HADITH
Ahmad Nizam
34 - Adanya 2 golongan besar sama berbunuhan, dengan semboyan sama-sama akan menegakkan agama Islam.
Dajjal Sang Pendusta;- Dari Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidak akan terjadi Hari Kiamat sebelum dimunculkan para dajjal sang pendusta, yang jumlahnya hampir mendekati tiga puluhan, di mana masing-masing mengaku; bahawa dirinya adalah Rasul Allah.”;- (Riwayat Muslim).
Abu Hurairah r.a. berkata, Nabi s.a.w. bersabda, : “Akan keluar dajjal dan khazzab di kalangan umatku. Mereka akan berkata sesuatu yang baru di mana kamu dan bapa-bapa kamu belum pernah mendengarnya. Awasilah mereka dan jagalah diri kamu daripada disesatkan oleh mereka.””;- [Musnad Ahmad, 20/349].
Abu Hurairah r.a. berkata, “Nabi s.a.w. bersabda, : “Qiamat tidak akan tiba sehingga muncul 30 dajjal, semua mengaku sebagai utusan Allah, harta bertambah, berlaku huru-hara dan al-Harj berleluasa.” Seorang sahabat bertanya, “Apakah harj?” Baginda bersabda, “ Bunuh-membunuh.””;- [Musnad Ahmad, 2/457].
Abu Hurairah r.a. berkata, “Nabi s.a.w. bersabda, :“Qiamat tidak akan tiba selagi belum muncul 30 dajjal, semua berbohong mengenai Allah dan RasulNya.””;- [Musnad Ahmad, 2/450].
Ibn Umar r.a. berkata, “Daku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, :“Di kalangan umat ku akan ada 70 Penyeru, yang mengajak manusia kepada neraka jahannam. Daku boleh beritahu nama mereka dan kaum mereka jika daku mahu.”
35 - Golongan Pendusta Di Bidang Hadith;- Dari Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Kelak akan ada di antara generasi akhir dari umatku orang-orang yang meriwayatkan kepada kamu hadis yang belum pernah – juga bapa-bapa kamu – mendengarnya. Untuk itu, hindarilah mereka.”;- (Riwayat Muslim).
36 - Orang yang mewarnakan rambutnya dengan warna hitam;- Daripada Ibn Abbas r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda; Akan ada di akhir zaman nanti orang-orang yang mengecat rambut mereka dengan warna hitam, seperti tembolok burung merpati, dan mereka tidak akan mencium baunya syurga;- (Riwayat Abu Dawud)
37 - Lelaki menyerupai wanita dan wanita menyerupai lelaki;- Rasulullah s.a.w. bersabda: Di antara tanda-tanda dekatnya Hari Kiamat adalah laki-laki menyerupai wanita dan wanita menyerupai laki-laki;- (Riwayat Abu Nu’aim).
38 - Mendidik anjing lebih baik dari mendidik anak;- Daripada Abu Dzar r.a berkata, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila zaman (Kiamat) semakin hampir, mendidik anjing lebih baik daripada mendidik anak, tidak ada rasa hormat kepada yang lebih tua, dan tidak ada rasa kasih sayang kepada yang lebih kecil, anak-anak zina semakin ramai, sehingga laki-laki menyantap perempuan di jalanan, mereka tidak ubahnya seperti kambing yang berhati serigala;- (Riwayat Thabrani dan Hakim).
39 - Orang Yang Baik Berkurangan Sedang Yang Jahat Bertambah Banyak;- Daripada Aisyah r.a. berkata, aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidak akan berlaku hari qiamat sehingga anak seseorang menjadi punca kemarahan (bagi ibu bapanya) dan hujan akan menjadi panas (hujan akan berkurang dan cuaca akan menjadi panas) dan akan bertambah ramai orang yang tercela dan akan berkurangan orang yang baik dan anak-anak menjadi berani melawan orang-orang tua dan orang yang jahat berani melawan orang-orang baik”;- (Riwayat Thabrani).
40 - Ulama Tidak Dipedulikan;- Daripada Sahl bin Saad as-Saaidi r.a. berkata: Rasulullah s.a.w bersabda; ‘Ya Allah! Jangan kau temukan aku dan mudah-mudahan kamu (sahabat) tidak bertemu dengan suatu masa di mana para ulama sudah tidak diikut lagi, dan orang yang penyantun sudah tidak disegani lagi. Hati mereka seperti hati orang Ajam (pada fasiqnya), lidah mereka seperti lidah orang Arab (pada fasihnya).”;- (Riwayat Ahmad).
41 - Ilmu agama dicabut ( banyaknya A’lim Ulama’ yang meninggal dunia ).
42 - Ketiadaan Imam Untuk Sembahyang Berjemaah;- Daripada Salamah binti al-Hurr r.a. berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Lagi akan datang suatu zaman, orang ramai berdiri tegak beberapa masa. Mereka tidak dapat memulakan sembahyang berjamaah kerana tidak mendapatkan orang yang boleh menjadi imam”;- (Riwayat Ibnu Majah).
43 - Zaman Kekeliruan;- Anas ibn Malik berkata, “Nabi s.a.w. bersabda: “Zaman Dajjal adalah zaman kekeliruan. Manusia akan percaya pendusta dan tidak percaya orang yang berkata benar. Manusia tidak percaya orang yang amanah dan mempercayai orang yang khianat. Dan Ruwaibidhah akan diberi perhatian.” Sahabat bertanya “Siapakah Ruwaibidhah itu?” Sabda Baginda, “Orang-orang yang menentang Allah yang diberi penghargaan untuk berucap kepada masyarakat.”;- [Musnad Ahmad, 3/220].
44 - Akibat Berhenti Menyeru Kebaikan Dan Mencegah Kemungkaran;- Anas ibn Malik r.a. berkata, “Ditanya kepada Nabi s.a.w, “Ya Rasulullah, (apa akibat) apabila kami berhenti menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran?” Nabi s.a.w. bersabda: “Apa yang telah berlaku kepada Bani Israel, akan berlaku kepada kamu. Apabila zina berleluasa di kalangan pemimpin kamu, ilmu pada urusan orang yang terendah di kalangan kamu dan kuasa dimiliki oleh orang yang rosak di kalangan kamu.””;- [Riwayat Ibnu Majah, juga Kitab al-Fitan (Hadith 4015), 2/1331; Musnad Ahmad 3/187.].
45 - Manusia Yang Berhati Syaitan;- Dari Ibnu Abbas r.a. berkata, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Kelak akan datang di akhir zaman segolongan manusia, di mana wajah-wajah mereka adalah wajah manusia, namun hati mereka adalah hati syaitan; seperti serigala-serigala yang buas, tidak ada sedikit pun di hati mereka belas kasihan. Mereka gemar menumpahkan darah dan tidak pernah berhenti dari melakukan kekejian. Apabila kamu mengikuti mereka, maka mereka akan memperdaya kamu. Akan tetapi apabila kamu menghindar dari mereka, maka mereka akan mencela kamu. Apabila berbicara dengan kamu, maka mereka akan membohongi kamu. Dan apabila kamu memberinya kepercayaan, maka mereka akan mengkhianati kepercayaan yang kamu berikan. Anak kecil mereka bodoh, pemuda mereka licik, sementara yang tua tidak menyuruh berbuat baik dan melarang yang mungkar. Mereka itu sentiasa membanggakan diri dalam kehinaan. Dan meminta apa yang ada pada mereka bererti kesusahan. Orang yang sopan-santun di tengah mereka adalah sesat, dan orang yang menyuruh kepada perbuatan ma’ruf malah menjadi tertuduh, orang beriman di kalangan mereka adalah lemah, sedangkan orang fasik menjadi mulia. Sunnah di tengah mereka menjadi bidaah, sedangkan bidaah itu sendiri adalah sunnah. Maka ketika itulah mereka dikuasai oleh orang-orang paling jahat di antara mereka. Sedangkan orang pilihan apabila ia menyeru, pasti tidak akan dihiraukan.”;- (Riwayat Thabrani).
46 - Hilangnya Amanat Dan Munculnya Orang-Orang Gemuk;- Dari Zahdam bin Mudlorrib r.a. mendengar Imron bin Khushoin berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: ” Sesungguhnya sebaik-baik kamu adalah yang hidup pada masaku, kemudian orang-orang yang hidup selepas mereka, kemudian orang-orang yang hidup selepas mereka.” Imron berkata: “Aku tidak mengerti; Apakah Rasulullah s.a.w. berkata tentang peristiwa-peristiwa selepas zamannya, dua kali atau tiga kali (generasi)?” Kemudian sabda Rasulullah: “ Sesudah mereka ada suatu kaum yang berhak menjadi saksi tapi diminta kesaksiannya (tidak dijadikan sebagai saksi), mereka berkhianat dan tidak dapat dipercaya, mereka bernazar (berjanji) tidak menepatinya. Dan kalau sudah terjadi demikian muncullah orang-orang gemuk di antara mereka” ;- (Riwayat Muslim).
47 - Dilema Antara Berbuat Maksiat Dan Meninggalkannya;- Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: ” Kelak akan datang atas umatku; suatu masa di mana seseorang dihadapkan pada dua pilihan antara kelemahan dan kemaksiatan (kejahatan, kecabulan, pengkhianatan dan sebagainya). Barangsiapa mendapati (berada) pada masa itu, hendaklah ia memilih kelemahan dan meninggalkan kecabulan (penyelewengan) “;- (Riwayat Hakim).
49 - Orang yang rosak akhlak;- Abu Hurairah r.a. berkata, Nabi s.a.w. bersabda: “Dunia ini tidak akan Qiamat selagi orang yang paling seronok ialah orang yang rosak akhlak anak kepada orang yang rosak akhlak.”;- [Riwayat Ahmad, Musnad, 2/358.].
50 - Golongan Anti Hadith;- Daripada Miqdam bin Ma’dikariba r.a. berkata: Bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda, “Hampir tiba suatu masa di mana seorang lelaki yang sedang duduk bersandar di atas katilnya, lalu disampaikan orang kepadanya sebuah hadis daripada hadisku maka ia berkata : “Pegangan kami dan kamu hanyalah kitabullah (al-Quran) sahaja. Apa yang dihalalkan oleh al-Quran kami halalkan. Dan apa yang ia haramkan kami haramkan”. Kemudian Nabi s.a.w. melanjutkan sabdanya: “Padahal apa yang diharamkan oleh Rasulullah s.a.w. samalah hukumnya dengan apa yang diharamkan oleh Allah s.w.t.”;- (Riwayat Abu Daud)
51 - Munculnya Golongan Yang Engkar Pada As-sunnah;- Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Akan datang suatu kaum yang mematikan (menolak untuk menggunakan dasar) as-sunnah dan menyangkal tentang agama. Maka atas merekalah laknat Allah, laknat orang-orang yang melaknat, laknat Malaikat serta laknat semua manusia;- (Riwayat Ad Dailami).
52 - Pemimpin Yang Diktator;- Dari Abu Hurairah r.a. berkata, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:“Sesungguhnya di kalangan kamu nanti akan tertanam kemahuan besar kedudukan (politik) dalam kerajaan. Sesungguhnya yang demikian itu akan menjadikan kamu menyesal dan susah pada Hari Kiamat; Sebaik-baik ibu adalah yang mahu menyusui anak (ertinya sebaik-baik pemimpin adalah yang memperhatikan kepentingan rakyat), dan seburuk-buruk ibu adalah ibu yang tidak mahu menyusui anaknya (ertinya seburuk-buruk pemimpin adalah pemimpin yang tidak memerhatikan kepentingan rakyat);- (Riwayat Bukhari dan Nasae’i).
53 - Pemimpin Yang Menipu Rakyat;- Ka’ab bin Ujrah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Akan datang di kemudian hari nanti, setelah aku tiada; beberapa pemimpin yang berdusta dan berbuat aniaya. Maka barang siapa yang membenarkan kedustaan mereka dan membantu (mendukung) tindakan mereka yang aniaya itu, maka ia bukan termasuk umatku, dan bukanlah aku daripadanya. Dan ia tidak akan dapat sampai datang ke telaga (yang ada di syurga);- (Riwayat Tirmidzi, Nasae’i dan Hakim).
54 - Iman Yang Semakin Lemah;- Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Dahulukanlah amal soleh di mana pada waktu itu akan terjadi huru-hara dahsyat bagaikan malam yang gelap gelita, seseorang pada pagi harinya beriman lalu pada petang harinya menjadi kafir, atau petang harinya kafir, lalu pagi harinya menjadi mukmin. Ia menjual agamanya dengan keduniaan” ;- (Riwayat Muslim).
Abu Umamah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Kelak akan terjadi suatu fitnah, yang keadaan mukmin sedang petang harinya menjadi kafir, kecuali orang yang Allah dihidupkan dengan ilmu yang manfaat” ;- (Riwayat Ahmad dan Thabrani).
55 - Pemimpin Yang Menyembunyikan Hak Rakyat;- Dari Ubadah bin Shamit r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesudahku nanti ada pemimpin-pemimpin yang menguasai urusanmu. Mereka mengetahui urusanmu, sedangkan kamu sendiri tidak mengetahuinya. Mereka menyembunyikan atasmu sesuatu yang menjadi hakmu sedang kamu mengetahuinya. Barangsiapa yang menemui kejadian seperti itu, maka janganlah mentaati orang yang berbuat durhaka kepada Allah Azza Wa jalla;- (Riwayat Thabrani dan Hakim).
56 - Pemimpin Yang Membuat Kerosakan;- Ibnu Mas’ud r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Nanti kamu sekalian akan dikuasai para pemimpin yang selalu membuat kerosakan, dan Allah tidak akan memberikan perbaikan/pertolongan kepada mereka. Barangsiapa di antara mereka taat kepada Allah, maka bagi mereka akan mendapat pahala dan kamu harus bersyukur. Dan barangsiapa di antara mereka yang membuat maksiat kepada Allah, maka mereka akan mendapat dosa dan kamu harus bersikap sabar;- (Riwayat Thabrani).
57 - Ramai Pemimpin Tetapi Tidak Dapat Menjamin Ketenteraman;- Dari Abdurrahman Al-Anshari r.a bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Sebahagian dari tanda-tanda dekatnya Hari Kiamat adalah banyaknya bacaan (ramai yang pandai membaca) dan sedikit di antara mereka yang mengerti agama, banyak umara’ (pemimpin) tetapi ketenteraman berkurang;- (Riwayat Thabrani).
58 - Pemimpin Yang Diingkari Rakyat;- Dari Ibnu Abbas r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Kelak akan ada pemimpin yang kamu mengenalnya, tetapi kamu mengingkari (perbuatan)nya. Barangsiapa yang menentang mereka (tidak mengikuti dan tidak mendukung perbuatannya), mereka akan selamat. Barangsiapa yang menjauhi mereka, ia akan aman sentosa, barangsiapa yang bergaul (mendukung) dengannya, maka ia akan binasa;- (Riwayat Ibnu Abi Syaibah dan Thabrani).
Dari Ummi Salmah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Nanti akan ada penguasa; Kamu sekalian mengenalnya, tetapi kamu mengingkarinya. Barangsiapa yang membencinya, maka ia akan bebas; barangsiapa yang mengingkarinya dia akan selamat, tetapi mereka ada juga pengikutnya;- (Riwayat Muslim dan abu Daud).
59 - Umat Islam akan tertimpa penyakit orang kafir;- Daripada Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Umatku (Islam) nanti akan ditimpa penyakit masyarakat; iaitu: berupa kejahatan, kebencian, kesombongan, bermegah-megahan, perselisihan dalam hal dunia, saling benci-membenci dan saling hasut-menghasut, sehingga terjadilah kerosakan (kehancuran perpaduan umat)” – (Riwayat Hakim).
Daripada Anas bin Malik r.a. berkata Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya sebahagian tanda-tanda dekatnya hari kiamat adalah hilangnya kemanfaatan ilmu, makin ketara kebodohan, diminumnya khamar (arak), meluasnya perzinaan dengan terang-terangan, banyaknya wanita dan sedikitnya lelaki sehingga lima puluh wanita mempunyai satu pelindung lelaki;- (Riwayat Bukhari).
60 - Zaman Di Mana Halal Dan Haram Dianggap Sama Oleh Manusia;- Daripada Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Akan datang kepada manusia suatu masa, di mana kala itu seseorang tidak lagi mempedulikan dari mana ia memperolehi hartanya, apakah dari yang halal atau haram” – (Riwayat An Nasa’i).
61 - Tersebarnya perzinaan kerana memperolehi izin rasmi untuk mendirikan tempat pelacuran/perzinaan dari setiap pemerintah yang bersangkutan.
62 - Segala minuman keras seperti khamr (arak) sama diminum dengan berleluasa dan bebas, peminumnya sudah tidak lagi mengenal dosa, bahkan sebagai kebanggaan.
63 - Dikatakan manusia halalnya riba, arak, perzinaan, pakaian dari sutera dan kecapi-kecapi (alat-alat muzik);- Sabda Rasulullah s.a.w: “Nanti pada akhir zaman akan terjadi gempa bumi dan penyakit kolera dan perubahan-perubahan ini terjadi apabila muzik-muzik, biduanita-biduanita telah maharajalela dalam kehidupan umat manusia dan minuman keras (arak) telah dihalalkan” – (Riwayat Thabrani).
Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya nanti akan benar-benar terjadi; akan ada suatu kaum dari Umatku (Islam) yang mengatakan halalnya perzinaan, pakaian sutera, arak dan kecapi-kecapi (alat-alat muzik).” (Riwayat Thabrani)
Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sungguh akan ada beberapa orang dari umatku yang meminum khomr (arak), mereka namakan dengan nama lain. Kepala mereka itu dilalaikan dengan bunyi-bunyian (muzik) serta nyanyian, lalu Allah tenggelamkan mereka ke dalam bumi dan akan menjadikan mereka itu seperti kera dan babi” – (Riwayat Ibnu Majah).
Rasulullah s.a.w bersabda: “Kelak pada akhir zaman akan ada dari umat ini suatu kaum yang tingkah lakunya akan jadi seperti kera dan babi. Para sahabat bertanya: “Ya Rasulullah! Tidakkah mereka bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan sesungguhnya Muhammad utusan Allah?” Rasulullah menjawab: “Betul, mereka juga berpuasa, sembahyang dan haji.” Mereka bertanya lagi: “Lalu mengapa keadaan mereka menjadi begitu?” Rasulullah menjawab: “Mereka mengadakan nyanyian-nyanyian, menabuh gendang disertai para biduanita dan penari, lalu pada malam harinya mereka mengadakan pesta minum-minuman dan bermain-main maka pada pagi harinya mereka berubah menjadi tingkah lakunya seperti kera dan babi. Dan sungguh akan ada seorang yang pergi berbelanja ke kedai atas suruhan temannya, setelah ia kembali kepadanya, lalu ia berubah tingkah lakunya seperti menjadi kera dan babi” – (Riwayat Ibnu Abi Dunia).
64 - Ditimpa tanah runtuh dan berbagai bala bencana;- Dilaporkan dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Demi Dia yang mengutuskan daku dengan kebenaran, bumi ini tidak akan hancur sehingga penghuninya ditimpa tanah runtuh, ditimpa hujan batu dan berubah menjadi binatang.” Orang bertanya, “Bilakah terjadi demikian wahai Rasulullah?” Sabda Baginda, “Apabila kamu melihat wanita menunggang di atas pelana, penyanyi berleluasa, saksi-saksi memberi keterangan palsu menjadi kebiasaan dan lelaki meniduri lelaki dan wanita meniduri wanita.” – [al-Haithami, Kitab al-Fitan].
65 - Dua Golongan Yang Akan Menjadi Penghuni Neraka;-Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni Neraka yang belum lagi aku melihat mereka. Pertama, golongan (penguasa) yang mempunyai cemeti-cemeti bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang. Kedua, perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang, berlenggang lenggok waktu berjalan, menghayun-hayunkan bahu. Kepala mereka (sanggul di atas kepala mereka) bagaikan bonggol (goh) unta yang senget. Kedua-dua golongan ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan dapat mencium bau wanginya. Sesungguhnya bau wangi syurga itu sudah tercium dari perjalanan yang sangat jauh daripadanya”;- (Riwayat Muslim).
66 - Jumlah orang lelaki lebih sedikit kerana sedikitnya bayi lelaki yang lahir, dan ramai kaum lelaki yang sama, mati/meninggal dunia.
Daripada Abdillah ia berkata, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Mendekati hari kiamat kelak, hanya akan diberikan salam kepada orang-orang tertentu. Juga akan marak kegiatan perdagangan, sehingga isteri-isteri pun ikut terlibat membantu suaminya dalam berdagang. Dan juga akan terjadi pemutusan hubungan persaudaraan” – (Riwayat Ahmad).
67 - Perdagangan, perniagaan, terputusnya persaudaraan, saksi palsu, tersebar luasnya tulisan-tulisan;- Thariq ibn Shibab berkata, “Kami sedang duduk bersama Abdullah ibn Mas’ud apabila datang seorang lelaki memberitahu waktu solat sudah tiba. Maka kami pun bangun dan menuju ke masjid. Selesai solat, tampil seorang lelaki kepada Abdullah ibn Mas’ud dan berkata, “As-salamu’alaika wahai Abu Abdur Rahman.” Jawab beliau, “Allah dan RasulNya telah berkata benar.” Semasa pulang kami bertanya sesama sendiri, “Kamu dengarkah apa jawapan beliau? Siapakah yang akan tanya beliau mengenainya?” Daku berkata, “Biar saya yang tanya beliau, lalu daku pun bertanya beliau sebaik sahaja beliau keluar. Beliau meriwayatkan dari Baginda s.a.w, : “Sebelum Qiamat tiba, terdapat satu ucapan khusus untuk orang kenamaan; perdagangan tersebar luas sehingga wanita akan turut suaminya dalam perniagaan; perhubungan keluarga akan putus; saksi palsu berleluasa sedang saksi benar akan sukar ditemui dan tulisan tersebar luas.” – [Riwayat Ahmad, Musnad, 1/407].
68 - Bahaya Kemewahan;- Daripada Ali bin Abi Thalib r.a. berkata, “Bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah s.a.w. di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus’ab bin Umair r.a. dan tiada di atas badannya kecuali hanya sehelai selendang yang bertampung dengan kulit. Tatkala Rasulullah s.a.w.melihat kepadanya baginda menangis dan menitiskan air mata kerana mengenangkan kemewahan Mus’ab ketika berada di Mekkah dahulu (kerana sangat dimanjakan oleh ibunya) dan kerana memandang nasib Mus’ab sekarang (ketika berada di Madinah sebagai seorang Muhajirin yang terpaksa meninggalkan segala harta benda dan kekayaan di Mekkah). Kemudian Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: “Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu saat nanti, pergi di waktu pagi dengan satu pakaian, dan pergi di waktu petang dengan pakaian yang lain pula. Dan bila diangkatkan satu hidangan diletakkan pula satu hidangan yang lain. Dan kamu menutupi (menghias) rumah kamu sepertimana kamu memasang kelambu Ka’bah?”. Maka jawab sahabat, “Wahai Rasulullah, tentunya di waktu itu kami lebih baik daripada di hari ini. Kami akan memberikan penumpuan kepada masalah ibadat sahaja dan tidak usah mencari rezeki”. Lalu Nabi s.a.w. bersabda, “Tidak! Keadaan kamu di hari ini adalah lebih baik daripada keadaan kamu di hari itu”;- (Riwayat Tirmidzi).
69 - Penyelewengan, Maksiat dan Penghindarannya;- Dari Anas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Akan datang atas manusia, suatu masa, yang mereka tidak sanggup lagi mencari penghasilan kecuali dengan jalan maksiat (antara lain penyelewengan), sehingga orang berani berdusta dan bersumpah, maka apabila masa itu sudah terjadi (timbul), hendaklah kamu lari menghindari perbuatan itu.” Baginda ditanya: “Ya, rasulullah! Ke tempat mana kita akan lari menghindar?” Baginda menjawab: “Kepada Allah: Kepada Kitab-Nya dan kepada sunnah Nabi-Nya”;- (Riwayat Ad Dailami).
70 - Orang sudah tidak mempedulikan halal dan haram – “Akan datang suatu masa kepada manusia, di mana orang tidak lagi mempedulikan apa yang diperolehnya apakah itu usaha yang halal atau yang haram”;- (Riwayat Nasae’i).
Dalam riwayat lain Rasulullah s.a.w bersabda: “Akan datang kepada manusia suatu zaman, yang tidak peduli lagi seseorang di zaman itu dari mana harta diambil, (apakah yang diambilnya itu halal atau haram)”;- (Riwayat Nasae’i).
71 - Maraknya Rasuah;- Mu’az bin Jabal berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Ambillah pemberian, selama itu berbentuk sebuah pemberian. Sedangkan jika telah menjadi bentuk suap, maka dalam agama, janganlah kamu mengambilnya. Tidaklah keengganan kamu meninggalkannya lalu mencegah kamu dari kemiskinan dan keperluan hidup. Ingat, lingkaran Islam selalu berputar, maka berputarlah bersama Al-Quran ke mana pun ia mengarah. Ingat, Al-Quran dengan penguasa akan berbeza arah. Maka dari itu, janganlah kamu memisahkan diri dari Al-Quran. Ingat, kelak akan berkuasa atas kamu pemimpin-pemimpin yang akan memutuskan untuk diri mereka sesuatu yang tidak diputuskan untuk kamu. Jika kamu membangkang kepada mereka, maka sudah tentu mereka akan membunuh kamu. Akan tetapi, apabila kamu mematuhinya, maka mereka pasti akan menyesatkan kamu. Para sahabat bertanya: “Apa yang harus kami lakukan pada waktu seperti itu wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Lakukanlah seperti yang dilakukan oleh para pengikut Isa bin Maryam, di mana mereka menyebar dengan membawa gergaji, lalu memikul kayu. Kerana, mati dalam ketaatan kepada Allah jauh lebih baik daripada hidup dalam keadaan bermaksiat kepadaNya”;- (Riwayat Tabrani).
72 - Maraknya praktik riba;- Daripada Abu Hurairah r.a. berkata Rasulullah s.a.w. bersabda: Sungguh akan datang kepada manusia suatu masa, di mana tidak tersisa dari mereka seorang pun kecuali menjadi pemakan riba. Dan barangsiapa yang tidak mahu memakannya, maka pasti ia akan terkena oleh debunya;- (Riwayat Ibnu Majah)
Rasulullah s.a.w bersabda: Akan datang suatu masa, di mana manusia menganggap halal riba dengan nama jual beli;- (Riwayat Ibnul Qayyim).
73 - Meluapnya jumlah kaum wanita melebihi kaum lelaki dengan perbandingan 50 berbanding seorang lelaki.
74 - Banyak terjadi gempa bumi.
75 - Keluarnya Sumber kekayaan dan perang di Timur Tengah (Iraq).
76 - Munculnya Galian-galian Bumi;- Daripada Ibnu Omar r.a. berkata: “Pada suatu masa dibawa ke hadapan Rasulullah s.a.w. sepotong emas. Dan emas itu adalah emas zakat yang pertama sekali dikutip. Emas itu telah dibawa oleh Bani Sulaim dari tempat tambang (galian) mereka. Maka sahabat berkata: “Hai RasuIullah! Emas ini adalah hasil dari galian kita”. Lalu Nabi s.a.w. menjawab, “Nanti kamu akan dapati banyak galian-galian, dan yang akan menguruskannya adalah orang-orang yang jahat”;- (Riwayat Baihaqi).
77 - Rakus Terhadap Hal Dunia;- Sabda Rasulullah s.a.w.: (Jika) Hari Kiamat telah hampir terjadi; tidak bertambah manusia kecuali loba (rakus akan harta benda), dan mereka tidak bertambah dekat kepada Allah, kecuali akan menambah jauh dari Allah ( dari ajaran agama);- (Riwayat Thabrani)
Rasulullah s.a.w. bersabda: Apabila akhir zaman, adalah kekuatan agama manusia terletak pada dinar dan dirham (harta);- (Riwayat Turmidzi)
78 - Ramai Orang Kaya Tinggal Di Lereng Gunung;- Rasulullah s.a.w bersabda: Sungguh akan ada beberapa kaum yang bertempat tinggal di dekat (lereng) gunung, lalu orang-orang fakir datang kepada mereka untuk sesuatu keperluannya, kemudian mereka berkata: “Kembalilah kepada kami esok.” Kemudian Allah menyatukan gunung itu atas mereka;- (Riwayat Bukhari).
79 - Peperangan Di Kawasan Sungai Furat (Iraq) Kerana Merebut Kekayaan;-Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: ‘Tidak terjadi hari qiamat sehingga Sungai Furat (Sungai Euphrates iaitu sebuah sungai yang ada di lraq) menjadi surut airnya sehingga ternampak sebuah gunung daripada emas. Ramai orang yang berperang untuk merebutkannya. Maka terbunuh 99 daripada 100 orang yang berperang. Dan masing-masing yang terlibat berkata: “Mudah-mudahan akulah orang yang terselamat itu”. Di dalam riwayat lain ada disebutkan; “Sudah dekat suatu masa di mana sungai Furat akan menjadi surut airnya lalu ternampak perbendaharaan daripada emas, maka barangsiapa yang hadir di situ janganlah ia mengambil sesuatu pun daripada harta itu”;- (Riwayat Bukhari dan Muslim).
80 - Tentera Yang Kejam;- Dari Abu Umamah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Kelak pada akhir zaman akan ada angkatan tentera sejak pagi-pagi dalam kemurkaan Allah, dan waktu petang juga dalam kemurkaan Allah. Oleh kerana itu waspadalah kamu sekalian! Jangan sampai kamu sekalian dijadikan perisai buat mereka;- (Riwayat Thabrani).
81 - Zaman sudah dekat-mendekati.
82 - Masa berlalu bagaikan kobaran api;- Daripada Anas bin Malik r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Tidak terjadi kiamat, hingga waktu terasa saling berdekatan. Satu tahun seperti satu bulan dan satu bulan laksana satu minggu. Satu minggu bagaikan satu hari, dan satu hari ibarat satu jam, serta satu jam laksana kobaran api (cepat sekali berlalu);- (Riwayat Tirmidzi).
83 - Banyak terjadi perkara fitnah-memfitnah.
84 - Fitnah bagaikan malam yang gelap-gelita;- Daripada Anas bin Malik r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Mendekati hari kiamat akan terdapat berbagai macam fitnah laksana bahagian malam yang gelap-gelita. Kala itu seseorang menjadi Mukmin di pagi hari, berbalik menjadi kafir memasuki petang hari. Dan menjadi Mukmin di petang hari, berbalik menjadi kafir memasuki pagi hari. Orang-orang pun akan menjual agamanya dengan harta benda duniawi;- (Riwayat Tirmidzi).
85 - Banyaknya haraj, yakni bunuh-membunuh (Pembunuhan bermaharajalela dalam masyarakat kesan dari jahiliyah moden).
86 - Pembunuhan demi pembunuhan;- Daripada Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Tidak akan terjadi kiamat, hingga munculnya banyak kekacauan. Lalu para sahabat bertanya: Apa yang dimaksud ‘harj’ (kekacauan) itu, wahai Rasulullah? Nabi s.a.w. menjawab: Pembunuhan demi pembunuhan;- (Riwayat Muslim).
87 - Banyaknya harta bagi setiap orang, sehingga menjadi bingung untuk membelanjakannya.
88 - Ramai orang yang bermegahan dalam gedung-gedung besar dan banyaknya pasar.
Rasulullah bersabda : “Kiamat hampir saja akan berdiri apabila sudah banyak perbuatan bohong, masa (waktu) akan terasa cepat dan pasar-pasar akan berdekatan (kerana saling banyaknya)” (sahih Ibnu Hibban).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan