Khamis, 31 Januari 2013

SEKITAR HUKUM MEMBERI SALAM


ADAB


MEMBERI UCAPAN SALAM


PERKARA pertama yang Nabi saw sampaikan ketika berada di al-Madinah a-Munawwarah adalah : " Wahai manusia, berikanlah salam, beri lah makan, jalinkanlah silaturrahim solatlah pada waktu malam ketika manusia sedang tidur nescaya kamu akan memasuki syurga dengan selamat sejahtera( Riwayat Ahmad no 24513, Ibn Majah no 3374,al-Baihaqi dalam al-Syu’ab no 8490 ) 


Salam ini menurut hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim diajar secara sempurna oleh para malaikat kepada Adam dengan lafaz Assalammualaikum warhmatulLah.Allah memberitahu Nabi Adam ini adalah salam kamu dan keseluruhan zuriatmu hingga ke hari Kiamat.

Antara kelebihan salam yang paling utama ialah ia menimbulkan kemesraan yang menjadi asas kasih sayang.Sementara kasih sayang menjadi penyebab rahmat dan keimanan dan seterusnya mendapat syurga Allah.( Riwayat Muslim no 203, al-Tirmizi no 2699 ) 

Antara hukum hakam yang menarik mengenai salam adalah :
  1. Makruh memberi salam dengan ucapan “Alaikumus salam.” Rasulullah s.a.w. bersabda apabila Jabir r.a. memberi salam dengan lafaz tersebut, “Jangan kamu mengatakan alaikas salam.” Dalam riwayat Abu Daud disebut, “Kerana sesungguhnya ucapan alaikas salam itu adalah salam untuk orang yang telah mati.” (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi) 
  2. Dianjurkan mengucapkan salam sebanyak tiga kali di khalayak ramai. Di dalam hadis Anas disebut bahawa: “Nabi s.a.w. apabila Baginda mengucapkan sesuatu kalimah, ia mengulanginya tiga kali. Dan apabila ia datang kepada sesuatu kaum, ia memberi salam kepada mereka tiga kali.” (Riwayat al-Bukhari)
  3. Termasuk dalam sunah memberi salam seperti berikut:
  • Orang yang berkenderaan memberi salam kepada orang yang berjalan kaki. 
  • Orang yang berdiri/berjalan memberi salam kepada orang yang sedang duduk.
  • Individu (seorang) memberi salam kepada kelompok ramai dan kelompok yang sedikit memberi salam kepada kelompok yang lebih ramai.
  • Orang yang muda memberi salam kepada orang yang lebih tua.
  • Disunatkan meninggikan sedikit suara memberi dan menjawab salam, supaya jelas didengar, kecuali seandainya ada orang yang sedang tidur.
  • Disunatkan memberi salam sewaktu masuk ke sesuatu majlis dan ketika keluar dari majlis.
  • Disunatkan memberi salam ketika masuk ke rumah walaupun rumah yang kosong.
  • Makruh memberi salam kepada orang yang sedang qada hajat.
  • Disunatkan memberi salam kepada anak-anak.
  • Tidak memulai memberi salam kepada orang bukan Islam. Namun sekiranya mereka yang mendahulukan memberi salam, maka jawablah: “Wa’alaikum.”
  • Disunatkan memberi salam kepada sesiapa jua sesama Muslim, sama ada yang dikenali atau tidak.
  • Sunat menjawab salam yang dikirimkan melalui orang lain.
  • Jangan memberi salam dengan isyarat melainkan ada keuzuran seperti sedang solat, bisu atau jarak yang agak jauh.
  • Digalakkan berjabat tangan, kecuali dengan wanita atau lelaki yang bukan mahram.
  • Haram membongkokkan badan atau sujud sebagai tanda penghormatan semasa memberi salam.
Moga kita dapat sama-sama mengamalkan sunnah yang kecil ini, bagi memperolehi ganjaran yang besar disisiNya.

Jumaat, 18 Januari 2013

SEJARAH

Sambutan maulidur rasul , takrif, hukum dan perlaksanaannya

Apakah itu maulidur rasul? 

Maulidur Rasul (dalam bahasa Arab bermaksud kelahiran Rasul) adalah hari bersejarah keputeraan Nabi Muhammad. Hari ini jatuh pada hari ke-12 bulan Rabiul Awal sempena kelahiran Nabi yang jatuh pada pada Selasa 1432 Masihi ( Dari hadith riwayat Muslim, 8/25 ) 12 Rabiul Awal Tahun Gajah bersamaan dengan 23 April 571. Baginda merupakan nabi terakhir yang diutus oleh Allah Subhanahu Wata’ala. Tapak kelahiran baginda pula kini mempunyai satu bangunan kecil yang dikenali sebagai Maulid Nabi.

Setiap tahun pada hari itu, umat Islam di seluruh dunia akan mengadakan majlis memperingati Keputeraan Nabi Muhammad s.a.w dengan mengadakan beberapa acara seperti perarakan, ceramah dan sebagainya. Banyak kelebihan dan keistimewaan yang akan dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata’ala kepada mereka yang dapat mengadakan atau menghadiri majlis Maulidur Rasul.

Kita dapat lihat betapa besarnya kelebihan orang yang memuliakan majlis keputeraan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, kerana bila berniat sahaja hendak mengadakan Maulud Nabi, sudah pun dikira mendapat pahala dan dimuliakan. Sememangnya bernazar untuk melakukan sesuatu yang baik merupakan doa dan dikira amal Soleh.

Jelas kepada kita bahawa ganjaran Allah Subhanahu Wataala terhadap kebaikan begitu cepat sehinggakan terdetik sahaja di hati hendak berbuat kebaikan, sudah Allah Subhanahu Wataala akan memberi ganjaran pahala yang tiada ternilai. Seseorang yang beriman, kuat bersandar kepada Allah, ketika di dalam kesusahan dia tetap tenang dan hatinya hanya mengadu kepada Allah dan mengharapkan pertolongan dan kasih sayang Allah Subhanahu Wataala.

Keberkatan mengadakan Majlis Maulud itu bukan sahaja didapati oleh orang yang mengadakan majlis itu, tetapi seluruh ahli rumah atau orang yang tinggal di tempat itu turut mendapat keberkatannya. Begitu banyak ganjarannya.

Seperti kelaziman tahunan, umat Islam di Malaysia akan menyambut hari sempena keputraan Rasulullah saw pada 12 Rabiulawal setiap tahun.Umat Islam di Malaysia akan mengadakan berbagai aktiviti dalam acara sambutan Maulidur Rasul. Kerajaan Malaysia mengisyhtiharkan 12 Rabiulawal setiap tahun adalah cuti umum. Diantara acara-acara dalam sambutan Maulidur Rasul ialah Perarakan, Syarahan, Forum, Marhaban, Nasyid dan Jamuan di peringkat kampung sehinggalah ke peringkat kebangsaan.

Dalam menentukan tarikh kelahiran Rasulullah saw, terdapat ahli-ahli sejarah Islam berbeza pendapat. Pendapat pertama dan masyhur ialah Rasulullah saw lahir pada malam Isnin 12 Rabiulawal dalam Tahun Gajah sebelum subuh. Ini adalah pendapat Ibnu Ishaq yang dipetik oleh Ibnu Hisham dalam kitabnya yang terkenal, Sirah Ibnu Hisham. Dan pendapat yang kedua ialah pendapat yang mengatakan bahawa Rasulullah saw memang lahir pada malam Isnin, sebelum subuh Rabiulawal tahun Gajah tapi tarikh sebenarnya ialah pada 9 haribulan.

Diantara tokoh ulamak-ulamak yang sependapat mengatakan Rasulullah saw lahir pada 9 Rabiulawal ialah Yunus bin Yazid, Ibnu Hazam, Muhammad bin Musa Al-Khawarizmi dan Ibnu Taimiyyah. Dan diantara tokoh-tokoh falak moden yang membuat kajian semula tentang perbezaan pendapat ini ialah Mahmud Pasya seorang ahli falak Mesir dan Dr.(H) Hj. Kassim Bahali, Persatuan Falak Syarie Malaysia. Mereka menyatakan bahawa Rasulullah saw lahir pada 9 Rabiulawal. Ini adalah berdasarkan kepada Taqwim Qamariah tulen tanpa Nasi’ dan dikebelakangkan 53 tahun dari tahun pertama Hijrah.
Didapati bulan kelahiran Rasulullah saw iaitu bulan Rabiulawal jatuh pada bulan April 571 M. Berdasarkan hitungan, Ijtimak berlaku pada 10 April 571M pada 8;21 UT. Menurut kaedah kebolehnampakan hilal, 1 Rabiulawal jatuh pada hari Ahad, 12 April 571M dan hari Isnin yang bertepatan adalah 9 Rabiulawal manakala 12 Rabiulawal jatuh pada hari Rabu.

Dalil seterusnya yang mengatakan bahawa Rasulullah lahir pada 9 Rabiulawal ialah pada Isnin 9 Rabiulawal (20 April), fasa bulan adalah 64.4% dan bulan ghurub pada pukul 2:26 pagi. Apabila bulan ghurub awal maka langit ketika itu kelihatan cerah dengan bintang-bintang yang dapat dilihat lebih banyak kerana tiada gangguan cahaya bulan. Ini bertepatan dengan kisah kelahiran sewaktu dilahirkan Rasulullah saw bahawa sebelum subuh, langit adalah kelihatan sangat cerah dengan cahaya bintang-bintang yang bertaburan. Walau bagaimanapun, itu adalah pendapat individu tertentu dengan pengkajian mereka.

Moga ada pihak lain yang dapat membuat kajian lebih lanjut dalam menetapkan tarikh kelahiran Rasulullah saw. Kajian-kajian lanjut itu sebenarnya akan lebih memajukan lagi perkembangan ilmu Sejarah dan Falak. Malah tarikh-tarikh peristiwa penting Islam yang lain juga wajar dibuat hitungan semula. Kita umat Islam di alaf baru sekarang telah banyak melahirkan ahli-ahli Sejarah Moden, Falak / Astronomi dan ahli-ahli Sains yang lain yang pastinya akan mengembang dan menyumbang kepada penguasaan ilmu pengetahuan kepada pembangunan ummah, InsyaAllah.


Objektif diadakan sambutan Maulidur Rasul ialah untuk mengembalikan ingatan kita umat akhir zaman terhadap junjungan besar kita Muhammad Rasulullah saw. Dengan mengingatinya akan menambahkan lagi perasaan cinta kasih kepadanya serta mengenang, menghargai serta mengambil iktibar kisah suka duka perjuangannya. Walaupun sambutan Maulidur Rasul ini adalah satu adat sahaja tapi ia adalah adat yang bersifat ibadah dan wajar diteruskan, InsyaAllah.

Hukum menyambut sambutan maulidur rasul. 

Upacara sambutan Maulidur Rasul adalah harus selagi ia tidak melibatkan unsur-unsur pembaziran dan tiada aktiviti yang melanggar syariat. Malah jika perisian sambutan itu ada unsur ilmu dan ibadah ia tetap diberi ganjaran pahala oleh Allah Subhanahu Wa Taala.

Adalah tidak tepat pendapat yang mengatakan bahawa sambutan Maulidur Rasul adalah bid’ah dhalalah dan bertentangan dengan syariat.

Upacara memperingati hari kelahiran Rasulullah saw ini telah dilakukan sejak 300 tahun sesudah Rasulullah wafat. Diantara pembesar yang menganjurkan sambutan ini ialah Malik Muzhaffar Abu Sa’id penguasa Irbil, Iraq. Dan seterusnya ia terus berkembang sehinggalah sekarang. Diantara ulamak besar yang mengatakan bahawa sambutan Maulidur Rasul ini adalah harus dan digalakkan ialah;
  1. Said Ahmad Zaini Dahlan dalam kitabnya `Siratun Nabawiyah’. Antara lain beliau menyatakan bahawa; “masyarakat telah terbiasa berdiri tegak ketika mendengar riwayat kelahiran Rasulullah saw. Berdiri tegak menghormati kelahiran baginda adalah baik dan cara-cara seperti ini telah ditiru oleh cerdik cendikiawan lainnya.”
  2. Imam Jalaluddin As-Sayuti lebih jauh menerangkan dalam kitabnya `Al-Wasail Fi Syarhisy Syamail’ , menyatakan; “Apabila diadakan peringatan Maulidur Rasul di sebuah rumah, masjid atau tempat lain maka malaikat mengawal dan mengawasi tempat tersebut sampai upacara selesai dan semua hadhirin mendapat rahmat dari Allah subhanahu wa taala.”
  3. Ust. Hj. Harun Muhammad Al-Kelantani (1953) dalam kitabnya Senjata Syariat, Pakaian Ahli Sunnah Wal Jamaah menyatakan bahawa “dapat pahala bagi orang yang berdiri yang adalah niat mereka membesarkan Nabi saw.

Selasa, 18 Disember 2012

FHADHILAT AMALAN

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ



Al-Quran merupakan petunjuk dan ubat bagi mereka yang benar-benar yakin dan beriman dengannya. Tidak semua ilmu al-Quran ini dikuasai oleh seseorang. Tetapi mendalami ilmu-ilmu al-Quran akan dapat meningkatkan lagi kekuatan iman seseorang. Al-Quran adalah mukjizat. Ia juga mengandungi pelbagai hikmah yang hanya diketahui secara keseluruhannya oleh Yang Maha Pencipta. Sesiapa yang Allah kurniakan sebahagian hikmah ini kepadanya maka dia telah dibekalkan dengan bekalan yang terbaik.

“Bacaan al-Quran adalah suatu ibadah. Setiap huruf akan diganjarkan dengan 10 kebajikan. Bukannya Alif Lam Mim (الم) itu satu huruf kata Nabi SAW, tetapi Alif itu satu huruf, Lam itu satu huruf dan Mim itu satu huruf. Surah Yaasin pula diganjarkan sebagaimana yang diniatkan oleh pembacanya.” (al-Hadith).
.
Bacaan Surah Yasin tidak tertakluk pada malam Jumaat sahaja. Bila-bila masa pun boleh dibaca sekiranya inginkan pada pahala dan berkahnya, apatah lagi jika ada sesuatu permasalahan, kesusahan dan musibah yang perlu di atasi segera...

Yasin 7 Mubin 

 

Kali ini kita fokaskan pada bacaan ‘Yasin 7 Mubin’. Dalam Surah Yaasin terdapat tujuh tempat perkataan “mubin” iatu pada ayat;

1)   Ayat 12 = Mubin Pertama
36:12
Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang yang mati, dan Kami tuliskan segala yang mereka telah kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan. Dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu kami catitkan satu persatu dalam Kitab (ibu Suratan) yang jelas nyata.
.
2)   Ayat 17 = Mubin Kedua
36:17
“Dan tugas Kami hanyalah menyampaikan perintah-perintahNya dengan cara yang jelas nyata”.
.
3)   Ayat 24 = Mubin Ketiga
36:24
“Sesungguhnya aku (kalau melakukan syirik) tentulah aku pada ketika itu berada dalam kesesatan yang nyata.
.
4)   Ayat 47 = Mubin Keempat
36:47
Dan apabila dikatakan kepada mereka:” Dermakanlah sebahagian dari rezeki yang dikurniakan Allah kepada kamu”, berkatalah orang-orang yang kafir itu kepada orang-orang yang beriman (secara mengejek-ejek): ” Patutkah kami memberi makan kepada orang yang jika Allah kehendaki tentulah Ia akan memberinya makan? Kamu ini hanyalah berada dalam kesesatan yang nyata”.
.
5)   Ayat 60 = Mubin Kelima
36:60
“Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu!
.
6)   Ayat 69 = Mubin Keenam
36:69
(Nabi Muhammad bukanlah penyair) dan Kami tidak mengajarkan syair kepadanya, dan kepandaian bersyair itu pula tidak sesuai baginya. Yang Kami wahyukan kepadanya itu tidak lain melainkan nasihat pengajaran dan Kitab Suci yang memberi penerangan;
.
7)   Ayat 77 = Mubin Ketujuh
36:77
Tidakkah manusia itu melihat dan mengetahui, bahawa Kami telah menciptakan dia dari (setitis) air benih? Dalam pada itu (setelah Kami sempurnakan kejadiannya dan tenaga kekuatannya) maka dengan tidak semena-mena menjadilah ia seorang pembantah yang terang jelas bantahannya (mengenai kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang mati),
.
.

Cara membaca Surah Yassin 

 

Yasin ada beberapa kaedah dan cara pembacaannya, bergantung kepada tujuan khususnya. Ada Yasin Tunggal (biasa), Yasin Wirid (untuk rezeki) dan ada yang membaca Yasin 7 Mubin untuk sesuatu hajat.
.
Yasin 7 Mubin ini dibaca untuk mendapatkan semula barangan berharga yang telah dicuri atau hilang. Barang dalam hal ini perlulah barang yang berharga seperti anak, kenderaan, barang kemas dan sebagainya. Tidak boleh dibaca bagi barang kurang berharga ataupun barang yang boleh luput seperti buah durian atau yang sejenis dengannya..
.

Kaedah Membaca Yasin 7 Mubin

Kaedah yang dinyatakan ini adalah satu ikhtiar yang boleh diamalkan bagi bermohon kepada Allah SWT agar barang yang hilang atau dicuri dijumpai semula. Yasin 7 Mubin perlu dibaca dengan kadar yang segera iaitu dalam tempoh 24 jam dari kehilangannya.
.
A. Langkahnya adalah seperti berikut:-
  1. Lakukan Solat Hajat sekurang-kurangnya 2 rakaat dengan bermohon supaya Allah SWT mengembalikan barang yang hilang atau dicuri.
  2. Boleh juga dibaca Doa Nabi Yunus sebanyak 40 kali secara bersungguh-sungguh di dalam hati memohon keampunan dari Allah Ta’ala, ketika dalam sujud yang terakhir.“Tidak ada Tuhan selain Dikau. Maha Suci Dikau Ya Allah, sesungguhnya daku adalah termasuk orang-orang yang aniaya.”
  3. Selesai Solat Hajat,mulakan bacaan Surah Yasin mengikut kaedah seperti berikut;
  4. Membaca Surah Yasin, apabila sampai pada setiap perkataan ‘Mubin’ (مبين), hendaklah wakaf (berhenti) dan berdoalah supaya Allah SWT mengembalikan barang yang hilang, kemudian ulangi semula bacaan Yasin daripada permulaan surah..
B.  Cara-cara untuk membacanya ialah :
  1. Bacaan Yasin dimulakan dengan bacaan Al-Fatihah dan Selawat 11 kali.
  2. Baca Yasin sehingga di Mubin (مبين) pertama (ayat ke 12) dan berdoa.
  3. Baca semula dari awal sehingga Mubin yang kedua (ayat ke 17) dan berdoa.
  4. Baca semula dari awal sehingga Mubin yang ketiga (ayat ke 24) dan berdoa.
  5. Baca semula dari awal sehingga Mubin yang keempat (ayat ke 47) dan berdoa.
  6. Baca semula dari awal sehingga Mubin yang kelima (ayat ke 60) dan berdoa.
  7. Baca semula dari awal sehingga Mubin yang keenam (ayat ke 69)dan berdoa.
  8. Ulang semula dari awal sehingga Mubin yang ketujuh (ayat ke 77), berdoa .
  9. Lengkapkan bacaan Yasin sehingga habis ke penghujung surah dan disudahi dengan bacaan penutup (صدق الله العظيم)..
Setelah selesai bermakna anda telah berdoa sebanyak 28 kali.

Untuk mendapatkan kesan yang lebih mujarab, lakukan amalan ini selama tiga malam berturut-turut sebaik sahaja mengetahui kehilangan barang tersebut..
.

Fadhilat Lain Yasin 7 Mubin

 

Dari kajian, kaedah di atas juga boleh digunakan untuk:
1. Pendinding dari gangguan jin dan syaitan.
2. Memanggil anak-anak yang lari dari rumah.
3. Melindungi diri dari difitnah atau dizalimi manusia.
4. Dibaca bagi pesakit yang sedang tenat (baca pada air untuk diminum).
.
Perlu ditegaskan, ini adalah satu kaedah zikir, janganlah meletakkan pergantungan kepada ayat, jaga iktikad anda dan berserahlah hanya kepada Allah SWT semata.

Selamat mencuba… Semoga ini dapat memberikan manfaat untuk kita semua .. Insya-Allah

Isnin, 17 Disember 2012

IBADAH

Dari:  nursyirah

 

SOLAT ISTIKHARAH , TATACARA DAN DOA

 

Solat Sunnat Istikharah


Solat ini dilakukan untuk mendapatkan petunjuk, terutama bila seseorang dalam keraguan memutuskan mana yang terbaik diantara dua perkara yang diragukan. Jika timbul keraguan dalam hati untuk memilih atau mengambil keputusan dalam sesuatu perkara, contohnya: apakah aku harus menolak atau menerima? Keraguan makin terasa, keputusan tidak dapat dipastikan setelah melihat masing-masing ada kelebihan dan keburukannya.

Oleh yang demikian, hendaklah menyerahkan pada Yang Maha Kuasa untuk memilihnya. Sebelum seseorang mengambil keputusan ia dianjurkan solat istikharah dua rakaat.

Dengan mengharapkan agar ditunjukkan Allah untuk mendapatkan pilihan yang terbaik. Jika keraguan masih mempengaruhi fikiran untuk menentukan pilihan, ulangilah solat istikharah dan membaca doanya, walaupun pengulangan sampai 7 kali berturut-turut. Selepas itu, bertawakkal kepada Allah, pilihlah salah satu daripadanya, ambillah yang mana arah ‘hati’ lebih cenderung setelah berdoa. Jangan menimbulkan lagi keraguan, yakinlah bahawa itu adalah pilihan terbaik dari yang Maha Kuasa.

Jangan merasa kecewa andai ternyata dalam keputusan yang dipilih menimbulkan keinginan yang tidak disukai. Ingatlah bahawa ini adalah yang telah digariskan pada azali yang tidak dapat dielakkan, besar kemungkinan mengandungi hikmah, membawa kebaikan dimasa akan datang, hendaklah tetap mempunyai husnuz-zan kepada Allah.

Tata Cara Shalat Istikharah

Tata cara solat istikharah lebih kurang sama dengan solat subuh, Hanya niatnya saja yang berlainan, iaitu berniat solat istikharah. dilaksanakan sebelum tidur ataupun setelah bangun tidur. Sangat baik dilakukan sesudah lewat tengah malam disaat sunyi, supaya hati lebih khusyuk dalam mengemukakan permohonan kepada Allah. Solat ini sangat peribadi sifatnya. Sebab itu harus dikerjakan sendirian. Solat ini tidak memakai azan atau iqamah.

Lafaz niat:-

Ushalli Sunnatal Istikharaati Rak’ataini Lillahi Ta’aala
Sahaja Aku sembahyang sunnat istikharah 2 rakat tunai kerana Allah Ta’ala

Rakaat pertama-
Baca surah Al-fatihah dan surah Al-kafirun

Rakaat kedua-
Baca surah Al-fatihah dan surah Al-ikhlas
Selepas salam, bacalah doa yang disarankan dalam istikharah.

Dalam berdoa sebaiknya menyebutkan permintaan yang ingin diberikan petunjuk oleh Allah s.w.t. misalnya: “Ya Allah, jika hal ini….(sebutkan namanya)”


Doa istikharah

Setelah selesai solat, berdoa seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW:

doa-istikhaerah
Allaahumma inni astakhiiruka bi’ilmika, wa astaqdiruka biqudratika wa as aluka min fadhlikal azhiim. Fa innaka taqdiru wa laa aqdiru, wata’lamu wa laa a’lamu, wa anta allaamul ghuyuub.
Allaahumma inkunta ta’lamu anna haadzal amra khairun lii fii diinii wama’aasyii wa ‘aaqibati amrii, ‘aajili amrii wa aajilihi faqdurhu lii wa yassirhu lii tsumma baarikliifiihi. Wa inkunta ta’lamu anna haadzal amra syarrun lii fii diinii wa ma’aasyii wa ‘aaqibatu amrii ‘aajili amrii wa aajilihi fashrif annii washrifni ‘anhu waqdur liyal khairahaytsu kaana tsumma ardhinii bihi, innaka ‘alaa kulli syai-in qadiir


Ertinya:-

“Ya Allah, aku memohon petunjuk memilih yang baik dalam pengetahuanMu, aku mohon ditakdirkan yang baik dengan kudratMu, aku mengharapkan kurniaMu yang besar. Engkau Maha Kuasa dan aku adalah hambaMu yang dhaif. Engkau Maha Tahu dan aku adalah hambaMu yang jahil. Engkau Maha Mengetahui semua yang ghaib dan yang tersembunyi.

Ya Allah, jika hal ini (***) dalam pengetahuanMu adalah baik bagiku, baik pada agamaku, baik pada kehidupanku sekarang dan masa datang, takdirkanlah dan mudahkanlah bagiku kemudian berilah aku berkah daripadanya.
Tetapi jika dalam ilmuMu hal ini (***) akan membawa bencana bagiku dan bagi agamaku, membawa akibat dalam kehidupanku baik yang sekarang ataupun pada masa akan datang, jauhkanlah ia daripadaku dan jauhkanlah aku daripadanya. Semoga Engkau takdirkan aku pada yang baik, sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas setiap sesuatu.”

Ahad, 9 Disember 2012

MEMBINA RUMAH CARA ISLAM

PANDUAN


http://hembusan-amal.blogspot.com



Islam ada panduan cara membina rumah.Namun kita lihat sering orang Islam ramai yang terpengaruh menggunakan Feng Shui yang berasal dari budaya Cina. Padahal, tidak semuanya selaras dengan ajaran Islam. Jika tidak berhati hati dan keliru, boleh jatuh syirik karena mempercayai Feng Shui selain Allah.

Apa yang saya ingin terangkan di sini Islam ada panduan atau langkah langkah tersendiri tentang cara memilih tempat tinggal dan membina rumah.Sebagai seorang Muslim kita harus ikut cara Islam dan bukan meniru cara orang kafir buat.


Namun apa yang akan saya bentangkan ini bukan perkara wajib syarii yang perlu di tunaikan.Tanya lah Iman dan buat lah setakad mana yang mampu.


Perkara perkara berikut perlu di rancang sebelum memilih tempat tinggal dan mula membina rumah selain perancangan reka bentuk fisikal nya.Di antaranya ialah:



1. Jiran Tetangga yang Baik 


Pilihlah tempat tinggal yang jiran tetangga nya baik baik. Sebab jika jiran tetangga kita tidak baik, maka hidup kita akan rasa terganggu dan kurang senang. Bayangkan jika jiran tetangga kita adalah,kaki gaduh, atau kaki gossip,jenis yang sombong dan ego yang tidak mahu campur orang.Atau yang jenis penting diri sendiri,suka buat hal sendiri.Bila ada kematian baru nak cari orang.



Maka pilihlah jiran tetangga sebelum memilih rumah.Buat lah survey, tanya masyarakat di situ tentang bakal jiran anda itu.Yang di maksudkan jiran ialah lingkungan 40 buah rumah di sekeliling rumah anda.
(Hadis Riwayat Ibnu 'Asakir) Tiap empat puluh rumah adalah tetangga-tetangga, yang di depan, di belakang, di sebelah kanan dan di sebelah kiri (rumahnya). 

2. Hendaknya rumah cukup luas (tidak terlampau luas tetapi juga tidak terlampau sempit). 
Di antara kebahagiaan seorang muslim ialah mempunyai jiran tetangga yang soleh, rumah yang luas dan kenderaan yang sempurna. (Hadis Riwayat Ahmad dan Al Hakim)

Sekiranya semua orang bina rumah rumah banglo yang terlampau besar,ini akan menghasilkan masyarakat yang hidup sendiri sendiri, di mana jiran tetangga akan jadi tidak kenal di antara satu sama lain kerana para penghuni banglo tersebut hanya asyik berseronok di dalam "Istana" mereka masing masing.

Sebaliknya rumah yang terlalu kecil dan sempit pun tak baik, kerana akan cenderung membuat penghuninya tidak selesa di rumah sehingga akhirnya banyak menghabiskan waktunya bergosip di luar
Rumah yang paling baik dalam Islam adalah rumah yang sederhana besarnya.


3. Jangan membina Rumah Megah 


Dalam membina rumah, janganlah terlalu mewah sehingga jadi bermegah-megahan. Ini tidak disukai Allah dan merupakan satu sifat dari orang-orang yang buruk di akhir zaman.



Rumah yang di bina dengan bermegah akan menjemput mala petaka.Terutama dari orang orang yang hasad dengki, pencuri dan perompak.


"Bermegah-megahan telah melalaikan kamu" [Al Quran At Takaatsur:1]

Ketika ditanya tanda-tanda Hari Kiamat Nabi menjawab: "Apabila mereka saling bermegah-megahan dengan bangunan nya" [HR Muslim] 

Belum akan datang Kiamat sehingga manusia berlumba-lumba dengan bangunan-bangunan yang megah. (HR. Bukhari) 

Jangan membina rumah yang terlampau tinggi sehingga akhirnya mengganggu jiran tetangga hingga tidak mendapat sinar matahari atau angin. 

Ketika ditanya tanda-tanda Hari Kiamat Nabi menjawab: 
"Seorang hamba wanita melahirkan tuannya. Orang-orang yang berkaki ayam, setengah telanjang, melarat dan penggembala unta masing-masing berlumba membangun bangunan bertingkat." [Hadis Riwayat Muslim] 

4. Buatlah Rumah yang Baik

Katakanlah: "Tidak sama yang buruk dengan yang baik, meskipun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu, maka bertakwalah kepada Allah hai orang-orang yang berakal, agar kamu mendapat untung." [Al Maa-idah:100] 

Rumah yang baik adalah rumah yang sehat. Yaitu tingkapnya cukup agar sinar matahari dapat masuk dan rumah tidak menjadi lembab.Selain itu ia dapat mempertingkatkan pengedaran udara bersih.Jarak antara lantai dan atap sebaiknya agak tinggi kerana ini akan mengurangkan suhu panas.

5. Rumah juga perlu teguh dan kuat. 



Misalnya dengan menggunakan dinding batu dan simen, rumah jadi lebih selamat. Jika menggunakan kayu, pilih kayu yang kuat serta beri rawatan anti serangga saperti anai anai sehingga tidak mudah reput. Elak kan sedaya upaya dari membina rumah dari bahan bahan yang mudah terbakar.

Sebaiknya rumah Muslim mempunyai sekurang kurangnya 3 bilik .Satu untuk suami-isteri, satu untuk anak laki-laki, dan satu lagi untuk anak perempuan.Jika ada kemampuan tambah satu lagi bilik buat tetamu.

6. Buatlah Rumah yang cantik, Allah senang kepada kecantikan. 


Manusia pun banyak yang suka akan kecantikan. Oleh kerana itu buatlah rumah yang cantik dan indah. 
Tapi ingat, mempamerkan kecantikan dan keindahan tidak sama dengan mempamerkan kemewahan atau kemegahan. 

"Sesungguhnya Allah itu indah dan senang kepada keindahan. Bila seseorang keluar untuk menemui kawan-kawannya hendaklah menghiaskan dirinya. (Hadis Riwayat. Al-Baihaqi) 

7. Tandas Jangan Mengarah atau Membelakangkan Kiblat (Ini penting)

Dari Abu Ayyub Al-Anshari ra.: "Bahwa Nabi saw. bersabda: Apabila engkau ke tandas, janganlah menghadap kiblat atau membelakanginya ketika buang air kecil atau buang air besar, tetapi menghadaplah ke timur atau ke barat." (Shahih Muslim No. 388)

Usahakan seboleh boleh nya agar rumah anda mengarah ke Kiblat. Jika tidak, sebaiknya tempat solat anda tidak mengarah ke tandas.

Usahakan di rumah ada paip air dan paip hujan, supaya anda boleh mandi wajib dan wudhu dengan lebih sempurna dengan air yang mengalir.

Dari Abu Hurairah Radliyallaahu 'anhu bahwa Rasulullah Shallallaahu 'alaihi wa Sallam bersabda: "Janganlah seseorang di antara kamu mandi dalam bekas air yang tidak mengalir ketika dalam keadaan junub." (Hadis Riwayat Muslim).

Sebaiknya tempat wudlu dipisah dari tandas supaya kita boleh membaca doa sebelum atau sesudah wudlu.(Di larang membaca doa di dalam tandas).Kalau baca doa keluar/masuk tandas sekali pun kena baca di luar tandas.

Seboleh boleh nya jangan buat tandas dalam bilik tidur.Tandas atau jamban ada lah sarang tempat tinggal syaitan.Kalau ada tandas dalam bilik tidur bererti kita sentiasa berada bersama syaitan ketika tidur.

Ada yang mengatakan tandas zaman ini adalah bersih tidak saperti tandas zaman dahulu.Ia sentiasa di besihkan bahkan di bubuh wangi wangian pula.Maka syaitan tidak akan berada di dalam tandas yang bersih.

Bagi saya bersih di sini adalah bersih pada pandangan fisikal.Ambil contoh.Air minuman saperti kopi, sirap dan lain lain itu bersih, tetapi mengapa tidak suci untuk di buat berwuduk? Begitu juga dengan tandas atau jamban.Walaupun nampak bersih pada pandangan mata, ia tetap tempat yang tidak suci.Walaupun di wangikan dengan wangian seribu bunga.Maka jangan sekali kali kita tertipu dengan bisikan syaitan yang mengatakan tandas di dalam bilik kita itu suci!

Ramai yang kena gangguan syaitan saperti hysteria, boring dan rungsing apabila balik ke rumah,bergaduh suami isteri, bergaduh anak beranak,sakit yang tidak tahu punca nya, rumah tangga dan famili yang kucar kacir.Yang sebenarnya, di antara sebabnya berpunca dan datang dari syaitan yang mengganggu yang kita sendiri pelihara di tandas bilik tidur .

Sebaik baik (tetapi susah orang zaman sekarang nak ikut) buat tandas di luar rumah.

8. Rumah Harus Bersih 

Rumah yang kotor tidak sihat. Ini akan mengundang berbagai penyakit. Oleh kerana itu, rumah harus bersih dan mudah dibersihkan. 

"Sesungguhnya Allah baik dan menyukai kebaikan, bersih dan menyukai kebersihan, murah hati dan senang kepada kemurahan hati, dermawan dan senang kepada kedermawanan. Kerana itu bersihkanlah halaman rumahmu dan jangan meniru-niru orang-orang Yahudi." (Hadis Riwayat Tirmidzi) 

Penjelasan: Orang-orang Yahudi suka mengumpul sampah di halaman rumah.

9. Jangan letak Patung sebagai hiasan di dalam Rumah 

Rumah yang ada hiasan patung serupa macam kuil.Malaikat rahmat tidak akan masuk kerumah yang ada patung.Sebaliknya jadi sarang syaitan tempat berteduh.

Ibnu Abbas pernah solat tempat ibadah agama lain kecuali tempat ibadat mereka yang ada patung di dalamnya. [HRBukhari] 

10. Jangan Memelihara Anjing

Hadis riwayat Ibnu Umar ra., ia berkata : "Rasulullah saw. bersabda: Barang siapa memiliki anjing selain anjing penjaga ternak dan anjing pemburu maka setiap hari pahala amalnya berkurang dua qirath." (Shahih Muslim No.2940) 

11. Peliharalah Anak Yatim

Jika anda berkemampuan, asuhlah anak yatim dan didiklah dengan baik. 

"Sebaik-baik rumah kaum Muslimin ialah rumah yang terdapat di dalamnya anak yatim yang diasuh dengan baik, dan seburuk-buruk rumah kaum Muslimin ialah rumah yang di dalamnya terdapat anak yatim tapi anak itu diperlakukan dengan buruk. (HR. Ibnu Majah) 

12. Tanamlah Pokok agar Teduh dan Sejuk 

Tanamlah pokok dan pokok hiasan di rumah anda sehingga rumah anda teduh dan mendapat udara segar dari oksigen yang dikeluarkan pohon tersebut. 

Kenyamanan naungan pohon ini digambarkan Allah sebagai berikut: "Dan naungan (pohon-pohon Syurga itu) dekat di atas mereka dan buahnya dimudahkan memetiknya semudah-mudahnya." [Al Insaan:14]

Jika rumah anda luas mungkin anda boleh menanam pokok besar yang kuat. Jika sedang, anda boleh menanam pohon ukuran sedang seperti rambutan atau mangga.

Hindar menanam pokok besar yang rapuh dan berbahaya seperti pokok sena. 

13. Apabila rumah siap di bina

Di anjurkan setelah rumah siap di bina panggil Ketua kampung,Imam, jemaah Masjid atau surau dan jiran tetangga untuk sama sama berdoa kehadrat Allah agar rumah yang telah siap di bina itu akan dapat keridhaan Allah, dan perlindungan darinya dari segala kejahatan makhluk saperti jin dan syaitan dan juga minta perlindungan dari pada kejahatan manusia

Di kesempatan ini kita berpeluang juga berkenal kenal, bermesra dan mula menjalin ukhwah bersama jiran jiran baru kita.


Semoga bermanfaat ... Wallahu 'alam.

Isnin, 26 November 2012

IBADAH

 

 SOLAT HAJAT:


Solat sunat hajat adalah solat yang dilakukan untuk meminta sesuatu hajat yang besar mahupun hajat yang kecil, untuk dicapai, solat sunat hajat dilakukan pada malam hari iaitu 2/3 malam terakhir. 

Solat sunat ini dilakukan dalam 2 rakaat. Solat sunat ini mempunyai kelainan kerana pada sujud yang terakhir, mukmim yang melakukan solat hajat itu perlu memuji-muji Allah dan besertakan dengan niat hajat yang hendak dicapai. Sesudah melakukan solat hajat, perlu berdoa sekali lagi agar permintaan mudah di makburkan.

PANDUAN SOLAT HAJAT:

Mandi terlebih dahulu dan mengambil wuduk. Pakaian yang bersih, yang afdal berwarna putih.

Lafaz Niat:

أصَلِّي سُنَّةَ الحَاجَةِ رَكَعَتَيْنِ لِلهِ تَعالىَ

“Ushollii sunnatal haajati rok’ataini lil laahi ta’aalaa” 

Ertinya:

“Sahaja aku solat hajat dua rakaat kerana Allah Taala”

SEBENARNYA SOLAT HAJAT BOLEH DILAKUKAN DALAM 22 CARA SOLAT. HANYA CARA SOLAT HAJAT PERTAMA SEHINGGA CARA SOLAT HAJAT KEEMPAT DITERANGKAN KALI INI.

1.Cara Solat Hajat yang pertama – Dibuat sebanyak 2 rakaat, Baca mana-mana ayat lazim selepas surah Al-Fatihah. Selepas salam masih mengadap kiblat, baca surah Alam nashrah (Al-syarh) sebanyak 152 kali. Kemudian mohonlah segala hajat pada Allah SWT.

2.Cara Solat Hajat yang kedua – Dibuat sebanyak 2 rakaat. Rakaat Pertama dibaca surah Al-Fatihah sekali dan Surah Al-Kafirun 10 kali. Rakaat Kedua dibaca surah Al-Fatihah sekali dan surah Al-Ikhlas 10 kali.

Apabila selepas memberi salam, hendaklah sujud dan membaca selawat keatas nabi sebanyak 10 kali: 

"Allaahumma sholli ‘alaa habiibika sayyidinaa Muhammadin wa aalihi wa shohbihi wa sallim".

Kemudian membaca Tasbih 10 kali: 

"Subhaanallah walhamdu lil-laah wa laa ilaaha illallaah wal llaahu akbar. wa laa haula wa laa quwwatta illaa bil laahil ‘aliyyil ‘azhiim."

Kemudian Doa ini 10 kali: 

"Robbanaa aatinaa fid dunyaa hasanah, wafil aakhirati hasanah, wa qinaa ‘adzaaban naar."

Kemudian mohonlah segala hajat semasa waktu dalam keadaan sujud.

3.Cara solat hajat yang ketiga – Sebelum solat, mengucapkan Asktag-firullah uladzim seberapa banyak yang boleh untuk memohon keampunan dan keredaan daripada Allah SWT. 
Baca Al-Fatihah sekali dan hadiah pahalanya kepada Nabi besar SAW, seterusnya kepada sekalian roh sahabat-sahabat, keluarga-keluarga mereka, para-para tabi’in, wali Allah dan ulama as solihin serta kaum Muslimin dan Muslimat.

Kemudian baca Surah Yasin sebanyak 4 kali berturut-turut kemudian baca doa berikut:

“Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Maha Suci (Allah) yang melepaskan dari setiap hutang,Maha Suci (Allah) yang melegakan dari setiap kesedihan. Maha Suci (Allah) dimana urusanNya diantara Kaf dan Nun,Maha Suci (Allah) dimana apabila Dia berkehendak untuk membuat sesuatu, Dia akan berkata; jadi, maka iapun terjadi. Wahai Yang Maha Hidup dan Maha Berdiri, rahmatilah penghulu kami Muhammad dan lakukanlah untukku (tunaikanlah hajat ini)…………sebutkan apa-apa hajat anda dan anda bangun untuk menunaikan solat hajat sebanyak dua rakaat seperti kaifiat solat hajat yang ke-2 tadi.

4.Cara solat hajat yang keempat – Dibuat sebanyak 6 rakaat dengan 3 salam. Mulakan dengan Bismillahirrahmanirrahiim sebanyak 786 kali. Kemudian solat sebanyak 6 rakaat dan 3 salam berturut-turut. Pada setiap rakaat hendaklah membaca Al-Fatihah dan diiringi surah Alam nashrah (Al-syarh) sebanyak 15 kali seterusnya dibuat setiap-tiap rakaat.

Apabila selesai baca doa ini:

Ertinya:

“Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, wahai Allah sesungguhnya aku meminta dan kelebihan nama Allah Ar-Rahman dan Ar-Rahim. Dan aku meminta dari Mu dengan kebesaran nama Ar-Rahman dan Ar-Rahim. Dan aku meminta dariMu dengan kemuliaan dan kekayaan nama Allah Ar-Rahman dan Ar-Rahim.Dan aku meminta dariMu dengan kehebatan nama Allah Ar-Rahman dan Ar-Rahim dan dengan kehormatan nama Allah Ar-Rahman dan Ar-Rahim dan jabarut dan malakut dan kebesaran nama Allah Ar-Rahman dan Ar-Rahim dan dengan keagungan, kekuatan dan kudrat nama Allah Ar-Rahman dan Ar-Rahim, angkatlah qadarku, permudahkanlah urusanku,tutupilah kelemahanku dan cukupkanlah kefakirannku”

Wasallam.

Sabtu, 17 November 2012

HEBATNYA KETABAHAN NABI AYUB a.s

KISAH TELADAN

 Artikel iluvislam.com

Saudari-saudara sekalian , masihkah kita ingat kisah perjuangan dan ketabahan seorang Nabi yang bernama Ayub a.s. Begitu tersentuh kala mendengar kisah Nabi Ayub a.s yang telah disampaikan oleh Ustazah Nurhafizah Musa ketika di rancangan Halaqah sentuhan Qalbu yang berjudul 'Nota deritaku'.

Izinkan saya untuk berkongsi atas nama cinta kepada Allah.

Ia bermula dengan Nabi Ayub a.s telah ditimpa pelbagai penyakit yang dasyhat sehingga dia tidak upaya untuk bangun , dan pada masa itu juga daripada awal Nabi Ayub a.s menjadi seorang yang kaya raya , dengan tiba-tiba akhir nya Nabi Ayub a.s menjadi faqir miskin. Hartanya hancur begitu saja kerana ditimpa pelbagai kesulitan.

Maka datang lah iblis itu menyamar sebagai lelaki dan mencuba untuk menggoda Nabi Ayub a.s supaya tidak berharap pada Allah s.w.t.

Si iblis berkata : "Sungguh malang nasib mu wahai Ayub , dulu kamu orang kaya sekarang kamu miskin. kasihan sekali dengan kamu."

Tapi Nabi Ayub a.s menjelaskan dengan penuh ketabahan.

"Segala puji bagi Allah, Allah telah mencurah diri ku nikmat , dimana nikmat itu adalah hak milik Allah.. dan saat Allah ingin kembali nikmat tersebut diambil. Maka Allah layak untuk mengambil nya dan aku sangat bersyukur kepada-Nya."

SubhanaAllah!

Hebatnya orang yang bersyukur kepada Allah. Impak kebaikan kesyukuran tersebut akan kembali pada kita sendiri. Itulah kekayaan syukur , Allah tambah cinta dan kasih kepada kita semua.

"..... Bersyukurlah kepada Allah. Dan barangsiapa yang bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya ia bersyukur untuk dirinya sendiri; dan barangsiapa yang tidak bersyukur, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji."
(Surah Luqman ayat 12)

Betapa hebatnya kesyukuran Nabi Ayub a.s sehingga Iblis laknatullah benci , berdendam dan sangat kecewa..

Pada satu saat, Allah SWT menguji lagi ketabahan Nabi Ayub di mana baginda ditimpa ujian dengan kematian anak-anaknya yang soleh, yang selama ini menyokong perjuangan baginda. Anak Nabi ayub a.s kesemuanya ditaqdirkan mati di dalam sebuah gempa bumi yang dahsyat.

Iblis datang lagi mengambil kesempatan terus menerus menghasut Nabi Ayub a.s ,

"Wahai Ayub , apa yang ada pada mu ! harta benda mu telah pun hilang , anak-anak kamu semua nya telah diambil kembali oleh Allah. Apa yang ada pada kamu?"

Lalu Nabi Ayub a.s menjawab dengan penuh rendah hati,

"Anak-anak itu adalah milik Allah. Dia yang menghidup kan dan Dia jua yang mematikan. Segala puji bagi Allah."

Nabi Ayub tidak putus asa kepada Allah walau pun telah kehilangan segala-galanya, tapi beliau redha selagi tidak kehilangan cinta Allah. Inilah sifat dan ciri-ciri orang yang beriman kepada Allah.

Tidak putus asa walau apa jua sekali pun , kerana mereka tahu ujian itu adalah satu didikan langsung daripada Tuhan. Allah mendidik kita melalui kesusahan, kesenangan, pujian mahu pun cercaan.

Seolah-olah Tuhan berpesan. .

"Belajar lah melalui ujian-Ku , nanti kamu akan mengenali diri-Ku."

Iblis tetap tidak putus asa lalu , dia berjumpa dengan isteri Nabi Ayub a.s yang setia kepada suami nya , mengurus dan menjaga diri Nabi Ayub. Tapi isterinya Rahmah telah terpedaya oleh iblis laknatullah.

Sebelum isterinya meninggal kan Nabi Ayub , dia mengadu keluhannya kepada suami nya Nabi Ayub a.s . .

" Wahai suami yang ku sayangi , sampai bila kah Tuhan mu akan mengazab mu! Dulu kita senang , kita dikellingi dengan anak-anak yang soleh , kita dikurniakan kesenangan harta benda , kita dipandang tinggi oleh masyarakat. Kenapa kau tidak mohon saja kepada Tuhan mu wahai suami ku , agar Tuhan membebaskan kita daripada kesusahan ini."

Lalu Nabi Ayub a.s memberi jawapan dengan pertanyaan.

"Wahai isteri yang ku sayangi , tadi kau sesali anak-anak yang telah pergi , dan kau lagi sesali harta yang telah habis dan juga menyesali penyakit yang menimpa suami kamu ini. Aku ingin bertanya , berapa lama tempohnya Allah memberikan kita sebuah kehidupan yang senang lenang dengan segala harta , kemewahan , anak-anak , dengan kesihatan?"

" 80 Tahun." jawab Rahmah singkat.

Nabi Ayub tanyakan lagi. " Wahai isteri , berapa lama kita menderita dan sengsara dimuka bumi Allah ini?"

"7 tahun." jawab Rahmah.

Lalu Nabi Ayub a.s menadah munajatnya kepada Allah s.w.t dengan rendah hati dalam pilu dan sedih.

"Wahai Allah. aku malu untuk memohon agar Engkau bebaskan aku daripada penderitaan dan kesusahan ini. Aku malu kerana nikmat yang telah Engkau berikan kepada kami selama 80 tahun , sama sekali tidak sebanding dengan kesusahan yang dialami 7 tahun ini."

"Wahai Allah. Sesungguhnya isteri ku telah dihasut syaitan."

"Wahai Allah , andai aku diberikan kesempatan kesembuhan oleh Allah. Pasti akan aku sebat isteri ku 100 kali sebatan sebagai hukuman.."

Dan untuk mu wahai isteri ku rahmah , aku tidak akan makan dan minum lagi apa-apa dari hasil tanganmu itu mulai pada saat ini ! Aku tidak akan meminta tolong lagi daripada kamu wahai isteriku.. Tinggal kan saja diri ku menerima ketentuan daripada Allah."

Allahu Akbar. Tinggal lah Nabi Ayub bersendirian. Sepi.

Al Quran menggambarkan munajat Nabi Ayub a.s merayu merintih pada Allah s.w.t..

" Wahai Tuhan , hamba telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah yang paling penyayang daripada yang penyayang."

Sesungguhnya Allah tahu , Allah mendengar. Allah tidak biarkan ia sepi. Maka Allah mengabulkan rintihan Nabi Ayub a.s.

Allah suruh Nabi Ayub hentak kan kaki di tanah , lalu keluarlah air yang sejuk dingin lalu diminum , dimandikan sebagai penawar.

Dengan izin Allah SWT, Nabi Ayub a.s telah mendapatkan kesihatan kembali, bahkan Allah mengurniakan zuriat lagi ramai, berganda-ganda dari yang hilang dan Allah juga mengembali kan kemewahan kepada Nabi Ayub a.s.

Sebagai tanda rahmat dan kasih sayang Allah.

"Maka Kamipun memperkenankan seruannya itu, lalu Kami lenyapkan penyakit yang ada padanya dan Kami kembalikan keluarganya kepadanya, dan Kami lipat gandakan bilangan mereka, sebagai suatu rahmat dari sisi Kami dan untuk menjadi peringatan bagi semua yang menyembah Allah."
(Surah al-Anbiya' ayat 84)

Benar kasih sayang Allah itu wujud, cebisan kisah ini Allah ingin menilai kesabaran dan keteguhan iman dan cinta kita kepada Allah , jika kita benar-benar orang beriman dan bertaqwa kepada Allah.

"Wahai Allah , penghibur kepada orang yang keseorangan. Beri lah kami kekuatan dan ketabahan untuk menghadapi segala kesulitan demi cinta-Mu yang agung." 

 Allahumma amin.