TAZKIRAH
Oleh : Presiden PAS
Nasihat menjadi tonggak penting dalam agama Islam, agar kebenaran dapat ditegakkan dan kebatilan dapat dimansuhkan. Peranan untuk menegakkan nasihat menjadi kewajipan seluruh umat di semua peringkat dan lapisan. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : "Agama itu adalah nasihat." Para sahabat bertanya: "Untuk siapa? Sabda Rasulullah s.a.w: "Untuk Allah, Rasul-Nya, untuk kitab-Nya, untuk para pemimpin dan orang ramai." - Hadis Sohih riwayat Imam Muslim dalam kitab al-Imam.
Nasihat untuk Allah ialah dengan menepati hukum-Nya, menegakkan agama-Nya dan hukum-hakam-Nya kerana Allah semata-mata. Bukan kerana mengampu, sehingga tidak berani untuk mencegah kemungkaran, tetapi hanya menyuruh yang baik secara terhad dan menjadi pengecut untuk mencegak kezaliman yang dilakukan oleh pemimpin yang berkuasa di dalam negara.
Umat Islam menjadi bertambah malang dengan kewujudan mereka yang disebut oleh Imam al-Ghazali di dalam kitabnya 'Ihya' 'Ulumddin' sebagai 'ulama su' yang bersekongkol dengan mereka yang zalim serta sanggup menjadi syaitan bisu. Ini dilakukan kerana takutkan manusia sama seperti takutkan Allah SWT, atau lebih daripada takutkan Allah atau menganggap rezekinya di tangan pemerintah bukannya datang daripada Allah SWT.
Nasihat untuk Rasulullah pula ialah dengan menjadikan baginda contoh teladan di dalam semua perkara. Juga nasihat agar menepati sunnahnya dan meneruskan ajarannya setelah baginda wafat. Nasihat kerana Rasulullah sentiasa hidup, tidak wafat dengan kewafatan baginda, juga mencontohi keberanian baginda yang tidak gentar menghadapi sesiapa, walaupun kuasa besar dunia yang zalim.
Juga percaya kepada amanat Rasulullah s.a.w di dalam hadis yang sohih bahawa menasihati kerajaan yang zalim adalah jihad akhbar (paling besar). Manakala riwayat yang menyatakan jihad hawa nafsu adalah paling besar, adalah dikira hadis daif, bahkan ada ulama hadis yang menyenaraikannya daripada kalangan hadis palsu, iaitu bukan hadis, tetapi kata-kata seorang yang bernama Ibrahim bin Ablah.
Nasihat kerana kitab Allah ialah dengan menegakkan isi kandungannya dalam segenap aspek. Ia termasuk akidah, syariat, akhlak, dan sistem kehidupan seluruhnya termasuk dalam perkara undang-undang supaya diamalkan dengan tepat. Juga menasihati mereka yang tidak beramal dengan cara yang tidak tepat supaya memperbetulkannya dengan cara menepati matlamat hukum yang terdapat di dalam kitab Allah Yang Maha Adil lagi Maha Bijaksana.
Melalui nasihat, pemimpin berpeluang membetulkan rakyatnya yang tidak betul, bahkan berpeluang untuk membetulkan dirinya sendiri supaya menjadi contoh kepada rakyat. Nasihat juga mengajarnya untuk bersikap kepadanya dan dia tidak melenting apabila benar-benar melakukan kesilapan, kerana pemimpin adalah mahkluk manusia yang tidak boleh berlagak menjadi Tuhan.
Nasihat juga menjadi hak rakyat, untuk memberi nasihat kepada pemimpin dan menerima nasihat di kalangan mereka serta menerima nasihat daripada pemimpin. Rakyat juga berperanan untuk menasihati pemimpin, sekiranya pemimpin mereka menyeleweng. Hak rakyat untuk memberi nasihat tidak boleh dinafikan oleh kerajaan.
Allah berfirman melalui surah al-'Asr yang bermaksud: "Demi Mass! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan sabar."
Tetapi kewajipan nasihat ini telah diabaikan kerana terdapat sindrom yang melanda umat Islam di negara kita hingga ke tahap yang sangat membimbangkan.
Sindrom yang mengongkong para pemimpin : Negara dikepalai oleh barisan kepimpinan yang diikat dengan budaya menonjolkan diri dengan membariskan pimpinan bawahannya semata-mata untuk membina kekuatan kedudukannya, iaitu membariskan pelapis yang takut kepada siapa sahaja yang menjadi pemimpin utama. Pekara ini menyebabkan kita diperintah oleh kalangan yang tidak dapat membetulkan kelemahan-kelemahan yang berlaku.
Antara punca yang menimbul gejala ini ialah perkara-perkara berikut:
Hub al-Riasah wa al-Jah (Rakus untuk menjadi pemimpin dan gila kuasa.
Sifat ini menyebabkan seseorang sanggup melakukan apa sahaja untuk menaikkan dirinya, bukan sahaja sanggup mebaurkan wang, bahkan sanggup mengorbankan kawan sendiri. Berkawan bukan kerana Allah tetapi kerana ada kepentingan untuk naik lebih tinggi.
Dalam Umno, penghormatan yang sewajarnya tidak lagi diberi kepada orang yang sudah jatuh, yang dikira tidak boleh memberi apa-apa kepada orang lain, seperti Tun Musa Hitam dan Tun Ghafar Baba. Apa yang berlaku kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim adalah malapetaka daripada sifat yang buruk ini.
Sebenarnya beliau dijatuhkan kerana adanya unsur perebutan kepimpinan. Tuduhan-tuduhan yang mengheret beliau ke mahkamah dipercayai oleh kebanyakan orang sebagai penyangkut yang dicipta untuk menjatuhkan beliau. Hanya segelintir rakan-rakan daripada Umno yang menunjukkan semangat persahabatan dan terlalu sedikit yang sanggup bersama. Kebanyakan mereka selama ini lebih bersemangat mangampun untuk kepentingan diri masing-masing.
Penyakit ini menyebabkan pemimpin tidak mendapat pertolongan dan keberkatan Allah S.W.T. Sangat benar sabda Rasulullah s.a.w kepada sahabatnya iaitu Abdul Rahman bin Samurah maksudnya: "Wahai Abdul Rahman Samurah! Janganlah anda meminta untuk menjadi ketua. Jika sesuatu jawatan yang diberi kepadamu kerana permintaan engkau sendiri, nescaya ia akan diserakan kepadamu tanpa pertolongan. Sekiranya ia diberi kepadamu tanpa engkau memintanya, nescaya engkau akan diberi pertolongan." (Hadis Sohih riwayat Imam Bukhari dalam kitab al-Ahkam)
daripada buku 'Qazaf mangsa fitnah, halaman 45-49
Tiada ulasan:
Catat Ulasan