Isnin, 26 November 2012

IBADAH

 

 SOLAT HAJAT:


Solat sunat hajat adalah solat yang dilakukan untuk meminta sesuatu hajat yang besar mahupun hajat yang kecil, untuk dicapai, solat sunat hajat dilakukan pada malam hari iaitu 2/3 malam terakhir. 

Solat sunat ini dilakukan dalam 2 rakaat. Solat sunat ini mempunyai kelainan kerana pada sujud yang terakhir, mukmim yang melakukan solat hajat itu perlu memuji-muji Allah dan besertakan dengan niat hajat yang hendak dicapai. Sesudah melakukan solat hajat, perlu berdoa sekali lagi agar permintaan mudah di makburkan.

PANDUAN SOLAT HAJAT:

Mandi terlebih dahulu dan mengambil wuduk. Pakaian yang bersih, yang afdal berwarna putih.

Lafaz Niat:

أصَلِّي سُنَّةَ الحَاجَةِ رَكَعَتَيْنِ لِلهِ تَعالىَ

“Ushollii sunnatal haajati rok’ataini lil laahi ta’aalaa” 

Ertinya:

“Sahaja aku solat hajat dua rakaat kerana Allah Taala”

SEBENARNYA SOLAT HAJAT BOLEH DILAKUKAN DALAM 22 CARA SOLAT. HANYA CARA SOLAT HAJAT PERTAMA SEHINGGA CARA SOLAT HAJAT KEEMPAT DITERANGKAN KALI INI.

1.Cara Solat Hajat yang pertama – Dibuat sebanyak 2 rakaat, Baca mana-mana ayat lazim selepas surah Al-Fatihah. Selepas salam masih mengadap kiblat, baca surah Alam nashrah (Al-syarh) sebanyak 152 kali. Kemudian mohonlah segala hajat pada Allah SWT.

2.Cara Solat Hajat yang kedua – Dibuat sebanyak 2 rakaat. Rakaat Pertama dibaca surah Al-Fatihah sekali dan Surah Al-Kafirun 10 kali. Rakaat Kedua dibaca surah Al-Fatihah sekali dan surah Al-Ikhlas 10 kali.

Apabila selepas memberi salam, hendaklah sujud dan membaca selawat keatas nabi sebanyak 10 kali: 

"Allaahumma sholli ‘alaa habiibika sayyidinaa Muhammadin wa aalihi wa shohbihi wa sallim".

Kemudian membaca Tasbih 10 kali: 

"Subhaanallah walhamdu lil-laah wa laa ilaaha illallaah wal llaahu akbar. wa laa haula wa laa quwwatta illaa bil laahil ‘aliyyil ‘azhiim."

Kemudian Doa ini 10 kali: 

"Robbanaa aatinaa fid dunyaa hasanah, wafil aakhirati hasanah, wa qinaa ‘adzaaban naar."

Kemudian mohonlah segala hajat semasa waktu dalam keadaan sujud.

3.Cara solat hajat yang ketiga – Sebelum solat, mengucapkan Asktag-firullah uladzim seberapa banyak yang boleh untuk memohon keampunan dan keredaan daripada Allah SWT. 
Baca Al-Fatihah sekali dan hadiah pahalanya kepada Nabi besar SAW, seterusnya kepada sekalian roh sahabat-sahabat, keluarga-keluarga mereka, para-para tabi’in, wali Allah dan ulama as solihin serta kaum Muslimin dan Muslimat.

Kemudian baca Surah Yasin sebanyak 4 kali berturut-turut kemudian baca doa berikut:

“Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Maha Suci (Allah) yang melepaskan dari setiap hutang,Maha Suci (Allah) yang melegakan dari setiap kesedihan. Maha Suci (Allah) dimana urusanNya diantara Kaf dan Nun,Maha Suci (Allah) dimana apabila Dia berkehendak untuk membuat sesuatu, Dia akan berkata; jadi, maka iapun terjadi. Wahai Yang Maha Hidup dan Maha Berdiri, rahmatilah penghulu kami Muhammad dan lakukanlah untukku (tunaikanlah hajat ini)…………sebutkan apa-apa hajat anda dan anda bangun untuk menunaikan solat hajat sebanyak dua rakaat seperti kaifiat solat hajat yang ke-2 tadi.

4.Cara solat hajat yang keempat – Dibuat sebanyak 6 rakaat dengan 3 salam. Mulakan dengan Bismillahirrahmanirrahiim sebanyak 786 kali. Kemudian solat sebanyak 6 rakaat dan 3 salam berturut-turut. Pada setiap rakaat hendaklah membaca Al-Fatihah dan diiringi surah Alam nashrah (Al-syarh) sebanyak 15 kali seterusnya dibuat setiap-tiap rakaat.

Apabila selesai baca doa ini:

Ertinya:

“Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, wahai Allah sesungguhnya aku meminta dan kelebihan nama Allah Ar-Rahman dan Ar-Rahim. Dan aku meminta dari Mu dengan kebesaran nama Ar-Rahman dan Ar-Rahim. Dan aku meminta dariMu dengan kemuliaan dan kekayaan nama Allah Ar-Rahman dan Ar-Rahim.Dan aku meminta dariMu dengan kehebatan nama Allah Ar-Rahman dan Ar-Rahim dan dengan kehormatan nama Allah Ar-Rahman dan Ar-Rahim dan jabarut dan malakut dan kebesaran nama Allah Ar-Rahman dan Ar-Rahim dan dengan keagungan, kekuatan dan kudrat nama Allah Ar-Rahman dan Ar-Rahim, angkatlah qadarku, permudahkanlah urusanku,tutupilah kelemahanku dan cukupkanlah kefakirannku”

Wasallam.

Sabtu, 17 November 2012

HEBATNYA KETABAHAN NABI AYUB a.s

KISAH TELADAN

 Artikel iluvislam.com

Saudari-saudara sekalian , masihkah kita ingat kisah perjuangan dan ketabahan seorang Nabi yang bernama Ayub a.s. Begitu tersentuh kala mendengar kisah Nabi Ayub a.s yang telah disampaikan oleh Ustazah Nurhafizah Musa ketika di rancangan Halaqah sentuhan Qalbu yang berjudul 'Nota deritaku'.

Izinkan saya untuk berkongsi atas nama cinta kepada Allah.

Ia bermula dengan Nabi Ayub a.s telah ditimpa pelbagai penyakit yang dasyhat sehingga dia tidak upaya untuk bangun , dan pada masa itu juga daripada awal Nabi Ayub a.s menjadi seorang yang kaya raya , dengan tiba-tiba akhir nya Nabi Ayub a.s menjadi faqir miskin. Hartanya hancur begitu saja kerana ditimpa pelbagai kesulitan.

Maka datang lah iblis itu menyamar sebagai lelaki dan mencuba untuk menggoda Nabi Ayub a.s supaya tidak berharap pada Allah s.w.t.

Si iblis berkata : "Sungguh malang nasib mu wahai Ayub , dulu kamu orang kaya sekarang kamu miskin. kasihan sekali dengan kamu."

Tapi Nabi Ayub a.s menjelaskan dengan penuh ketabahan.

"Segala puji bagi Allah, Allah telah mencurah diri ku nikmat , dimana nikmat itu adalah hak milik Allah.. dan saat Allah ingin kembali nikmat tersebut diambil. Maka Allah layak untuk mengambil nya dan aku sangat bersyukur kepada-Nya."

SubhanaAllah!

Hebatnya orang yang bersyukur kepada Allah. Impak kebaikan kesyukuran tersebut akan kembali pada kita sendiri. Itulah kekayaan syukur , Allah tambah cinta dan kasih kepada kita semua.

"..... Bersyukurlah kepada Allah. Dan barangsiapa yang bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya ia bersyukur untuk dirinya sendiri; dan barangsiapa yang tidak bersyukur, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji."
(Surah Luqman ayat 12)

Betapa hebatnya kesyukuran Nabi Ayub a.s sehingga Iblis laknatullah benci , berdendam dan sangat kecewa..

Pada satu saat, Allah SWT menguji lagi ketabahan Nabi Ayub di mana baginda ditimpa ujian dengan kematian anak-anaknya yang soleh, yang selama ini menyokong perjuangan baginda. Anak Nabi ayub a.s kesemuanya ditaqdirkan mati di dalam sebuah gempa bumi yang dahsyat.

Iblis datang lagi mengambil kesempatan terus menerus menghasut Nabi Ayub a.s ,

"Wahai Ayub , apa yang ada pada mu ! harta benda mu telah pun hilang , anak-anak kamu semua nya telah diambil kembali oleh Allah. Apa yang ada pada kamu?"

Lalu Nabi Ayub a.s menjawab dengan penuh rendah hati,

"Anak-anak itu adalah milik Allah. Dia yang menghidup kan dan Dia jua yang mematikan. Segala puji bagi Allah."

Nabi Ayub tidak putus asa kepada Allah walau pun telah kehilangan segala-galanya, tapi beliau redha selagi tidak kehilangan cinta Allah. Inilah sifat dan ciri-ciri orang yang beriman kepada Allah.

Tidak putus asa walau apa jua sekali pun , kerana mereka tahu ujian itu adalah satu didikan langsung daripada Tuhan. Allah mendidik kita melalui kesusahan, kesenangan, pujian mahu pun cercaan.

Seolah-olah Tuhan berpesan. .

"Belajar lah melalui ujian-Ku , nanti kamu akan mengenali diri-Ku."

Iblis tetap tidak putus asa lalu , dia berjumpa dengan isteri Nabi Ayub a.s yang setia kepada suami nya , mengurus dan menjaga diri Nabi Ayub. Tapi isterinya Rahmah telah terpedaya oleh iblis laknatullah.

Sebelum isterinya meninggal kan Nabi Ayub , dia mengadu keluhannya kepada suami nya Nabi Ayub a.s . .

" Wahai suami yang ku sayangi , sampai bila kah Tuhan mu akan mengazab mu! Dulu kita senang , kita dikellingi dengan anak-anak yang soleh , kita dikurniakan kesenangan harta benda , kita dipandang tinggi oleh masyarakat. Kenapa kau tidak mohon saja kepada Tuhan mu wahai suami ku , agar Tuhan membebaskan kita daripada kesusahan ini."

Lalu Nabi Ayub a.s memberi jawapan dengan pertanyaan.

"Wahai isteri yang ku sayangi , tadi kau sesali anak-anak yang telah pergi , dan kau lagi sesali harta yang telah habis dan juga menyesali penyakit yang menimpa suami kamu ini. Aku ingin bertanya , berapa lama tempohnya Allah memberikan kita sebuah kehidupan yang senang lenang dengan segala harta , kemewahan , anak-anak , dengan kesihatan?"

" 80 Tahun." jawab Rahmah singkat.

Nabi Ayub tanyakan lagi. " Wahai isteri , berapa lama kita menderita dan sengsara dimuka bumi Allah ini?"

"7 tahun." jawab Rahmah.

Lalu Nabi Ayub a.s menadah munajatnya kepada Allah s.w.t dengan rendah hati dalam pilu dan sedih.

"Wahai Allah. aku malu untuk memohon agar Engkau bebaskan aku daripada penderitaan dan kesusahan ini. Aku malu kerana nikmat yang telah Engkau berikan kepada kami selama 80 tahun , sama sekali tidak sebanding dengan kesusahan yang dialami 7 tahun ini."

"Wahai Allah. Sesungguhnya isteri ku telah dihasut syaitan."

"Wahai Allah , andai aku diberikan kesempatan kesembuhan oleh Allah. Pasti akan aku sebat isteri ku 100 kali sebatan sebagai hukuman.."

Dan untuk mu wahai isteri ku rahmah , aku tidak akan makan dan minum lagi apa-apa dari hasil tanganmu itu mulai pada saat ini ! Aku tidak akan meminta tolong lagi daripada kamu wahai isteriku.. Tinggal kan saja diri ku menerima ketentuan daripada Allah."

Allahu Akbar. Tinggal lah Nabi Ayub bersendirian. Sepi.

Al Quran menggambarkan munajat Nabi Ayub a.s merayu merintih pada Allah s.w.t..

" Wahai Tuhan , hamba telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah yang paling penyayang daripada yang penyayang."

Sesungguhnya Allah tahu , Allah mendengar. Allah tidak biarkan ia sepi. Maka Allah mengabulkan rintihan Nabi Ayub a.s.

Allah suruh Nabi Ayub hentak kan kaki di tanah , lalu keluarlah air yang sejuk dingin lalu diminum , dimandikan sebagai penawar.

Dengan izin Allah SWT, Nabi Ayub a.s telah mendapatkan kesihatan kembali, bahkan Allah mengurniakan zuriat lagi ramai, berganda-ganda dari yang hilang dan Allah juga mengembali kan kemewahan kepada Nabi Ayub a.s.

Sebagai tanda rahmat dan kasih sayang Allah.

"Maka Kamipun memperkenankan seruannya itu, lalu Kami lenyapkan penyakit yang ada padanya dan Kami kembalikan keluarganya kepadanya, dan Kami lipat gandakan bilangan mereka, sebagai suatu rahmat dari sisi Kami dan untuk menjadi peringatan bagi semua yang menyembah Allah."
(Surah al-Anbiya' ayat 84)

Benar kasih sayang Allah itu wujud, cebisan kisah ini Allah ingin menilai kesabaran dan keteguhan iman dan cinta kita kepada Allah , jika kita benar-benar orang beriman dan bertaqwa kepada Allah.

"Wahai Allah , penghibur kepada orang yang keseorangan. Beri lah kami kekuatan dan ketabahan untuk menghadapi segala kesulitan demi cinta-Mu yang agung." 

 Allahumma amin.

Khamis, 15 November 2012

MALAIKAT MEDOAKAN MEREKA INI

FADHILAT IBADAH



Allah SWT berfirman, "Sebenarnya (malaikat - malaikat itu) adalah hamba - hamba yang dimuliakan, mereka tidak mendahului-Nya dengan perkataan dan mereka mengerjakan perintah - perintah-Nya.  Allah mengetahui segala sesuatu yang di hadapan mereka dan yang di belakang mereka, dan mereka tidak memberikan syafa'at melainkan kepada orang - orang yang diredhai Allah, dan mereka selalu berhati - hati kerana takut kepada-Nya" (QS Al Anbiyaa' 26-28) 

Berikut adalah senarai orang - orang yang mendapat doa oleh para malaikat:

1. ORANG YANG TIDUR DALAM KEADAAN BERSUCI.

Imam Ibnu Hibban meriwayatkan dari Abdullah bin Umar ra., bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Barangsiapa yang tidur dalam keadaan suci, maka malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya.  Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa 'Ya Allah, ampunilah hambamu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci'" (Hadith ini disahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Sahih At Targhib wat Tarhib I/37)  

2. ORANG YANG MENUNGGU SOLAT.

Imam Muslim meriwayatkan dari Abu Hurairah ra., bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Tidaklah salah seorang di antara kamu yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali para malaikat akan mendoakannya 'Ya Allah, ampunilah ia.  Ya Allah sayangilah ia" (Sahih Muslim no. 469) 

3. ORANG YANG BERADA DI SAF HADAPAN KETIKA SOLAT.

Imam Abu Dawud dan Ibnu Khuzaimah dari Barra' bin 'Azib ra., bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, "Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada orang - orang yang berada pada saf - saf terhadapan" (Hadith ini disahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Sahih Sunan Abi Dawud I/130) 

4. ORANG YANG MENYAMBUNG SAF

(tidak membiarkan kekosongan di dalam saf).  Para Imam iaitu Ahmad, Ibnu Majah, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan Al Hakim meriwayatkan dari Aisyahra., bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya Allah dan para malaikat selalu berselawat kepada orang - orang yang menyambung saf - 
saf" (Hadith ini disahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Sahih At Targhibwat Tarhib I/272) 

5. KETIKA SEORANG IMAM SELESAI MEMBACA AL FATIHAH.

Imam Bukhari meriwayatkan dari Abu Hurairah ra., bahawa Rasulullah SAW  bersabda, "Jika seorang Imam membaca 'ghairil maghdhuubi 'alaihim waladh dhaalinn', maka ucapkanlah oleh kalian 'aamiin', kerana barang siapa ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, maka ia akan diampuni 
dosanya yang lalu" (Sahih Bukhari no. 782)

6. ORANG YANG DUDUK DI TEMPAT SOLATNYA SETELAH MELAKUKAN SOLAT.

Imam Ahmad meriwayatkan dari Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Para malaikat akan selalu berselawat kepada salah satu di antara kalian selama ia ada di tempat solat di mana ia melakukan solat, selama ia belum batal wudhu'nya, (para malaikat) berkata, 'Ya Allah ampunilah dan 
sayangilah ia'" (Al Musnad no. 8106, Syaikh Ahmad Syakir mensahihkan hadith ini)

Sabtu, 10 November 2012

HANYA KERANA SEBIJI KURMA

KISAH TELADAN


IBRAHIM BIN ADHAM

Selesai menunaikan ibadah haji, Ibrahim bin Adham berniat ziarah ke mesjidil Aqsa.Untuk bekal di perjalanan, dia membeli 1 kg kurma dari pedagang tua berdekatan masjidil Haram.Setelah kurma ditimbang dan dibungkus, Ibrahim melihat sebutir kurma tercicir dekat timbangan.Menyangka kurma itu sebahagian dari yang dia beli, Ibrahim memungut dan memakannya.Setelah itu dia langsung berangkat menuju Al Aqsa. 

4 bulan kemudian, Ibrahim tiba di Al Aqsa.Seperti biasa, dia suka memilih tempat beribadah pada ruangan dibawah kubah Sakhra.Dia solat dan berdoa dengan khusyuk sekali. Tiba tiba dia mendengar percakapan dua Malaikat tentang dirinya.
 
"Itu, Ibrahim bin Adham, ahli ibadah yang zuhud dan wara yang doanya selalu dikabulkan ALLAH SWT,"kata malaikat yang satu.

"Tetapi sekarang tidak lagi. doanya ditolak kerana 4 bulan yang lalu dia memakan sebutir kurma yang jatuh dari meja seorang pedagang tua berdekatan masjidil haram," jawab malaikat yang satu lagi.

Ibrahim bin adham terkejut sekali, dia terhenyak, jadi selama 4 bulan ini ibadahnya, solatnya, doanya dan mungkin amalan-amalan lain tidak diterima oleh ALLAH SWT gara-gara memakan sebutir kurma yang bukan haknya.

"Astaghfirullahal adzhim" Ibrahim beristighfar.

Dia langsung berkemas untuk berangkat ke Mekah menemui pedagang tua penjual kurma untuk meminta dihalalkan sebutir kurma yang telah dimakannya.S
ampai di Mekah dia terus menuju ke tempat penjual
kurma itu, tetapi dia tidak bertemu dengan pedagang tua itu melainkan seorang anak muda. 


"4 bulan yang lalu saya membeli kurma disini dari seorang pedagang tua.Kemana dia sekarang ?" tanya Ibrahim.

"Sudah meninggal sebulan yang lalu, saya sekarang meneruskan
pekerjaannya berdagang kurma" jawab anak muda itu.

"Innalillahi wa innailaihi roji'un, kalau begitu kepada siapa saya meminta penghalalan ?".


Lantas ibrahim menceritakan peristiwa yg dialaminya, anak muda itu mendengarkan penuh minat.

"Nah, begitulah" kata ibrahim setelah bercerita,

"Engkau sebagai ahli waris orangtua itu, maukah engkau menghalalkan sebutir kurma milik ayahmu yang terlanjur aku makan tanpa izinnya?".

"Bagi saya tiada masalah. Insya ALLAH saya halalkan. Tapi saya tidak dengan saudara-saudara saya yang lain yang jumlahnya 11 orang.Saya tidak berani memberi keputusan bagi pihak mereka kerana mereka mempunyai hak waris sama dengan saya."


"Dimana alamat saudara-saudaramu ?Biar saya temui mereka satu persatu."


Setelah menerima alamat, ibrahim bin adham pergi menemui meraka.
Biar berjauhan, akhirnya selesai juga.Semua setuju menghalalkan sebutir kurma milik ayah mereka yang termakan oleh ibrahim.


4 bulan kemudian, Ibrahim bin adham sudah berada dibawah kubah Sakhra.Tiba tiba dia mendengar dua malaikat yang dulu bercakap cakap.


"Itulah ibrahim bin adham yang doanya tertolak gara gara makan sebutir kurma milik orang lain."


"O, tidak.., sekarang doanya sudah dimakbulkan lagi, dia telah mendapat penghalalan dari ahli waris pemilik kurma itu.Diri dan jiwa Ibrahim kini telah bersih kembali dari kotoran sebutir kurma yang haram kerana masih milik orang lain.Sekarang ia sudah bebas."

Buat sahabat-sahabat yang saya sayangi hayatilah cerita ini.Kita terkadang lupa dari mana sumber hasil yang kita perolehi.Oleh sebab itu juga berhati-hatilah dgn makanan yg masuk ke tubuh kita, sudah halal-kah? lebih baik tinggalkan bila ragu-ragu apatah lagi yang memang sudah termaktub HARAM.

 
Pada hadits yang lain :"Siapa yang merampas hak orang Islam dengan sumpahnya, maka Allah mewajibkan dia masuk neraka dan mengharamkannya masuk surga.. Seorang lelaki bertanya, walaupun sedikit ya Rasulullah? Nabi menjawab, walaupun sebatang kayu sugi.(Riwayat Muslim).

Jumaat, 2 November 2012

SUJUD TILAWAH DAN SUJUD SYUKOR


IBADAH

 

SUJUD TILAWAH DI LUAR SEMBAHYANG



Sepertimana yang telah dijelaskan bahawa sujud tilawah itu sunat juga dilakukan di luar sembahyang iaitu setelah selesai menghabiskan bacaan ayat sajdah atau mendengarnya, jika hendak melakukan sujud tilawah hendaklah berniat sujud tilawah kemudian bertakbir iftitah seperti takbiratul ihram dalam sembahyang.

Niat sujud tilawah ini adalah wajib bersandarkan kepada hadis Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam :
Maksudnya: “Sesungguhnya amal perbuatan itu hanyalah dengan niat”

Begitu juga dengan takbir iftitah hukumnya adalah wajib kerana ia adalah merupakan syarat sujud tilawah itu menurut pendapat al-ashah.

Di samping berniat di dalam hati ia juga disunatkan melafazkan niatnya itu, seperti:
Ertinya:“Sahaja aku melakukan sujud tilawah kerana Allah Ta‘ala”

Kemudian itu bertakbir sekali lagi untuk melakukan sujud tanpa mengangkat tangannya. Apabila hendak bangun dari sujud adalah disunatkan ketika mengangkat kepalanya dengan bertakbir.

Adalah disunatkan menurut pendapat al- shahih memanjangkan bacaan takbir yang kedua ketika hendak sujud sehingga ia meletakkan dahinya ke tempat sujud, dan juga bagi takbir yang ke tiga ketika bangkit dari sujud sehingga duduk semula.(Al-Majmuk 3/561)

Setelah ia bangun dari sujud maka disudahi dengan salam iaitu dalam keadaan dia duduk tanpa bertasyahhud. Salam menurut pendapat al-azhar adalah wajib kerana ia merupakan syarat sebagaimana di dalam kitab Syarah Al-Minhaj.

Kesimpulannya perkara yang dituntut yang juga merupakan rukun sujud tilawah bagi yang melakukannya bukan di dalam sembahyang ialah niat sujud, takbir seperti yang dilakukan ketika hendak mengangkat takbir untuk menunaikan sembahyang, sujud dan juga salam.

Perlu diingat bahawa untuk melakukan sujud tilawah di luar sembahyang ini tidak disunatkan bangun dari duduk untuk berdiri (qiam) kemudian melaksanakan sujud, bahkan memadailah hanya dalam keadaan duduk. Sementara itu jika dia dalam keadaan berdiri maka dilakukan takbiratul ihram dalam keadaan berdirinya itu kemudian membaca takbir dan sujud.(At-Tibyan Fi Adab Hamalatil Quran 118)



BACAAN ATAU ZIKIR  KETIKA SUJUD TILAWAH

Adalah sunat hukumnya membaca zikir ketika di dalam sujud tilawah. Di antara zikir yang di galakkan itu ialah:


Ertinya: “Telah sujud wajahku kepada (Allah,Zat) yang Menciptakannya, yang Membentuknya dan yang Membuka pendengarannya serta penglihatannya dengan daya dan kekuatanNya maka Maha berkat (serta maha tinggilah kelebihan) Allah sebaik-baik Pencipta”

Dan zikir yang lain sebagaimana yang di sebut dalam hadis Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam:




Maksudnya : “Ya Allah tuliskan bagi ku dengan sujud ini pahala dan jadikanlah sujud ini berharga di sisiMu dan hindarkanlah daripadaku dosa dengannya terimalah ia daripadaku sepertimana Engkau menerima sujud hambaMu Daud”(Hadis riwayat Al-Tirmidzi dan lainnya dengan sanad yang hasan)

Sementara itu Al-Ustaz Ismail Al-Dharir di dalam tafsirnya menaqalkan bahawa Imam Asy-Syafi‘ie memilih untuk diucapkan di dalam sujud tersebut :

Ertinya: “Maha suci tuhan kami, sungguh janji Tuhan kami tetap terlaksana”

Walau bagaimanapun adalah harus dibawakan zikir yang biasa digunakan di dalam sujud sembahyang.

Menurut Imam Al-Qalyubiy bahawa sujud tilawah atau sujud syukur itu boleh diganti dengan zikir berikut bagi orang yang tidak melakukan sujud walaupun ia suci dari hadas (dalam keadaan berwudhu) seperti ucapan:

Ertinya:“Maha suci Allah dan segala puji-pujian bagiNya, tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Allah itu Maha Besar”.

Dibaca zikir tersebut sebanyak empat kali kerana ia boleh menggantikan tempat tahiyatul masjid.(Al-Fiqhu Al-Islami Wa Adillatuhu 1136)



APA DIA SUJUD SYUKUR ITU ?

Sujud syukur ialah sujud untuk menyatakan terima kasih atas nikmat yang dilimpahkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala atau atas terhindarnya seseorang dari malapetaka.

HUKUM SUJUD SYUKUR

Jumhur ulama berpendapat bahawa sujud syukur itu adalah sunat berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abdur Rahman bin Auf katanya yang maksudnya :

“Sewaktu Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam keluar menuju ke dalam bangunan-bangunan tinggi lalu memasukinya. Kemudian Baginda menghadap kiblat dan sujud, dan memanjangkan sujud Baginda. Kemudian Baginda mengangkat kepalanya seraya bersabda: “Sesungguhnya Jibril mendatangiku dan memberi khabar gembira kepadaku. Jibril berkata:“Sesungguhnya Allah mengatakan kepada engkau: “Siapa yang memberi selawat ke atas engkau Aku akan memberi selawat kepadanya dan siapa yang memberi salam kepada engkau, Aku akan memberi salam kepadanya” Lalu saya bersujud sebagai tanda syukur kepada Allah”.
(Hadis riwayat Imam Ahmad)

Dalam hadis yang lain pula yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan selainnya bahawa Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam jika sampai kepada Baginda sesuatu perkara yang menggembirakannya, Baginda akan melakukan sujud.(Syarah Al-Minhaj)

Sujud syukur di dalam mazhab Asy-Syafi‘ie tidak boleh dilakukan di dalam sembahyang. Ianya hanya sunat dilakukan di luar sembahyang ketika seseorang mendapat limpahan rahmat daripada Allah atau terhindar daripada malapetaka.

Di antara sujud yang dikategorikan sebagai sujud syukur ialah sujud selepas membaca ayat 25 daripada surah Shad iaitu:


Tafsirnya: “Maka Kami mengampuni kesalahannya. Sesungguhnya dia dekat dari Kami dan mempunyai tempat kembali yang baik”.

Dari itu sujud kerana ayat ini tidak boleh dibuat di dalam sembahyang kerana sujud pada ayat di atas adalah atas dasar syukur dan sujud syukur tidak boleh dilakukan di dalam sembahyang. Jika dia sujud maka batallah sembahyangnya menurut pandapat al-ashah, kecualilah jika ia tidak mengetahuinya atau ia terlupa.

BAGAIMANA SUJUD SYUKUR DILAKSANAKAN ?

Sujud syukur dilaksanakan sama halnya seperti melakukan sujud tilawah ketika ia dilakukan di luar sembahyang iaitu berniat untuk melakukan sujud syukur,takbir,sujud dan juga salam.

Syarat-syarat sahnya juga sama seperti syarat-syarat yang terkandung di dalam sujud tilawah iaitu suci dari hadas kecil dan besar, menutup aurat dan menghadap kiblat.

Dari segi zikir yang sunat dibaca ketika sujud syukur ini adalah sama seperti zikir-zikir yang telah dijelaskan di dalam sujud tilawah.

Begitulah cara Islam mengajarkan kita bagaimana cara mensyukuri nikmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala atau terlepas daripada bala. Di samping sunat melaksanakan sujud syukur disunatkan juga bersedekah dan melakukan sembahyang sunat syukur. ( Mughni Al-Muhtaj 1/219). Menurut Al-Khawarizmi pula, jika ia menggantikan tempat sujud itu dengan bersedekah atau sembahyang dua rakaat maka itu adalah yang lebih baik.

Menurut Imam Al-Ramli bahawa sujud syukur itu terluput waktunya jika jarak di antara sujud itu dan sebabnya terlalu lama.

PENUTUP      

Sujud tilawah dan sujud syukur seperti yang dijelaskan di atas merupakan satu ibadat yang tuntutannya adalah sunat. Cara melakukannya pun mudah tetapi nilainya tinggi di sisi Allah sepertimana yang dijelaskan oleh hadis Baginda tentang kelebihan sujud tilawah. 

Dari itu, sayugialah diingatkan supaya jangan dilepaskan peluang melakukan ibadat sujud ini, walaupun ia hanya merupakan tuntutan sunat tetapi dengan melakukannya bererti kita menghidupkan sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan dan tidak mengabaikan ajaran Islam.