Ahad, 20 November 2011

KEMULIAAN BULAN MUHARRAM


UMUM



Muharam bermaksud “diharamkan” iaitu dilarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah sehinggalah larangan itu ditamatkan setelah pembukaan kota Mekah.

Muharam adalah bulan pertama dalam kalendar umat Islam Hijiriah. Bulan Muharam merupakan bulan yang penuh keberkatan dan rahmat kerana pada bulan ini banyak peristiwa penting berlaku.

Pada bulan ini jugalah baginda Rasulullah saw telah memulakan hijrah baginda dari Mekah ke Madinah yang menjadi satu catatan sejarah yang penting dan dikira sebagai tahun permulaan kalendar Islam.

Diceritakan juga bahawa pada bulan ini Allah swt mengurniakan mukjizat kepada Nabi-nabi as sebagai tanda penghormatan dan kemuliaan.

Bulan Muharam merupakan bulan yang teristimewa disamping ganjaran pahala yang besar kepada sesiapa yang beribadah kepada Allah swt, terdapat uatu hari yang istimewa iaitu hari Asyura. Pada hari Asyura (10 Muharam) Nabi Adam as dan Nabi Nuh as telah berpuasa tanda bersyukur kepada Allah kerana taubat mereka diterima oleh Allah selepas bertahun-tahun sujud memohon keampunanNya.

Dalam sebuah hadis disebutkan “Sesiapa yang berpuasa pada hari Asyura (10 Muharam), maka Allah swt akan memberikan kepadanya pahala sepuluh ribu orang berhaji dan berumrah dan sepuluh ribu orang mati syahid. Dan sesiapa yang mengusap kepala anak yatim pada hari ini, maka Allah akan meningkatkan darjatnya mengikut setiap bilangan helai rambut anak yatim tersebut.”

Hikmah Berpuasa: Hari Asyura (10 Muharam) Abu Musa Al Madani meriwayatkan dari dari Ibnu Umar r.a. “Barangsiapa yang berpuasa pada hari Asyura adalah seperti berpuasa setahun dan sesiapa yang bersedekah pada hari Asyura adalah bagiku seumpama bersedekah setahun.” (Riwayat Albazzar) Dari Abu Qatadah r.a. katanya Rasulullah saw pernah ditanya orang tentang puasa hari Arafah. Jawab baginda “Semoga dapat menghapus dosa setahun lalu dan yang akan datang.” Kemudian baginda ditanya pula tentang puasa hari Asyura. Jawab baginda “Semoga dapat menghapus dosa setahun lalu”. (Sahih Muslim)

Kelebihan dan Keutamaan Hari Asyur

1. Allah swt telah menciptakan langit dan bumi.
2. Allah menjadikan baginda Adam as dan Hawa as.
3. Dijadikan syurga dan memasukkan Nabi Adam ke dalam syurga.
4. Nabi Ibrahim as telah dilahirkan
5. Firaun dan bala tenteranya ditenggelamkan di Laut Merah.
6. Penyakit Nabi Ayyub as disembuhkan
7. Taubat Nabi Adam as diterima.
8. Dosa Nabi Daud as diampunkan.
9. Kembalinya kerajaan Nabi Sulaiman as.
10.Berlakunya hari kiamat.

Perkara yang sunat dilakukan pada Hari Asyura

1. Berbelanja ke atas anak isteri (kaum keluarga).
2. Memuliakan fakir miskin.
3. Menahan rasa marah.
4. Menunjukkan jalan kepada orang yang sesat.
5. Menyapu atau mengusap kepala anak yatim.
6. Banyakkan bersedekah.
7. Memelihara kehormatan diri.
8. Mandi sunat. Lafaz niatnya.”Sahaja aku mandi sunat hari Asyura kerana Allah Taala”
9. Bercelak, fadilatnya tidak akan sakit mata pada tahun itu.
10. Membaca surah Al Ikhlas Qulhuwallahu Ahad sebanyak seribu kali.
11. Solat sunat Asyura empat rakaat. Pada rakaat pertama dan kedua selepas Al Fatihah dibaca 12. Qulhuwallahu Ahad sebanyak sebelas kali.
13. Menjamu orang yang berbuka puasa.
14, Berpuasa sunat.

Kesimpulan:

Semoga Allah swt melimpahkan kita semua dengan rahmat dan hidayatnya disamping rezeki yang berlipat ganda dalam kita berusaha memuliakankan kehadiran bulan Muharam dengan sebaik-baik amal.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan