Jumaat, 26 Mei 2017

Hukum Tahlil Arwah Dan Perkara Yang Berkaitan




Berbicara berkenaan dengan Tahlil Arwah samada 3 hari, 7 hari atau 40 hari maka ia terbahagi kepada dua permasalahan.

• Perkara yang disepakati ulama
• Perkara yang berbeza pandangan di kalangan ulama

1. Perkara yang disepakati ulama:

Para ulama bersepakat bahawa memberikan ucapan takziah kepada si mati adalah thabit dalam syariat Islam. Hal ini disebutkan dalam hadis Nabi s.a.w. :

مَا مِنْ مُؤْمِنٍ يُعَزِّي أَخَاهُ بِمُصِيبَةٍ إِلَّا كَسَاهُ اللَّهُ سُبْحَانَهُ مِنْ حُلَلِ الْكَرَامَةِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
(Riwayat Ibn Majah)

2. Perkara yang berbeza pandangan di kalangan ulama

Namun, para ulama berselisih pandangan berkenaan dengan berkumpul di tempat yang khusus beserta penyediaan makanan. Hal ini disebabkan oleh tiadanya petunjuk daripada Baginda Nabi s.a.w., para sahabat mahupun salafusoleh.

Oleh itu, ada dua pembahagian kecil dalam tajuk ini:
1. Hukum berkumpul di rumah si mati.
2. Hukum makan makanan di rumah si mati.

Sebaik-baiknya kita perlu melihatnya secara bentuk pecahan agar kita melihat sebanyak mana bilangan ulama yang mengharuskan memakan makanan yang disediakan oleh tuan rumah di majlis tahlil tersebut.

Manakala, masalah tahlil tidak dibincangkan oleh ulama’ dan seharusnya kita berpegang kepada hukum asal bahawa tahlil adalah sunat dan digalakkan kita bertahlil walau di mana kita berada.

Manakala, menyedekahkan pahala tahlil kepada si mati ataupun bacaan al-quran itu semua merupakan pecahan lain yang perlu dibincangkan di tempatnya.

1. Hukum berkumpul di rumah si mati

Para ulama’ berbeza pandangan pada menilai hukum berkumpul di rumah si mati. Ada yang mengatakannya bid’ah yang haram, makruh tanzih, dan harus.

Imam Nawawi berkata dalam kitabnya Al-Azkar : ms 136 : Imam Syafie dan para pengikutnya mengatakan : Dimakruhkan duduk untuk ta’ziah iaitu duduk dan berhimpun di rumah si mati…dan ini adalah makruh tanzih…”

Ulama’ yang semasa telah mengatakan harus berhimpun di rumah bagi menyambut orang-orang yang ingin menyampaikan ucapan takziah. Illah yang diberikan adalah kerana manusia pada hari ini duduk berjauhan dan sibuk dalam urusan kehidupan mereka maka berhimpun di tempat yang khusus iaitu di rumah si mati dan waktu yang khusus adalah diharuskan.

Mereka juga memberikan hujah bahawa tidak ramai kebanyakan orang dahulu yang mempunyai kediaman yang luas dan mampu menampung bilangan hadirin yang ramai maka takziah mereka cukup di masjid-masjid, kubur-kubur atau jalan-jalan.

Namun yang menjadi haram mengikut mereka adalah An-Niyahah ( Ratapan) sebagaimana hadis Jarir r.a. :

عَنْ جَرِيرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ الْبَجَلِيِّ قَالَ: كُنَّا نَعُدُّ الِاجْتِمَاعَ إِلَى أَهْلِ الْمَيِّتِ وَصَنِيعَةَ الطَّعَامِ بَعْدَ دَفْنِهِ مِنْ النِّيَاحَةِ

Mengikut mereka An-Niyahah yang tidak dibenarkan iaitu berkumpul di rumah si mati dan memakan makanan yang disediakan oleh ahli keluarga si mati untuk orang-orang yang ingin mengucapkan takziah.

Sila rujuk kitab Mafhum Bid’ah oleh Dr. Abd. Ilah Bin Husain Al-Arfaj :ms: 236.

Bukan setakat ulama kontemporari sahaja malah ulama-ulama yang terkenal dengan ketegasannya dalam hal-hal bid’ah juga mengatakan harus seperti Syeikh Abd. Aziz Bin Baz dan Syeikh Abdullah Bin Jibrin r.h.

Sila rujuk Majmu’ Fatawa Dan Maqalaat Mutanawwi’ah Oleh Syeikh Abd. Aziz Bin Baz ( Juzuk 13/ ms 371)

Manakala Syeikh Muhammad Bin Usaimin, Syeikh Al-Bani dan Syeikh Saleh Fauzan r.h.m mengatakannya bid’ah kerana hal ini tidak terjadi pada zaman Nabi s.a.w. Malahan Syeikh Muhammad Bin Usaimin menyarankan supaya ditutup pintu rumahnya rapat-rapat.

Sila rujuk Fatawa Arkan Islam Oleh Syeikh Muhammad Bin Usaimin : ms:416

2. Hukum makan makanan di rumah si mati

Bagi ulama’ yang mengharuskan berhimpun di rumah si mati mereka berbeza pandangan dalam menilai hukum makan makanan di rumah si mati. Ada yang menegah daripada duduk-duduk apatah lagi makan makanan.

Pendapat ini disuarakan oleh Syeikh Abdullah Bin Jibrin r.h. dalam websitenya.

Namun, kebanyakannya tidak menegah pada makan makanan, sebaliknya melihat kepada faktor lain.
Semuanya mereka bersepakat bahawasanya harus makan makanan tersebut jika makanan tersebut di sediakan oleh kaum kerabat si mati ataupun rakan-rakan dan jiran keluarga si mati.

Mereka berselisih pada makanan yang disediakan oleh si tuan rumah. Ada yang mengharuskan sebagaimana harusnya menjamu tetamu. Hal ini disebut oleh Syeikh Abd. Aziz Bin Baz r.h. Ada juga yang mengharamkannya kerana illah jika makanan itu bersangkutan dengan harta pusaka si mati yang akan diwarisi oleh anak-anaknya. Jika makanan itu disediakan melalui harta yang diwasiatkan maka tiada masalah dalam hal ini.

Kesimpulan

Setelah melihat kepada perbahasan ulama dalam hal ini, maka saya lebih bersetuju jika amalan ini diteruskan dengan syarat makanan tersebut disediakan oleh kaum kerabat si mati, rakan-rakannya dan jiran si mati melihatkan kepada dalil-dalil yang dibawakan antaranya Hadis Jarir r.a. dan maslahah ummat pada hari ini yang jauh daripada keluarga masing-masing.

Jika dilihat kepada waqi’ pada hari ini, ahli keluarga, kaum kerabat serta sahabat handai sangat susah untuk berkumpul melainkan pada hari perayaan. Jika hari kematian pun tidak menjenguk maka di manakah ukhuwwahnya lagi?

Selain itu, amalan membaca surah yasin kepada si mati serta tahlil juga menjadi satu ibadah kepada orang yang hadir serta menggalakkan umat Islam bersedekahkan pahala kepada si mati melalui amalan-amalan tersebut. Ini memberikan kesan dari sudut rohani kepada masyarakat.

Maka, melihat kepada situasi tersebut saya lebih bersetuju kepada pandangan ulama-ulama kontemporari dalam masalah ini.Wallahu a’lam bissowab.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan