Betulkah petanda 40 hari sebelum mati?
Oleh ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM AL-HAFIZ
MASUK
sahaja waktu asar, pusat saya berdenyut-denyut. Bukan setakat itu,
semua tanda lain turut ada pada tubuh.
Saya amat kaget kerana semua itu adalah tanda 40 hari sebelum mati sebagaimana yang dibaca dalam sebuah buku
Saya
tak tunggu lagi ustaz! Saya bertaubat nasuha atas segala kesilapan dan
alhamdulillah saya dah berubah sekarang. Kerisauan itu mendorong saya
untuk berubah. Semua tanda 40 hari sebelum mati itu benarkan ustaz?”
Soalan
jiran saya ini saya jawab dengan soalan lain: “Tapi sampai sekarang
awak belum mati lagikan? Saya kira dari tempoh awak mengesan tanda mati
itu, jaraknya sudah lebih dari 40 hari?”
Tazkirah pelik tentang
tanda-tanda tujuh, 40 atau 100 hari sebelum mati biasa tersebar sejak
dahulu lagi.
Sebaran perkara ini menjadi semakin laju dengan
perkembangan media sosial. Soalannya, adakah perkara ini benar?
Bagaimana
pendakwa yang galak menulis buku itu tahu dengan terperinci segala
tanda berkenaan sebelum mati? Adakah pernah ada orang mati yang hidup
semula lalu memberitahu segala tanda yang pernah dialaminya sebelum
mati? Usahkan kita, Rasulullah SAW yang saban hari berdamping dengan
malaikat Jibril a.s. pun tidak mengetahui perihal ghaib tanpa izin
Allah. Firman Allah:
“Katakanlah: “Aku tidak berkuasa mendatangkan
manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang
dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara yang ghaib,
tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda yang mendatangkan
faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain
hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang yang ingkar)
dan membawa berita gembira bagi orang yang beriman,” (al-A’raf
[7:188]).
HAK EKSKLUSIF ALLAH
Ajal maut adalah rahsia eksklusif Allah yang mustahil diketahui oleh makhluk. Perkara ini ditegaskan secara tuntas oleh Allah:
“Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat.
Dan Dialah jua yang menurunkan hujan dan yang mengetahui dengan
sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung).
Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan
diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorang pun
yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah dia akan mati.
Sesungguhnya
Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuan-Nya,” (Luqman
[31:34]).
Mati juga sudah siap tarikhnya pada pengetahuan
Allah. Yang tahu adalah Allah, bukan kita, bukan Rasulullah SAW, bukan
tok nujum dan sebagainya:
“Dan (setiap) makhluk yang bernyawa tidak
akan mati melainkan dengan izin Allah, iaitu ketetapan (ajal) yang
tertentu masanya (yang telah ditetapkan oleh Allah),” (Ali
‘Imran[3:145]).
Tak cukup dengan itu, mufti wanita dalam kalangan
sahabat Rasulullah iaitu isteri baginda, Aishah r.a. turut menegaskan
perkara sama:
“Orang yang mengatakan bahawa Rasulullah SAW
menyembunyikan sesuatu ayat daripada Kitab Allah (tidak
disampaikannya). Maka orang itu sesungguhnya telah berbuat kebohongan
besar terhadap Allah kerana Allah telah berfirman:
“Wahai, Rasul!
Sampaikanlah apa yang diwahyukan kepadamu daripada Tuhanmu! Apabila itu
tidak engkau lakukan, bererti engkau tidak menyampaikan risalah-Nya
(tidak menjalankan tugas daripada-Nya”),” (al-Maidah[5:67]),
“Dan
orang yang mengatakan bahawa Rasulullah SAW tahu apa yang akan terjadi
esok. Orang itu sungguh-sungguh telah mengadakan suatu kebohongan besar
terhadap Allah.
“Firman Allah: “Katakan: Tidak seorang pun di
langit dan di bumi yang mengetahui apa yang tersembunyi melainkan
Allah,” (Naml[27:65]) - Sahih Muslim.
Mungkin ada yang akan berkata:
“Apa salahnya, benda baik. Sekurang-kurangnya tanda itu boleh
menjinakkan jiwa manusia yang buas buat seketika. Tambahan pula ia
adalah hasil kajian yang arif perihal jasad manusia.”
Mudah sahaja jawapannya:
“Agama ini milik mutlak Allah terutama sekali apabila menyentuh yang
ghaib (al-Naml [27:65]). Ia perlu difahami dan dijiwai dalam kehendak
Allah. Agama Allah bukan sejenis masakan yang boleh direncahkan “secukup
rasa” oleh sesiapa pun walaupun jubahnya meleret menyapu bumi,
janggutnya mencecah lutut atau serbannya sebesar bakul.
Dakwaan “tahu tanda mati dalam lingkungan tepat” tujuh, 40 atau 100 hari
adalah cubaan meneka rahsia mutlak milik Allah. Ia adalah satu
kebiadaban pada hak Allah!”
Usah tunggu tujuh, 40 atau 100 hari
sebelum mati untuk menjadi hamba Allah, sebaliknya jadilah hamba Allah
sepanjang hidup. Usah takut mati, sebaliknya takutlah jika tidak
bersedia untuk bertemu Allah. Mati bukanlah penutup bagi orang beriman
tetapi menjadi suatu permulaan untuk hidup akhirat yang kekal abadi.
Daripada kita sibuk “menujumkan” tanda mati lebih baik kita semua
bersiap sedia menemui mati yang bakal tiba bila-bila masa sahaja.
Mengingati mati sepanjang masa tanpa menunggu tanda tujuh, 40 atau 100
hari adalah ubat terbaik untuk jiwa manusia sebagaimana sabda Junjungan
SAW:
“Perbanyak mengingati pemutus kelazatan (dunia) iaitu kematian,” - Sunan al-Tirmidhi, al-Nasa’i & Ibn Majah).