IBADAH
SUJUD TILAWAH DI
LUAR SEMBAHYANG
Sepertimana yang
telah dijelaskan bahawa sujud tilawah itu sunat juga dilakukan di luar
sembahyang iaitu setelah selesai menghabiskan bacaan ayat sajdah atau
mendengarnya, jika hendak melakukan sujud tilawah hendaklah berniat sujud
tilawah kemudian bertakbir iftitah seperti takbiratul ihram dalam sembahyang.
Niat sujud tilawah
ini adalah wajib bersandarkan kepada hadis Baginda Shallallahu ‘alaihi
wasallam :
Maksudnya:
“Sesungguhnya amal perbuatan itu hanyalah dengan niat”
Begitu juga dengan
takbir iftitah hukumnya adalah wajib kerana ia adalah merupakan syarat sujud
tilawah itu menurut pendapat al-ashah.
Di samping berniat di
dalam hati ia juga disunatkan melafazkan niatnya itu, seperti:
Ertinya:“Sahaja aku
melakukan sujud tilawah kerana Allah Ta‘ala”
Kemudian itu
bertakbir sekali lagi untuk melakukan sujud tanpa mengangkat tangannya.
Apabila hendak bangun dari sujud adalah disunatkan ketika mengangkat kepalanya
dengan bertakbir.
Adalah disunatkan
menurut pendapat al- shahih memanjangkan bacaan takbir yang kedua ketika
hendak sujud sehingga ia meletakkan dahinya ke tempat sujud, dan juga bagi
takbir yang ke tiga ketika bangkit dari sujud sehingga duduk semula.(Al-Majmuk
3/561)
Setelah ia bangun
dari sujud maka disudahi dengan salam iaitu dalam keadaan dia duduk tanpa
bertasyahhud. Salam menurut pendapat al-azhar adalah wajib kerana ia merupakan
syarat sebagaimana di dalam kitab Syarah Al-Minhaj.
Kesimpulannya perkara
yang dituntut yang juga merupakan rukun sujud tilawah bagi yang melakukannya
bukan di dalam sembahyang ialah niat sujud, takbir seperti yang dilakukan
ketika hendak mengangkat takbir untuk menunaikan sembahyang, sujud dan juga
salam.
Perlu diingat bahawa
untuk melakukan sujud tilawah di luar sembahyang ini tidak disunatkan bangun
dari duduk untuk berdiri (qiam) kemudian melaksanakan sujud, bahkan memadailah
hanya dalam keadaan duduk. Sementara itu jika dia dalam keadaan berdiri maka
dilakukan takbiratul ihram dalam keadaan berdirinya itu kemudian membaca
takbir dan sujud.(At-Tibyan Fi Adab Hamalatil Quran 118)
BACAAN ATAU ZIKIR
KETIKA SUJUD TILAWAH
Adalah sunat hukumnya
membaca zikir ketika di dalam sujud tilawah. Di antara zikir yang di galakkan
itu ialah:
Ertinya: “Telah
sujud wajahku kepada (Allah,Zat) yang Menciptakannya, yang Membentuknya dan
yang Membuka pendengarannya serta penglihatannya dengan daya dan kekuatanNya
maka Maha berkat (serta maha tinggilah kelebihan) Allah sebaik-baik
Pencipta”
Dan zikir yang lain
sebagaimana yang di sebut dalam hadis Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya : “Ya
Allah tuliskan bagi ku dengan sujud ini pahala dan jadikanlah sujud ini
berharga di sisiMu dan hindarkanlah daripadaku dosa dengannya terimalah ia
daripadaku sepertimana Engkau menerima sujud hambaMu Daud”(Hadis riwayat
Al-Tirmidzi dan lainnya dengan sanad yang hasan)
Sementara itu
Al-Ustaz Ismail Al-Dharir di dalam tafsirnya menaqalkan bahawa Imam
Asy-Syafi‘ie memilih untuk diucapkan di dalam sujud tersebut :
Ertinya: “Maha suci
tuhan kami, sungguh janji Tuhan kami tetap terlaksana”
Walau bagaimanapun
adalah harus dibawakan zikir yang biasa digunakan di dalam sujud sembahyang.
Menurut Imam
Al-Qalyubiy bahawa sujud tilawah atau sujud syukur itu boleh diganti dengan
zikir berikut bagi orang yang tidak melakukan sujud walaupun ia suci dari
hadas (dalam keadaan berwudhu) seperti ucapan:
Ertinya:“Maha suci
Allah dan segala puji-pujian bagiNya, tiada tuhan yang berhak disembah
melainkan Allah dan Allah itu Maha Besar”.
Dibaca zikir tersebut
sebanyak empat kali kerana ia boleh menggantikan tempat tahiyatul
masjid.(Al-Fiqhu Al-Islami Wa Adillatuhu 1136)
APA DIA SUJUD
SYUKUR ITU ?
Sujud syukur ialah
sujud untuk menyatakan terima kasih atas nikmat yang dilimpahkan Allah
Subhanahu wa Ta‘ala atau atas terhindarnya seseorang dari malapetaka.
HUKUM SUJUD SYUKUR
Jumhur ulama
berpendapat bahawa sujud syukur itu adalah sunat berdasarkan hadis yang
diriwayatkan oleh Abdur Rahman bin Auf katanya yang maksudnya :
“Sewaktu Nabi
Shallallahu ‘alaihi wasallam keluar menuju ke dalam bangunan-bangunan tinggi
lalu memasukinya. Kemudian Baginda menghadap kiblat dan sujud, dan
memanjangkan sujud Baginda. Kemudian Baginda mengangkat kepalanya seraya
bersabda: “Sesungguhnya Jibril mendatangiku dan memberi khabar gembira
kepadaku. Jibril berkata:“Sesungguhnya Allah mengatakan kepada engkau:
“Siapa yang memberi selawat ke atas engkau Aku akan memberi selawat
kepadanya dan siapa yang memberi salam kepada engkau, Aku akan memberi salam
kepadanya” Lalu saya bersujud sebagai tanda syukur kepada Allah”.
(Hadis riwayat Imam
Ahmad)
Dalam hadis yang lain
pula yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan selainnya bahawa Baginda Shallallahu
‘alaihi wasallam jika sampai kepada Baginda sesuatu perkara yang
menggembirakannya, Baginda akan melakukan sujud.(Syarah Al-Minhaj)
Sujud syukur di dalam
mazhab Asy-Syafi‘ie tidak boleh dilakukan di dalam sembahyang. Ianya hanya
sunat dilakukan di luar sembahyang ketika seseorang mendapat limpahan rahmat
daripada Allah atau terhindar daripada malapetaka.
Di antara sujud yang
dikategorikan sebagai sujud syukur ialah sujud selepas membaca ayat 25
daripada surah Shad iaitu:
Tafsirnya: “Maka
Kami mengampuni kesalahannya. Sesungguhnya dia dekat dari Kami dan mempunyai
tempat kembali yang baik”.
Dari itu sujud kerana
ayat ini tidak boleh dibuat di dalam sembahyang kerana sujud pada ayat di atas
adalah atas dasar syukur dan sujud syukur tidak boleh dilakukan di dalam
sembahyang. Jika dia sujud maka batallah sembahyangnya menurut pandapat
al-ashah, kecualilah jika ia tidak mengetahuinya atau ia terlupa.
Sujud syukur
dilaksanakan sama halnya seperti melakukan sujud tilawah ketika ia dilakukan
di luar sembahyang iaitu berniat untuk melakukan sujud syukur,takbir,sujud dan
juga salam.
Syarat-syarat sahnya
juga sama seperti syarat-syarat yang terkandung di dalam sujud tilawah iaitu
suci dari hadas kecil dan besar, menutup aurat dan menghadap kiblat.
Dari segi zikir yang
sunat dibaca ketika sujud syukur ini adalah sama seperti zikir-zikir yang
telah dijelaskan di dalam sujud tilawah.
Begitulah cara Islam
mengajarkan kita bagaimana cara mensyukuri nikmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala
atau terlepas daripada bala. Di samping sunat melaksanakan sujud syukur
disunatkan juga bersedekah dan melakukan sembahyang sunat syukur. ( Mughni
Al-Muhtaj 1/219). Menurut Al-Khawarizmi pula, jika ia menggantikan tempat
sujud itu dengan bersedekah atau sembahyang dua rakaat maka itu adalah yang
lebih baik.
Menurut Imam Al-Ramli
bahawa sujud syukur itu terluput waktunya jika jarak di antara sujud itu dan
sebabnya terlalu lama.
PENUTUP
Sujud tilawah dan
sujud syukur seperti yang dijelaskan di atas merupakan satu ibadat yang
tuntutannya adalah sunat. Cara melakukannya pun mudah tetapi nilainya tinggi
di sisi Allah sepertimana yang dijelaskan oleh hadis Baginda tentang kelebihan
sujud tilawah.
Dari itu, sayugialah diingatkan supaya jangan dilepaskan
peluang melakukan ibadat sujud ini, walaupun ia hanya merupakan tuntutan sunat
tetapi dengan melakukannya bererti kita menghidupkan sunnah Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wasallam dan dan tidak mengabaikan ajaran Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan