TAFSIR QURAN
Mengikut satu riwayat Salman al Farisi r.a. (yang diambil dari Abu Othman an-Nahdi), Nabi Isa a,a menukar pakaiannya dengan jubah yang diambil daripada bulu binatang yang berwarna hitam (pakaian yang kasar pembuatannya) untuk menyatakan tawaduknya kepada Allah SWT.
Menurut riwayatnya Nabi Isa a.s berdiri bertentangan kaki dan bertentangan buku lali dengan buku lali, meletakkan tangan kanan di atas tangan kirinya dan meletakkan pula di dadanya.
Nabi Isa a.s menundukkan kepalanya dalam keadaan khusyuk, berhadap kepada Allah dan menangis dengan permintaan itu sehingga bercucuran air mata yang mengalir melalui celah-celah janggutnya dan air matanya menitis di atas bumi sambil berdoa kepada Allah.
Doanya bermaksud: " Ya Allah Ya Tuhan kami, turunkanlah kepada kami hidangan daripada langit, supaya menjadi suatu hari perayaan bagi orang yang awal di kalangan kami dan orang yang kemudian daripada kami dan menjadikannya sebagai tanda daripada-Mu, dan berilah rezeki kepada kami, dan Engkau adalah sebaik-baik pemberi rezeki."
Sebaik sahaja Nabi Isa a.a berdoa kepada Allah SWT kelihatan makanan turun di celah-celah awan. Mereka melihat hidangan itu turun dengan diletakkan di atas suprah (kain hamparan untuk hidangan) yang berwarna merah di bawah dan di atasnya serta dinaungi oleh awan di atas dan di bawahnya pula.
Nabi Isa a.s berkata yang bermaksud : "Ya Allah Ya Tuhanku, jadikanlah ia sebagai rahmat dari-Mu dan janganlah Engkau jadikannya sebagai fitnah kepada kami. Wahai Tuhanku, aku memohon kepada-Mu, perkara yang menakjubkan dan Engkau telah mengurniakan kepada aku."
Hidangan itu turun dan diletakkan di hadapan Nabi Isa a.s., lalu baginda tersungkur sujud kepada Allah SWT, diikuti oleh hawariyyin yang juga sujud kepada Allah SWT.
Keluarlah daripada hidangan itu bauan yang sangat mengharumkan yang tidak pernah mereka menghidu bau itu sebelum daripadanya.
Lalu Nabi Isa a.s berkata yang bermaksud: " Siapa di kalangan kamu yang paling kuat beribadat kepada Allah dan yang paling berani meminta hidangan itu, sila buka hidangan ini."
Bagaimanapun mereka tidak berani berbuat demikian. Hawariyyun dalam keadaan ketakutan. Mereka berkata: Wahai Ruhullah (Nabi Allah), engkaulah yang lebih berhak untuk membukanya."
Lalu Nabi Isa a.s berwuduh semula (memperbaharui air sembahyang), baginda kemudiannya bersembahyang dengan sembahyang yang baru dan berdoa kepada Allah dengan doa yang banyak.
Kemudian baginda a.s membuka hidangan itu. Tiba-tiba dalam hidangan itu terdapat ikan yang dipanggang yang diletak sekali dengan roti dan sayur-sayuran serta buah-buahan termasuk delima, zaitun dan tamar kecuali Quros (sejenid daun yang berbau busuk).
Mengikut riwayat yang lain Sham'un bertanya : "Wahai Nabi Allah, adakah makanan ini dari makanan syurga atau dari mana?"
Nabi Isa a.s memarahinya. Nabi Isa a.s bertanya: "Adakah kamu mahu bertanya lahi setelah Allah menurunkan kepada kamu hidangan ini? Aku takut Allah menyeksa kamu nanti."
Sham'un berkata, "demi Tuhan Bani Israil, saya tidak berniat jahat Wahai Nabi Allah."
Sham'un adalah pemimpin kepada Hawariyyun, lalu Nabi Isa a.s berdoa. Tiba-tiba ikan hidup semula. Mereka melihat ikan itu bergerak dan menggelepar.
Kemudian Nabi Isa a.s berdoa semula, tiba-tiba ia bertukar menjadi ikan panggang semula dengan bauan yang sedap dan nikmat dalam keadaan tulang-tulangnya dibuang (tinggal isinya sahaja).
Lalu Nabi Isa a.s mengatakan bahawa hidangan itu bukan daripada syurga. Tetapi Allah Ta'ala menjadikan hidangan itu dengan firman-Nya (tercipta hidangan itu di antara langit dan bumi).
Nabi Isa a.s menyuruh mereka makan tetapi mereka tidak berani memakannya. Nabi Isa a.s menyuruh orang- orang miskin, orang-orang tua, orang-orang buta dan orang-orang uzur supaya datang dan memakan hidangan itu.
Nabi Isa a.s berkata yang bermaksud: " Kamulah yang memakan hidangan itu dan kamu tidak memintanya. Hidangan itu tidak menjadi bala kepada kamu."
Lalu mereka makan hidangan itu. Yang meminta hidangan itu adalah golongan jutawan, bangsawan atau golongan atasan, bukan sebarangan orang.
Mereka mahu mencabar kenabian Nabi Isa a.s. Setelah diturunkan mukjizat, mereka tidak berani memakan hidangan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan