Isnin, 27 September 2010

ISTERI-ISTERI TINGGAL SERUMAH BUKAN AMALAN RASULULLAH

KEKELUARGAAN

Dato Dr Mahmood Zuhdi


Meskipun ditawarkan ganjaran payung emas di padang mahsyar, luka hati tak dapat dibendung apabila memikirkan hilangnya monopoli terhadap perhatian dan kasih orang yang dicintai.

Jika hakikat terpaksa bermadu pun satu bebanan, apatah lagi untuk berkongsi kediaman yang sekali gus menyebabkan hilangnya hak-hak persendirian.

Pengarah Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Ab. Majid berkata, menempatkan isteri-isteri di dalam satu rumah tidak haram kerana tiada sebarang nas atau hadis yang melarang perbuatan tersebut.

Bagaimanapun berdasarkan sejarah, Rasulullah s.a.w. sendiri tidak melakukan amalan tersebut walaupun mempunyai lebih daripada seorang isteri.

"Baik atau buruk amalan tersebut bergantung kepada budi bicara suami dan isteri-isteri serta penerimaan masyarakat.

"Jika semua setuju dengan seikhlas hati tanpa sebarang paksaan dan masyarakat dapat menerima amalan tersebut, maka ia dibolehkan,'' katanya.

Dr. Mahmood Zuhdi bagaimanapun menarik perhatian, perbuatan itu tidak banyak diulas dalam sejarah kerana mungkin amalan tersebut bukan satu kebiasaan.

"Mungkin masyarakat pada masa itu tidak biasa dengan amalan tersebut di samping konsep rumah yang sempit dan tidak mengizinkan.

"Jadi tentulah berbeza dengan rumah sekarang jika besarnya seperti istana yang mempunyai berpuluh bilik dengan rumah yang hanya mempunyai dua bilik,'' jelasnya.

Bagaimanapun beliau berpendapat, walau sebaik mana sekalipun, seseorang perempuan tidak akan sanggup bermadu apatah lagi ditempatkan dalam satu rumah jika diberi pilihan.

Katanya, lagikan isteri Rasulullah s.a.w., Saidatina Aisyah sendiri pernah menyatakan rasa cemburu terhadap madunya Mariah serta Khadijah, apatah lagi wanita biasa yang mempunyai sifat cemburu dan hasad dengki yang pasti akan menimbulkan masalah apabila terpaksa berada di bawah satu bumbung dengan wanita yang dianggap sebagai perampas suaminya.

Di samping itu, menempatkan isteri-isteri di dalam satu rumah mungkin akan menyebabkan berlakunya penyalahgunaan dan pengabaian dari segi maruah dan hak-hak persendirian.

"Kemungkinan yang tidak baik akan timbul bukan kerana masalah duduk dalam satu rumah, tetapi masalah pengabaian dan penyalahgunaan.

"Umpamanya amalan tersebut tidak dipersetujui oleh salah seorang isteri dan akhirnya si isteri tadi mengalami tekanan perasaan dan sebagainya,'' katanya.

Sedangkan setiap isteri berhak mendapat kediaman sendiri yang terasing daripada isteri-isteri yang lain serta hak-hak persendirian bagi menjamin maruahnya.

"Pelbagai perkara perlu diambil kira seperti tabiat pergaulan sesama isteri, giliran bersama dan lain-lain yang berkaitan.

"Walaupun ia dibolehkan, penyalahgunaan serta pengabaian terhadap keperluan dan kehendak isteri-isteri akan menyebabkan amalan tersebut tidak boleh diteruskan,''jelasnya lagi.

Walau apa pun, kata Dr. Mahmood Zuhdi, masyarakat patut melihat poligami secara sederhana tanpa terlampau prejudis atau jangan ada yang menyalahgunakannya.

Katanya, poligami adalah satu alternatif yang dibolehkan dalam keadaan tertentu. Bagaimanapun, ia akan menjadi buruk apabila diamalkan oleh mereka yang kurang bertanggungjawab.

Apa yang perlu, pandangan terhadap poligami perlu dibersihkan agar ia kelak akan disertai oleh orang-orang yang bertanggungjawab.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan