Kitab-Kitab Hadis
Hadis-hadis
Nabi saw yang terdiri daripada tutur kata, perbuatan, pengiktirafan
(taqrir) dan sifat baginda Rasulullah saw telah pun dikumpul di zaman
lalu. Para ulama zaman silam sudah pun membukukan dengan menggunakan
kaedah-kaedah penyaringan yang telah disepakati para ulama’. Cara
pengumpulannya melalui beberapa cara, antaranya;
1. Masanid
Ia
adalah kata jamak dari perkataan musnad iaitu, kitab yang mengandungi
hadis-hadis Nabi saw berdasarkan riwayat seseorang sahabat yang
meriwayatkannya. Bagaimanapun tidak diambil kira samada hadis tersebut
berstatus sahih atau daif.
Nama-nama
sahabat itu disusun samada mengikut tertib keislaman mereka atau dengan
cara mengikut susunan abjad ataupun dengan cara mengikut kabilah,
negara kelahiran serta nama keluarga dan selainnya.
Contoh
: Musnad Imam Ahmad bin Hanbal (wafat 241H), Musnad Abu Daud
Al-Thayalisi (wafat 203H), Musnab ‘Ubaidullah bin Musa (wafat 213H) dan
banyak lagi musnad-musnad yang lain.
2. Musannafat
Ia
adalah kata jamak dari musannaf, merupakan kitab hadis yang disusun
secara ringkas dalam beberapa bab fiqh dan agama yang tidak lengkap dan
tidak secara khusus. Topik yang dibentangkannya tidak lengkap seperti
kitab Jamik yang merangkumi semua topik agama dan tidak juga lengkap
dalam topik fiqh sepertimana kitab Sunan.
Contoh : Musannaf oleh Waki’ bin al-Jirah (wafat 197H), Hammad bin Salamah (wafat 167H) dan beberapa lagi.
Di dalam musannafat ini pelbagai hadis yang bertaraf marfuk. mauquf dan juga maqthu’.
3. Sihah
Ia
adalah kata jamak dari sahih dan merupakan kitab hadis yang disusun
berdasarkan himpunan hadis-hadis yang paling sahih dengan mengeluarkan
semua hadis-hadis yang lemah dan tidak menepati syarat hadis sahih.
Contoh : Imam al-Bukhari (wafat 256H), Imam Muslim (wafat 261H).
Kedua
kitab ini telah menjadi panduan dan rujukan kitab-kitab hadis yang
paling utama selepas itu samada dari sudut manhaj atau kesahihannya.
4. Jamik
Ia
adalah kitab hadis yang dikumpulkan setiap hadis menurut topik yang
lebih besar dikenali sebagai kitab, seperti kitab akidah, kitab iman,
kitab adab, kitab musafir dan sebagainya.
Contoh
: Jamik al-Sahih – Imam al-Bukhari, Jamik Sunan - Imam al-Tirmidzi
(wafat 279H), Jamik al-Saghir – Sufyan al-Tsauri (wafat 161H).
5. Sunan
Ia
merupakan kitab hadis yang ditulis dengan cara urutannya didasarkan
pada tajuk-tajuk fiqh menurut ahli fiqh seperti dimulakan dengan bab
ilmu, bab iman, bab bersuci, bab solat, bab zakat, bab puasa dan
lain-lain.
Kurun
ketiga yang merupakan kemuncak kegemilangan keilmuan Islam telah
menyaksikan banyak hasil pengumpulan hadis dalam bentuk sunan,
antaranya;
Contoh : Sunan Abu Daud (wafat 275H), Sunan Ibnu Majah (wafat 273H), Sunan al-Nasa’I (wafat 303H) dan lain-lain.
Keempat-empat
kitab sunan yang masyhur di kalangan umat Islam adalah Jamik Sunan
al-Tirmidzi, Sunan Abu Daud, Sunan Ibn Majah dan Sunan al-Nasa’i.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan