Khamis, 30 September 2010

PANDUAN UNTUK MENGHAFAZ AL QURAN

UMUM

Oleh: Ustaz Shamsul Hakin


PERSEDIAAN SEBELUM MENGHAFAL :

1. Membersihkan diri dari segala hadas.

2. Memakai wangi-wangian.

3. Bersugi atau memberus gigi.

4. Berwudhuk.

5. Memilih mushaf yang biasa digunakan seharian.
 Pastikan tulisan mudah dibaca.
 Sebaiknya menggunakan mushaf rasm uthmani.

6. Memilih tempat yang sesuai untuk menghafaz Al Quran.

7. Memilih waktu yang sesuai untuk menghafaz Al Quran. Waktu yang dicadangkan:
 Selepas subuh.
 Selepas maghrib.

8. Pilih guru yang ingin anda perdengarkan bacaan dan hafalan anda.

9. Perbetulkan niat untuk menghafal Al Quran.

CARA MENGHAFAZ :

1. Tentukan had bilangan ayat atau mukasurat yang hendak dihafal.

2. Bacalah ayat yang hendak dihafal. Pastikan bacaan tersebut betul dari segi tajwid dan sebutan.

3. Ulang bacaan dengan disemak bacaan tersebut supaya tidak ada kesilapan setiap kali ianya diulang.
 Bilangan ulangan ayat yang dicadangkan adalah sebanyak 60 / 30 / 10 / dan lain-lain bersandarkan kepada kemampuan ingatan seseorang.
 Semakin banyak ayat diulang semakin mudah ianya dihafal dan kekal lebih lama dalam ingatan.

4. Sebaik sahaja selesai ulangan bacaan tersebut dan anda berpuashati dengan bacaan tersebut, mulakan dengan mengulang ayat yang pertama yang ingin dihafal sehinggalah berjaya menghafal ayat tersebut.

5. Kemudian berpidahlah ke ayat yang kedua. Ulang langkah yang sebelumnya sehingga selesai hafalan ayat yang ketiga.

6. Ulang hafalan ayat satu kemudian diiukuti ayat yang kedua.

7. Selepas anda yakin ayat satu dan dua telah dihafal dengan hafalan yang sempurna mulakan hafalan dengan diulang langkah yang digunakan pada ayat yang pertama dan ayat yang kedua. Kemudian susuli dengan urutan ayat satu dua dan tiga dihafal serentak.

8. Ayat yang berikutnya juga dilakukan langkah seperti ayat satu dua dan tiga sehinggalah sampai ke had yang telah ditetapkan ( cth : 1 ms / 1 ‘ain ).

9. Ulanglah keseluruhan hafalan sehinggalah benar-benar yakin hafalan tersebut sempurna.

10. Perdengarkan bacaan kepada guru atau kawan yang dipilih.

11. Apabila ingin memulakan hafalan yang baru, ulang terlebih dahulu hafalan yang lalu, barulah dimulakan hafalan yang baru dengan cara yang sama pada hafalan yang lalu.

12. Hafallah setiap ayat dan alunkanlah ia dengan penuh tadabbur dan dengan penuh kesungguhan serta niat untuk memahami dan memelihara kalam Allah.

SELEPAS MENGHAFAL :

1. Berdoa agar dikurniakan keberkatan dalam hafalan. Antara doa yang baik
untuk dibaca :

اللَّھُمَّ ارْحَمْناَ بِالْقُرْآنِ وَاجْعَلْھُ لَناَ إِماَماً وَنُوراً وَھُدىً وَرَحْمَةً
اللَّھُمَّ ذَكِّرْناَ مِنْھُماَ نُسِّیْناَ وَعَلِّمْناَ مِنْھُمَا جَھِلْنَا وَارْزُقْناَ تِلاَوَتَھُ أَنَاءَ اللَّیْلِ وَأَطْرَافَ النَّھَارِ
وَاجْعَلْھُ لَناَ حُجَّةً یَا رَبَّ الْعَالَمِینَ
.
“ Ya Allah Rahmatilah kami dengan Al Quran, jadikanlah ia pemimpin , cahaya
dan petunjuk dan rahmat bagi kami.

Ya Allah ingatkanlah kami apa yang kami dilupakan , ajarilah kami apa tidak tahu dan berikanlah kami rezeki membacanya di sebelah malam dan di sebelah siang. Jadikanlah ianya hujjah bagi kami wahai Tuhan sekalian alam”.

2. Pastikan Al Quran sentiasa dibaca dan diulang selalu. Pastikan setiap hari ada jadual mengulang dan jadual hafalan yang baru.

3. Berusaha untuk memperbaiki bacaan , memahami makna, hukum dan hikmah yang terkandung di dalam setiap ayat.

4. Berusaha untuk beramal dengan setiap perintah yang didatangkan dan berusaha menjauhi setiap larangan yang terkandung di dalam Al Quran.

TABIAT MEREKA YANG INGIN MENGHAFAZ AL QURAN

1. Sentiasa di dalam keadaan bersih dan suci.

2. Sentiasa berjaga-jaga daripada termakan makanan atau minuman yang haram, begitu juga yang syubhat.

3. Rajin bangun di waktu malam untuk berqiyamullail, membaca Al Quran dan menunaikan solat malam.

4. Mengelakkan daripada melakukan perkara yang sia-sia sama ada dalam bentuk perbuatan atau percakapan serta menjauhi perkara yang dilarang oleh Allah sama ada dalam bertuk percakapan atau perbuatan.

5. Menjaga tingkahlaku dan percakapan seharian.

6. Rajin berpuasa sunat.

7. Memastikan niat menghafal Al Quran sentiasa kerana Allah bukan kerana habuan dunia dan sebagainya.

8. Menjaga hubungan baik dengan Allah dan manusia.

Isnin, 27 September 2010

ISTERI-ISTERI TINGGAL SERUMAH BUKAN AMALAN RASULULLAH

KEKELUARGAAN

Dato Dr Mahmood Zuhdi


Meskipun ditawarkan ganjaran payung emas di padang mahsyar, luka hati tak dapat dibendung apabila memikirkan hilangnya monopoli terhadap perhatian dan kasih orang yang dicintai.

Jika hakikat terpaksa bermadu pun satu bebanan, apatah lagi untuk berkongsi kediaman yang sekali gus menyebabkan hilangnya hak-hak persendirian.

Pengarah Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Ab. Majid berkata, menempatkan isteri-isteri di dalam satu rumah tidak haram kerana tiada sebarang nas atau hadis yang melarang perbuatan tersebut.

Bagaimanapun berdasarkan sejarah, Rasulullah s.a.w. sendiri tidak melakukan amalan tersebut walaupun mempunyai lebih daripada seorang isteri.

"Baik atau buruk amalan tersebut bergantung kepada budi bicara suami dan isteri-isteri serta penerimaan masyarakat.

"Jika semua setuju dengan seikhlas hati tanpa sebarang paksaan dan masyarakat dapat menerima amalan tersebut, maka ia dibolehkan,'' katanya.

Dr. Mahmood Zuhdi bagaimanapun menarik perhatian, perbuatan itu tidak banyak diulas dalam sejarah kerana mungkin amalan tersebut bukan satu kebiasaan.

"Mungkin masyarakat pada masa itu tidak biasa dengan amalan tersebut di samping konsep rumah yang sempit dan tidak mengizinkan.

"Jadi tentulah berbeza dengan rumah sekarang jika besarnya seperti istana yang mempunyai berpuluh bilik dengan rumah yang hanya mempunyai dua bilik,'' jelasnya.

Bagaimanapun beliau berpendapat, walau sebaik mana sekalipun, seseorang perempuan tidak akan sanggup bermadu apatah lagi ditempatkan dalam satu rumah jika diberi pilihan.

Katanya, lagikan isteri Rasulullah s.a.w., Saidatina Aisyah sendiri pernah menyatakan rasa cemburu terhadap madunya Mariah serta Khadijah, apatah lagi wanita biasa yang mempunyai sifat cemburu dan hasad dengki yang pasti akan menimbulkan masalah apabila terpaksa berada di bawah satu bumbung dengan wanita yang dianggap sebagai perampas suaminya.

Di samping itu, menempatkan isteri-isteri di dalam satu rumah mungkin akan menyebabkan berlakunya penyalahgunaan dan pengabaian dari segi maruah dan hak-hak persendirian.

"Kemungkinan yang tidak baik akan timbul bukan kerana masalah duduk dalam satu rumah, tetapi masalah pengabaian dan penyalahgunaan.

"Umpamanya amalan tersebut tidak dipersetujui oleh salah seorang isteri dan akhirnya si isteri tadi mengalami tekanan perasaan dan sebagainya,'' katanya.

Sedangkan setiap isteri berhak mendapat kediaman sendiri yang terasing daripada isteri-isteri yang lain serta hak-hak persendirian bagi menjamin maruahnya.

"Pelbagai perkara perlu diambil kira seperti tabiat pergaulan sesama isteri, giliran bersama dan lain-lain yang berkaitan.

"Walaupun ia dibolehkan, penyalahgunaan serta pengabaian terhadap keperluan dan kehendak isteri-isteri akan menyebabkan amalan tersebut tidak boleh diteruskan,''jelasnya lagi.

Walau apa pun, kata Dr. Mahmood Zuhdi, masyarakat patut melihat poligami secara sederhana tanpa terlampau prejudis atau jangan ada yang menyalahgunakannya.

Katanya, poligami adalah satu alternatif yang dibolehkan dalam keadaan tertentu. Bagaimanapun, ia akan menjadi buruk apabila diamalkan oleh mereka yang kurang bertanggungjawab.

Apa yang perlu, pandangan terhadap poligami perlu dibersihkan agar ia kelak akan disertai oleh orang-orang yang bertanggungjawab.

Isnin, 13 September 2010

MENYAMBUT PERAYAAN CARA ISLAM DAN SUNNAH RASULULLAH

UMUM

PERAKIAN ONLINE

Salam bahagia dan salam gembira kepada semua pengunjung. Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat hari raya maaf zahir dan batin kepada semua pengunjung blog ini, saya mohon maaf kalau-kalau setiap artikel dan jawapan saya berikan kepada persoalan anda semua tidak menepati apa yang anda inginkan. Saya juga memohon maaf jika ada apa-apa kesilapan yang telah dilakukan.

Semperna menyambut hari raya ini, saya cuba siapkan satu artikel yang berkaitan sambutan hari raya yang telah diajarkan oleh Baginda Nabi Muhammad saw kepada umatnya. Jika kita melakukannya, maka kita semua akan mendapat pahala sunah atau pahala menghidupkan amalan yang telah diajarkan oleh Baginda.

Bertakbir

Bertakbir pada tarikh 1 Syawal bersempena Aidilfitri merupakan suatu amalan yang disyariatkan. Takbir pada hari Aidilfitri bermula ketika terlihatnya hilal (anak bulan) dan berakhir setelah selesainya kemuncak hari raya, iaitu ketika imam selesai berkhutbah. Firman Allah yang bermaksud :

“Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.” (Al-Baqarah : 185)

Adalah juga disunnahkan untuk kita bertakbir disepanjang perjalanan dari rumah kita menuju ke masjid untuk menunaikan solat Aidilfitri. Menurut Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani dalam Kitab Meneladani Rasulullah saw Dalam Berhari Raya :

“Mengenai syariat bertakbir (pada hari raya Aidilfitri) yang perlu dilakukan oleh kaum muslimin ialah bertakbir dengan suara lantang ketika dalam perjalanan menuju ke tempat solat walaupun kebanyakan umat Islam mula memandang remeh sunnah ini.”

Bertakbir sejak mula keluar dari rumah bertujuan menyerlahkan syiar Islam di setiap pelusuk jalan yang dilalui ketika menuju ke masjid.

Lafaz Ucapan Selamat Pada Hari Raya Aidilfitri

Majoriti amalan umat Islam di Malaysia akan mengucapkan antara satu sama lain pada hari lebaran dengan ucapan “Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin”. Namun, apa yang lebih bertepatan dengan amalan para salafussoleh dalam meneladani sunnah Nabi saw adalah sebagaimana yang diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani yang dinukilkan daripada Jubair bin Nufair ra dalam Kitab Fath Al-Bari :

“Apabila para sahabat Rasulullah saw bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain ‘taqabbalullah minna waminka’ (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu).”

Meneruskan Qiamullail

Jika sepanjang bulan Ramadan kita telah bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan pelbagai ibadah terutamanya solat qiyam Ramadan (solat tarawih), ia seharusnya diteruskan juga pada hari-hari berikutnya dengan mengerjakan solat tahajjud. Saranan ini tidak bermaksud mengkhususkan pada malam Aidilfitri untuk dikerjakan qiamullail. Apa yang cuba ditekankan di sini adalah semangat mengerjakan qiyam Ramadan (solat tarawih) haruslah diteruskan dengan mengerjakan qiamullail pada hari-hari berikutnya sesudah bulan Ramadan.

Mandi Pada Pagi Hari Raya

Disunnahkan mandi di pagi hari raya sebagaimana mandi wajib, iaitu sebelum berangkat menuju ke masjid. Ali bin Abi Thalib ra pernah ditanya mengenai mandi :

“Adakah diharuskan mandi setiap hari? Beliau menjawab : Tidak harus melakukannya. Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri.” (Riwayat Imam Syafie di dalam Musnad al-Syafi’i)

Makan Sebelum Solat Aidilfitri

Disunnahkan kaum muslimin menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan solat Aidilfitri. Perbuatan ini bertujuan menutup segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari raya. Menurut al-Muhallab dalam Kitab Fath Al-Bari :

“Mengenai hikmah menjamah makanan sebelum mengerjakan solat hari raya adalah agar seseorang tidak berpendapat bahawa dia boleh berpuasa sehingga solat hari raya Aidilfitri dilaksanakan. Seolah-olah Rasulullah s.a.w ingin menutup prasangka semacam ini.”

Kebiasaannya, Rasulullah saw akan memakan kurma dalam jumlah yang ganjil pada pagi hari raya. Namun, tidak bermakna umat Islam perlu menyediakan buah kurma untuk dimakan pada pagi hari raya Aidilfitri. Mereka bebas memakan apa sahaja. Tetapi, mengikut sunnah itu lebih baik daripada menyanggahinya. Sedangkan, sunnah itu termasuk perkara tauqifi (tidak boleh dipersoalkan). Anas bin Malik ra berkata :

“Rasulullah saw tidak akan pergi ke tempat solat pada pagi Aidilfitri sebelum memakan beberapa biji kurma. Murajja bin Raja berkata : Ubaidillah menceritakan kepadaku bahawa Anas r.a berkata : Rasulullah saw memakannya dalam jumlah yang ganjil.” (Riwayat al-Bukhari)

Namun, jika tidak memiliki kurma maka dibolehkan untuk mengisi perut dengan makanan lain terutamanya makanan yang manis-manis seperti madu. Sekiranya tidak ada makanan sama sekali, memadai dengan hanya meminum air.

Memakai Pakaian Yang Indah

Disunnahkan kaum muslimin menghiaskan diri dengan pakaian yang indah-indah pada hari raya. Imam Syafi’i berkata dalam Kitab Al-Umm :

“Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian.”

Bagi kaum wanita pula walaupun disunnahkan memakai pakaian yang terbaik, namun mereka hendaklah menghindari dari memakai pakaian yang bercorak-corak serta perhiasan yang berlebih-lebihan sehingga menarik perhatian golongan lelaki. Bagi golongan kanak-kanak pula, Imam Syafi’i menambah :

“Mengenai golongan kanak-kanak pula, mereka boleh memakai pakaian paling bagus yang dimilikinya, baik lelaki mahupun perempuan dan mereka juga boleh memakai perhiasan emas atau apa sahaja perhiasan.”

Semoga di pagi hari raya kita akan memilih pakaian yang terbaik serta paling mahal mengikut kemampuan masing-masing menuju ke tempat solat hari raya. Disunnahkan juga bagi kaum lelaki memakai wangi-wangian tetapi tidak disunnahkan kepada kaumwanita. Sabda Rasulullah saw :

“Mana-mana wanita yang memakai wangian lalu dia melintas di hadapan lelaki supaya mereka dapat menghidu kewangiannya, dia adalah penzina.”(Riwayat al-An-Nasai)

Berjalan Kaki Menuju Tempat Dikerjakan Solat Hari Raya

Umat Islam dianjurkan berjalan kaki menuju ke tempat solat Aidilfitri jika tidak keberatan. Ali bin Abi Thalib ra :

“Termasuk sunnah, iaitu engkau berjalan kaki menuju ke tempat solat hari raya dan memakan sesuatu sebelum berangkat.” (Riwayat al-Tirmizi)

Namun begitu bagi yang sesiapa yang perlu menggunakan kenderaan kerana tempat solat terlalu jauh, ia dibolehkan dalam syarak. Tetapi, berjalan kaki menuju ke tempat solat lebih afdal berbanding menaiki kenderaan.

Mengikuti Jalan Yang Berbeza Ketika Pergi Dan Kembali Dari Mengerjakan Solat Hari Raya

Disunnahkan juga mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan balik dari mengerjakan solat hari raya. Jabir bin Abdullah ra berkata :

“Nabi saw melalui jalan yang berbeza pada hari raya.” (Riwayat al-Bukhari)

Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah berkata dalam Kitabnya Zaadul Maad :

“Baginda saw selalu melalui jalan yang berbeza ketika menuju dan pulang dari tempat solat pada hari raya. Ada yang berpendapat, hal ini dilakukan agar dapat bersalaman dengan orang-orang yang melalui kedua-dua jalan itu. Sebahagian lain berpendapat untuk memberikan barakah kepada mereka. Ada juga berpendapat untuk memberikan pertolongan kepada mereka yang memerlukannya di kedua-dua jalan itu. Menurut pendapat lain pula untuk menampakkan syiar Islam di jalan-jalan. Pendapat yang lebih tepat adalah supaya perjalanan yang ditempuh lebih jauh (banyak langkahnya). Orang yang berjalan ke masjid atau tempat solat, salah satu langkah kakinya akan meninggikandarjat. Sedangkan langkah kaki yang lain akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya.”

Tempat Perlaksanaan Solat Hari Raya

Sunnah mengerjakan solat hari raya di kawasan lapang atau musholla (tempat terbuka seperti padang sehingga khatib dapat melihat semua hadirin) merupakan satu amalan yang jarang dilakukan di Malaysia melainkan beberapa kelompok kecil yang benar-benar kuat berpegang kepada sunnah Nabi saw. Apakah musholla itu berbeza dengan masjid? Abu Said al-Khudri ra berkata :

“Pada hari Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w keluar menuju ke musholla. Ketika itu, perkara pertama yang dilakukan oleh baginda ialah mengerjakan solat hari raya (tanpa ada sebarang solat sunat).” (Riwayat al-Bukhari)

Tentang hikmah mengerjakan solat hari raya di musolla, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan telah berkata dalam Kitabnya Koreksi Total Ritual Solat :

“Sesungguhnya mengerjakan kedua-dua solat hari raya di tanah lapang mengandungi hikmah yang besar. Di antaranya adalah seluruh kaum muslimin setidak-tidaknya mereka boleh berkumpul bersama (bersua muka) dua kali dalam setahun. Semua orang dariseluruh pelusuk negeri akan berkumpul di sebuah tempat sama ada lelaki, perempuan atau kanak-kanak. Mereka semua menghadap Allah dengan hati yang penuh konsentrasi, dikumpulkan dengan satu kalimat (tauhid), solat di belakang seorang imam, membaca takbir dan tahlil bersama dan berdoa kepada Allah dengan penuh ikhlas. Seakan-akan hati mereka terikat menjadi satu, merasa bahagia dan mensyukuri nikmat Allah yang telah dilimpahkan kepada mereka. Dengan itu, hari raya benar-benar bermakna bagi mereka.”

Mengerjakan Solat Aidilfitri

Di antara syiar yang palin utama dalam menyambut Aidilfitri adalah perlakasanaan solat Aidilfitri sebanyak 2 rakaat oleh seluruh umat Islam. Ibn Abbas ra berkata :

“Rasulullah s.a.w telah keluar pada hari raya Aidilfitri kemudian terus mengerjakan solat hari raya sebanyak dua rakaat. Baginda tidak melakukan sebarang solat sebelumnya dan sesudahnya.” (Riwayat al-Bukhari)

Disunnahkan menyampaikan khutbah sesudah mengerjakan solat hari raya Aidilfitri. Abu Said al-Khudri ra berkata :

“Pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah saw akan keluar menuju musolla. Perkara pertama yang dilakukan oleh baginda (apabila tiba di masjid) baginda akan mengimami solat. Kemudian, baginda akan berpusing dan menghadap ke arah makmum yang sedang duduk di dalam saf mereka. Seterusnya, baginda akan memberikan nasihat, wasiat dan perintah kepada mereka (khutbah).” (Riwayat al-Bukhari)

Para jemaah tidak diwajibkan menghadiri atau mendengar khutbah hari raya. Sebaik sahaja selesai mengerjakan solat hari raya, sesiapa yang tidak ingin turut serta mendengar khutbah maka dia dibenarkan meninggalkan majlis itu. Abdullah bin al-Saib ra berkata :

“Aku pernah menghadiri solat hari raya bersama Nabi saw. Setelah selesai solat baginda bersabda : Sesungguhnya kami akan berkhutbah. Oleh itu, sesiapa ingin duduk mendengar khutbah, dia boleh duduk. Sesiapa yang ingin pergi, dia boleh beredar.” (Riwayat Abu Daud)

Bergembira Pada Hari Raya Aidilfitri

Islam adalah agama yang begitu praktikal lagi munasabah. Setelah sebulan umat Islam memberi tumpuan sepenuhnya untuk beribadah kepada Allah, maka kini tiba masanya untuk menyambut kejayaan itu dengan kegembiraan dan kemeriahan. Oleh itu, usaha-usaha untuk menimbulkan suasana kegembiraan di dalam keluarga masing-masing pada hari raya Aidilfitri adalah sebahagian daripada syiar Islam. Suasana kegembiraan ini berbeza mengikut adat setempat. Bagi kita di Malaysia, kegembiraan sambutan hari rayaAidilfitri dapat dilihat dengan memakai baju-baju baru yang indah, seluruh ahli keluarga berkumpul, ziarah-menziarah sesama umat Islam dan pelbagai lagi. Di sesetengah negara Timur Tengah, cuti umum hari raya Aidilfitri dipergunakan untuk membawa ahli keluarga bersiar-siar serta berkelah di tempat-tempat peranginan. Semua bentuk suasana kegembiraan dan kemeriahan ini adalah sebahagian dari tuntutan agama Islam sempena menyambut hari raya Aidilfitri selagi ia dilaksanakan sesuai dengan lunas-lunas syarak. Syeikh Sayyid Sabiq berkata dalam Kitabnya Fiqh Al-Sunnah :

“Mengadakan permainan serta kegembiraan yang tidak melanggar aturan agama, termasuk pelbagai bentuk nyanyian yang baik (dari segi makna), semua itu termasuk syiar agama yang disyariatkan oleh Allah pada hari raya untuk melatih tubuh jasmani dan memberi kepuasan serta kegirangan hati.

Mengerjakan Puasa Sunat Enam Hari Pada Bulan Syawal

Sabda Rasulullah saw :

“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun.” (Riwayat Muslim)

Demikianlah keutamaan puasa sunat enam hari di bulan Syawal. Cara yang paling afdal untuk melaksanakannya adalah memulakan berpuasa sesudah hari raya Aidilfitri secara berturut-turut (bermula pada 2 Syawal) sebagaimana yang ditetapkan oleh para ulama. Ini juga merupakan pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Syafi’i. Namun, seseorang bebas memilih mana-mana hari sepanjang bulan Syawal sama ada di awal, pertengahan mahupun di akhirnya bahkan dia juga boleh mengerjakan secara berturut-turut atau berpisah-pisah.

Penutup

Inilah sebahagian daripada hukum-hakam dan amalan yang disunnahkan ketika menyambut bulan Ramadan al-Mubarak dan hari raya Aidilfitri menurut al-Quran dan sunnah yang sepatutnya dijadikan contoh ikutan bagi seluruh umat Islam. Mudah-mudahan, sambutan hari raya Aidilfitri yang akan menjelma nanti disambut dengan penuh keikhlasan, kemeriahan dan selari dengan perintah Allah serta Rasul saw.

Ahad, 12 September 2010

ANTARA DOA DAN POLITIK

UMUM

Oleh: Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin

Baru-baru heboh isu seorang tokoh politik telah mendoakan agar keburukan menimpa pemimpin negara. Doa ini adalah tindakan balas bagi isu royalti minyak Kelantan.

Berbagai pandangan dikeluarkan. Biasanya, penyokong parti politik masing-masing akan memberikan pandangan yang berpihak. Kesemua pihak cuba membela tokoh partinya. Itulah salah satu keburukan politik kepartian apabila fanatik menyelimuti diri.

Golongan agama yang berkepentingan pun akan mengambil kesempatan mengampu pihak yang boleh memberi manfaat keduniaan kepada mereka. Maka pandangan dan hukum agama akan diberikan berasaskan kepada keperluan politik, bukan tuntutan nas dan penilaian realiti yang berlaku.

Sedangkan nas syarak itu asas, sedangkan realiti itu dinilai dalam melihat adakah wujud keserasian untuk dipadankan nas tertentu dengan konteksnya yang sesuai.

Maka perkara pertama seorang pengkaji Islam hendaklah memahami apakah dalil-dalil syarak dalam sesuatu perkara.

Kedua, adakah dalil-dalil itu bertepatan dengan realiti atau konteks yang wujud. Umpamanya perkara yang pernah saya sebutkan dahulu tentang hukum menjawab salam bukan muslim. Nabi s.a.w bersabda:

“Sesungguhnya Yahudi apabila memberi salam kepada kamu, sebenarnya dia menyebut: as-samu ‘alaika (maut atau kemusnahan). Maka kamu jawablah wa ‘alaika (ke atas kamu). (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Maka ertinya menjawab salam bukan muslim dengan ucapan ‘wa ‘alaika’ itu hanya dalam konteks di mana mereka memberi salam dengan cara dan niat yang jahat, bukan dalam keadaan yang apabila salam diberikan dengan sopan dan hormat.

Ertinya melihat nas dalam realitinya adalah penting bagi seorang sarjana dalam memahami sesuatu hukum. Perbezaan keadaan boleh membawa kepada perbezaan hukum. Namun, dalam menilai hukum ia mestilah bertitik tolak dari dalil-dalil syarak, kemudian memahami dalil-dalil tersebut dalam realitinya yang sebenar.

Saya bukan ingin berbicara tentang doa politik tersebut, tetapi ingin berbalik kepada isu doa keburukan kepada sesama muslim, boleh atau tidak?. Ada yang menjawab sama sekali tidak boleh. Ada pula yang menjawab sama sekali boleh. Mungkin ada yang fanatik parti akan menjawab, doa untuk parti musuh boleh, parti sendiri tak boleh. Itu pun belum lagi kita tanya dia ‘bagaimanakah mengklasifikasi perkataan ‘musuh’ menurut Islam?!

Sebelum kita melihat ke dalam konteks bersaingan politik dan salahguna agama dalam suasana politik yang ada, mungkin seseorang boleh menjadikan soalan itu lebih mudah dihayati dan difahami dengan bertanya; “jika seseorang muslim menzalimi saya, bolehkah saya doakan agar Allah mengambil tindakan atau menghukumnya di dunia?”.

Maka di sinilah memerlukan dalil-dalil syarak dalam menetap asas ini. Kemudian, barulah kita akan lihat konteksnya, iaitu adakah orang yang dikatakan zalim itu memang benar-benar zalim?! Kemudian, adakah setimpal kadar kezaliman itu dengan isi doa yang dilafazkan?!

Dalam hidup kita ini kita mungkin akan menemui manusia yang mengaku muslim tetapi sangat jahat, menginayai dan menzalimi kita. Menipu, menfitnah dan menyiksa kita; boleh atau tidak kita berdoa agar Allah mengambil tindakan kepadanya?

Lebih jelas jika kita kenang wanita yang dirogol, atau diragut sehingga cacat, atau keluarga dibunuh, adakah mereka diizinkan Islam agar berdoakan kepada Allah untuk menurunkan musibah atau balasan dunia kepada orang menzaimi mereka?!

Ungkapan sesetengah tokoh agama bahawa sama sekali tidak boleh doa bala atau keburukan kepada muslim sekalipun zalim adalah kurang teliti dan menafikan nas-nas yang mengizinkan hal ini.

Sementara kenyataan yang menyebut boleh secara mutlak berdoa agar diturunkan bala kepada muslim atau bukan muslim tanpa meneliti kadar yang dikatakan zalim itu, atau musibah yang diminta itu akan menyebabkan doa menjadi permainan lidah dan berlaku kemelampauan dalam berdoa. Namun kita percaya Allah Yang Maha Bijaksana tidak akan menerima doa yang tidak betul atau disalahgunakan.

Dalam hadis-hadis Nabi s.a.w menunjukkan bahawa berdoa agar Allah kenakan tindakan kepada yang patut menerima doa sedemikian rupa adalah diizinkan.

Dalam hadis riwayat al-Imam Muslim menyebut:

Umm Sulaim iaitu Umm Anas memiliki seorang anak yatim perempuan. Suatu hati Nabi s.a.w melihat kepada anak yatim tersebut. Baginda bersabda: “Oh awak, dah besar pun awak. Umur awak takkan membesar lagi”. Anak yatim tersebut kembali kepada Umm Sulaim dan menangis. Umm Sulaim bertanya: “Kenapa wahai anakku?”. Kata gadis itu: “Nabi Allah s.a.w telah mendoakan keburukan ke atasku agar umurku tidak membesar. Maka mulai sekarang umurku tidak akan membesar lagi selama-lamanya. Maka Umm Sulaim pun keluar, tergesa-gesa mengenakan tudungnya sehingga berjumpa Rasulullah s.a.w. Maka Rasulullah s.a.w pun bersabda: “Kenapa wahai Umm Sulaim?”. Kata Umm Sulaim: “Wahai Nabi Allah, adakah engkau telah mendoakan keburukan ke atas anak yatimku?”. Baginda bertanya: “Apadia wahai Umm Sulaim?”. Kata Umm Sulaim: “Anak yatimku mendakwa engkau mendoakan agar umurnya tidak membesar”. Rasulullah s.a.w pun ketawa kemudian bersabda: “Wahai Umm Sulaim! Tidakkah engkau tahu syaratku untuk tuhanku? Aku telah memberikan syarat untuk tuhanku, aku berkata: “Sesungguhnya aku manusia; aku redha seperti mana manusia redha, aku marah seperti mana manusia marah. Justeru, sesiapa sahaja di kalangan umatku yang aku doakan keburukan ke atasnya dengan sesuatu doa, sedangkan dia tidak layak maka Allah akan jadikan untuknya kesembuhan, penyucian dan perkara yang mendekatkannya dengan Allah pada Hari Kiamat nanti”.

Dalam hadis ini, ungkapan Nabi s.a.w yang seakan doa itu telah membimbangkan anak yatim tersebut. Namun, Nabi s.a.w. akur sebagai insan yang bukan malaikat, hal-hal keinsanan itu mungkin berlaku kepada baginda.

Maka baginda meminta agar doa keburukan baginda kepada mereka yang tidak layak bertukar menjadi kebaikan. Dalam ertikata lain, jika layak dengan mereka maka ia akan mengenai orang tersebut. Sikap mulia Nabi s.a.w juga menunjukkan baginda mengakui kesilapan insani itu dan memohon agar ditukar doa baginda kepada kebaikan.

Dalam hadis yang lain Nabi s.a.w menyebut:

“Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sesungguh antaranya dengan Allah tiada sebarang hijab (penghalang)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam riwayat al-Imam Muslim seorang sahabat besar Nabi s.a.w iaitu Sa’id bin Zaid telah berdoa agar Allah mengambil tindakan kepada Arwa binti Aus yang memfitnah beliau mengambil tanahnya dan mengangkat kes itu kepada Gabenor Marwan bin al-Hakam. Sa’id bin Zaid berdoa dengan menyebut: “Ya Allah! Jika dia seorang pendusta maka butakanlah matanya dan bunuhlah dia dalam tanahnya”. Maka Arwa pada akhir hayatnya buta mata dan ketika sedang berjalan terjatuh dalam sebuah lubang dalam tanahnya dan meninggal.

Dalam riwayat al-Bukhari pula menceritakan bahawa ada penduduk Kufah yang mempertikai kepimpinan gabenor mereka Sa’d bin Abi Waqqas sedangkan beliau sahabat Nabi s.a.w yang besar dan pemimpin yang soleh. Khalifah ‘Umar mengambil tindakan menggantikan Sa’d bin Abi Waqqas dengan ‘Ammar bin Yasir. Ketika siasatan sedang dijalankan didapati rakyat memuji kepimpinan Sa’d, kecuali di Masjid Bani ‘Abs seorang yang bernama Usamah bin Qatadah bangun membuat dakwaan seperti berikut: “Sesungguhnya Sa’d tidak menyertai peperangan, tidak membahagi secara saksama dan tidak adil dalam hukuman”. Sa’d menjawab: “Demi Allah aku akan berdoa dengan tiga perkara: “Ya Allah! Jika hambaMu ini (penuduh) seorang pendusta, tampil untuk menunjuk-nunjuk maka panjangkan umurnya, panjangnya kefakirannya dan dedahkan dia kepada fitnah”. Maka lelaki tersebut hidup sehingga umur terlalu lanjut tapi masih mengganggu gadis-gadis di jalanan dan cuba meraba mereka.

Doa-doa di atas jika kita lihat tidaklah terus meminta bala kepada muslim yang dianggap zalim itu, sebaliknya diikat dengan ungkapan “Ya Allah, jika dia ini berdusta maka…” atau mungkin kita sebut “jika dia telah menzalimiku maka..”. Ini kerana kita mungkin tersalah anggap, atau silap tafsiran maka wajarlah berlapik kata dalam hal ini dan serahkan kepada Allah Yang Maha Mengetahui. Penilaian zalim itu sendiri kadang kala dipengaruhi emosi, atau kita juga lupa ada kesalahan kita juga dalam kes yang kita rasa kita dizalimi.

Maka dengan cara menyebutnya berlapik kata, ia lebih santun dan Allah Maha Mengetahui. Manusia boleh membuat berbagai andaian terhadap doa, tetapi Allah Maha Mengetahui doa siapakah yang layak diterima dan siapakah pula yang mencapai ‘darjat zalim’ yang melayakkan doa orang dizalimi itu mustajab lantas menimpanya.

Berhati-hatilah yang berdoa. Juga lebih berhati-hatilah mereka yang ‘kena doa’ yang telah menzalimi orang lain. Di samping kita berdoa, kita pasrah kepada Allah, kita juga memuhasabah diri sendiri.

Rabu, 8 September 2010

RAMADHAN DAN LAILATUL QADAR

TAZKIRAH

Sumber:Dewan Ulamak PAS Terengganu



Ibadat puasa melatih diri kita untuk membentuk diri. Pada bulan yang mulia ini kita boleh mengambil pengajaran daripada peristiwa kemenangan yang dikurniakan oleh Allah kepada orang Islam terdahulu di bulan Ramadhan seperti dalam peperangan Badar, ketika pembukaan Makkah, kemenangan di ‘Ain Jalut mengalahkan bangsa Tartar yang ganas dan lain-lain.

Perang Badar berlaku pada 17 Ramadhan hari Jumaat tahun kedua hijrah. Ketika umat Islam baru menerima kewajipan berpuasa. Apabila Rasulullah s.a.w. keluar bersama sahabatnya di dalam pasukan yang kecil berjumlah seramai 313 orang dengan sedikit kelengkapan dan persediaan, tiba-tiba mereka terserempak dengan bala tentera musyrikin Makkah yang berjumlah seramai 1000 orang.

Kaum musyrikin yang lengkap bersenjata keluar dengan semangat yang berkobar-kobar adalah berasala daripada satu bangsa, satu negeri, daripada dua tanah suci orang Islam tetapi mempunyai matlamat yang berbeza. Satu bangsa tetapi berbeza akidah, perjuangan dan matlamat hidup. Satu puak orang –orang Islam dan satu puak lagi orang-orang kafir.

Sebelum peperangan Badar bermula, Rasulullah s.a.w. telah bermunajat dan mengadu kepada Allah SWT dengan hati yang khusyuk:

“ Wahai Tuhanku! jika sekiranya pasukan kecil ini kalah nescaya engkau tidak lagi disembah.” (Muslim).

Rasulullah tidak menyebut: kalau kami kalah maka anak isteri kami akan menjadi tawanan, kami akan dibunuh, harta kami akan dirampas dan tanah air kami akan dijajah.

Berbeza pula dengan Abu Jahal yang memimpin tentera musyrikin dari Makkah yang berdoa:
:
“Wahai Tuhanku! Inilah dia orang yang memutuskan silaturahim (memecah belah anak beranak) dan membawa ajaran sesat, maka binasakanlah dia di pagi ini.” (al-Hakim)

Abu Jahal mempertahankan kesesatan dengan berlindung di sebalik silaturahim dan menuduh Nabi Muhammad dan orang-orang yang beriman itu sesat. Dia lupa kepada permasalahan utama dalam kehidupan manusia iaitu mentauhidkan Allah, mengabdikan diri kepada Allah, di samping menolak syirik kepada-Nnya, dan cara hidup yang lain daripada yang diajar oleh Allah SWT .

Lihatlah keyakinan tentera Islam bersama Nabi. Apabila Rasul memberi pilihan kepada mereka sama ada balik ke Makkah atau menghadapi musuh yang lebih besar ini, tiba-tiba seorang daripada mereka bernamaal-Miqdad ibn al-Aswad menjawab dengan penuh kesedaran:

“Wahai Rasulullah! Kami tidak akan berkata kepadamu sebagaimana kaum Bani Israel yang berkata kepada Nabi Musa: Pergilah kamu bersama Tuhan kamu berperang, kami mahu duduk di sini sahaja. Tetapi kami berkata kepadamu : Wahai Rasulullah! Pergilah berjuang wahai Rasulullah bersama Tuhanmu! Kami juga bersama dengan Allah dan Rasul pergi berperang”.

Itulah ucapan umat Muhammad yang berbeza dengan umat yang lain. Kaum bani Israel pernah dikurniakan nabi-nabi yang mempunyai mukjizat luar biasa seperti tongkat menjadi ular dan terbelah laut merah menjadi lorong-lorong yang dilalui oleh Bani Israel dan Firaun ditinggalkan di hadapan mata mereka. Tetapi apabila Allah menguji mereka supaya berjihad mengikut Nabi Musa masuk ke Palestin bagi membebaskan Palestin daripada kaum jabarin, tiba-tiba Bani Israel menolak dan Allah menyesatkan mereka di padang pasir Sinai selama 40 tahun.

Mereka hanya patuh kepada Nabi Musa apabila melihat mukjizat di depan mata kasar mereka. Janji kemenangan secara mulut oleh Nabi Musa tidak mereka yakini.

Adapun umat Muhammad seperti tentera Islam di dalam peperangan Badar, mereka hanya membaca mukjizat Al-Quran al-Karim yang diturunkan di bulan Ramadhan yang bermaksud:

“ Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan Yang amat betul (ugama Islam).” (Surah al-Isra’, ayat 9).

Mereka beriman dengan kitab yang dibaca daripada Allah dan yakin kepada Nabi Muhammad yang menjadi pemandu dan petunjuk jalan. Akhirnya mereka dikurniakan kemenangan yang diabadikan di dalam Al-quran al- karim. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).” (Surah Ali Imran, ayat 123).

Adapun peristiwa pembukaan Makkah yang berlaku juga di dalam bulan Ramadhan , Rasulullah mengarahkan bala tentera menawan Makkah yang dipimpin oleh Abu Sufyan yang juga mertua Baginda dan dari kalangan kaum kerabat Rasulullah sendiri.

Abu Sufyan telah membatalkan perjanjian Hudaibiah. Peristiwa ini membuka ruang bagi orang-orang yang beriman untuk menawan Makkah. Maka berlaku penawanan Makakh tanpa pertempuran, apabila penduduk Makkah menyerah diri kepada Allah dan Rasul-Nya dan menjadi orang-orang yang beriman secara beramai-ramai. Firman-Nya bermaksud:

“ Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah). Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai. Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia amat menerima taubat.” (Surah al-Nasr, ayat 1 – 3).

Ingatlah makna “fatah” Mekah yang berlaku di bulan Ramadhan . Adapun peristiwa Ain Jalut apabila tentera Tartar yang keluar dari Asia Tengah mara dengan bala tentera yang gagah berani dan ganas sehingga mereka menawan Baghdad yang menjadi pusat kerajaan Abbasiyah dan pusat pemerintahan Islam. Dikatakan mereka membunuh 4 juta manusia. Baghdad menjadi kolam darah. Kitab-kitab yang dikarang oleh ulama dibakar hangus dan dijadikan jambatan untuk menyeberangi Sungai Furat dan Dijlah, tetapi Allah memelihara ilmu Islam.

Golongan Tartar telah memaksa umat Islam dengan merangka perlembagaan yang bernama Yasak yang diambil daripada fahaman Islam, Yahudi dan Kristian serta akal fikiran sendiri. Islam diambil untuk menipu umat Islam pada masa itu. Umat Islam dipaksa menerima ajaran Yasak itu. Kalau ingkar akan dibunuh. Tentera Tatar mara ke hadapan untuk menakluk Shams dan Mesir. Apabila mereka sampai ke Palestin di tempat yang dikenali dengan Ain Jalut, bala tentera Islam telah mendapat satu keramat. Dengan slogan ‘wa islamah’ (wahai Islam tersayang. Ayuh selamatkan Islam). Dengan slogan ini mereka bangkit menentang kaum Tatar yang dikatakan pada masa itu mustahil dapat dikalahkan. Dengan semangat Islam, Allah mengurniakan pertolongan kepada umat Islam di Ain Jalut pada bulan Ramadhan Al-Mubarak.

Marilah kita mengambil semangat Ramadhan ini dengan menyedari bahawa umat Islam pada hari ini sedang dijajah dan ada tanah air mereka yang belum dibebaskan sehingga kini. Umat Islam hari ini dizalimi dan dibunuh di mana-mana sahaja seperti di Iraq, Thailand, Filipina, Palestin, Chechenya, dan sebagainya. Di dalam masa yang sama, pemikiran umat Islam turut dijajah oleh undang-undang perlembagaan yang sama seperti Yasak.

Sesungguhnya kita tidak mendapat kemuliaan sekiranya kita tidak menjulang tinggi Islam, sebagaimana yang diucapkan oleh Saidina Umar r.a :

Kita adalah satu kaum yang dimuliakan oleh Allah SWT dengan Islam. Sekiranya kita mencari kemuliaan selain daripada kemuliaan Islam, pasti Allah SWT akan menghina kita.

Hari umat ini umat Islam mencari kemuliaan dengan wang, kemewahan, harta benda dan pangkat. Tetapi mereka tidak menggunakan nikmat itu untuk meninggikan agama Allah. Mereka menjadikan kebendaan itu sebagai matlamat hidup mereka. Oleh sebab itu mereka menjadi hina dan mendapat kehinaan daripada Allah SWT.


Lailatul-Qadr

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan (al Quran) pada malam al Qadar. Adakah kamu tahu wahai Muhammad apakah lailatul qadar itu? lailatul qadar itu adalah lebih baik daripada seribu bulan.” (Al-Qadr :Ayat 1-3)

Dinamakan Lailatul Qadar kerana kemuliaan, kelebihan, dan banyak pahala bagi orang yang mendapatkannya. Ganjaran dan nikmat berlipat ganda diberikan kepada mereka yang menghidupkan malam tersebut. Sesungguhnya ganjaran dan nikmat yang besar ini hanyalah dikurniakan kepada umat Nabi Muhammad SAW dan tidak dikurniakan kepada umat-umat terdahulu. Ini kerana usia umat Nabi Muhammad SAW SAW lebih pendek berbanding dengan umat terdahulu. Rasulullah SAW berdoa supaya Allah SWT memberi peluang kepada umatnya beramal dengan nilai yang sama dengan amal umat terdahulu dan doanya dimakbulkan Allah SWT.

Mengikut pendapat Syeikh Muhammad Abduh dinamakan Lailatul Qadr ialah kerana pada malam itu Allah SWT mula mentakdirkan agamaNya dan memerintah nabiNya menyeru manusia kepada agamaNya yang menghindar manusia daripada kerosakan dan kehancuran. Malam tersebut adalah malam disyariatkan Islam kepada umat Nabi Muhammad SAW sebagai penyelamat dan pembawa rahmat bagi seluruh alam.

Sementara itu ada ulama yang berpendapat bahawa malam itu Allah SWT menetapkan takdir bagi setiap makhluk, termasuk umur, rezki, sihat dan sakit dalam jangka masa setahun; bermula Lailatul Qadr tahun ini hingga Lailatul Qadr tahun hadapan. Almarhum Assyahid Syed Qutb pula berpendapat malam itu dinamakan Lailatul Qadr mungkin dimaksudkan dengan takdir dan tadbir atau malam penentuan dan penyusunan tadbir Ilahi yang bererti malam yang amat tinggi nilai dan darjatnya atau malam yang agung.

Lailatul Qadr adalah satu malam yang amat agung kerana ia telah dipilih oleh Allah SWT sebagai malam permulaan Nuzul al Quran atau permulaan suluhan cahaya agama Allah ke seluruh alam, kerana al Quran itu mengandungi akidah, kepercayaan, syariat dan adab cara yang memancarkan kesejahteraan di bumi dan di hati. Mengikut Syed Qutb, Lailatul Qadr sebenarnya suatu malam yang sungguh agung, kerana pada malam itulah Allah menjelaskan segala urusan yang bijaksana , meletakkan nilai-nilai, dasar-dasar , neraca dan menetapkan nasib individu, umat, kerajaan, bangsa-bangsa, hakikat akidah, peraturan dan hati-hati manusia. Para ulama lain menyatakan kelebihan Lailatul Qadr ini disebabkan:

Pertama : Besar qadar, kemuliaan dan pahala bagi orang yang mengerjakan ibadat puasa pada siangnya dan qiyamullail pada malamnya.

Kedua: Diturunkan padanya al-Quran sekaligus dari Luh Mahfuz ke Baytulizzah (langit dunia). Kemudian diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW berperingkat-peringkat dalam masa dua puluh tahun.

Ketiga: Allah SWT mentakdirkan pada malam al-Qadar itu perkara yang menzahirkan segala maqadir (ketetapan) yang pada azali hendak diturunkannya ke atas segala hambaNya pada tahun berkenaan. firman Allah SWT yang bermaksud;

“ Sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkati dan Sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan pada malam lailatul Qadar itu dipisah-pisahkan segala pekerjaan yang dijanjikan daripada rezeki” (Al-Dukhan 3-4)

Rasulullah SAW pernah bersabda: "Sesungguhnya telah datang kepada kamu Ramadan bulan diberkati. Allah mewajibkan berpuasa padanya. Dibuka segala pintu Syurga, ditutup pintu Neraka dan dibelenggu segala syaitan.Padanya ada satu malam yang terlebih baik daripada seribu bulan. Mereka yang tidak diberi kebaikan pada malam itu bermakna telah diharamkan baginya segala rupa kebajikan." (Riwayat Ahmad, Nasa’i dan Abu Hurairah)

Para ulama bersepakat bahawa Lailatul Qadar hanya berlaku pada bulan Ramadhan terutamanya pada sepuluh malam terakhir. Tarikh dan masanya tidak diketahui kerana Allah SWT dan RasulNya tidak memberitahunya kerana ada hikmatnya tersendiri. Oleh itu kita dituntut supaya bersungguh-sungguh mengerjakan ibadat sepanjang bulan Ramadan dengan tidak membezakan hari-hari tertentu dengan hari yang lain. Di samping itu juga supaya umat Islam sentiasa berusaha mengerjakan ibadat pada setiap malam Ramadan tanpa menumpukan pada malam-malam tertentu sahaja.

Kelebihan Lailatul Qadar tidak dianugerahkan kepada sebarangan orang, tetapi dianugerahkan kepada yang benar-benar berusaha dan berikhtiar untuk mendapat kelebihannya dengan penuh ikhlas, jujur, khusyuk, tawadduk dan istiqamah dalam beribadat. Merekalah yang akan mendapat peluang bertemu dengan Lailatul Qadar.

Apa yang mesti kita lakukan apabila bertemu dengan Lailatil Qadar. Kita hendaklah lakukan sebagaimana hadis yang diriwayatkan Aisyah RA. Beliau berkata: “ Wahai Rasulullah SAW bagaimana kalau saya bertemu Lailatul Qadar?. Apa yang perlu saya ucapkan pada malam itu?.

Baginda bersabda: “ Ucapkanlah Ya Allah, kami bermohon padaMu, Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, suka mengampuni hamba-hambaMu, maka ampunlah( dosa-dosa) kami . (Riwayat at-Tarmizi, Nasai, Ibnu Majah dan Ahmad )

Setengah daripada tanda-tanda Lailatul Qadar ialah sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam hadis diriwayatkan oleh al Hasan…“Nabi SAW telah keluar, sedangkan orang ramai sedang bertelingkah, maka Nabi bersabda: Aku keluar kepada kamu dan aku akan memberitahu kepada kamu tentang Lailatul Qadr, tetapi aku khuatir kalau kamu berpegang kepadanya dan semoga menjadi lebih baik, kerana itu kamu cari Lailatul Qadr itu pada malam dua puluh satu, dua puluh tiga, dua puluh lima, dua puluh tujuh dan pada akhir malam Ramadhan dan tanda-tandanya udara malam itu tenang, tidak panas dan tidak sejuk, matahari terbit pada paginya tidak tajam cahayanya, siapa yang bangun pada malam Lailatul Qadr terdorong oleh iman dan benar-benar mengharapkan pahala dari Allah SWT, maka Allah SWT akan mengampunkan semua dosa yang terjadi sebelumya."

Mengenai berlaku malam al-Qadr, para ulama berbeza pendapat mengenainya;

1. Imam Nawawi berkata bahawa sebahagian ulama menyatakan Lailatul Qadr itu bergilir-gilir dari tahun ketahun. Apabila ia berlaku pada 29 Ramadan pada tahun ini, maka pada tahun hadapan berlaku malam yang lain pula.

2. Ibnu Hazm pula berpendapat Lailatul Qadr berlaku pada malam-malam ganjil 21,23,25,27 atau 29 Ramadan.

3. Ibnu Arabi dan lain-lain pula berpendapat Lailatul Qadr berlaku pada malam Jumaat ganjil iaitu malam sepuluh terakhir dari bulan Ramadhan berdasarkan hadis Rasulullah SAW: “Carilah sedaya upaya kamu Lailatul Qadr itu pada sepuluh malam ganjil pada akhir Ramadan.”

4. Jumhur ulama pula berpendapat Lailatul Qadr berlaku pada malam yang sama setiap Ramadan; pada malam 27 berdasarkan hadis Rasulullah SAW “ Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Carilah Lailatul Qadr pada malam 27’.



SIAPA YANG KENAL DIRI MAKA KENAL TUHAN

HADIS

Dicatat oleh Dr. Musa Mohamad


Matan Hadis

من عرف نفسه فقد عرف ربه

Maksudnya :” Sesiapa yang kenal dirinya, maka kenallah tuhannya “

Kitab Yang Mengeluarkannya

Kebiasaan kitab yang mengelurkan matan di atas yang di katakana sebagai hadis ialah kitab-kitab Tauhid dan Aqidah. Contohnya Kitab al-Burhanun al-Muayad (1) , at-Tabysir fi din (2) , Ni`matu az-Zuri`ah (3) dan banyak lagi kitab yang berkaitan dengan aqidah memasukkannya sebagai hujah, tidak terlepas juga kitab-kitab jawi.

Manakala kitab hadis yang memasukkannya pula ialah kitab Huliyyatul al-Auliya (4) oleh Abu Naim.

Pendapat Ulama

Berkata penulis Kasyful Khafa (5) yang di ambil daripada Imam as-Sayuti bahawa tidak sabit sebagai hadis ( bukan hadis ). Begitu juga pendapat Imam an-Nawawi bahawa matan yang dinyatakan diatas adalah bukan hadis (6) dan berkata Ibnu as-Samaani bahawa perkataan iatu adalah perkataan Yahya bin Muaz ar-Razi r.h (7) . Berkata Syeikh Islam Ibnu Taimiyyah bahawa palsu (8) .

Kesimpulannya

Kebanyakan para Agamawan di Malaysia mengatakan bahawa matan ayat di atas adalah hadis, tetapi ini adalah tidak benar dan tepat sama sekali, kerana tidak pernah wujub sanad pun bagi matan tersebut untuk kita katakana sebagai hadis. Bagi sesiapa yang telah tersilap mengatakannya sebagai hadis segeralah bertaubat ketika mana pintu taubat masih terbuka. Pesan baginda Rasulullah s.a.w :

من كذب علي متعمدا فليتبوأ مقعده من النار

Maksudnya :” Sesiapa yang sengaja mendustkan keatas aku dengan sengaja, maka sedia tempat tinggalnya di dalam neraka “. ( Riwayat Mutawatir ).

Nota Hujung

1- Al-Burhanun al-Muayad, Ahmad bin Ali bin Thabit ar-Rafie al-Hasiny, tahkik Abdul Ghani Nakah My, cet Pertama 1408H, Dar Kutub al-Nafis Beirut, m/s 208.

2- At-Tabsyir Fi Din, Thahir bin Muhammad al-Isfirayiny tahkik Kamal Yusof al-Hut, cet pertama 1983M, Dar A`lam al-Kitab Beirut, m/s 162.

3- Ni`matu az-Zuri`ah fi Nasratu as-Syariah, Ibrahim bin Muhammad bin Ibrahim al-Halby tahkik Ali Ridha bin Abdullah Ali Ridha, cet pertama 1998M, Dar al-Massir Riyadh, m/s 214.

4- Huliyyatul al-Auliya, Abu Naim al-Asbahan, cet ke-4, Dar al-Kitab al-A`rabi Beirut, juz 10 m/s 208.

5- Kasyful Khafa`, juz 2 m/s 262.

6- Tazkiratul al-Maudhuah, juz 1 m/s 11.

7- Ad-Durr al-Mutanathirah, juz 1 m/s 147.

8- lihat no. 7.