Ahad, 25 Disember 2011

HUKUM MERAIKAN PERAYAAN KRISMAS

UMUM

sahabat sedaka



Jawapan dari al-Imam al-Walid `Abdul `Aziz bin `Abdullah b.Baz (Bekas Qadhi Arab Saudi:Pemikir agung Saudi Arabia):

Tidak boleh bagi setiap muslimin dan muslimat berkongsi perayaan Yahudi, atau Nasrani (kristian), atau perayaan dari agama-agama lain. Bahkan wajib meninggalkannya, hal ini kerana sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka ia termasuk dikalangan kaum itu, Rasul sallallahu`alaihiwasallam telah mengancam kita daripada menyerupai mereka (kaum kafir) dan berperangai dengan perangai mereka.


Maka menjadi kewajipan ke atas muslimin dan muslimat berjaga-jaga daripada perkara tersebut, dan hendaklah kita tidak turut sama membantu menyambut perayaan-perayaan tersebut dengan apa-apa cara sekalipun kerana ianya merupakan perayaan-perayaan yang menyalahi syariat Allah, dan yang menyambutnya ialah musuh-musuh Allah,maka tidak boleh berkongsi dalam menyambutnya, dan jangan saling tolong menolong membantu orang-orang yang menyambutnya, dan jangan membantu mereka dengan apa-apa cara sekalipun. tidak dengan teh, kopi dan tidak dengan memberi hadiah dan yang selain darinya.


Allah juga berfirman bermaksud:


Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya. [al-Maaidah[5]:2]


Perkongsian bersama orang-orang kafir dalam menyambut& membesarkan perayaaan-perayaan mereka salah satu bentuk saling membantu dalam berbuat dosa dan pelanggaran.Maka wajib bagi muslim dan muslimah meninggalkan perkara tersebut.


Menjadi kewajipan bagi kita juga melihat perkara ini mengikut syariat Islam dan apa yang datang darinya, bukan dengan melihat urusan majoriti manusia kerana sesungguhnya sangat ramai manusia yang tidak mempedulikan dengan apa yang disyari`atkan oleh Allah swt sepertimana firman Allah swt:


Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah).


[al-An`aam[ [6]:116]


Dan sebahagian besar manusia tidak akan beriman, walaupun kamu sangat menginginkannya. [Yusuf[12]; 103]


Maka perayaan-perayaan yang menyalahi syari`at Islam tidak boleh kita menyambutnya,membesarkannya walaupun ianya dilakukan ramai manusia sekarang(termasuk umat Islam),dan seorang mukmin hendaklah menilai perbuatan-perbuatannya dan ucapan-ucapannya serta perbuatan orang ramai dengan al-Quran & As-Sunnah. Dengan keduanyalah apa yang menepati kedua-duanya maka ianya adalah diterima,walaupun ianya ditinggalkan ramai manusia,dan apa yang menyalahi kedua-duanya atau salah satu darinya maka ianya adalah tertolak walaupun ianya dilakukan oleh ramai manusia.


Moga Allah mengurniakan taufik dan hidayah kepada kita semua.


Diterjemah dari sumber: http://www.sahab.net/home/index.php


1) Mengucap tahniah sempena perayaan tersebut.


Syeikh Mustafa Zarqa di dalam kitabnya ‘Al-Fatawa’ menyatakan bahawa tidak mengapa seorang muslim mengucapkan tahniah kepada bukan muslim sempena perayaan ‘Eidul Masih’ (Krismas) jika ia setakat ‘mujamalah’ iaitu menjaga hubungan dengan mereka bukannya mengakui agama dan aqidah mereka atau bersetuju dengan mereka. (Fatawa Mustafa Zarqa MS 355-356)


Dr Yusof Qaradhawi juga mengeluarkan pandangan yang sama di dalam kitabnya ‘Fatawa Muaasyirah’ (Lihat Fatawa Muaasyirah jil 3 ms 668-673)


2) Melibatkan diri dengan perayaan mereka.


Syeikh Islam Ibnu Taimiyah membincangkan masalah ini dengan panjang lebar di dalam kitabnya ‘Iqtidhous syirotul mustaqim’. Kesimpulan apa yg telah dibinncangkan beliau ialah haram sama sekali kita melibatkan diri dengan perayaan-perayaan atau majlis-majlis keagamaaan mereka. (Ms 29-34)


Imam Al-Baihaqi meriwayatkan dengan sanad yang sohih bahawa Abdullah bin Umar berkata : ‘Sesiapa membina bangunan di negeri orang ajam (bukan Islam) dan mengadakan majlis perayaan mereka dan mengikut cara mereka sehingga mati, nescaya ia dibangkitkan bersama mereka pada hari kiamat”


Dr Yusof Qaradhawi juga menentang dengan keras penglibatan orang Islam dengan mana-mana perayaan orang bukan Islam seperti perayaan krismas dll.

Peringatan:

1. Perlu kita membezakan di antara perayaan keagamaan dan kebudayaan. Yang haram ialah melibatkan perayaan keagaaman mereka sahaja.


2. Walaupun kita diperintahkan untuk berdakwah kepada mereka tetapi ada batasan-batasan yang perlu dijaga .Matlamat tidak menghalalkan cara. (Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku)


3. Konsep dakwah tidak sekali-kali bercanggah dengan mana-mana konsep dalam aqidah atau syariah, tetapi ia perlu beriringan antara satu sama lain. (Akhir-akhir ini kedengaran ada suara yang seolah-olah menganggap dakwah dan syariah ada perbezaan dan percanggahan.)


4. Sesiapa yang ingin keterangan lanjut sila rujuk kitab-kitab yg disebutkan di atas.Wallahua’lam. Sila rujuk blog milik Ust Khairul Azmi Al-Muqry di http://al-muqry.blogspot.com

Ahad, 11 Disember 2011

SAFAR BUKAN BULAN BALA DAN KHURAFAT


TAZKIRAH



Oleh : Nordin bin Bayadi
Bahagian Dakwah, JAIS



Kini kita berada dalam bulan Safar. Bulan kedua dalam taqwim Islam yang diperkenalkan oleh Saidina Umar RA. Dinamakan Safar kerana orang-orang lelaki Arab keluar rumah untuk berdagang, menggembara dan menjalankan kegiatan ekonomi di luat tempat tinggal. Rumah-rumah menjadi kosong dan dipenuhi kaum perempuan dan kanak-kanak.

Sejarah juga mencatatkan bahawa beberapa peperangan berlaku dalam bulan ini iaitu peperangan Al Abwa dalam tahun dua hijrah, perang Bani Qainuqak dan Zi Amin pada tahun ketiga hijrah dan Peperangan Khaibar pada tahun keempat hijrah.

Demikian fakta sejarah, namun hakikatnya dalam masyarakat kita hari ini, bulan Safar dikaitkan dengan bala bencana dan musibah hingga menerbitkan beberapa amalan khurafaat dan tahyul dengan harapan dapat menangkis dan menolak musibah tersebut.

Amalan-amalan khurafat bulan safar seperti mandi safar, membuat ancak, melarang mengadakan kenduri kahwin dan percaya adanya burung hantu sebagai tanda kematian masih berurat nadi dalam kehidupan masakini. Amalan, fahaman dan kepercayaan seperti ini bukan sahaja bercanggah dengan syariat Islam tetapi juga boleh menyebabkan rosaknya akidah.

Nahas dan bala bencana bukan hanya berlaku dalam bulan Safar. Kepercayaan seperti ini perlu ditolak kerana Allah Taala telah memberi amaran kesan dalam surah At Taubah ayat 51 yang bermaksud:

”Katakanlah (Wahai Muhammad) tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung yang menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawaqal”

Menurut Garis Panduan Khurafat dan Azimat yang dikeluarkan oleh JAKIM, Khurafat bermaksud cerita atau perbuatan yang direka dan bersifat karut,dusta dan menyimpang dari ajaran Islam. Ia masih berlaku dalam masyarakat kerana faktor sejarah dan kerapuhan iman.Sejarah telah menulis bahawa agama Hindu telah lebih dahulu bertapak di negara ini berbanding Islam. Ini menyebabkan kepercayaan kepada kubur keramat, pokok besar, azimat, tangkal dan makhluk halus terus bertapak dalam masyarakat..

Pada zaman jahiliyah, orang arab akan merujuk kepada tukang tilik tentang masa depan mereka.. Syed Muhamad Qutb dalam bukunya Jahiliyyah Qarnil Isyrin menyatakan bahawa ia masih berlaku dalam zaman mencabar yang dipenuhi ICT dan serba canggih ini.Berpindah rumah hanya boleh pada hari Rabu, memulakan kerja perlu pada hari Selasa atau Sabtu, meramal nasib dengan memuja keramat adalah beberapa contoh jahiliyah moden yang masih wujud dewasa ini.

Percaya kepada pokok, kubur, telaga yang mempunyai kuasa selain Allah boleh membawa syirik dan bertentangan kepada kepercayaan tauhid kepada Allah. Percaya kepada sial, majal, memuja jin dengan meminta pertolongan darinya seperti dilakukan sesetengah bomoh dan dukun dengan amalan menurun adalah syirik dan menyesatkan. Mereka yang bersahabat dan menggunakan jin seperti tukang sihir dan tilik nasib adalah tergolong di kalangan orang yang bodoh dan menzalimi diri sendiri sebagaimana ditegaskan Allah dalam Surah Yunus ayat 106 yang bermaksud:

”Dan janganlah engkau menyembah atau memuja yang lain dari Allah yang tidak mendatangkan manafaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudharat kepadamu. Sekiranya engkau mengerjakan yang demikian, maka jadilah engkau orang-orang yang berlaku zalim(terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu)”

Terdapat sebahagian umat Islam yang masih percaya bahawa Hari Rabu terakhir bulan Safar merupakan hari turunnya ribuan bala yang menimpa umat. Oleh itu mereka dilarang keluar rumah dan melakukan aktiviti sosial harian kerana ditakuti akan ditimpa musibah. Malah anak-anak pula diminta mandi air tolak bala atau mandi di pantai yang lebih dikenali sebagai Mandi Safar.Sesunguihnya ia adalah kepercayaan karut dan bertentangan dari ajaran Islam.

Malah perbuatan pesta mandi laut telah mengundang kepada dosa lain seperti wujudnya pergaulan bebas lelaki dan perempuan tanpa batas. Wujud juga ibubapa yang tidak mahu mengadakan kenduri perkahwinan pada bulan ini kerana ditakuti pasangan akan menjadi tidak bahagia atau tidak mendapat zuriat. Kepercayaan seperti ini boleh menjadi syirik kerana kita lebih mempercayai bulan dan bukan kuasa Allah.

Sebenarnya nahas dan bala bencana tidak hanya berlaku dalam bulan Safar. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:”Tidak ada penyakit berjangkit, tidak ada sempena(baik atau buruk) melalui burung berterbangan, tidak ada sial pada burung hantu dan tidak ada nahas dalam bulan Safar. Hendaklah setiap daripada kamu melarikan diri daripada pesakit kusta sebagaimana kamu melarikan diri daripada singa yang bengis” Hadis riwayat Bukhari)

Sesungguhnya mempercayai perkara yang disebutkan menjadikan umat Islam semakin mundur, malas berusaha dan hanya berserah kepada takdir. Di kala umat lain berlumba-lumba meneroka ilmu dan mencapai kejayaan, umat Islam seolah-olah berundur dan tertinggal ke belakang.

Kita menjadi tidak produktif kerana tidak dibenarkan keluar rumah pada hari Rabu terakhir bulan Safar. Kesemua kegiatan ekonomi terbantut. Minda kita menjadi jumud dan tidak berkembang kerana mempercayai fahaman karut tersebut.Malah dalam kontek hubungan kita dengan Allah Taala, kita telah melakukan satu dosa besar tanpa disedari iaitu syirik. Ingatlah peringatan Rasululullah SAW tentang tujuh perkara yang membinasakan yang perlu dijauhi di mana syirik merupakan perkara yang terletak di nombor satu.

Amalan penggunaan azimat, tangkal sebagai pelindung diri seperti kebal, ilmu pengasih, ilmu pelembut hati yang dicampuradukkan dengan sihir juga adalah syirik dan menyeleweng dari ajaran Islam.Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:”Dari Ibn Mas’ud:rasulullah SAW bersabda:Sesungguhnya jampi mentera, tangkal dan ilmu pengasih adalah syirik” Hadis riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Sungguhpun jampi mentera diharuskan sebagaimana duiceritakan oleh para sahabat yang bertanya kepada Rasulullah, Syeikh Yusof Qardawui telah menggariskan tiga syarat seperti yang terdapat dalam bukunya Fatawa Al Muasirah:

1) Ia mesti didasarkan kepada Allah SWT dan nama-namaNya
2) Ia mestilah dituturkan dalam bahasa Arab dan kata-kata yang boleh difahami maksudnya
3) Beriktikad bahawa ianya tidak memberi kesan dengan sendirinya tetapi dengan takdir Allah SWT

Aqidah murni menjadi sendi dalam masyarakat, tauhid menjadi paksi dan rohnya. Oleh itu, agenda memperkukuh akidah merupakan tugas setiap individu. Ilmu agama yang cetek perlu didalami kerana ia merupakan benteng paling berkesan dari terjebak ke lembah khurafat dan syirik.

Cari maklumat, rujuk guru dan kitab. muktabar agar ia menjadi pendinding dari amalan yang sia-sia dan dilaknati Allah.

Wallahu A’alam