Jumaat, 21 Oktober 2011

KELEBIHAN HARI JUMAAT


IBADAH

Imam Al-Ghazzali berkata bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud sebaik-baik hari yang terbit padanya matahari adalah hari Jumaat. Pada hari itu dijadikan Adam a.s. dan pada hari Jumaatlah terjadinya kiamat.

“Sesungguhnya hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan semulia-mulia hari di sisi Allah.”

Imam Al-Ghazzali menambah bahawa Kaab Al-Ahbar (seorang tabien dan ulama yahudi yang memeluk agama islam pd zaman Saiyidina Abu Bakar) berkata burung-burung dan haiwan apabila bertemu satu sama lain pada hari Jumaat mengucapkan “Selamat, selamat hari yang baik”.

Imam Al-Ghazzali juga berkata malam Jumaat mempunyai banyak kelebihan dan disunnahkan pada mereka yang mempunyai isteri bersatu pada malam itu.

Doa Antara Dua Khutbah

Kebanyakan ulama berpendapat waktunya adalah antara dua khutbah, iaitu pd saat imam sedang duduk setelah khutbah pertama sebelum beliau bangun utuk khutbah kedua. Saat inilah saat yang paling dimustajabkan doa.

Sedekah Pada Hari Jumaat

Bersedekah membawa pahala yang besar. Ia menjauhkan bala, menjauhkan penyakit dan mendekatkan diri kepada Allah. Apalagi jika dilakukan pada hari Jumaat.

Mati Pada Malam Jumaat

Hadis nabi “Tidak seorang muslim yang mati pada hari Jumaat atau pada malam Jumaat kecuali diselamatkan Allah daripada fitnah kubur”.

Kelebihan Menunaikan Sembahyang Jumaat

Nabi bersabda “Barangsiapa yg dapat menunaikan sembahyang Jumaat maka baginya disisi Allah pahala seratus orang yg mati syahid. Dan barangsiapa meninggalkan sembahyang Jumaat sebanyak 3 kali tanpa darurat, maka Allah akan mengecap hatinya”.

Berjalan ke masjid – adalah sunnah mengambil jalan yang jauh tetapi apabila pulang sunnah ambil jalan yang dekat – Imam Al-Ghazzali.

Selawat

Sabda nabi “Banyakkanlah berselawat ke atasku pada hari Jumaat kerana sesungguhnya ia adalah hari saksi (hari Jumaat) disaksikan oleh para malaikat.

Mandi dan Pakaian

Sunnah pada hari Jumaat memakai pakaian yang bersih, baru dan berwarna putih.

Memotong Kuku

Ibn Masud berkata “Mereka yg memotong kuku pada hari Jumaat, Allah akan sembuhkan dia dari segala penyakit dan berikannya keselamatan.

Khamis, 13 Oktober 2011

DUGAAN DI TANAH SUCI MEKAH


AKHLAK / MORAL

Dari : pakcikli


Kata orang pergi menunaikan haji harus menghadapi berbagai-bagai dugaan dan cabaran. Dugaan dari Allah tidak tertanggung bagi sesetengah orang. Ia datang dalam berbagai-bagai bentuk dan situasi. Bila berada di sana, barulah kita dapat melihat dengan jelas bentuk dugaan yang dimaksudkan.

Ada orang hilang, tersesat dalam Masjidil Haram. Seharian ia tidak dapat mencari jalan keluar untuk pulang ke hotel. Bermula dari solat subuh hinggalah lewat malam baru dapat pulang. Itupun setelah bertemu dengan pegawai polis Arab Saudi yang bertugas di kawasan masjid. Pegawai polis tersebut yang menghantarnya pulang ke hotel penginapan.

Ada orang asyik merayau di sekitar kawasan hotel mencari kerbau yang entah di mana ditambatnya. Setiap kali bila ditanya hendak ke mana, beliau akan memberitahu sedang mencari kerbau. Apabila disiasat, rupa-rupanya semasa di tanahair, beliau memelihara banyak kerbau tetapi dilepaskan berkeliaran merosakkan tanaman orang-orang kampung.

Ada orang yang menjadi pelupa sehingga tidak tahu di mana isterinya tinggal. Setiap kali hendak berjumpa isteri, sentiasa tersalah bilik. Setiap kali mengetuk pintu, terkena pintu bilik orang lain. Bila dirisik-risik, rupa-rupanya semasa di tanahair dia sentiasa meninggalkan isterinya di rumah apabila pergi ke mana-mana.

Ada orang terlupa terus bagaimana hendak bersolat. Tidak ingat lagi rukun solat yang selalu diamalkannya. Entah apa yang dibuat dan dibacanya, tiba-tiba terus memberi salam. Jumlah rakaat sembahyang tidak dapat ditentukan.

Orang ada berpesan, bila berada di Tanah Suci, mulut jangan celupar. Jangan bercakap ikut sedap sahaja. Apa yang tidak pernah terfikir oleh kita, boleh berlaku di Mekah Al-Mukaramah. Dua sahabat baik boleh berpisah dan renggang. Suami isteri bergaduh dan bercerai-berai. Anak-anak boleh bergaduh dengan orang tua sendiri. Semuanya kerana mulut tidak dijaga. Bercakap tidak berlapik.

Ada juga orang yang menjadi akrab selepas berjumpa di sana. Bermula dari sentiasa bersama berulang-alik ke masjid untuk bersolat, sehinggalah pulang ke tanahair, terus menjadi sahabat bai. Ada juga cerita orang bertemu jodoh di Tanah Suci. Demikianlah kehendak Tuhan. Alhamdulillah!

Bila kita berkata makanan tidak sedap, alamat tidak makanlah kita. Berlaparlah kerana makanan yang sedap akan terus menerus meloyakan kita. Terpaksalah berbelanja besar membeli makanan yang lain yang belum tentu lazatnya. Kedai makan pula bukan seperti di sini, hendak jumpa sebuah pun susah.

Tanah Suci mengajar kita banyak bersabar dan merelakan semua cabaran dan dugaan. Mulut tidak celupar dan tidak sombong. Bercakap hendaklah melalui pertimbangan akal yang paling waras. Bergurau biar kena tempatnya agar tidak menyinggung perasaan sesiapa. Membantu orang lain patut menjadi perkara pertama yang mesti dilakukan setiap kali hari bermula.

Dugaan dan cabaran ini sebenarnya adalah untuk melatih diri semua orang. Apabila pulang nanti, kita semua ‘berkulit’ baru dengan tabiat yang baru.

Insyaallah!