PUASA bulan Ramadan adalah salah satu rukun Islam. Setiap detik sepanjang bulan Ramadan adalah sebaik-baik masa dan sebaik-baik hari di atas muka bumi ini. Allah telah memberikan kelebihan yang banyak kepada bulan Ramadan berbanding dengan bulan-bulan yang lain.
Rasulullah S.A.W bersabda yang ertinya : “Apabila tiba awal malam dalam bulan Ramadan diikat semua syaitan dan jin-jin yang derhaka, ditutup semua pintu neraka dan tidak dibuka walau satu pintu, dan dibuka pintu-pinta syurga dan tidak ditutup walaupun satu pintu.
Penyeru pun menyeru: “Wahai orang yang mengharapkan kebaikan!
Terimalah. Wahai orang yang mengharapkan kejahatan! Brhentilah, dan
(yang ikhlas) kerana Allah dibebaskan daripada api neraka dan (penyeru
itu akan menyeru) pada setiap malam Ramadhan”. - (Riwayat at-Tirmizi
dan Ibnu Majah)
Hadis ini menerangkan beberapa keistimewaan bulan Ramadan, antaranya
akan dibuka semua pintu syurga untuk menerima amalan-amalan soleh yang
begitu banyak yangdilakukan oleh orang mukmin pada bulan ini.
Syaitan diikat
Begitu juga akan ditutup semua pintu neraka kerana sedikitnya bilangan
maksiat yang dilakukan oleh orang mukmin pada bulan ini.
Syaitan-syaitan juga akan diikat apabila tiba bulan Ramadan.
Kelebihan bulan Ramadan juga ialah difardukan puasa di dalamnya. Puasa
merupakan setinggi-tinggi amalan bagi mendekatkan diri kepada Allah
Subhanahu wa Taala dan puasa juga sebagai penghapus dosa-dosa atas
maksiat yang dilakukan.
Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah Radhiyallahu Anhu,
bahawaRasulullah S.A.W telah bersabda yang ertinya: “Sesiapa yang
berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, akan diampunkan
segala dosa-dosanya yang terdahulu”. - (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Antara keistimewaan puasa juga, Allah akan menggandakan pahala
orang-orang yang berpuasa melebihi amalan-amalan lain di mana kadarnya
hanya diketahui oleh Allah.
Rasulullah S.A.W telah bersabda yang ertinya: “Semua amalan anak Adam
digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya sehingga
tujuh ratus kali ganda.”
Allah berfirman: “Melainkan puasa, kerana ianya untuk-Ku dan Aku
sendiri yang akan membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan
makanannya kerana-Ku”. Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua
kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika menemui
Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) kerana
berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau Musk” - (Riwayat
al-Bukhari dan Muslim)
Ganjaran di akhirat bagi orang yang berpuasa tentunya lebih besar,
kerana nikmat dunia walau sebesar mana sekalipun tidak mungkin menyamai
sekecil-kecil nikmat akhirat.
Rasulullah bersabda yang ertinya: “Sesungguhnya di dalam syurga ada
satu pintu yang dipanggil ‘al-Rayyan’, masuk melaluinya orang-orang
yang berpuasa pada hari kiamat, tidak boleh masuk melaluinya seseorang
pun selain mereka.
Diseru: “Mana orang-orang yang berpuasa?” maka mereka pun bangun, tidak
akan masuk melaluinya seorang pun selain mereka, maka apabila mereka
(orang berpuasa) masuk, pintu itu akan ditutup, maka tidak boleh masuk
melaluinya seorang pun.” - (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dalam riwayat al-Nasa’i dan Ibnu Huzaimah pula disambung lagi. “Sesiapa
yang masuk akan minum, dan sesiapa yang telah minum tidak akan dahaga
selama-lamanya.”
Antara bekalan yang boleh diperoleh dari ibadat puasa:
Sifat ikhlas
Puasa merupakan ibadah yang paling hampir dengan makna keikhlasan bagi
seorang hamba. Ini kerana ibadat puasa merupakan rahsia antara hamba
dan tuhannya.
Seorang yang berpuasa boleh berbuka tanpa diketahui oleh orang lain,
tetapi kerana ketakwaannya kepada Allah yang mengetahui zahir dan
batinnya dan kerana mengharapkan pahala dan reda Allah, dia tidak
melakukannya.
Itulah sebabnya ibadat ini istimewa dari yang lain. Sifat inilah yang
paling berharga dalam kehidupan seorang Muslim kerana amalan yang tidak
disertai dengan keikhlasan tidak diterima oleh Allah dan tidak
membuahkan hasil.
Mujadalah dan kekentalan jiwa
Puasa memaksa kita meninggalkan keinginan nafsu syahwat walaupun pada
perkara yang telah dihalalkan kepada kita untuk melakukannya sebelum
Ramadhan.
Ini mendidik kita untuk lebih tegas dan meninggalkan perkara yang
sememangnya telah diharamkan oleh syariat di luar bulan Ramadhan.
Sabar
Puasa melatih kita supaya bersabar dalam berhadapan dengan keinginan diri dan godaan luaran sepanjang Ramadan.
Sabar seperti ini amat perlu dalam berhadapan dengan segala kemungkinan dan kehidupan.
Memelihara fizikal
Puasa menyebabkan kita terpaksa memelihara perut, telinga, lidah,
tangan dan kaki daripada perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa.
Prihatin dan belas kasihan
Puasa melahirkan rasa prihatin dan belas kasihan kepada fakir miskin,
lantaran itulah disyariatkan zakat fitrah pada bulan ini untuk
menguatkan lagi perasaan tersebut.
Perasaan ini adalah titik tolak kepada rasa tanggungjawab untuk melakukan pembaikan dalam masyarakat.
Membuka hijab antara diri dengan Allah
Ibadat yang dilakukan dalam bulan Ramadan berupaya membersihkan roh dan
hati. Dengan itu terbukalah hijab antara hamba dengan tuhannya.
Mengenali erti kejayaan sebenar
Puasa mengajar mukmin erti kejayaan sebenar. Bukanlah harta atau
kedudukan menjadi kayu pengukur kepada kejayaan tetapi tercapainya
matlamat yang telah digariskan oleh Allah adalah kejayaan yang hakiki.
Orang yang berpuasa akan memperoleh dua kejayaan, pertama ketika berbuka
dan kedua ketika menemui tuhannya.
Rasa belas dan lemah lembut
Rasulullah S.A.W mengajar umatnya, apabila seseorang mencaci atau
memperli orang berpuasa, maka hendaklah dia berkata “Aku berpuasa!.”
Seorang mukmin yang hakiki amat berhajat kepada latihan seperti ini,
kerana tidak mungkin dakwah dapat disebarkan dengan kekerasan.
Bahkan ia memerlukan sikap berlapang dada dan kemampuan menahan diri
dari perasaan marah. Permusuhan dan perbalahan tidak sedikit pun
mendatangkan keuntungan kepada dakwah, bahkan merugikan masa dan tenaga.
Memperkukuhkan kesatuan ummah
Orang Islam di seluruh pelosok dunia berpuasa dalam bulan yang sama.
Masing-masing merasakan nikmat kebaikan bulan Ramadan dan perasaan ini
dikongsi bersama oleh seluruh umat Islam tanpa mengira bangsa
keturunan,warna kulit, bahasa dan melampaui batas geografi. Merasai
wujudnya kesatuan umat adalah perkara ‘dharuriah’ atau yang paling utama
yang perlu ada dalam diri setiap mukmin.
Merapatkan hubungan dengan alam
Penentuan Ramadhan dan Syawal, membawa umat Islam memerhati perjalanan
bulan dan bintang. Demikian itu melahirkan rasa keagungan kepada
Penciptanya.
Menjaga masa
Puasa mengajar seorang Muslim supaya teliti dengan masa dan jadual
hidup. Ketika bulan Ramadan, seorang Muslim perlu teliti dalam
menentukan waktu berbuka dan sahur kerana sedikit kesilapan akan
membatalkan puasanya. Disiplin masa seperti ini amat perlu dalam
kehidupan seorang mukmin agar setiap perancangan hidupnya berjaya dan
tepat pada masa yang ditetapkan.
Kesihatan tubuh badan
Pakar-pakar perubatan mendapati puasa boleh menyembuhkan pelbagai
penyakit yang tidak boleh dipulihkan oleh sesetengah ubat-ubatan moden
atau tradisi.
*** Artikel ini dipetik dari buku Panduan Puasa Ramadhan susunan Sarip bin Adul, Kulliyah Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Ia disiarkan dalam versi digital menerusi portal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan