Khamis, 19 Ogos 2010

Pelaksanaan syariah Islam di Malaysia : Cabaran dan harapan

UMUM

Oleh: Prof. Dato’ Dr. Mahmood Zuhdi Haji AbdMajid


Pendahuluan:

Secara mudahnya Syariah boleh dihuraikan sebagai system hidup Islam yang diwahyukan oleh Allah s.w. kepada umat manusia meneri RasulNya Nabi Muhammad s.a.w.Kebenarannya mutlak, rangkumannya komprehensif dan jangkauannya universal.

Wahyu berkenaan terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah. Usaha memahami wahyu berkenaan oleh para fuqaha disebut sebagai ijtihad. Pemahaman atau kefahaman yang terhasil daripada ijtihad berkenaan biasa disebut sebagai fiqh. Ketentuan yang berasaskan kepada pemahaman berkenaan disebut sebagai hukum.

Meskipun kebenaran wahyu itu sendiri bersifat mutlak atau abslut, namun bukan kesemua hukum yang difahami daripada nya bersifat seperti itu. Kerana dalam prosesm emahami hukum dari wahyu berkenaan akal dan nilai intelektual faqih atau parafuqaha ada saham yang tertentu. Begitu juga persekitaran hidup dimana faqihatau fuqaha itu melakukan ijtihadnya. Sebesar mana saham akal dan nilaiintelektual serta juga persekitaran dalam proses penentuan hukum berkenaan berbanding dengan saham wahyu maka sebesar itulah juga kebarangkalian tepat atau sebaliknya dalam hukum berkenaan. Bagaimanapun ia akan tetap juga disebut sebagai hukum Syarak. Cuma tahap kejituan masing-masing berbeza-beza.

Sifat komprehensif pada Syariah berkenaan memberi maksud ia bukan merangkumi satu duaaspek hiudup sahaja, tetapi semua aspek. Baik secara peribadi, berkelumpuk,bermasyarakat, bernegara dan apa saja. Kadar penekanannya juga perlu berimbang.Bagaimanapun prinsip keutamaan (al-Aulawiyat) boleh diguna pakai . Begitulahj uga dengan berbagai pendekatan lain seperti penggunaan polisi (SiasahSyar’iyah) sebagai langkah sementara.

Yang dimaksudkan dengan jangkauan yang universal bermaksud ia sentiasa mengambilkira perubahan zaman dan tempat serta keadaan. Dalam pengajian fiqh sifat iniboleh disimpulkan dalam dua istilah, iaitu semasa dan setempat. Fiqh semasa bermaksud kefahaman tentang kehendak wahyu dalam konteks semasa. Sementara fiqhsetempat pula bermaksud kefahaman dalam konteks tempatan. Secara bersama duanilai ini boleh disebut sebagai “Fiqh semasa pendekatan tempatan”.

LatarBelakang:

Mukadimah yang panjang lebar di atas bertujuan untuk memberi peringatan bahawa perbincangan tentang pelaksanaan Syariah Islam di Malaysia sekarang perlumerangkumi ruang lingkup yang luas . Bukan saja dari segi falsafah dan dasar tetapi juga dari segi polisi danpendekatan. Kerana ia bukan sahaja perbincangan tentang idealism tetapi jugaberkait dengan realiti di mana idealism berkenaan akan direalisasikan.

Meskipun secara idealnya yang hendak dilaksanakan itu ialah Syariah namun secara praktiknya ialah fiqh. Malah lebih tepatlagi ialah hukum, undang-undang, peraturan dan sebagainya yang diambil daripada Syariah. Apabila yang hendak dilaksanakan itu ialah kehendak Syariah tentangmuamalat maka yang akan terlaksana sebenarnya ialah kefahaman para fuqaha tentang muamalat berkenaan (Fiqh al-Muamalat) yang difahami daripada Syariah.Malah secara lebih tepat lagi ialah undang-undang dan peraturan yang mengaturtransaksi berkenaan yang dibentuk berasaskan kefahaman para fuqaha terhadap kehendak Syariah sepertimana yang terdapat dalam wahyu yang berkenaan.

Begitulah juga kalau yang hendak dilaksanakan itu ialah kehendak Syariah tentang jenayah,kenegaraan, kewangan dan sebagainya.Kerana Syariah lebih bersifat idealism kepada usaha pelaksanaan berkenaan.Sebagai idealism ia akan menjadi asas rujukan bagi setiap usaha dan kegiatanyang dilakukan dalam mencapai objektif berkenaan.

Semuanya ini menunjukkan kepentingan “fiqh” dalam melaksanakan Syariah, termasuk di Malaysiasekarang. Tanpa fiqh tiada usaha pelaksanaan boleh berlaku kerana kefahaman tentang sesuatu itu merupakan asas utama dalam merealisasikannya.

Kepentingan“Fiqh”:

Sepertimana yang tersebut di atas, fiqh bermaksud kefahaman tentang ketentuan Syariah. Namun ia bukan sekadar kefahaman begitusahaja. Dalam pengajian Syariah adadisiplin atau method tertentu bagaimana kehendak Syariah itu difahama., Katapara ulama Usul Fiqh, fiqh itu ialah memahami hukum Syarak berasaskan sandaran-sandarannya secara terperinci.

Satu perkarayang sangat penting disebut di sini ialah “fiqh” mempunyai ikatan yang kuat dengan zaman dan tempat. Maksudnya, apayang sebenarnya fiqh itu ialah memahami Syariah dalam konteks semasa dansetempat. Kerana itulah dalam sejarah perkembangan fiqh yang lama itu,disamping sebab- sebab lain seperti perbezaan tahap nilai intelaktual dikalangan para fuqaha, zaman dan tempat memainkan peranan yang penting dalam melahirkan pendapat dan aliran sertamazhab yang berbeza di antara satu sama lain.

Adalah cukup diketahui di kalangan para pelajar ilmu Syariah bahawa antara satu sebab besar perbezaan di antara mazhab Maliki dan Hanafi ialah kerana mazhab Maliki cambah dan berkembang di Semenanjung Tanah Arab. Sedangkan mazhab Hanafi sebaliknya cambah dan berkembang di Iraq, iaitu dalam persekitaranbudaya Parsi . Begitulah juga dengan mazhab-mazhab yang lain

Semuanya ini member erti bahawa usaha melaksanakan Syariah Islam di Malaysia perlu didahului dengan pembinaan fiqh semasa dan setempat . Maksudnya kefahaman tentang Syariah dalam konteks Malaysia sekarang. Tanpa fiqh seperti ini pelaksanaan yang diusahakan itunanti, dalam beberapa hal munkin akan gagal memenuhi kehendak Syariah yangsebenar.

Mimang duniaIslam, termasuk Malaysia mempunyai perbendaharaan fiqh yang begitu tinggi nilaikeilmuannya sehingga boleh disifatkansebagai mencapai tahap universal. Namun secara ilmiahnya terdapat jumlah yang tidak sedikit hukum yang difatwakan dalam kitab-kitab fiqha kelasik itu sudah tidak tepat lagi dalamkonteks Malaysia sekarang. Sebabnya, seperti disebut diatas bukan keranaal-Quran dan al-Sunnah sudah ketinggalan zaman, tetapi sebaliknya kefahamanpara ulama berkenaan terhadap wahyu yang terdapat dalam sumber-sumber utamahukum Islam itu sudah tidak semasa lagi.

Untuk membangun fiqh semasa dan setempat bukan sesukar difikirkan secara negatif olehsesetengah orang. Kerana walaubagaimana pun fiqh semasa itu ia tetap juga merupakan kesinambnungan kepada fiqh kelasik. Dengan kata lain, ia bukan sesuatu yang perlu dibina dari A atau alif. Tetapi sebaliknya suatu penerusanatau kelanjutan kepada usaha yang telahdibuat agar perkembangannya tetap semasa dan up-to-date. Dengan kata lain, ia merupakan kajian lanjut bagi menghapuskan jurang zaman dan tempat dalam fiqhkelasik. Para ahli akademik boleh memamami konsep ini dengan jelas dan dapat melakukannya dengan selesa berasaskan program akademik mereka.

PemulihanSosial:

Yang dimaksudkan dengan pemulihan social ialah usaha memulihkan keburukan masyarakat Islam di Negara ini sampai kepada tahap mampu menjadi subjek kepada pelaksanaanSyariah yang dicita-citakan itu.

Kenyataan initidak bertujuan untuk mengatakan bahawa umat Islam di Malaysia sekarang tidaklayak melaksanakan Syariah Islam dalam kehidupan mereka. Sebalik nya untuk mengatakan bahawa langkah memulihkan masyarakat sampai menjadi lebih sesuaiuntuk menerima hukum, undang-undang, peraturan dan sebagainya yang berlandaskan kepada Syariah yang ideal itu merupakan pendahuluan yang sangat penting kepadausaha melaksanakan Syariah Islam itu. Agar pelaksanaan yang dicita-citakan itunanti tidak mengalami kegagalan seperti yang pernah berlaku di sesetengah Negara-negara Islam yang lain sebelum ini.

Paling penting dalam usaha ini ialah memperdalamkan rasa penerimaan masyarakat Islamsendiri terhadap pelaksanaan berkenaan. Kerana umat Islam sekarang, miskipun dari segi agamanya mereka tetap Islam tetapi dari segi kehidupan sebahagian daripada mereka tidak lagi berkeyakinan penuh terhadap kemampuan hukum dan undang-undang Islam menyelsaikan masalah mereka, terutama berdasarkan ketentuan-ketentuan hukum yang terdapat dalam fiqhkelasik sepertimana yang ada sekarang.

Bagi tujuan tersebut proses pendidikan social dan pembudayaan hukum perlu dilakukan dengansebaik munkin. Maksudnya sebelum sesuatu undang-undang dan peraturan yang berasaskan Syariah Islam proses seperti itu perlu terlebih dahulu dilakukan agar masyarakat tidak mempunyai prajudis yang tebal terhadap kemampuan undang-undang dan peraturan Islam yang akan dilaksanakan itu.

Objektif seperti ini boleh juga dicapai, malah secara lebih berkesan lagi melalui proses pemantapan akiodah. Namun ia memerlukan method yang tepat dan bukan sekadar memperdalam ilmu atau maklumat secara yang biasa dilakukan dalam majlis-majlispengajaran atau pembelajaran biasa. Dengan kata lain, ia memerlukan proses penjiwaan dan bukan pengilmuan.

Satu aspeklain yang berkait rapat dengan soal pemulihan social ini ialah pembersihaninfrastroktor masyarakat daripada anasir buruk yang boleh menegatifkan usahapelaksanaan Syariat Islam itu sendiri. Ruang lingkup usaha ini cukup luas sekali kerana keburukan masyarakat Islam di Malaysia sekarang merangkumi berbagai-bagai aspek bermula daripada aspek kekeluargaan sampailah kepada aspek kenegaraan. Tanpa usaha seperti ini kemunkinan besar faktor-faktor negatif berkenaanakan menggagalkan sama sekali

Sebagai satu contoh ialah nilai buruk yang terdapat dalam media, baik yang berbentuk cetak atau yang berbentuk elektronek. Nilai-nilai negatif ini perlu dihapuskan terlebih dahulu sebelum Syariah Islam dilaksanakan dengan sepenuhnya. Kerana tanpa penghapusan seperti itu ia akanmengganggu pelancaran pelaksanaan berkenaan melalui provokasi kearah pelanggaran undang-undang atau peraturan yang mahu dilaksanakan itu.

Makanisme dan Method:

Persoalan tentang makanisme dan method pelaksanaan juga penting. Banyak perkara yang baikdan bermutu ditolak oleh masyarakat kerana dipersembahkan dengan cara yang tidak menarik. Sebaliknya pula banyak perkara yang tidak bermutu tetapi diterima baik oleh masyarakat kerana mutu atau cara persembahannya yang baikdan menarik.

Pandangan remeh masyarakat terhadap usaha-usaha pelaksanaan sebahagian daripada Syariah pada hari ini, antara lain banyak berpunca dari persoalan seperti ini.Pentadbiran institusi –institusi Islam pada hari ini yang tidak teratur dan berpristasi rendah boleh ditunjuk sebagai contoh.

Bagaimanapun, untuk mempertingkatkan nilai dalam aspek seperti ini tidak semudah yang disangka sesetengah orang. Ia tidak cukup dengan sekadar mempertingkatkan pristasi fizikal seperti bangunan, perabut dan pakaian, misalnya. Sebaliknya yang lebih penting ialah budaya cemerlang dalam melaksanakan tanggongjawab atau memberi perkhidmatan.

Paling berperanan ialah kecekapan dan pristasi kerja yang baik. Para pelaksana perlu mempunyai kepakaran yang tinggi dan mutu kerja yang baik. Selain itu ialah sikap mengambil berat terhadap kebajikan orang lain. Sikap professional juga sangat membantu. Malah banyak lagi sikap-sikap positif yang lain. Semua nya ini perlu dibudayakan sehingga menjadi tradisi yang yang diwarisi dan masa ke semasa.

Kehendak Politik:

Tanpa kehendak politik Syariah tidak boleh dilaksanakan dengan sebaik munkin dalam negaraini. Bagaimana pun kenyataan ini tidak menafikan sebahagiannya dapat dilaksanakan, iaitu yang bersifat ibadat semata-mata, seperti sembahyang, puasa, zakat dan sebagainya.Kerana untuk melaksanakan hal-hal ibadat seperti ini tidak memerlukan kuasa politik atau pentadbiran. Ia boleh dilakukan oleh siapa sahaja dengan syarat tiada halangan yang dilakukan.

Sehubungandengan kehendak politik ini ada dua aspek penting yang perlu dilihat.Pertamanya para pemerintah yang memegang tampok kuasa politik dan pemerintahan .Keduanya pula ialah rakyat, iaitu pemegang kuasa poilitik yang sebenarnya dalamsebuah Negara dimokrasi seperti Malaysia ini.

Amat jelas sekali pemerintah sahajalah yang mampu melaksanakan Syariah Islam dalam Negara ini. Namun pemerintah juga terikat dengan dasar pemerintahan yang ada. Dalam Negara demokrasi seperti di Malaysia dasar seperti itu biasanya ditentukan oleh parti yang mendokong pemerintahan berkenaan.

Dari sini dapat dilihat dengan jelas bahawa pelaksanaan Syariah Islam dalam Negara ini memerlukan dokongan parti politik yang mempunyai dasar dan cita-cita untuk melaksanakan sistem hidup berkenaan dalam Negara ini.

Dalam sebuah Negara dimokrasi seperti di Malaysia ini, kuasa rakyat yang paling besar sekaliialah menentukan siapa yang menjadi pemerintah dalam pilihanraya yang diadakan. Namun bak kata orang, demokrasisebenarnya bermaksud penguasaan golongan kecil yang cerdik keatas golongan besar yang bodoh, ternyata yang sebenarnya berkuasa ialah golongan menengah dalam masyarakat berkenaan. Maksudnya kuasa rakyat ada pada mereka ini. Merekalah, walau pun kecil bilangannya yang sentiasa mempengaruhi orang ramai dalam menyokong atau tidak mana-manaparti politik dalam pilihanraya yang diadakan.

Dengan katalain, pelaksanaan Syariah dalam Negara ini memerlukan sokongan golonganmenengah masyarakat. Kerana merekalah yang sentiasa mempengaruhi pandangan umum dengan segala kecerdikan dan kepandaian yang ada pada mereka. Malah boleh dikatakan merekalah golongan yangpaling dihormati oleh masyarakat umum.

Halangan Perlembagaan dan Undang-Undang:

Ramai orang bercakap tentang halangan perlembagaan dan undang-undang dalam usaha melaksanakan Syariah Islam dalam Negara ini. Meskipun kata-kata seperti itu ada benarnya tetapi apa yang sebenarnya ia lebih bersifat pendalihan semata-mata. Terus memperkatakan hal seperti ituakan meletakkan perjuangan pada sudut yang sukar dan langkah-langkah yang diambil dalam merealisasikannya akan lebih bersifat negative.

Mimang benar perlembagaan Malaysia tidak menyebut undang-undang Islam sebagai undang-undangNegara, tetapi ia menyebut agama Islam sebagai agama persekutuan. Adalah juga benar perlembagaan tidak menjamin pelaksanaan undang-undang Islam, tetapi jaminan berkenaan ada dalam kebanyakan undang-undang tubuh negeri. Begitu juga benar undang-undang negeri tidakboleh mengatasi undang-undang persekutuan, tetapi sekatan seperti itu tidak menyeluruh semua keperluan pelaksanaan Syariah.

Sejarahmenunjukkan dengan jelas bahawa kehendak politik boleh mengatasi kehendakperlembagaan dan undang-undang ini. Malah perlembagaan yang ada cukup terbuka untukmenerima pentafsiran samada yang bersifat libral atau pun konservatif. Semuanya banyak terhenti atas kehendak dan kuasa politik. Dengan demikian tidaksepatutnya lagi berbangkit soal halangan seperti ini.

Selain itu,yang dihalang oleh perlembagaan dan undang-undang persekutuan yang berkaitdengannya tidaklah merangkumi jangkauan yang sangat luas sehingga merangkumi ruang yang cukup besar dalam Syariah. Masih terdapat ruang yang cukup luas bagi Syariah Islam yang tidak dihalang pelaksanaannya oleh perlembagaan.

Satu contohyang sangat jelas mengenai hakikat ini ialah urusan perbankan dan kewangan Islam yang sedang berjalan lancar pada hari ini. Sijil dan produk halal jugasatu contoh yang nyata. Lama sebelum ini sudah ada system pendidikan Islam yang dilaksanakan dengan begitu selesa. Malah terdapat berbagai-bagai aspek pelaksanaan Syariah Islam lagi yang tidak terhalang. Maka yang menghadapai sedikit sebanyak halangan itu ialah “Undang-Undang” semata-mata. Itu pun lebih terjurus kepada bidang jenayah semata-mata.

PersoalanTentang Emosi:

Satu perkara penting yang rasanya perlu diketengahkan berkait dengan perbincangan ini ialah persoalan tentang emosi. Bukan sahaja di Negara ini, tetapi juga diseluruh dunia umat Islam rata-rata menghadapi krisis emosi. Kemuncak kepada krisis ini antaranya serangan berani mati, pengebuman diri sendiri dan sebagainya.

Secara objektifnya perjuangan Islam itu boleh dilakukan dengan berbagai cara. Para ulama menyebutnya dalam suatu konsep besar, iaitu “Jihad”. Dalam penulisan kelasik ia dihuraikan dalam sifat yang lebih menjurus kepada peperangan melawan musuh. Bagaimana pun konsepnya yang sebenar lebih luas daripada itu. Ia merangkumi apa saja perjuangan Islam yang dilakukan dengan gigih dan sesungguhnya.

Apa yang nyata, para ulama kelasik lebih mengambil kira realiti corak perjuangan Islam pada waktu itu, iaitu mempertahankan kedudukan dan maruah Islam yang sentiasa menerima serangan bersenjata dari pehak musuh. Maka oleh kerana realiti permusuhan padahari ini coraknya agak berbeza, iaitu lebih luas dan menyeluruh maka konsep dan pelaksaaan jihad juga perlu lebih luas dan menyeluruh. Peperangan bersenjata juga tidak terkecuali.

Begitu pun apa yang hendak disentuh disini ialah bagaimana Islam mahu para pejuangnya mengawal emosi agar sentiasa bersikap waras dan saksama dalam segala langkah yang diambil. Dalam pertempuran sekalipun Islam mengingatkan agar para tentera tidak membunuh wanita, orang tua dan kanak-kanak kecuali mereka ikut berperang.Malah binatang dan pokok juga tidak boleh dimusnahkan.

Maka dalam perjuangan menegakkan Syariah Islam dalam Negara ini soal emosi ini perlu dikawal. Agar segala langkah yang diambil bersifat waras dan bijaksana. Sebaliknya kalau perjuangan berkenaan dipengaruhi emosi segala langkah kelihatannya sumbang. Maka untukmenolak perjuangan itu,orang tidak perlu mempertikaikan kebenaran perjuangan berkenaan, tetapi cukup dengan mengatakan bahawa cara yang dipilih tidak sesuai. Bak kata al-Imam al-Ghazali, kekuatan seseorang itu tidak terletak pada kebolehannya bergusti tetapi pada kesabarannya dalam menghadapi kesukaran.

Penutup:

Pada kesimpulannya, untuk melaksanakan Syariah Islam di Malaysia berbagai cabaran perlu dihadapi. Bagaimanapun ia tidak terlalu besar kalau umat Islam di Negara ini mempunyai kehendak politik yang jelas. Kerana sistem demokrasi yang ada memunkinkan segala kehendak rakyatboleh berlaku.

Begitupun,oleh kerana rakyat secara umumnya dipengaruhi oleh golongan atau kelas menengah maka kelas inilah biasanya yang merupakan golongan penentu. Dalam politik mereka ini biasa diistilahkan sebagai golongan elit.

Untuk mengajak golongan ini bersimpati dengan perjuangan berkenaan para pejuang dan pendokong perjuangan itu perlu bijak. Kalau tidak perjuangan berkenaan sekadar akan menjadi perjuangan massa yang kurang berpengaruh walaupun mendapat sokongan ramai.

Satu daripada acara untuk menarik perhatian golongan elit ini ialah mengurangkan pengaruh emosi dalam perjuangan berkenaan. Kerana cerdik pandai masyarakat lebih menghargai nilai intelektual daripada semangat yang berkobar-kobar, apatah lagikalau digembelingkan dengan secara liar.

Dalam sebuah Negara demokrasi seperti di Malaysia sekarang, pertubuhan politik memainkan peranan yang sangat penting dalam merealisasikan cita-cita politik bagai sesuatu golongan atau masyarakat umumnya. Kerana itu, mempunyai dasar yang jelas kearah merealisasikan Syariah di negara ini sangat penting bagi penerimaan golongan masyarakat yang sukakan perjuangan berkenaan. Begitupun catatan dalam perlembagaan sahaja tidak cukup. Pendekatan yang ditunjukkan bagi menggambarkan dengan jelas bagaimana selogan itu dapat direalisasikan juga diperlukan.

Selain cita-cita politik, nilai intelektual juga sangat berperanan dalam menentukan perjuangn berkenaan berjaya atau tidak. Satu aspek yang sangat diperlukan dalam bidang ini ialah kemampuan untuk melanjutkan kesinambungan fiqh Islam dalam bentuk dan sifat yang semasa dengan mengambil kira keperluan tempatan. Selainitu pandangan yang menyeluruh tentang Syariat Islam juga sangat diperlukansehingga boleh mengelak dari terjebakdalam pentafsiran sempit yang meletakkan undang-undang pada tempat yang sangatterutama, apalagi satu-satunya pilihan.

Kepercayaan lama bahawa perlembagaan Malaysia merupakan penghalang utama kearah merealisasikan cita-cita pelaksanaan Syariahdi Malaysia perlu disemak balik. Kerana ternyata ruang untuk melaksanakan Syariah dalam Negara ini jauh lebih luas daripada yang ditutup oleh perlembagaan berkenaan. Apa yang diperlukan ialah para pentafsir undang-undang yang sudah benar-benar bebas daripada pengaruh penjajahan Inggeris yang menyuap kepada para ahli undang-undang kita dengan tafsiran pasang siap.

Selain itus emua, penguasaan terhadap emosi sangat perlu dalam perjuangan berkenaan. Ia walaupun disifatkan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai perjuangan yang agak sukart etapi Islam mempunyai cara yang jelas bagaimana melakukannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan