Rabu, 8 September 2010

RAMADHAN DAN LAILATUL QADAR

TAZKIRAH

Sumber:Dewan Ulamak PAS Terengganu



Ibadat puasa melatih diri kita untuk membentuk diri. Pada bulan yang mulia ini kita boleh mengambil pengajaran daripada peristiwa kemenangan yang dikurniakan oleh Allah kepada orang Islam terdahulu di bulan Ramadhan seperti dalam peperangan Badar, ketika pembukaan Makkah, kemenangan di ‘Ain Jalut mengalahkan bangsa Tartar yang ganas dan lain-lain.

Perang Badar berlaku pada 17 Ramadhan hari Jumaat tahun kedua hijrah. Ketika umat Islam baru menerima kewajipan berpuasa. Apabila Rasulullah s.a.w. keluar bersama sahabatnya di dalam pasukan yang kecil berjumlah seramai 313 orang dengan sedikit kelengkapan dan persediaan, tiba-tiba mereka terserempak dengan bala tentera musyrikin Makkah yang berjumlah seramai 1000 orang.

Kaum musyrikin yang lengkap bersenjata keluar dengan semangat yang berkobar-kobar adalah berasala daripada satu bangsa, satu negeri, daripada dua tanah suci orang Islam tetapi mempunyai matlamat yang berbeza. Satu bangsa tetapi berbeza akidah, perjuangan dan matlamat hidup. Satu puak orang –orang Islam dan satu puak lagi orang-orang kafir.

Sebelum peperangan Badar bermula, Rasulullah s.a.w. telah bermunajat dan mengadu kepada Allah SWT dengan hati yang khusyuk:

“ Wahai Tuhanku! jika sekiranya pasukan kecil ini kalah nescaya engkau tidak lagi disembah.” (Muslim).

Rasulullah tidak menyebut: kalau kami kalah maka anak isteri kami akan menjadi tawanan, kami akan dibunuh, harta kami akan dirampas dan tanah air kami akan dijajah.

Berbeza pula dengan Abu Jahal yang memimpin tentera musyrikin dari Makkah yang berdoa:
:
“Wahai Tuhanku! Inilah dia orang yang memutuskan silaturahim (memecah belah anak beranak) dan membawa ajaran sesat, maka binasakanlah dia di pagi ini.” (al-Hakim)

Abu Jahal mempertahankan kesesatan dengan berlindung di sebalik silaturahim dan menuduh Nabi Muhammad dan orang-orang yang beriman itu sesat. Dia lupa kepada permasalahan utama dalam kehidupan manusia iaitu mentauhidkan Allah, mengabdikan diri kepada Allah, di samping menolak syirik kepada-Nnya, dan cara hidup yang lain daripada yang diajar oleh Allah SWT .

Lihatlah keyakinan tentera Islam bersama Nabi. Apabila Rasul memberi pilihan kepada mereka sama ada balik ke Makkah atau menghadapi musuh yang lebih besar ini, tiba-tiba seorang daripada mereka bernamaal-Miqdad ibn al-Aswad menjawab dengan penuh kesedaran:

“Wahai Rasulullah! Kami tidak akan berkata kepadamu sebagaimana kaum Bani Israel yang berkata kepada Nabi Musa: Pergilah kamu bersama Tuhan kamu berperang, kami mahu duduk di sini sahaja. Tetapi kami berkata kepadamu : Wahai Rasulullah! Pergilah berjuang wahai Rasulullah bersama Tuhanmu! Kami juga bersama dengan Allah dan Rasul pergi berperang”.

Itulah ucapan umat Muhammad yang berbeza dengan umat yang lain. Kaum bani Israel pernah dikurniakan nabi-nabi yang mempunyai mukjizat luar biasa seperti tongkat menjadi ular dan terbelah laut merah menjadi lorong-lorong yang dilalui oleh Bani Israel dan Firaun ditinggalkan di hadapan mata mereka. Tetapi apabila Allah menguji mereka supaya berjihad mengikut Nabi Musa masuk ke Palestin bagi membebaskan Palestin daripada kaum jabarin, tiba-tiba Bani Israel menolak dan Allah menyesatkan mereka di padang pasir Sinai selama 40 tahun.

Mereka hanya patuh kepada Nabi Musa apabila melihat mukjizat di depan mata kasar mereka. Janji kemenangan secara mulut oleh Nabi Musa tidak mereka yakini.

Adapun umat Muhammad seperti tentera Islam di dalam peperangan Badar, mereka hanya membaca mukjizat Al-Quran al-Karim yang diturunkan di bulan Ramadhan yang bermaksud:

“ Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan Yang amat betul (ugama Islam).” (Surah al-Isra’, ayat 9).

Mereka beriman dengan kitab yang dibaca daripada Allah dan yakin kepada Nabi Muhammad yang menjadi pemandu dan petunjuk jalan. Akhirnya mereka dikurniakan kemenangan yang diabadikan di dalam Al-quran al- karim. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).” (Surah Ali Imran, ayat 123).

Adapun peristiwa pembukaan Makkah yang berlaku juga di dalam bulan Ramadhan , Rasulullah mengarahkan bala tentera menawan Makkah yang dipimpin oleh Abu Sufyan yang juga mertua Baginda dan dari kalangan kaum kerabat Rasulullah sendiri.

Abu Sufyan telah membatalkan perjanjian Hudaibiah. Peristiwa ini membuka ruang bagi orang-orang yang beriman untuk menawan Makkah. Maka berlaku penawanan Makakh tanpa pertempuran, apabila penduduk Makkah menyerah diri kepada Allah dan Rasul-Nya dan menjadi orang-orang yang beriman secara beramai-ramai. Firman-Nya bermaksud:

“ Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah). Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai. Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia amat menerima taubat.” (Surah al-Nasr, ayat 1 – 3).

Ingatlah makna “fatah” Mekah yang berlaku di bulan Ramadhan . Adapun peristiwa Ain Jalut apabila tentera Tartar yang keluar dari Asia Tengah mara dengan bala tentera yang gagah berani dan ganas sehingga mereka menawan Baghdad yang menjadi pusat kerajaan Abbasiyah dan pusat pemerintahan Islam. Dikatakan mereka membunuh 4 juta manusia. Baghdad menjadi kolam darah. Kitab-kitab yang dikarang oleh ulama dibakar hangus dan dijadikan jambatan untuk menyeberangi Sungai Furat dan Dijlah, tetapi Allah memelihara ilmu Islam.

Golongan Tartar telah memaksa umat Islam dengan merangka perlembagaan yang bernama Yasak yang diambil daripada fahaman Islam, Yahudi dan Kristian serta akal fikiran sendiri. Islam diambil untuk menipu umat Islam pada masa itu. Umat Islam dipaksa menerima ajaran Yasak itu. Kalau ingkar akan dibunuh. Tentera Tatar mara ke hadapan untuk menakluk Shams dan Mesir. Apabila mereka sampai ke Palestin di tempat yang dikenali dengan Ain Jalut, bala tentera Islam telah mendapat satu keramat. Dengan slogan ‘wa islamah’ (wahai Islam tersayang. Ayuh selamatkan Islam). Dengan slogan ini mereka bangkit menentang kaum Tatar yang dikatakan pada masa itu mustahil dapat dikalahkan. Dengan semangat Islam, Allah mengurniakan pertolongan kepada umat Islam di Ain Jalut pada bulan Ramadhan Al-Mubarak.

Marilah kita mengambil semangat Ramadhan ini dengan menyedari bahawa umat Islam pada hari ini sedang dijajah dan ada tanah air mereka yang belum dibebaskan sehingga kini. Umat Islam hari ini dizalimi dan dibunuh di mana-mana sahaja seperti di Iraq, Thailand, Filipina, Palestin, Chechenya, dan sebagainya. Di dalam masa yang sama, pemikiran umat Islam turut dijajah oleh undang-undang perlembagaan yang sama seperti Yasak.

Sesungguhnya kita tidak mendapat kemuliaan sekiranya kita tidak menjulang tinggi Islam, sebagaimana yang diucapkan oleh Saidina Umar r.a :

Kita adalah satu kaum yang dimuliakan oleh Allah SWT dengan Islam. Sekiranya kita mencari kemuliaan selain daripada kemuliaan Islam, pasti Allah SWT akan menghina kita.

Hari umat ini umat Islam mencari kemuliaan dengan wang, kemewahan, harta benda dan pangkat. Tetapi mereka tidak menggunakan nikmat itu untuk meninggikan agama Allah. Mereka menjadikan kebendaan itu sebagai matlamat hidup mereka. Oleh sebab itu mereka menjadi hina dan mendapat kehinaan daripada Allah SWT.


Lailatul-Qadr

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan (al Quran) pada malam al Qadar. Adakah kamu tahu wahai Muhammad apakah lailatul qadar itu? lailatul qadar itu adalah lebih baik daripada seribu bulan.” (Al-Qadr :Ayat 1-3)

Dinamakan Lailatul Qadar kerana kemuliaan, kelebihan, dan banyak pahala bagi orang yang mendapatkannya. Ganjaran dan nikmat berlipat ganda diberikan kepada mereka yang menghidupkan malam tersebut. Sesungguhnya ganjaran dan nikmat yang besar ini hanyalah dikurniakan kepada umat Nabi Muhammad SAW dan tidak dikurniakan kepada umat-umat terdahulu. Ini kerana usia umat Nabi Muhammad SAW SAW lebih pendek berbanding dengan umat terdahulu. Rasulullah SAW berdoa supaya Allah SWT memberi peluang kepada umatnya beramal dengan nilai yang sama dengan amal umat terdahulu dan doanya dimakbulkan Allah SWT.

Mengikut pendapat Syeikh Muhammad Abduh dinamakan Lailatul Qadr ialah kerana pada malam itu Allah SWT mula mentakdirkan agamaNya dan memerintah nabiNya menyeru manusia kepada agamaNya yang menghindar manusia daripada kerosakan dan kehancuran. Malam tersebut adalah malam disyariatkan Islam kepada umat Nabi Muhammad SAW sebagai penyelamat dan pembawa rahmat bagi seluruh alam.

Sementara itu ada ulama yang berpendapat bahawa malam itu Allah SWT menetapkan takdir bagi setiap makhluk, termasuk umur, rezki, sihat dan sakit dalam jangka masa setahun; bermula Lailatul Qadr tahun ini hingga Lailatul Qadr tahun hadapan. Almarhum Assyahid Syed Qutb pula berpendapat malam itu dinamakan Lailatul Qadr mungkin dimaksudkan dengan takdir dan tadbir atau malam penentuan dan penyusunan tadbir Ilahi yang bererti malam yang amat tinggi nilai dan darjatnya atau malam yang agung.

Lailatul Qadr adalah satu malam yang amat agung kerana ia telah dipilih oleh Allah SWT sebagai malam permulaan Nuzul al Quran atau permulaan suluhan cahaya agama Allah ke seluruh alam, kerana al Quran itu mengandungi akidah, kepercayaan, syariat dan adab cara yang memancarkan kesejahteraan di bumi dan di hati. Mengikut Syed Qutb, Lailatul Qadr sebenarnya suatu malam yang sungguh agung, kerana pada malam itulah Allah menjelaskan segala urusan yang bijaksana , meletakkan nilai-nilai, dasar-dasar , neraca dan menetapkan nasib individu, umat, kerajaan, bangsa-bangsa, hakikat akidah, peraturan dan hati-hati manusia. Para ulama lain menyatakan kelebihan Lailatul Qadr ini disebabkan:

Pertama : Besar qadar, kemuliaan dan pahala bagi orang yang mengerjakan ibadat puasa pada siangnya dan qiyamullail pada malamnya.

Kedua: Diturunkan padanya al-Quran sekaligus dari Luh Mahfuz ke Baytulizzah (langit dunia). Kemudian diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW berperingkat-peringkat dalam masa dua puluh tahun.

Ketiga: Allah SWT mentakdirkan pada malam al-Qadar itu perkara yang menzahirkan segala maqadir (ketetapan) yang pada azali hendak diturunkannya ke atas segala hambaNya pada tahun berkenaan. firman Allah SWT yang bermaksud;

“ Sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkati dan Sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan pada malam lailatul Qadar itu dipisah-pisahkan segala pekerjaan yang dijanjikan daripada rezeki” (Al-Dukhan 3-4)

Rasulullah SAW pernah bersabda: "Sesungguhnya telah datang kepada kamu Ramadan bulan diberkati. Allah mewajibkan berpuasa padanya. Dibuka segala pintu Syurga, ditutup pintu Neraka dan dibelenggu segala syaitan.Padanya ada satu malam yang terlebih baik daripada seribu bulan. Mereka yang tidak diberi kebaikan pada malam itu bermakna telah diharamkan baginya segala rupa kebajikan." (Riwayat Ahmad, Nasa’i dan Abu Hurairah)

Para ulama bersepakat bahawa Lailatul Qadar hanya berlaku pada bulan Ramadhan terutamanya pada sepuluh malam terakhir. Tarikh dan masanya tidak diketahui kerana Allah SWT dan RasulNya tidak memberitahunya kerana ada hikmatnya tersendiri. Oleh itu kita dituntut supaya bersungguh-sungguh mengerjakan ibadat sepanjang bulan Ramadan dengan tidak membezakan hari-hari tertentu dengan hari yang lain. Di samping itu juga supaya umat Islam sentiasa berusaha mengerjakan ibadat pada setiap malam Ramadan tanpa menumpukan pada malam-malam tertentu sahaja.

Kelebihan Lailatul Qadar tidak dianugerahkan kepada sebarangan orang, tetapi dianugerahkan kepada yang benar-benar berusaha dan berikhtiar untuk mendapat kelebihannya dengan penuh ikhlas, jujur, khusyuk, tawadduk dan istiqamah dalam beribadat. Merekalah yang akan mendapat peluang bertemu dengan Lailatul Qadar.

Apa yang mesti kita lakukan apabila bertemu dengan Lailatil Qadar. Kita hendaklah lakukan sebagaimana hadis yang diriwayatkan Aisyah RA. Beliau berkata: “ Wahai Rasulullah SAW bagaimana kalau saya bertemu Lailatul Qadar?. Apa yang perlu saya ucapkan pada malam itu?.

Baginda bersabda: “ Ucapkanlah Ya Allah, kami bermohon padaMu, Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, suka mengampuni hamba-hambaMu, maka ampunlah( dosa-dosa) kami . (Riwayat at-Tarmizi, Nasai, Ibnu Majah dan Ahmad )

Setengah daripada tanda-tanda Lailatul Qadar ialah sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam hadis diriwayatkan oleh al Hasan…“Nabi SAW telah keluar, sedangkan orang ramai sedang bertelingkah, maka Nabi bersabda: Aku keluar kepada kamu dan aku akan memberitahu kepada kamu tentang Lailatul Qadr, tetapi aku khuatir kalau kamu berpegang kepadanya dan semoga menjadi lebih baik, kerana itu kamu cari Lailatul Qadr itu pada malam dua puluh satu, dua puluh tiga, dua puluh lima, dua puluh tujuh dan pada akhir malam Ramadhan dan tanda-tandanya udara malam itu tenang, tidak panas dan tidak sejuk, matahari terbit pada paginya tidak tajam cahayanya, siapa yang bangun pada malam Lailatul Qadr terdorong oleh iman dan benar-benar mengharapkan pahala dari Allah SWT, maka Allah SWT akan mengampunkan semua dosa yang terjadi sebelumya."

Mengenai berlaku malam al-Qadr, para ulama berbeza pendapat mengenainya;

1. Imam Nawawi berkata bahawa sebahagian ulama menyatakan Lailatul Qadr itu bergilir-gilir dari tahun ketahun. Apabila ia berlaku pada 29 Ramadan pada tahun ini, maka pada tahun hadapan berlaku malam yang lain pula.

2. Ibnu Hazm pula berpendapat Lailatul Qadr berlaku pada malam-malam ganjil 21,23,25,27 atau 29 Ramadan.

3. Ibnu Arabi dan lain-lain pula berpendapat Lailatul Qadr berlaku pada malam Jumaat ganjil iaitu malam sepuluh terakhir dari bulan Ramadhan berdasarkan hadis Rasulullah SAW: “Carilah sedaya upaya kamu Lailatul Qadr itu pada sepuluh malam ganjil pada akhir Ramadan.”

4. Jumhur ulama pula berpendapat Lailatul Qadr berlaku pada malam yang sama setiap Ramadan; pada malam 27 berdasarkan hadis Rasulullah SAW “ Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Carilah Lailatul Qadr pada malam 27’.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan