Sabtu, 13 April 2013

PERTUNANGAN DAN MEMILIH JODOH MENURUT ISLAM



1)      PENDAHULUAN

Allah  SWT telah mencipta makhlukNya dengan  berpasangan termasuklah manusia di mana manusia dari Adam AS.  Kemudian Allah ciptakan daripadanya Siti Hawa AS menjadikan berpasangan  suami isteri sehingga lahirlah keturunan yang ramai terdiri dari lelaki dan perempuan.  Kedua insane yang berlainan jenis ini saling perlu memerlukan  antara satu sama lain justeru itu timbullah bibit-bibit cinta dan perasaan  kasih sayang  ibarat anak kecil  merintih memerlukan belaian ibu yang dikasihi.  Dan seterusnya ingin berkongsi hidup sebagaimana makhluk yang lain yang melata di bumi Allah ini.

Dalam konteks ini, Islam telah memberi garis panduan bagaimana untuk memilih calon suami dan calon isteri bermula dari pertunangan sehingga ke alam perkahwinan.

2)      PERTUNANGAN

Peminangan ialah pernyataan atau permintaan dari seorang lelaki kepada pihak perempuan untuk mengahwininya baik dilakukan olehnya sendiri ataupun dengan perantaraan pihak-pihak tertentu yang dipercayai ataupun keluarganya sesuai dengan kehendak Islam.

Ke Arah Pertunangan
         
Sebelum diadakan peminangan, langkah permulaan ialah memilih pasangan yang akan menjadi calon suami atau isteri mengikut lunas-lunas yang disyariatkan oleh Allah SWT.

3)      MEMILIH LELAKI

Lelaki yang paling diutamakan ialah lelaki yang soleh yang mempunyai pendidikan  agama yang sempurna serta berpegang teguh dengan ajaran Islam.  Di mana melalui panduan  agama, seorang suami itu berwajiban menggauli isterinya dengan baik dan  memberi nafkah sesuai dengan tuntutan Islam.

 Firman Allah Taala dalam surah An-Nisaa’ ayat 34: Maksudnya :
         “Lelaki itu pemimpin yang bertanggungjawab atas kaum wanita dan kerana Allah telahmelebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita) dan kerana telah membelanjakan  harta mereka”.

Dalam ayat di atas jelas bahawa  suami mempunyai kekuasaan terhadap isteri di mana isteri hanya membantu suami dalam urusan rumahtangga.  Lelaki yang benar-benar dapat mengendalikan kewajiban seorang suami mestilah berupaya menjadi ketua keluarga yang bertugas memimpin, mendidik dan memberi kasih sayang terhadap rumahtangga.

Di antara faktor penting dalam mengutamakan agama yang disarankan oleh Islam ialah :-

1.      Mempunyai akidah yang sempurna dan kefahaman agama yang kukuh serta praktikal
2.      Melaksanakan syariat Islam  berdasarkan prinsip yang berterusan.
3.      Mengamalkan sikap kesederhanaan dalam hidupnya.
4.      Mengetahui besarnya ganjaran nafkah di dalam rumahtangga.

Selain dari itu wajar bagi lelaki seorang yang tajam fikirannya, bijak menyelesaikan masalah, mempunyai sifat-sifat yang mulia,  seorang yang penyayang, suka memberi dan menerima, bertolak ansur dan mengambil berat terhadap keluarganya.

Walau bagaimanapun, sebagai kaum lelaki sudah masanya dari sekarang melengkapkan diri dengan mencari dan mempelajari ilmu Islam sebanyak mungkin untuk persediaan di hari muka.  Oleh itu, ingatlah bahawa kaum wanita pada hari ini sudah mengerti memilih calonnya di mana bukan sahaja lelaki yang kacak malahan  bijak pula dalam selok belok agama yang sememangnya layak menjadi suami.

4)      MEMILIH PEREMPUAN

Di antara garis panduan memilih calon isteri yang dianjurkan oleh Islam ialah supaya pemilihan yang dibuat benar-benar dapat menjamin kerukunan rumahtangga dan dapat menjadi aman damai serta diberkati Allah sepanjang masa.


         Aspek yang utama ditinjau dari hadis Rasulullah SAW ialah dengan sabdanya, maksudnya :
       Dikahwini perempuan (dijadikan isteri) itu kerana  empat perkara, kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikkannya dan kerana agamanya  Maka utamakanlah perempuan yang mempunyai agama dan beruntunglah hidup kamu…”

Di antara yang disunatkan dan digalakkan memilih perempuan untuk dipinang ialah :

         a.   Zuriat yang banyak

            Memilih perempuan yang boleh mendatangkan zuriat yang banyak memanglah digalakkan oleh Islam.  Di sini boleh diperhatikan dari sudut keluarganya (keturunannya) di samping kesuburan tubuh badan  di mana tidak menghalang  ianya hamil.  Selain itu, umur juga boleh diambil kira bagi mengekalkan zuriat yang banyak.

b.   Anak gadis / bujang

Pemilihan anak gadis amat dititik beratkan kerana di mana usia gadis, kurang bebanan peribadi.  Segalanya-galanya serba baru, dapat mengeratkan kasih sayang tanpa gangguan.  Tenaga yang masih muda dapat memberi sepenuh masa untuk suami.  Walau bagaimanapun, memilih seorang janda juga digalakkan sekiranya di sana ada tujuan yang baik untuk memilihnya.

c.  Sedikit mas kahwin

Perempuan yang menjadi pilihan adalah sedikit belanja mas kahwinnya di mana mudah bagi pihak lelaki menjelaskannya dan sesuai dengan tuntutan Islam.  Sekiranya terlalu besar mas kahwin itu, bukan sahaja menjadi keberatan bagi lelaki malah boleh memberi kesan yang negatif di masa akan datang.

d.     Bukan hubungan keluarga

Pemilihan ini bagi meluaskan skop keturunan di mana keluarga akan bertambah ramai lagi dan mental sesebuah keluarga itu boleh mempengaruhi hidup.  Lebih-lebih lagi perhubungan sebuah keluarga dengan  keluarga dalam menemukan jodoh.

e. Baligh

    Memilih perempuan biarlah ianya sudah cukup umur (baligh) di mana dapat memahami ertu perkahwinan, berfikir secara orang dewasa, kurang memberi tunjuk ajar, tidak  mudah merajuk dan juga boleh hamil.

f.  Akal yang sempurna

    Memilih akal yang sempurna ialah berfikir  secara seorang  muslim yang soleh, gemar membaca Al-Quran serta memahaminya,  mengetahui hala dan haram, banyak bersabar, bertindak dengan adil dan juga menghormati hak dirinya dan hak orang lain.

g.    Sesuai (kufu)

Persesuaian  adalah diperlukan untuk memilih pasangan hidup lebih-lebih lagi dalam dunia moden ini di mana wanita mempunyai kedudukan yang agak  sama dengan kaum lelaki malah terdapat lebih dari lelaki.  Hal ini kadangkala menjadi isu besar di kalangan ibu dan bapa hari ini,   kononya anak perempuannya tidak sesuai berkahwin.  Tetapi dalam masa yang sama  juga mereka  telah keluar dan bebas bergaul tanpa dilarang oleh ibubapanya.

         Firman Allah Taala dalam surah Al-Baqarah ayat 235, ertinya :
         “Tidak berdosa meminang perempuan  (yang dalam  idah lagi dengan kata sindirian)”
         Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Daud, maksudnya:

“Apabila seorang dari kamu meminang perempuan, sekiranya dia dapat lihat perempuan itu hendaklah dia melihatnya sehingga bertambah keinginan kepada perkahwinan”.

Sebelum meminang, seorang lelaki harus melihat perempuan yang akan dipinang pada muka dan dua tapak tangan sahaja.  Dan begitu juga sebaliknya dengan tujuan untuk mengetahui keadaan yang sebenarnya agar kedua-duanya dapat  menepati kehendak dan maksud masing-masing.

Menurut pendapat jumhur ulamak, melihat pada perempuan dengan tujuan meminang hanya tertentu pada muka dan dua tapak  tangannya.  Kerana dengan melihat muka  dapat diketahui kecantikan raut muka serta  paras rupa untuk calon isteri atau sebaliknya.  Sementara melihat kedua tapak tangan bertujuan supaya dapat mengetahui kesuburan badan.

         Sabda Rasulullah SAW, ertinya :
        "Apabila salah seorang daripada kamu meminang  perempuan maka tidak berdosa  atasnya melihat perempuan itu asalkan sahaja semata-mata untuk meminangnya sekalipun dia tidak mengetahui”

Rasulullah SAW pernah menyuruh sahabatnya yang  bernama Mughirah bin Syukbah, 
sabdanya bermaksud :
         “Lihat dahulu perempuan itu maka melihatnya adalah pokok utama bagi suami isteri hidup dalam aman damai”

Keharusan pihak lelaki boleh melihat  perempuan yang akan dipinang pada anggota-anggota  yang telah disebutkan sebelum  ini walaupun dengan tanpa  keredhaannya, dan  sebaik-baiknya  kehadiran pihak lelaki itu hendaknyalah waktu melihat  itu dilakukan sebelum meminang,  Ini kerana  seandainya ia tidak secucuk di hati pihak lelaki dengan sebab-sebab  yang tertentu bolehlah ia mengundurkan diri tanpa akan menyakitinya.

Jika kedapatan pihak lelaki tidak berupaya melihat perempuan yang akan dipinang oleh sesuatu sebab, maka bolehlah ia mengutuskan orang tertentu  yang dipercayai  sebagai perantaraan  untuk pergi melihatnya.  Ini supaya orang tadi menerangkan  sifat-sifat peribadi serta keadaan  perempuan itu yang mana bertujuan untuk mengahwininya.

Kedapatan beberapa perkara yang amat diambil  berat oleh syarak dalam soal pinang meminang iaitu :

a.      Peminangan tidak boleh dilakukan kepada wanita yang dipinang oleh seseorang melainkan ianya telah melepaskan  hak peminangannya.

         Sabda Rasulullah SAW diriwayatkan oleh Ahmad dan Muslim, maksudnya :
     "Orang muslim adalah saudara orang mukmin, maka tidak halal bagi seorang mukmin meminang  seorang perempuan yang sedang dipinang oleh saudaranya hingga nyata sudah ditinggalkan”.

         Sabda Nabi SAW, maksudnya :
         “Janganlah seorang lelaki berdua-duaan dengan seorang perempuan yang tidak halal baginya. Maka sesungguhnya orang  yang ketiga bersama dengannya ialah syaitan kecuali bersama mahram.”

b.   Haram  seorang lelaki meminang dengan cara terus terang seorang perempuan yang di dalam eddah sama ada       raj’i atau bain atau eddah wafat.  Dan haram meminang  cara sindiran perempuan yang di dalam eddah raj’i, dan  dibolehkan meminang  secara sindiran perempuan yang di dalam eddah wafat tanpa khilaf dan diharuskan juga meminang perempuan yang dalam eddah bain sama ada  disebabkan perceraian atau fasakh menurut pendapat yang terkuat dari pendapat Imam Syafie.

         Contoh ayat Sareh :
         “Apabila telah habis eddahmu, aku akan berkahwin dengan kamu”.

         Contoh ayat Kinayah :        
         “Kamu ini cantik, banyak lelaki inginkan kamu”.

c.      Wanita yang akan dipinang bukan mahramnya yang mana dilarang dalam perkahwinan.
         Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud :

     “Lihatlah dia (bakal tunangan) dengan ini akan lebih menguatkan (mengeratkan) perhubungan kamu berdua”.


Perlu diingat walaupun Islam mengharuskan  melihat perempuan ajnabi dengan tujuan meminang tetapi janganlah ia mengambil peluang untuk memuaskan perasaan atau hawa nafsunya.  Malahan menjadi haram semula sekiranya hajat melihatnya itu sudah mencukupi atau langkah peminangan.

5)      TUJUAN PERTUNANGAN

Di antara tujuan pertunangan ialah :

        1.   Persetujuan    mengikut janji untuk perkahwinan.
2    Untuk menghebahkan kepada masyarakat sekeliling.
3    Supaya dapat mengeratkan hubungan silaturrahim di antara keluarga kedua belah pihak.
4.   Hendak melahirkan sikap jimat cermat dan membentuk ciri-ciri kejujuran serta keyakinan diri.
5.   Untuk menentukan kadar mahar (mas kahwin) dan lain-lain pemberian.
6.   Untuk  menentukan tarikh,  tempat dan hari perkahwinan yang dipersetujui.
7.   Persediaan mempelajari hukum perkahwinan sebelum mendirikan rumahtangga.

Sayugia bahawa perempuan yang paling baik menjadi bakal isteri  yang disebutkan 
oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya, maksudnya:

Sebaik-baik perempuan (isteri) apabila kamu menatapinya menyeronokkan hati kamu(suami), apabila disuruh oleh kamu dia mentaati suruhan dan apabila kamu tiada dia sentiasa menjaga dirinya dan harta kamu”.

Wajar juga wanita yang bijak mengatur rumahtangga, berjimat cermat, rajin dan pandai  menyimpan, tambahan pula dapat melapangkan dada suami, semua ini diambil kira di dalam memilih jodoh.

6)      CARA MEMINANG

1.   Memulai  majlis meminang dengan  bertahmid.
2.   Sendiri atau melalui orang lain, jika ada waris keluarga lebih baik  supaya mereka yang   bertandang untuk meminang.
3  Pemberian sebagai adat tanda jadi ikatan pertunangan boleh  diterima asal tidak bercanggah dengan prinsip Islam.
4.  Bersetuju menerima pinangan di antara kedua belah pihak dengan janji tertentu dan tidak memakan  masa yang lama.
5.  Wakil yang  adil menyampaikan hajat pinang mengikut adat kelaziman negara itu sama ada melalui sareh atau kinayah.
6   Segala persetujuan hendaklah disaksikan atau ditulis.

Walaupun  setelah pertunangan antara pihak lelaki dan pihak perempuan dimeteraikan melalui istiadat perminangan oleh kedua belah pihak keluarga, akan tetapi perhubungan di antara mereka tetap dianggap seperti hubungan ajnabi dengan ajnabiah yang lain.

Maka sewajarnyalah sama-sama menjaga suasana perhubungan  itu dengan baik agar tidak  bertentangan dengan ajaran-ajaran Islam yang maha suci.