Rabu, 6 Oktober 2010

MUSUH MUSLIMIN - GOLONGAN MUNAFIK

KULIAH AQIDAH


Bagi Muslim-Mukmin ada lima jenis dianggap sebagai musuh/cabaran. Tiga daripadanya adalah musuh yang zahir, manakala dua lagi adalah jenis yang ghaib.

Lima musuh tersebut adalah:

1. Golongan kafir. Mereka terbahagi kepada 2 kumpulan iaitu:

a. Kafir Harbi – iaitu mereka yang menzahirkan permusuhan terhadap umat Islam samada seperti menyerang, membunuh, menyiksa, menekan, dan sebagainya. Sebagai contoh, golongan Yahudi Zionis yang menyerang umat Islam di Palestin.

b. Kafir dzimmi – iaitu golongan kafir yang tidak menzahirkan permusuhan dengan umat Islam samada yang tinggal bersama umat Islam ataupun yang mendiami Negara yang berasingan dan tidak memusuhi umat Islam secara jelas.

2. Golongan Munafik. Mereka adalah golongan yang menzahirkan diri sebagai Muslim sambil menyembunyikan kekafiran mereka.

3. Golongan Mukmin ‘Asi. Mereka adalah dari kalangan umat Islam tetapi di kalangan yang melakukan berbagai maksiat. Mereka adalah yang menyimpan perasaan dengki sesama Muslim.

4. Iblis dan Syaitan. Sebagaimana yang termaktub di dalam Al Qur’an, syaitan dan iblis adalah merupakan musuh manusia yang nyata yang sentiasa menggoda untuk menyesatkan anak Adam.

5. Hawa nafsu. Cabaran dalaman bagi setiap diri manusia yang mengajak mereka melakukan penderhakaan terhadap Allah swt jika tidak dapat ditundukkan.

Dalam kuliah kali ini, fokus perbincangan adalah kepada golongan kedua iaitu golongan Munafik.

Dalam masyarakat Melayu, berbagai peribahasa dan perumpamaan telah digunakan bagi golongan seperti ini. Antaranya adalah ‘gunting dalam lipatan’, ‘api dalam sekam’, ‘talam muka dua’, ‘sesumpah’, dan sebagainya. Kesemuanya adalah membayangkan sifat bermuka-muka yang ada pada golongan munafik ini.

Dalam sejarah Islam, golongan Munafik hanya muncul selepas peristiwa hijrah iaitu di Madinah setelah Islam memiliki pengaruh dan kekuasaan. Terdapat golongan yang dengki dengan penguasaan Islam di Madinah, yang telah lama menyimpan cita-cita untuk menguasai negara Madinah tetapi terhalang dengan kedatangan Islam. Ketua golongan Munafik yang sudah dimaklumi ramai adalah Abdullah bin Ubai bin Sallul.

Antara ciri kelemahan golongan Munafik ini adalah mereka tidak sanggup untuk bersama umat Islam berperang menentang musuh. Peristiwa perang Badar dan perang Uhud merakamkan bagaimana mereka berjaya mempengaruhi sebahagian dari tentera Islam untuk berpatah balik meninggalkan medan perang. Mereka benci apabila Islam menang dalam perang Badar dan gembira apabila tentera Islam mengalami kekalahan di dalam perang Uhud. Semasa berlaku perang Tabuk pula, mereka memberi berbagai alasan untuk tidak menyertai peperangan.

Walaupun Rasulullah SAW mengenali setiap dari mereka, malah menyerahkan senarai nama mereka kepada Huzaifah ibn Yaman r.a., tiada tindakan keras telah diambil ke atas mereka kerana bimbang menjadi fitnah. Pada zaman selepas kewafatan Rasulullah SAW, Syaidina Umar al-Khattab akan sentiasa merujuk kepada Huzaifah setiap kali berlaku kematian sebelum menghadiri solat jenazah, untuk memastikan samada arwah tersebut tidak tersenarai sebagai munafik. Pernah juga beliau bertanya kepada Huzaifah sekiranya dia sendiri tersenarai sebagai seorang Munafik, atas dasar tawaddu' nya.

Cabaran dari golongam munafik adalah lebih getir disebabkan ketidak-jelasan kedudukan mereka. Di awal surah Al Baqarah, Allah SWT memperincikan ciri-ciri dan sifat golongan ini di dalam 13 ayat, iaitu ayat 8 sehingga ayat 20 (Sila rujuk terjemahan Al Qur’an). Sedangkan ciri-ciri mukmin muttaqin dijelaskan di dalam tiga ayat dan golongan kafir pula dijelaskan di dalam dua ayat sahaja.

Sifat Nifaq adalah terbahagi kepada dua:

1. Nifaq ‘amali – sebagaimana yang dijelaskan di dalam hadith Nabi SAW. Terdapat tiga ciri utama sifat-sifat munafiq:

a. Apabila bercakap, mereka berdusta

b. Apabila diberi amanah, mereka khianat

c. Apabila berjanji, mereka mungkir

2. Nifaq I’tiqadi – yang menjadikan mereka kafir dan dijanjikan untuk ditempatkan di kerak neraka.

Berdasarkan buku yang dijadikan panduan kuliah tersebut, terdapat enam (6) ciri Munafiq I’tiqadi yang berlaku pada hari ini:

1. Mendustakan Rasulullah SAW seperti menolak Hadith secara total

2. Mendustakan sebahagian dari ajaran Nabi SAW

3. Benci kepada Nabi SAW

4. Benci dengan sebahagian dari ajaran Nabi SAW dan sunnah Nabi SAW

5. Gembira apabila melihat Islam dihina, ditekan, ditewaskan, dan sebagainya

6. Benci untuk menolong agama Islam

Untuk menjauhkan diri dari terjerumus ke dalam lembah nifaq, antara usaha yang boleh dibuat termasuklah mengamalkan doa.

"Ya Allah berlindung denganMU dari Syak dan syirik, dan dari kufur dan nifak Dan daripada akhlak yang buruk Dan daripada keburukan pandangan dan daripada keburukan pada harta dan anak.
Ya Allah aku berlindung denganMu daripada bala, daripada kecelakaan, daripada keburukan di saat akhir/penghabisan yang tidak baik; daripada ditimpa keburukan yang mengembirakan musuh.; daripada penyakit yang tidak sembuh dan daripada hajat yang tak kesampaian
."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan