Rabu, 21 September 2011

KELEBIHAN SOLAT TAHAJUD


IBADAH




SOLAT TAHAJUD - DARI PERSPEKTIF PERUBATAN


Solat tahajud ialah ibadah yang kita lakukan pada malam hari,biasanya tengah malam atau lewat tengah malam. Solat tahajud juga dikenali juga sabagai shalatulail.

Solat ini sangat baik dilakukan terutama kepada para pemimpin Islam kerana Rasulullah S.A.W dan para sahabat r.a tidak meninggalkan solat ini sepanjang hayat mereka, sebagai ibadah tambahan.Dalam Al-Quran terdapat banyak ayat-ayat yang menggalakkan umat Islam mengerjakan solat tahajud sebagai ibadah tambahan pada waktu malam begitu juga terdapat beberapa hadis Nabi S.A.W. mengenai perkara ini.


TIDUR DAN SOLAT TAHAJUD

Umumnya manusia mengatakan tidur malam perlu antara enam hingga lapan jam sehari. Tetapi pendapat ini ditolak oleh para saintis Barat seperti Dr Ray Meddis,seorang profesor di Department of HumanSciences, England University of Technology yang mengatakan bahawa manusia sebenarnya perlu tidur malam selama tiga jam sahaja.

Waktu tidur boleh dibahagi kepada dua bahagian - tidur ayam dan tidur lelap.Mimpi biasanya berlaku dalam tidur lelap (deep sleep). Manusia perlu berlatih untuk dapat tidur lelap kerana tidur ayam adalah masa berangan-angan yang membuang waktu sahaja.

Tidur yang sebenarnya ialah ketika tidur lelap yang mengikut kajian saintis Barat ialah selama tiga jam.Kita merasakan bahawa tidur malam kita selalu tidak cukup. Ini kerana kita tidak terlatih atau mengikut peraturan yang perlu diikuti ketika tidur.

Apabila seseorang atlit hendak memasuki suatu pertandingan lumba lari dia akan berlatih hampir setahun sebelum perlumbaan itu bermula. Dengan demikian dia ada harapan untukmemungut pingat emas. Demikian jugalah kita mesti melatih diri kita tidur mengikut peraturan.

Mengikut kajian ahli perubatan Barat, Sebelum kita merasa hendak tidur,mula-mula sekali kita akan merasa mengantuk (drowsiness ) di mana suhu badan kita akan menurun. Dengan mengatur waktu tidur dan menggunakan jangkasuhu kita boleh latihkan diri kita untuk tidur bila perlu.

Tidur yang diatur boleh menjimatkan masa kita dan membolehkan kita melakukan ibadah dan kerja-kerja lain.Rasulullah S.A.W. telah memberikan contoh yang baik untuk tidur lengkap dengan doa-doanya. Bolehlah kita ringkaskan latihan untuk tidur malam seperti :

1. Makan malam yang sedikit sekadar alas perut supaya tidak lapar. Jika kita makan malam yang banyak ianya akan menyebabkan kita cepat mengantuk dan susah bangun dari tidur, sudah tentu kita akan terlebih tidur pula.
2. Tunaikan solat Isya' sebelum tidur.
3. Bersihkan tempat tidur seperti tilam, bantal dan cadar dari habuk dan lain-lain kotoran.
4. Amalkan doa-doa sebelum dan sesudah tidur seperti yang diajarkan Rasulullah S.A.W.
5. Kurangkan masa tidur dari lapan jam sehari kepada tujuh jam sehari untuk bulan pertama latihan; pada bula kedua kurangkan masa tidur malam kepada enam jam sehari, seterusnya pada bulan ketiga kepada lima jam sehingga kita boleh tidur untuk masa tiga jam sahaja.

Cara untuk kita tidur dan bangun juga mempunyai peraturan yang perlu diikuti untuk menjaga kesihatan dan mengelakkan diri dari dihidapi pelbagai penyakit. Umpamanya kita yang suka bangun tidur melompat dari tidurnya boleh menghadapi risiko sakit jantung yang boleh membawa maut. Demikian menurut pendapat seorang doktordari China - Dr Huang Guoxiong dari Kolej Perubatan Lioning.

Di dalam Al-Quran ada menyebut segolongan manusia yang masuk syurga kerana ibadah malamnya dan kurang tidur malam.Firman Allah dalam Al-Quran yang bermaksud :

" Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa ada di dalam syurga dan dekat deng
an air yang mengalir. Sambil mengambil apa yang diberi oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka sebelum ini di dunia adalah orang-orang yang berbuat baik. Mereka sedikit sekali tidur di waktumalam. Dan di akhir-akhir malam mereka memohon ampun kepada Allah." ( Surah az-Zariat ayat 15-18 )


IBADAH TENGAH MALAM DAN AWAL PAGI DALAM AGAMA LAIN.

Penulis pernah bertukar-tukar pendapat dengan guru-guru dan ketua agama yang bukan Islam seperti Buddha, Kristian, Tao,Confucious dan Sikh. Dalam perhatian penulis, mereka juga mengadakan amalan pada tengah malam seperti 'berzikir' dan membaca kitab suci agama mereka.

Untuk mengelak dari rasa mengantuk, mereka berlatih tidur hanya lebih kurang tiga jam atau empat jam sehari malah ada yang kurang dari itu. Antanra agama yang dimaksudkan itu ialah agama Buddha, Kristian,Tao,Confusies dan Sikh.

PENDAPAT AHLI SASTERA BARAT

Terdapat juga ahli sastera barat yang menceritakan mengenai kelebihan mengurangkan tidur untuk mencapai kerjaya yang cemerlang.

Bila ditanya apakah rahsia kejayaan mereka, mereka menjawab : " The woods are lovely, dark and deep but I have promises to keep and miles to go before I sleep."

Maksudnya " Taman itu indah, gelap dan tebal tetapi saya mempunyai temujanji yang mesti ditunaikan dahulusebelum saya tidur."

"The heights by great men reached and kept were not attained by sudden fight. But while their companions sleep were toiling upwards in the night." - Longfellow

Maksudnya " Pencapaian kerjaya yang tinggi oleh orang-orang ternama tidak didapati serta merta tetapi merekabekerja keras sehingga larut malam pada waktu sahabat-sahabat mereka sedang nyenyak tidur. "

Ini jelas menunjukkan mereka meminimakan waktu tidur untuk mencapai kejayaan dalam hidup mereka.

Sekarang kita kembali kepada perbincangan solat tahajud. Apakah kebaikan dan kelebihan yang kita perolehi dari mengerjakan solat tahajud sedangkan ketika itulah manusia sedang nyenyak tidur.

Dari segi fikiran logik, kita tidak akan faham bahawa suruhan Allah itu mendatangkan kebaikan. Solat tahajud meneguhkan iman kita, jiwa kita, mental kita untuk menghadapi masalah hidup duniawi dan lain-lain lagi yang Allah Maha Mengetahui.

Dari segi sains perubatan pula, kita akan menyedut oksigen khusus yang wujud di atmosfera bumi antara lebih kurang jam tiga pagi hingga terbit matahari dan menggerakkan otot-otot di dalam badan kita ke arah menyegarkan badan dan melicinkan gerak saliran darah. Kedua-dua oksigen dn gerak otot itu sangat penting dalammemastikan kesihatan tubuh badan manusia.

Oksigen itu hilang dari atmosfera bumi selepas matahari terbit dan tidak datang lagi sehingga esok pagi. Hanya manusia yang bangun pada waktu ini dapat menikmati oksigen tersebut. Mereka yang bangun tidur lewat tidat merasa nikmat oksigen ini.


Isnin, 12 September 2011

CARA MENYEMPURNAKAN SOLAT SUNAT TAUBAT


IBADAH

Sumber rujukan: Solat Taubat (Panduan Penjernihan Jiwa)
Muhammad Isa Selamat

ALLAH swt sentiasa memerintahkan kita supaya bertaubat, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang sebenar.” (At-Tahrim: 8.)

Allah telah membuka pintu harapan kepada hamba-hambaNya: “Katakanlah; wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Az-Zumar: 53)

Syarat-syarat taubat :

  1. Ikhlas ingin bertaubat
  2. Tidak akan mengulangi perbuatan dosa itu lagi
  3. Menyesal atas perbuatan yang telah dilakukan
  4. Harus mempunyai tekad di dalam hati tidak akan melakukan dosa itu untuk selama-lamanya
  5. Dikerjakan sebelum ajal tiba

Jika salah satu syarat tidak dipenuhi, maka taubat yang dilakukan itu tidaklah sah. Jika dosa berkaitan dengan manusia yang lain, maka syaratnya ditambah lagi, iaitu harus dapat membebaskan diri dari hak orang yang berkaitan. Contohnya jika hal itu berbentuk harta, harus dikembalikan. Jika berbentuk hukuman, ia harus menyerahkan diri mohon dimaafkan. Jika hal berupa cacian dan sebagainya, maka ia harus memohon keredhaannya.

Waktu melaksanakan taubat :

Taubat tidak boleh diundur-undur atau ditunda. Kerana jika demikian ia sangat berbahaya bagi hati manusia. Jika tidak segera menyucikan diri sedikit demi sedikit, maka pengaruh dosa itu akan bertompok-tompok, dan akhirnya akan merosakkan hati sehingga tertutup dari cahaya kebenaran.

Di antara penyebab yang akan membangkitkan jiwa bertaubat seseorang itu adalah jiwa yang selalu mengingati hari kematian dan hidup bersendirian di dalam kubur. Kata-kata mati adalah sesuatu yang sangat menakutkan kebanyakan manusia. Mati beerti berpisah dengan segala yang disayangi atau dicintai. Hari terputusnya segala nikmat. Sedangkan berpisah sebentar sahaja dengan anak atau isteri, dapat mengalirkan air mata kesedihan, apa lagi berpisah untuk selamanya

Firman Allah: “Sesungguhnya kamu akan mati dan sesungguhnya mereka akan mati pula.” (Az-Zumar: 30)

Di samping mengingat tentang azab penderitaan yang bakal dihadapi oleh orang-orang yang berdosa mengingat kenikmatan syurga yang bakal ditempati oleh orang-orang yang soleh juga akan dapat membangkitkan keinginan jiwa untuk melakukan taubat dengan segera.

Cara melaksanakan solat taubat :

Cara melaksanakan solat taubat ini sama dengan solat biasa, iaitu setelah berwuduk dengan sempurna, lalu berdiri di tempat yang suci, menghadap kiblat;

  • Waktu di lakukan – bila-bila masa merasa telah berbuat dosa (kecuali waktu makruh tahrim utk melakukan solat)*. Sebaik-baiknya 2/3 malam (pukul 2 pagi ke atas), semasa Qiyamullail
  • Lafaz niat: “Sahaja aku mengerjakan solat sunat taubat dua rakaat kerana Allah Ta’ala.” (Cukup di dalam hati, ada perbahasan ulama’ tentang lafaz niat dlm ibadah – sila rujuk kpd pakar feqah)
  • Rakaat pertama membaca (disunatkan membaca doa Iftitah) kemudian surah Al-Fatihah. Selepas itu mana2 ayat atau surah dalam al-Quran.
  • Rakaat kedua membaca surah Al-Fatihah. Selepas itu mana2 ayat atau surah dalam al-Quran.
  • Semasa sujud akhir rakaat kedua, ucapkanlah Doa Nabi Yunus sebanyak 40 kali (bersungguh-sungguh di dalam hati memohon keampunan dari Allah Ta’ala),
  • 027alquran3.gif

    Ertinya: “Tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau Ya Allah, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim.”

  • Selepas salam, perbanyakkan istighfar seperti,

munajat1.jpg

Ertinya: Ampunilah hamba Ya Allah. Tuhan yang Maha Agung. Tiada Tuhan yang lain melainkan hanya Engkau. Dialah Tuhan yang Maha Hidup lagi Maha Perkasa dan hamba bertaubat kepada Engkau ya Allah.

  • dan berdoa dengan Penghulu Istighfar,

penghulu.jpg

Ertinya: “Ya, Allah Engkaulah Tuhanku, Tidak ada Tuhan selain Engkau, Engkaulah yang menjadikan aku. Sedang aku adalah hamba-Mu dan aku di dalam genggaman-Mu dan di dalam perjanjian setia ( beriman dan taat ) kepada-Mu sekuat mampuku. Aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang telah ku lakukan. Aku mengakui atas segala nikmat yang telah Engkau berikan kepada ku dan aku mengaku segala dosaku. Maka ampunilah aku. Sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni segala dosa kecuali Engkau.”

  • Kemudian boleh juga berdoa mengikut luahan hati dan munajat masing-masing ke hadhrat Allah.


*Makruh tahrim – Petikan dari “170 Solat-Solat Sunat”, Abd Rahman Mukhlis, Terbitan Jasmin Enterprise, ms 8-9 ;

Fuqaha Syafi’iyah berpendapat bahawa makruh tahrim hukumnya melaksanakan sembahyang sunat tanpa sebab, dan sembahyang itu dipandang tidak sah jika dilakukan dalam lima waktu berikut:

  1. Selepas sembahyang Subuh yang dilaksanakan secara tunai (bukan sembahyang qadha’), hingga matahari menyingsing sepenggalah.

  2. Ketika matahari terbit hingga menyingsing seperti galah.

  3. Selepas melakukan sembahyang Asar yang dilaksanakan secara tunai sekalipun ia dijamak dengan Zuhur pada waktu Zuhur (jamak taqdim).

  4. Ketika matahari berwarna kuning, hingga terbenam seluruhnya.

  5. Ketika matahari benar-benar berada di atas kepala (di tengah-tengah langit) hingga gelincir ke Barat. Kecuali waktu Istiwa’ (matahari berada di tengah-tengah langit pada hari Jumaat.

Bagaimanapun, jika sembahyang yang dilakukan itu ada sebab yang mendahuluinya seperti sembahyang Tahiyyatul Masjid, walaupun khatib sudah berada di atas mimbar, sembahyang Sunat Wuduk dan sembahyang Sunat Tawaf sebanyak dua rakaat.

Begitu juga sembahyang yang mempunyai waktu terkait (muqayyad), seperti sembahyang Istisqa’ dan sembahyang Gerhana Matahari. Maka hukumnya adalah sah tanpa dimakruhkan, sebab ia terkait dengan turunnya hujan dan terhalangnya cahaya matahari.

Adapun melaksanakan sembahyang sunat ketika bilal qamat adalah makruh tanzih, kecuali ketika qamat sembahyang Jumaat. Sembahyang sunat yang dilakukan ketika bilal sudah qamat pada sembahyang Jumaat adalah haram hukumnya.

Sabtu, 10 September 2011

PERSEDIAAN RUHANI SEBELUM KE MEKAH


IBADAH


Abu Khawarizmi


SERUAN haji bergema lagi. Para tetamu Allah di segenap penjuru tanahair, sedang bersiap sedia untuk menunaikan rukun Islam yang ke-5 itu. Disebalik persiapan bersifat kebendaan seperti tambang pergi dan balik, pakaian ihram dan kelengkapan haji persediaan lain juga patut diberi perhatian.

Misalnya persediaan ruhani dan mental bagi menghadapi pelbagai ragam dan kerenah kira –kira 3 juta jamaah haji daripada seluruh dunia. Ketiadaannya, boleh menyebabkan falsafah pelaksanaan haji seperti bertolong-tolongan dalam melakukan ketaatan tidak tercapai. Begitu pula semangat persaudaraan Islam yang tidak dibezakan oleh warna kulit dan tutur bahasa boleh bertukar menjadi perkelahian yang merosakkan ibadah haji.

Untuk itu, beberapa perkara perlu diberi perhatian sebelum berangkat menuju ke Tanah suci. Antaranya ialah;

Murnikan niat sambil berharap keredaan-Nya

Dewasa ini terdapat segelintir masyarakat yang terpesong niat dan tujuan untuk ke Mekah. Ada yang pergi sekadar untuk melengkapkan gelaran haji dan hajah berikutan berbagai gelaran lain yang telah diterima, ada juga yang pergi berniaga dan tak kurang juga yang sekadar menunaikan kewajipan kerana malu disindir masyarakat setempat.

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang ertinya "Daripada Anas ibn Malik RA berkata;Nabi SAW bersabda Akan datang suatu zaman ketika itu orang kaya mengerjakan haji untuk melancong, orang yang sederhana pergi haji untuk berniaga, para ulama pergi haji kerana riak dan mendapat nama manakala orang fakir pula mengerjakan haji untuk meminta-minta.

Oleh itu, niat yang ikhlas perlu disemat dalam hati sebelum memulakan langkah melakukan kerja-kerja haji yang lain. Malahan ia berpotensi mencorakkan pelaksanaan haji dengan sempurna dan diterima oleh Allah SWT.

Bersihkan jiwa dengan bertaubat

Mekah dan Madinah adalah dua kawasan tanah haram yang terpelihara kesuciannya, Untuk itu, bakal jamaah haji perlu membersihkah hati daripada sifat-sifat mazmumah. Penyakit hati seperti sombong, angkuh dan meninggi diri hendaklah dibuang jauh-jauh sebelum menjadi tetamu Allah. Ia sebaliknya diganti dengan sifat tawaduk, toleransi, sentiasa bersabar dan saling menerima kekurangan orang lain.

Disamping itu bertaubat dengan memohon keampunan daripada-Nya adalah perbuatan yang sangat dituntut. Tidak sepatutnya, peluang terpilih menjadi tetamu Allah SWT dicemari dengan berbagai dosa silam yang kemungkinan mengagalkan cita-cita beroleh haji yang mabrur.

Berfikiran positif sambil memohon rahmat-Nya.

Ada segelintir bakal haji yang khuatir dihukum oleh Allah setibanya di Mekah akibat perlakuan dosa-dosa lalu. Kebimbangan itu terserlah berikutan berbagai-bagai kisah balasan dan azab yang diceritakan.

Sebagai orang yang beriman kepada Allah dan Rasulnya, mereka dinasihatkan kembali kepada landasan aqidah yang benar dengan sentiasa bersangka baik kepada Allah. Ini dapat dilakukan dengan memperbanyak solat taubat, beristighfar atas dosa silam sambil menaruh setinggi pengharapan agar diampunkan dosa dan dipelihara dengan rahmat-Nya daripada berbagai perkara buruk yang tidak diingini.

Nabi Muhammad SAW bersabda “Diampunkan dosa bagi orang yang mengerjakan haji, dan bagi mereka yang dimintakan ampun oleh orang yang menunaikan haji. (Hadis riwayat Thabarani dan al-Hakim)

Bakal haji juga hendaklah sentiasa berlapang dada dan reda dengan segala perbelanjaan yang telah dikeluarkan tanpa mengungkit-ungkit pengorbanan wang, masa dan tenaga yang telah disumbangkan fi sabilillah.

Berazam untuk melestarikan tuntutan ibadah

Peluang terpilih menjadi tetamu istimewa perlu dimanfaatkan dengan bersungguh-sungguh melakukan pelbagai ibadah wajib mahupun sunat. Solat berjamaah di masjid setiap waktu, bersedekah, melakukan ibadah umrah, bertadarus al-Quran dan berzikir merupakan intipati daripada kesempurnaan ibadah haji.

Hindari daripada terlalu sibuk shopping, menyebabkan tugas ibadat terabai. Kesempatan cuti daripada tugasan harian sebaiknya diganti dengan memperbanyak amal kebajikan. Lebih-lebih lagi bonus pahala berlipatkali ganda disediakan kepada mereka yang sanggup berkorban masa dan tenaga semasa berada di tanah suci.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang ertinya “Dan solat yang dikerjakan di Masjidil-Aqsa diberi ganjaran sehingga lima puluh ribu solat, Solat yang dikerjakan di masjidku(Masjid al-Nabawiy) diganjarkan sehingga lima puluh ribu solat dan solat yang dikerjakan di Masjidilharam diberi ganjaran sehingga seratus ribu solat. (Hadis riwayat Ibn Majah).

Berharap anugerah haji yang mabrur

Ganjaran haji mabrur adalah cita-cita setiap bakal jamaah haji. Itulah antara balasan yang dikurniakan Allah kepada hambanya yang telah melakukan jihad haji. Sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW dalam hadisnya “ Haji yang mabrur tidak punya balasan kecuali syurga, Dikatakan kepadanya Ya Rasulullah apakah haji yang mabrur, Nabi SAW bersabda perkataan yang baik dan memberikan makanan. (Hadis riwayat al-Hakim)

Selain itu, haji yang diterima juga berupaya menghapuskan dosa-dosa. Seperti mana sabdanya daripada Abu Hurairah RA bermaksud, Barangsiapa menunaikan haji untuk mendapatkan keredaan-Nya, dengan tidak menyebut perkataan buruk dan tidak melakukan perkara maksiat akan kembali bebas daripada dosa seperti hari dimana ibu melahirkannya.

Manakala, bagi yang belum menunaikan kewajipan haji, diseru untuk berazam sambil berdoa agar diberi kemudahan untuk pergi haji. Lakukan persediaan awal dengan menabung sedikit demi sedikit bagi tujuan itu. Bak kata pepatah sikit-sikit lama jadi bukit.

Ini kerana haji adalah ibadah yang difardukan kepada setiap orang Islam yang berkemampuan dan tidak sempurna iman seseorang jika gagal melaksanakannya. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud “Barangsiapa yang ada mempunyai bekalan dan kenderaan yang boleh menyampaikannya ke Baitullah, tetapi tidak menunaikan haji maka tidak ada halangan baginya mati sebagai Yahudi dan Nasrani.” (Hadis riwayat al-Tirmiziy dan al-Baihaqiy)

Alasan belum sampai seruan, adalah hujah lapuk yang tidak lagi relevan. Sejak dahulu lagi Allah SWT telah memerintahkan Nabi Ibrahim AS untuk menyeru seluruh manusia bagi menunaikan kewajipan haji dan seruan itu sampai ke seluruh pelusuk alam.

Sebagaimana firman-Nya yang bermaksud “Dan serulah umat manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang ke Biatullah dengan berjalan kaki, dan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus, yang datang daripada berbagai jalan yang jauh” (Surah al-Haj:27)

Dalam tafsir ibn Kathir dinyatakan, bukit-bukau tunduk bagi memberi laluan kepada suara Nabi Ibrahim AS sehingga seruan itu didengari oleh seluruh alam termasuk yang berada di alam rahim.

Jumaat, 2 September 2011

KELEBIHAN PUASA SUNAT 6 HARI BULAN SYAWAL


IBADAH


Sumber: ukhwah.com


Setelah selesai kita berpuasa sebulan di bulan Ramadan, kita menyambut Hari Raya Aidilfitri. Pada hari raya kedua, ramai juga yang mula berpuasa sunat Syawal. Biasanya , selesai puasa sunat 6 Syawal akan disambut dengan Raya 6 [ panggilan biasa orang kampung ].

Mari kita lihat apa kelebihan puasa sunat 6 hari Bulan Syawal:


Kesempurnaan ibadat seseorang Islam bukan sekadar terletak kepada amalan-amalan fardhu yang diwajibkan oleh Allah S.W.T., malah ia turut ditampung oleh amalan-amalan sunat di dalam memperindahkan lagi mutu ibadat yang dilakukan.


Seumpama solat yang menjadi amalan terawal dihisab di Padang Mahsyar kelak, dinilai terlebih dahulu akan solat wajib yang dilakukan, dan jika terdapat kekurangan, ia akan dilihat melalui amalan solat sunat bagi menampung mana-mana kekurangan solat fardhu. Begitu juga amalan berpuasa. Kecantikan puasa wajib Ramadhan jika ditambah dengan puasa-puasa sunat adalah terlebih indah dan baik daripada hanya bergantung kepada puasa Ramadhan semata-mata.

Terdapat banyak jenis puasa-puasa sunat yang boleh dilaksanakan seperti berpuasa sunat hari Isnin dan Khamis, puasa 10 Muharram, puasa tiga hari dalam sebulan dan puasa enam hari di bulan Syawal.

Menjadi kebiasaan kepada orang-orang Islam di Malaysia berpuasa sunat selama enam hari di bulan Syawal selepas mereka menamatkan puasa sebulan Ramadhan kerana meyakini ganjaran dan pahala yang akan dikurniakan oleh Allah S.W.T.

Abu Ayyub al-Ansari ada meriwayatkan satu hadith daripada Rasulallah s.a.w. di dalam menerangkan tentang kelebihan puasa enam Syawal yang maksudnya “sesiapa yang berpuasa Ramadhan, kemudian diikutinya puasa enam hari Syawal samalah seperti dia berpuasa sepanjang tahun” ( Dikeluarkan oleh Imam Muslim di dalam sahihnya, juga dikeluarkan oleh sekalian ramai ulama hadith seperti al-Tirmizi, al-Nasaie dan Ibn. Majah ). Imam al-Syafie menjelaskan bahawa hadith ini adalah hadith sahih.

Imam al-Tabrani pula ada mengeluarkan di dalam susunan hadithnya yang turut berkaitan dengan fadhilat puasa enam Syawal maksudnya “sesiapa yang berpuasa Ramadhan dan diikuti kemudiannya puasa enam hari dalam bulan Syawal, keluarlah dari dirinya segala dosa seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya”

Terdapat beberapa persoalan tentang perlaksanaan puasa enam Syawal adakah terus langsung dilaksanakan selepas hari raya pertama dan dibuat secara berturut-turut atau boleh dilakukan pada bila-bila masa sepanjang Syawal sama ada secara berturut-turut atau sebaliknya.

Pendapat di dalam mazhab Syafie menyebut bahawa yang terlebih afdhal di dalam perlaksanaannya ialah sejurus selepas hari raya pertama dan dilakukan enam hari berturut-turut.

Ini tidak pula bermakna, jika seseorang itu melaksanakan secara terputus-putus (tidak berturutan) atau dilakukan pada pertengahan atau akhir Syawal dianggap satu kesalahan atau tidak mendapat pahala, malah semuanya diterima Allah dan dikira sebagai satu ibadah juga.

Perlu difahami bahawa yang dimaksudkan dengan puasa sepanjang tahun itu bukan terletak kepada puasa 6 hari Syawal dengan meninggalkan puasa Ramadhan, tetapi kelebihan puasa setahun itu diperolehi setelah dilengkapkan puasa Ramadhan dan disambung dengan puasa Syawal.

Imam al-Nawawi di dalam kitab Syarah Sahih Muslim ada menyebut kewajaran pahala diberikan seumpama puasa setahun kepada mereka yang berpuasa 6 Syawal. Merujuk kepada satu hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud “Setiap satu amalan kebajikan itu digandakan pahalanya sebanyak 10 kali ganda”.

Ini bermakna bahawa puasa sehari dalam bulan Ramadhan samalah seperti puasa sepuluh kali, dan jika sebulan Ramadhan itu gandaan pahalanya seumpama puasa 10 bulan kerana ianya adalah sepuluh kali ganda. Manakala puasa sehari bulan Syawal seumpama 10 kali puasa dan 6 hari menyamai 60 hari iaitu 2 bulan. Maka jika ditambah 10 bulan dengan 2 bulan samalah seperti puasa setahun.

Apakah hukumnya jika seseorang itu berniat untuk qadha puasanya dan dibuat 6 hari dalam Syawal adakah akan mendapat pahala puasa 6 Syawal?

Syeikh al-Marhum Atiyyah Saqar (salah seorang ulama terkenal al-Azhar) di dalam kitab himpunan fatwanya ada menyebut bahawa hukumnya dibolehkan kepada seseorang untuk qadha puasanya dan ditunaikan 6 hari dalam bulan Syawal dengan niat qadha, maka terhasillah baginya pahala qadha dan pahala puasa 6 Syawal. Tetapi yang lebih afdhal ialah diasingkan antara puasa qadha dan puasa 6 Syawal kerana puasa qadha itu hukumnya wajib dan puasa Syawal itu hukumnya sunat, maka adalah lebih baik tidak disatukan niat kerana antara yang sunat dan wajib itu tidak boleh disatukan.

Para ulama mazhab Syafie menyebut bahawa pahala puasa 6 Syawal itu akan terhasil juga apabila seseorang itu melakukan puasa qadha selama 6 hari walaupun niatnya adalah qadha dan bukan niat puasa 6 Syawal, tetapi pahalanyanya untuk puasa 6 Syawal itu kurang sedikit. Ini menurut kata-kata Imam al-saya’rawi “Jika seseorang itu berpuasa di dalam bulan Syawal sebagai qadha daripada puasa Ramadhan atau puasa nazar atau lain-lain puasa sunat, maka akan diperolehi pahala sunat Syawal itu kerana terlaksananya puasa 6 hari dalam bulan Syawal tetapi kesempurnaan pahala tidak diperolehi sepenuhnnya melainkan jika diniatkan untuk puasa sunat 6 hari bulan Syawal”.

Sebagai kesimpulannya, adalah terlebih baik jika puasa sunat 6 Syawal dibuat berasingan dengan puasa lain sama ada qadha, nazar, kaffarah ataupun puasa sunat yang lain. Selesaikan dahulu 6 hari puasa qadha dan ditambah kemudiannya dengan niat puasa 6 Syawal. Ini akan lebih menyeragamkan amal ibadat yang dilakukan agar tidak bercampur aduk antara satu sama lain.

Antara hikmat disyariatkan puasa 6 hari bulan Syawal ialah sebagai satu latihan kepada orang-orang Islam bahawa amal ibadat itu bukan terletak pada bulan-bulan tertentu seperti Ramadhan bahkan amalan itu perlu konsisten untuk sepanjang kehidupan manusia.

Ia juga sebagai satu cabaran kepada orang-orang Islam supaya tidak menjadikan Syawal itu bulan bergembira semata-mata dan jika puasa itu dilakukan seawal mungkin di permulaan Syawal, ini akan menjadikan seseorang manusia itu benar-benar ingin menyahut seruan dari Allah untuk terus beribadat secara istiqamah dan berpanjangan.