pada pukul 2:26 pagi.
Apabila bulan ghurub awal maka langit ketika itu kelihatan
cerah dengan bintang-bintang yang dapat dilihat
lebih banyak kerana tiada gangguan cahaya bulan.
Ini bertepatan dengan kisah kelahiran sewaktu
dilahirkan Rasulullah saw bahawa sebelum subuh,
langit adalah kelihatan sangat cerah dengan cahaya
bintang-bintang yang bertaburan. Walau bagaimanapun, itu adalah
pendapat individu tertentu dengan pengkajian mereka.
Moga ada pihak lain
yang dapat membuat kajian lebih lanjut dalam
menetapkan tarikh kelahiran Rasulullah saw. Kajian-kajian
lanjut itu sebenarnya akan lebih memajukan lagi perkembangan
ilmu Sejarah dan Falak. Malah tarikh-tarikh peristiwa
penting Islam yang lain juga wajar dibuat hitungan
semula. Kita umat Islam di alaf baru sekarang telah
banyak melahirkan ahli-ahli Sejarah Moden, Falak /
Astronomi dan ahli-ahli Sains yang lain yang
pastinya akan mengembang dan menyumbang kepada penguasaan
ilmu pengetahuan kepada pembangunan ummah, InsyaAllah.
Tujuan Sambutan Maulidur Rasul.
Objektif diadakan sambutan Maulidur Rasul ialah untuk mengembalikan ingatan kita umat akhir zaman terhadap junjungan besar
kita Muhammad Rasulullah saw. Dengan mengingatinya
akan menambahkan lagi perasaan cinta kasih
kepadanya serta mengenang, menghargai serta
mengambil iktibar kisah suka duka perjuangannya. Walaupun
sambutan Maulidur Rasul ini adalah satu adat sahaja tapi ia adalah adat yang bersifat ibadah dan wajar diteruskan, InsyaAllah.
Hukum menyambut sambutan maulidur rasul.
Upacara sambutan Maulidur Rasul adalah harus selagi ia tidak melibatkan unsur-unsur pembaziran
dan tiada aktiviti yang melanggar syariat. Malah
jika perisian sambutan itu ada unsur ilmu dan ibadah
ia tetap diberi ganjaran pahala oleh Allah Subhanahu Wa Taala.
Adalah tidak tepat
pendapat yang mengatakan bahawa sambutan Maulidur
Rasul adalah bid’ah dhalalah dan bertentangan dengan syariat.
Upacara
memperingati hari kelahiran Rasulullah saw ini telah dilakukan
sejak 300 tahun sesudah Rasulullah wafat. Diantara pembesar
yang menganjurkan sambutan ini ialah Malik
Muzhaffar Abu Sa’id penguasa Irbil, Iraq. Dan
seterusnya ia terus berkembang sehinggalah
sekarang. Diantara ulamak besar yang mengatakan bahawa sambutan
Maulidur Rasul ini adalah harus dan digalakkan ialah;
- Said Ahmad Zaini Dahlan dalam kitabnya `Siratun Nabawiyah’. Antara lain beliau menyatakan bahawa; “masyarakat telah terbiasa berdiri tegak ketika mendengar riwayat kelahiran Rasulullah saw. Berdiri tegak menghormati kelahiran baginda adalah baik dan cara-cara seperti ini telah ditiru oleh cerdik cendikiawan lainnya.”
- Imam Jalaluddin As-Sayuti lebih jauh menerangkan dalam kitabnya `Al-Wasail Fi Syarhisy Syamail’ , menyatakan; “Apabila diadakan peringatan Maulidur Rasul di sebuah rumah, masjid atau tempat lain maka malaikat mengawal dan mengawasi tempat tersebut sampai upacara selesai dan semua hadhirin mendapat rahmat dari Allah subhanahu wa taala.”
- Ust. Hj. Harun Muhammad Al-Kelantani (1953) dalam kitabnya Senjata Syariat, Pakaian Ahli Sunnah Wal Jamaah menyatakan bahawa “dapat pahala bagi orang yang berdiri yang adalah niat mereka membesarkan Nabi saw.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan