Sabtu, 12 Oktober 2013

ZULHIJJAH DAN SUNNAH YANG TERKANDUNG DI DALAMNYA

MS FiSab 


 Masyarakat kita, ramai yang tidak menyedari bahawa bulan yang sedang kita lalui kini, iaitu bulan Zulhijjah termasuk bulan yang sangat istimewa.
Terdapat banyak dalil yang menunjukkan bahawa pada bulan Zulhijjah, pahala amal soleh dilipat gandakan sebagaimana pahala yang dijanjikan ketika Ramadan.

Daripada Abu Bakr Radiallahu Anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda,

شَهْرَانِ لاَ يَنْقُصَانِ، شَهْرَا عِيدٍ: رَمَضَانُ، وَذُو الحَجَّةِ

“Ada dua bulan yang pahala amalnya tidak akan berkurang, iaitu bulan-bulan hari raya: bulan Ramadan dan bulan Zulhijjah.”

(Riwayat Bukhari 1912 dan Muslim, 1089)

Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam menyamakan bulan Zulhijjah dengan Ramadan. Sebagai motivasi baginda menyatakan bahawa pahala amal dalam dua bulan ini tidak akan berkurang.

Waktu yang paling mulia ketika Zulhijjah adalah 10 hari pertama. Dalam surah al-Fajr, Allah berfirman,

وَ الْفَجْرِ * وَلَيَالٍ عَشْرٍ

“Demi fajar, dan demi malam yang sepuluh.”

(Al-Fajr: 1-2)

Ibn Rajab menjelaskan, malam yang sepuluh adalah sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah. Inilah tafsir yang benar dan tafsir yang dipilih majoriti ahli tafsir daripada kalangan sahabat dan ulama setelahnya.

Dan tafsir inilah yang sesuai dengan riwayat daripada Ibn Abbas radiallahuanhuma…”

(Lathaiful Maarif, halaman 469)

Allah bersumpah dengan menyebut sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah. Yang ini menunjukkan keutamaan sepuluh hari tersebut kerana semua makhluk yang Allah jadikan sebagai sumpah adalah makhluk istimewa dan menjadi bukti kebesaran dan keagungan Allah.

Kerana itulah, amalan yang dilakukan selama 10 hari pertama Zulhijjah menjadi amalan yang sangat dicintai Allah melebihi amal soleh yang dilakukan di luar batas waktu itu.

Daripada Ibn Abbas Radiallahu Anhu, bahawa Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda,

مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ. يَعْنِى أَيَّامَ الْعَشْرِ. قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَلاَ الْجِهَادُ فِى سَبِيلِ اللَّهِ قَالَ « وَلاَ الْجِهَادُ فِى سَبِيلِ اللَّهِ إِلاَّ رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَىْءٍ

“Tidak ada hari yang mana suatu amal soleh yang lebih dicintai Allah melebihi amal soleh yang dilakukan pada sepuluh hari ini (sepuluh hari pertama Zulhijjah).” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, termasuk lebih utama daripada jihad fi sabilillah? Nabi sallallahu alaihi wasallam menjawab, “Termasuk lebih utama dibanding jihad fi sabilillah. Kecuali orang yang keluar dengan jiwa dan hartanya (ke medan jihad), dan tidak ada satu pun yang kembali (mati dan hartanya).”

(Riwayat Ahmad 1968, Bukhari 969, dan Tirmizi 757)

Dalam riwayat yang lain, Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda:

“Tidak ada amalan yang lebih suci di sisi Allah dan tidak ada yang lebih besar pahalanya daripada kebaikan yang ia kerjakan pada sepuluh hari Idul Adha.”

(Riwayat Ad-Daruquthni, dan dihasankan oleh Al-Albani)

Al-Hafidz Ibn Rajab mengatakan, Hadis ini menunjukkan bahawa beramal pada sepuluh hari bulan Zulhijjah lebih dicintai di sisi Allah daripada beramal pada hari-hari yang lain, tanpa pengecualian. Sementara jika suatu amal itu lebih dicintai Allah, ertinya amal itu lebih utama di sisi-Nya.

(Lathaiful Ma’arif, halaman 456)

Diceritakan oleh Al-Mundziri dalam At-Targhib wa At-Tarhib (2/150) bahawa Sa’id bin Jubair ketika memasuki 1 Zulhijjah, beliau sangat bersungguh-sungguh dalam beribadah, sehingga hampir tidak mampu melakukannya.

Terdapat beberapa amalan yang disyariatkan untuk dilakukan pada bulan Zulhijjah.

Berikut antara amalan tersebut:

Pertama - Berpuasa pada sembilan hari pertama

Dianjurkan berpuasa pada sembilan hari bulan Zulhijjah dan digalakkan berpuasa pada Hari Arafah pada 9 Zulhijjah.

Abu Qatadah Radiallahuanhu meriwayatkan bahawa Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda,

صيام يوم عرفة أحتسب على الله أن يكفّر السنة التي قبله ، والسنة التي بعده

“… Puasa Hari Arafah, aku berharap kepada Allah agar menjadikan puasaku ini sebagai penebus (dosa) satu tahun sebelumnya dan satu tahun setelahnya..”

(Riwayat Ahmad dan Muslim)

Daripada Ummul Mukminin, Hafshah Radiallahuanha, bahawa Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam melaksanakan Puasa Asyura, sembilan hari pertama Zulhijjah, dan tiga hari pada setiap bulan.

(Hadis Riwayat An Nasa’i, Abu Daud, Ahmad dan disahihkan Al-Albani)

Kedua - Memperbanyak takbir

Lafaz takbir, sama sebagaimana takbir yang kita ketahui.

Terdapat dua jenis takbir pada bulan Zulhijjah:

1.   Takbir yang bersifat mutlak (tidak terikat waktu)

Takbir yang bersifat mutlak adalah takbir yang dilakukan bila-bila saja dan di mana-mana saja, selama masih dalam waktu yang boleh.

Takbir mutlak menjelang Idul Adha bermula sejak tanggal 1 Zulhijjah dan berakhir hingga waktu Asar 13 Zulhijjah.

Pada 1-13 Zulhijjah ini, kaum Muslimin disyariatkan memperbanyak ucapan takbir di mana sahaja.

Anjuran bertakbir pada 1 sampai 13 Zulhijjah ini berdasarkan beberapa dalil berikut,

1. Firman Allah;

وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فِي أَيَّامٍ مَعْلُومَاتٍ

“…supaya mereka berzikir (menyebut) nama Allah pada hari yang telah ditentukan…”

(Al-Hajj: 28)

Kemudian pada ayat lain, Allah berfirman,

وَاذْكُرُوا اللَّهَ فِي أَيَّامٍ مَعْدُودَاتٍ

“….Dan berzikirlah (dengan menyebut) Allah dalam beberapa hari yang berbilang…”

(Al-Baqarah: 203)

Keterangan:

Ibn Abbas mentafsirkan ayat ini dengan mengatakan,

وَاذْكُرُوا اللَّهَ فِى أَيَّامٍ مَعْلُومَاتٍ أَيَّامُ الْعَشْرِ ، وَالأَيَّامُ الْمَعْدُودَاتُ أَيَّامُ التَّشْرِيقِ

“Yang dimaksud “hari yang telah ditentukan” adalah pada 1-10 Zulhijjah, sedangkan maksud “hari yang berbilang” adalah hari tasyriq, iaitu pada 11, 12, dan 13 Zulhijjah.

(Riwayat Bukhari secara muaalaq. Bab: Keutamaan beramal di hari Tasyriq)

2. Hadis daripada Abdullah bin Umar, bahawa Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda,

ما من أيام أعظم عند الله ولا أحب إليه من العمل فيهن من هذه الأيام العشر فاكثروا فيهن من التهليل والتكبير والتحميد

“Tidak ada amal yang dilakukan pada hari yang lebih agung dan lebih dicintai Allah Subhanahu wa Taala melebihi amal yang dilakukan pada 1-10 Zulhijjah. Oleh kerana itu, perbanyaklah membaca tahlil, takbir dan tahmid pada hari itu.”

(Riwayat Ahmad dan Sanadnya disahihkan Sheikh Ahmad Syakir)

3. Yang dilakukan para sahabat,

وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ وَأَبُو هُرَيْرَةَ يَخْرُجَانِ إِلَى السُّوقِ فِى أَيَّامِ الْعَشْرِ يُكَبِّرَانِ ، وَيُكَبِّرُ النَّاسُ بِتَكْبِيرِهِمَا

“Dulu Ibn Umar dan Abu Hurairah pergi ke pasar pada 1-10 Zulhijjah. Mereka mengucapkan kalimat takbir kemudian orang lain pun bertakbir disebabkan mendengar takbir mereka berdua.”

(Riwayat Bukhari secara muallaq. Bab: Keutamaan beramal pada hari Tasyriq)

2. Takbir yang terikat waktu (Takbir Muqayyad)

Takbir yang terikat waktu adalah takbir yang dilaksanakan setiap selesai melaksanakan solat wajib.

Takbir ini dimulakan sejak setelah Solat Subuh pada 9 Zulhijjah sehingga setelah Solat Asar pada 13 Zulhijjah.

Berikut beberapa dalil yang menunjukkan anjuran takbir ini:

1. Riwayat daripada Umar Al-Khattab Radliallahu Anhu,

أنه كان يكبر من صلاة الغداة يوم عرفة إلى صلاة الظهر من آخر أيام التشريق

Sesungguhnya Umar bertakbir setelah solat Subuh pada 9 Zulhijjah sehingga setelah Zuhur pada 13 Zulhijjah (Hari Tasyriq).

(Riwayat Ibnu Abi Syaibah dan Al-Baihaqi dan sanadnya disahihkan al-Albani)

2. Riwayat daripada Ali bin Abi Thalib Radiallahuanhu,

أنه كان يكبر من صلاة الفجر يوم عرفة إلى صلاة العصر من آخر أيام التشريق، ويكبر بعد العصر

Sesungguhnya Ali bertakbir setelah Solat Subuh pada 9 Zulhijjah sehingga Asar 13 Zulhijjah dan setelah asar (Hari Tasyriq)

(Riwayat Ibnu Abi Syaibah dan Al-Baihaqi. Al-Albani mengatakan: Sahih dari Ali).

3. Keterangan daripada Ibn Abbas Radiallahuanhu,

أنه كان يكبر من صلاة الفجر يوم عرفة إلى آخر أيام التشريق، لا يكبر في المغرب

Bahawa Ibnu Abbas bertakbir setelah Solat Subuh pada 9 Zulhijjah hingga 13 Zulhijjah. Ia tidak bertakbir setelah Maghrib (malam 14 Zulhijjah).

(Hadis Riwayat Ibnu Abi Syaibah dan Al-Baihaqi. Al-Albani mengatakan, “Sanadnya sahih”).

4. Riwayat daripada Ibn Mas’ud Radiallahu Anhu,

يكبر من صلاة الصبح يوم عرفة إلى صلاة العصر من آخر أيام التشريق


Bahawa Ibnu Mas’ud bertakbir setelah solat Subuh pada 9 Zulhijjah sehingga Asar 13 Zulhijjah.

(Riwayat Al-Hakim dan disahihkan An-Nawawi dalam Al-Majmu’)

Ketiga - Memperbanyak amal soleh

Dari Ibn Abbas Radiallahu Anhu, Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda,

“Tidak ada hari di mana suatu amal soleh lebih dicintai Allah melebihi amal soleh yang dilakukan pada sepuluh hari ini (sepuluh hari pertama Zulhijjah).” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, termasuk lebih utama daripada jihad fi sabilillah? Nabi Salallahu Alaihi Wasallam menjawab, “Termasuk lebih utama berbanding jihad fi sabilillah. Kecuali orang yang keluar dengan jiwa dan hartanya (ke medan jihad), dan tidak ada satupun yang kembali (mati dan hartanya diambil musuh).”

(Riwayat Bukhari, Ahmad, dan At-Tirmizi).

Hadis ini menggalakkan kita memperbanyak amal soleh selama 10 hari pertama Zulhijjah. Apapun bentuk amalnya, kerana Nabi Salallahu Alaihi Wasallam tidak menentukan amal ibadah khusus selain takbir dan puasa arafah.

Keempat - Solat Idul Adha

Daripada Anas bin Malik Radiallahuanhu, beliau mengatakan,

Bahawa ketika Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam tiba di Madinah, masyarakat Madinah memiliki dua hari yang mereka rayakan dengan bermain. Kemudian Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam bertanya, “Dua hari apakah ini?” Mereka menjawab, “Kami merayakannya dengan bermain di dua hari ini ketika zaman jahiliyah. Kemudian Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda, “Sesungguhnya Allah telah memberikan ganti kepada kalian dengan dua hari yang lebih baik: Idul Fitri dan Idul Adha.”

(Riwayat An-Nasa’i, Abu Daud, Ahmad, dan disahihkan Al-Albani)

Kelima - Menyembelih haiwan Qurban

Allah berfirman:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

“Laksanakanlah solat untuk Rabmu dan sembelihlah qurban.”

(Al-Kautsar: 2)

Ibadah qurban memiliki nilai yang sangat penting, sehingga bagi mereka yang mampu, disarankan melaksanakannya.

Daripada Abu Hurairah Radiallahu Anhu, Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda,

من كان له سعة ولم يضح فلا يقربن مصلانا

“Sesiapa yang memiliki kelapangan namun dia tidak berqurban maka jangan mendekati masjid kami.”

(Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah. Dihasankan Al-Albani)

[Bagi mereka yang hendak berqurban, dilarang memotong kuku dan juga rambutnya (bukan kuku dan bulu haiwannya) ketika sudah masuk pada 1 Zulhijjah sehingga dia menyembelih haiwan qurbannya]

Daripada Ummu Salamah Radiallahu Anha, daripada Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam, bahawa baginda bersabda,

مَن كانَ لَهُ ذِبحٌ يَذبَـحُه فَإِذَا أَهَلَّ هِلاَلُ ذِى الْحِجَّةِ فَلاَ يَأْخُذَنَّ مِنْ شَعْرِهِ وَلاَ مِنْ أَظْفَارِهِ شَيْئًا حَتَّى يُضَحِّىَ

“Barangsiapa yang memiliki haiwan yang hendak dia sembelih (pada hari raya), jika sudah masuk 1 Zulhijjah maka janganlah dia memotong rambutnya dan kukunya sedikit pun, sehingga dia menyembelih haiwan qurbannya.”

(Riwayat Muslim)

Justeru, inilah waktunya, kita  mendidik kembali kesedaran masyarakat agar memahami hal ini.

Ayuh, kita seru mereka untuk bersama-sama menyemarakkan 10 hari pertama bulan Zulhijjah dengan pelbagai amal soleh dan ibadah sebagaimana ketika mereka menyemarakkan bulan Ramadan.

Jadikan kesempatan 10 hari pertama sebagai ladang untuk kita mendulang jutaan pahala, insya-Allah.

Moga kita mampu mengamalkannya, insya-Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan